Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 56

Bum! Pintu kilang tinggal dibuka dengan kasar sebelum tertutup kembali dihempas angin kuat di luar sana. Awan mendung sahaja, memberat menunggu masa untuk membasahi bumi. 

“Dah bangun? Selamat petang wahai permaisuri!” teriak Mawar sambil berjalan laju menuju ke arah Manisah yang terkebil-kebil.

Kelibat Si gadis pembunuh dan Michael Angle lesap bagai mereka tidak pernah ke situ, membiarkan Manisah sendirian bertarung dengan ketakutan. 

Tanpa belas kasihan, rambut Manisah direntap kuat sampai terdongak ke belakang.

“Kau teka siapa yang buat aku marah hari ni?”

“Mana aku tahu…” balas Manisah sambil meludah ke muka Mawar, sakit dan penat dengan semua permainan gila ini.

Dengan agresif, Mawar menampar Manisah sehingga hampir terpelanting orang tua tu.

“Anak kau… tahu tak! Anak kau! Berani dia mengkhianti cinta aku. Berani dia merancang sesuatu untuk memerangkap aku. Oh… tapi jangan lupa Mawar yang bijak ni ada plan yang lagi hebat daripada dia! Mari ke sini kau!”

Dengan kasar dan tanpa belas kasihan, tubuh Manisah diheret untuk dibawa keluar dari situ. Seorang pembantu Mawar yang tadi menunggu di luar, meluru masuk dan turut membantu. Manisah dihambat kejutan lagi kerana kenal akan perempuan itu.


Api menjulang tinggi hasil daripada longgokan kayu kering dibakar memeranjatkan Manisah. Apa pula perancangan gila Mawar kali ini? Manisah memberatkan badan agar pergerakan mereka menjadi lambat.

“Kau nampak? Kau nampak… tak! Hari tu kau terlepas daripada maut. Hari ni kau takkan terlepas lagi! Aku dah muak dengan semua drama ni. Habis semua ni… aku akan lari! Lari tinggalkan Malaysia dan segala-galanya termasuk orang yang aku sayang semuanya sebab kau!” 

Mawar sudah seperti orang gila, dia menggoncang tubuh Manisah berulang kali dengan kasar. 

“Macam mana dengan Zaqwan? Fikirkan tentang Zaqwan. Kalau dia tahu kerja gila kau ni… tentu dia kecewa,” kata Manisah cuba bermain dengan emosi Mawar sambil bercucuran air mata. Tak habis-habis hatinya beristigfar dan mengucap dua kalimah syahadah dalam hati.

“Dia dah tahu segala-galanya!” jerit Mawar, menolak tubuh Manisah jatuh ke tanah.


Imbas kembali…

Hampir terhambur kata-kata makian apabila dikejutkan dengan panggilan telefon sebaik sahaja hampir menolak pintu bilik wad Manisah.

“Puan… Encik Zaqwan call saya. Sekarang dia di depan kedai,” beritahu sang pemanggil.

“Depan kedai? Apa dia buat di situ?”

“Setakat sekarang… Encik Zaqwan hanya tengok-tengok ke dalam kedai. Dia mesti curiga kedai tutup hari ni. Datang-datang, tak ada orang jaga.”

“Biarkan dia menunggu dan syak segala-galanya.” 

“Puan…” 

“Ya?”

“Detektif penyibuk tu datang.”

“Apa dia nak?”

“Dia ada serahkan sesuatu kepada Encik Zaqwan. Saya akan siasat dan bagitahu puan nanti.”

“Good… itu yang sepatutnya kau buat.”

Talian ditamatkan. Mawar mengintai pesakit yang ingin dilawati Zaqwan menerusi cermin pintu. Dia menoleh kiri kanan agar tidak kedapatan oleh petugas sebelum menyerbu masuk ke dalam.


Pembantu Mawar sambil berpura-pura membelek sesuatu pada Ipad Pro, memerhatikan Zaqwan yang sedang duduk sendirian di Sunshine Café, lagaknya seperti menunggu seseorang. Tekaannya tepat apabila tidak lama kemudian, Aniq Zafran masuk ke dalam kafe sambil melambaikan tangan ke arah Zaqwan.

Tajam sahaja matanya melihat Aniq Zafran menghulurkan sebuah bungkusan parcel kepada Zaqwan yang tidak teragak-agak untuk melihat isi dalamnya. Dia mencuri dengar isi perbualan mereka selanjutnya dan berhati-hati mengambil gambar sebagai bukti pertemuan dua lelaki di Sunshine Café.

“Office aku kena pecah masuk. Barang berharga semua tak hilang. Hairan, hanya fail kes cikgu Zainuddin hilang begitu sahaja,” beritahu Aniq Zafran membuatkan Zaqwan berkerut dahi.

“Kalau hilang… boleh ke siasatan diteruskan?” Tanya Zaqwan, sedikit gusar.

“Jangan risau. Zaman digital ni… banyak dokumen sudah didigitalkan.”

“Ini?” soal Zaqwan, kembali kepada topik utama mereka sambil menunjukkan buku yang diterima daripada Aniq Zafran.

“Cuba baca dahulu,” katanya berbaur pujukan.

Terangguk kepala Zaqwan, dia menyelak halaman demi halaman sambil kerutan di dahi dikekalkan. Semakin diselak, semakin terkejut membaca isi dalamnya.

“Ini semua… kebanyakan peristiwa yang aku tahu ayah aku lalui. Ada yang… baru aku tahu termasuk…”

“Termasuk tentang apa yang isteri kau buat?” balas Aniq Zafran, menyambung kata-kata yang tidak mampu diucapkan Zaqwan.

Pembantu Mawar sempat melihat tajuk buku dan penulisnya. Dia kenal akan nama penulis itu namun melihat tajuknya membuatkan dia ingin tahu akan isi kandungannya.

Ipad Pro di tangan tidak disia-siakan. Dia membuat carian di Google dengan menaip nama buku dan penulisnya. Sebaik sahaja keputusan carian dipaparkan, dia tersenyum puas dengan hasilnya.

‘Dahlia Kamaruddin, kurator di Galeri Seni Antonio akan tampil dengan sebuah biografi tokoh seni halus terkenal Malaysia, Zainuddin. Pelancaran akan dilakukan pada bulan depan. Biografi mengandungi kisah hidup Zainuddin dari semenjak lahir, kisah percintaan romantis, konflik dan liku-liku dalam kehidupan serta pendedahan rahsia yang tersimpan rapi sehingga hari kematiannya.’ 

Laju sahaja tangannya menaip menghantar maklumat baru diperoleh dari sebuah lama web syarikat penerbitan buku kepada Mawar yang sedia menanti perkembangan terbaharu. Turut disertakan sekali tangkapan layar skrin sebagai bahan bukti. 

Dalam khusyuk dia menaip, ekor mata sempat mengerling ke arah Aniq Zafran dan Zaqwan. Namun, pandangannya tiba-tiba berlaga dengan Aniq Zafran. Cepat-cepat topi yang dipakai ditarik untuk menutup wajahnya, dia turut menunduk pandangan. Bimbang sekali penyamarannya terbongkar. Earbuds sengaja disumbat ke telinga, konon-konon sedang mendengar lagu untuk lebih menyakinkan penyamarannya.

“Kau pandang apa?” tegur Zaqwan, sedar akan kelakuan Aniq Zafran. Dia turut memalingkan tubuh memandang tanpa syak ke arah pembantu Mawar.

“Tak ada apa,” balas Aniq Zafran, menyedut minuman soda serai bermadu yang dipesan tadi sehingga hampir separuh gelas. Minuman yang sesuai diminum dalam keadaan tidak menentu kebelakangan ini.


Manisah yang terduduk di atas tanah tiba-tiba menghamburkan tawanya dengan terbahak-bahak mendengar cerita Mawar. Dia terhibur, deritanya umpama lenyap sekelip mata.

“Padan muka kau! Biar satu dunia tahu betapa jahatnya seorang manusia bernama Mawar! Aku tak sabar nak gelakkan kau masa tu!” 

Api panas membara sudah tidak dihuraikan. Manisah merenung ke dalam api menjulang tinggi, kelakuannya seperti sedang berada dalam sebuah perkhemahan bersama dengan kawan-kawan.

“Jangan ketawa! Aku tak suka kau ketawa!” tempelak Mawar, dia belum puas untuk menyeksa ibu mentua yang seharusnya disayangi seperti ibu kandung sendiri.

 Rambut Manisah direntap dengan kuat namun, belum sempat melanjutkan perbuatannya, kedengaran siren kereta polis dari kejauhan. Mawar memandang pembantunya dengan tidak puas hati sebelum menarik Manisah yang tidak habis-habis ketawa itu ke dalam pautan lengannya. 

“Terimalah penghabisan kisah dalam hidup kau! Kau takkan terlepas kali ini,” sindir Manisah tanpa menghiraukan langsung kesakitan yang diterimanya.

Pautan pada leher Manisah diperkemas.

“Oh, ya… macam mana pula kalau itu sebenarnya penamat untuk hidup kau! Dan… anak kesayangan kau akan menyaksikan kematian kau macam… macam aku menyaksikan kematian mama dilanggar motosikal dan kau… kau pula penonton setia yang hanya melihat tanpa menolong!”

Tawa Manisah mati, dia tidak mengerti apa yang diperkata oleh Mawar. 

“Masih tak dapat lagi kenapa aku berdendam dengan kau? Kau ingat aku berdendam atau membenci kau sebab kau mengecewakan Kidman… pak cik aku yang tak berguna tu?! Atau tak pun, kau ingat aku benci kau sebab kau tak suka aku jadi menantu kau? Kau silap besar!” 

Kali ini Mawar pula ketawa manakala Manisah terbeliak biji mata. Ada lagi rupanya kisah lain yang tidak diketahui oleh Manisah. Terlalu berlapis-lapis cerita mereka!


Imbas kembali…

Mawar menjerit meminta tolong, pandangannya melilau melihat-lihat sesiapa yang mampu membantunya. Mungkin akibat hujan lebat, kawasan di sekeliling kedai dobi sunyi dan tiada kelibat seorang pun manusia di situ.

Batang tubuh ibunya digoncang dan dia semakin panik kerana langsung tidak menerima sebarang respon.

“Mama… mama bangunlah!”

Memandangkan tiada sesiapa yang datang membantu, Mawar berlari masuk ke dalam kereta untuk menelefon nombor kecemasan. Beg tangan ibunya dipunggah dengan perasaan bercampur-baur. Untuk mendail sahaja dia tergetar-getar. Hampir meraung dibuatnya apabila tiada liputan secara tiba-tiba dalam keadaan cuaca buruk sebegini. 

Matanya terlihat dari dalam kereta akan seorang wanita hampir sebaya ibunya sedang berdiri di laluan pejalan kaki tidak jauh daripada ibunya terbaring tidak sedarkan diri sambil memegang payung. Mawar cuba meneka arah penglihatan wanita itu, ternyata dia memandang ke arah mamanya.

“Mungkin… mungkin dia boleh membantu,” kata Mawar, menyedapkan hati.

Gadis yang masih berada lingkungan umur belasan itu terus keluar dari kereta.

“Aunty… aunty kena tolong mama saya,” rayu Mawar sambil memegang tangan wanita itu.

Wanita itu hanya merenung tanpa berkata sepatah pun. Riak wajahnya serba salah dan takut-takut sahaja untuk menghulurkan bantuan.

“Aunty… mama saya kena langgar. Tolonglah saya… panggilkan ambulans,” rayunya lagi sambil melutut pula kali ini.

“Maaf… saya tak nampak apa-apa atau tahu apa-apa. Baik kamu berteduh, nanti kamu demam,” balas wanita itu, tiada kena-mengena dengan apa yang dipinta Mawar.

“Aunty… aunty!” jerit Mawar apabila wanita itu tergesa-gesa meninggalkannya.

Mawar mengejar wanita itu. Malangnya, dia terjelepok dalam hujan. Lututnya luka berdarah akibat geseran daripada jalan tar. Dia menangis bersama dengan harapan yang sudah hancur.


“Kaulah aunty yang tak guna tu!” herdik Mawar membuatkan Manisah tergamam. “Tak sangka… tergamak kau hanya melihat tanpa menolong! Kau antara punca mama aku tak dapat diselamatkan.”

“Jadi… jadi, wanita itu… mama kamu?” 

Ada tangis dalam kata-katanya. Manisah berasa sedih mendengar cerita itu.

“Dah terlambat nak menyesal!” 

“Puan… kita perlu pergi,” tegur pembantunya, sedari pihak polis sudah tiba di kawasan mereka dan bersiap sedia untuk mengepung mereka.

Mawar mengheret Manisah untuk meninggalkan kawasan itu. Manisah memberatkan badan seperti tadi untuk melengahkan pergerakan mereka berdua.

“Tolong! Saya di sini!” jerit Manisah apabila terlihat pihak polis mulai mendaki bukit kecil tempat mereka berdiri, tidak jauh dari kawasan kilang tinggal yang menjadi tempatnya ditahan beberapa hari.

“Jangan bergerak! Kekal di tempat masing-masing!” arah pihak polis dengan tegas.

“Celaka!” sumpah Mawar apabila menyedari mereka sudah tidak ada jalan keluar.

Manisah tidak berani untuk meronta namun, sedikit kelegaan dengan kehadiran pihak polis. Dia melihat peluang untuk melepaskan diri daripada kekejaman wanita bernama Mawar.

Muncung senapang sudah siap-siaga diarahkan kepada mereka. Mawar tidak mempunyai cara lain untuk melarikan diri, dia mengeluarkan pistol dari dalam sarung yang disisipkan di pinggang lalu diacukan ke kepala Manisah.

“Dekat atau maut menjemput perempuan ni! Fikirkanlah!” ugut Mawar dan tentu sekali Manisah sudah mengigil-gigil.

“Letakkan senjata!”

Pihak berkuasa tidak terumpan dengan ugutan biasa didengari daripada penjenyah terdesak seperti Mawar malahan mereka semakin mendekat selangkah demi selangkah. Mawar bersama dengan pembantunya mulai mengundur ke belakang sambil mengheret Manisah sekali.

Muncul seorang lelaki ke hadapan, lelaki yang Mawar paling takut untuk menghadapi rasa kehilangan jika segalanya terbongkar. Kini, dia berasakan sedikit demi sedikit dia sedang kehilangan cinta lelaki itu atas apa yang pernah dilakukan selama hidup ini. Air matanya merembes laju, bibirnya bergetaran manakala Manisah tentu sekali risau jikalau lelaki itu diapa-apakan Mawar. Lelaki itu sebahagian daripada nyawanya.

“Sayang…” tegur Zaqwan dengan berhati-hati menghampirinya.

Bam!

“Jangan dekat!” Mawar melepaskan tembakan ke udara memeranjatkan mereka di situ. “Awak tentu benci saya! Alang-alang saya sudah sampai ke tahap ni, saya takkan berpatah balik! Semuanya… semuanya sudah hancur dalam sekelip mata!”

“Sayang… awak ada saya,” pujuk Zaqwan dengan suara yang sayu.

Rasa serba salahnya tidak mampu dibendung dan dia tersepit antara dua kasih; kasih untuk isteri dan untuk ibu kandungnya. Fikirannya berkecamuk, batinnya merintih dan menjerit! Mengapa ini harus berlaku dalam hidupnya? 

“Tipu! Awak takkan mudah-mudah untuk maafkan saya. Saya takkan mudah percaya kata-kata palsu awak tulah!”

“Kita boleh mulakan hidup baru. Kita… saya dan awak akan pergi jauh… jauh daripada sini… ke mana sahaja awak mahu,” pujuk Zaqwan, matanya sahaja tidak terlepas memandang pistol yang diacukan ke kepala ibunya.

“Bohong! Kau tak peduli pun aku,” jerit Mawar, dia menyedari apa yang dipandang Zaqwan.

Mawar bertindak menghalakan senjatanya ke arah Zaqwan yang semakin menghampirinya, begitu juga pihak polis yang mara tiap kali Zaqwan melangkah.

“Kita terperangkap,” bisik pembantunya yang menyedari bahawa di belakang mereka terdapat jurang yang dalam. Berserah diri adalah lebih baik daripada mati sia-sia, fikirnya.

“Diam!” herdik Mawar.

Bam!

Entah apa yang merasukinya, pistol itu dihalakan pula ke arah pembantunya. Dia terlepaskan tembakan ke bahu pembantunya. Wanita itu terus merebahkan badan akibat rasa sakit yang tidak terhingga. Mawar sendiri tergamam, namun cepat tersedar.

Terkejut Manisah, memang perempuan itu sudah hilang akal.

“Letakkan senjata,” laung pihak polis lagi sekali.

“Sayang…” rayu Zaqwan sambil menangis.

Dengan tertembaknya pembantunya, dia berasakan dunianya menjadi gelap. Harapannya kian pudar. Hanya suatu jalan untuk membuatkan dia berasa puas sebelum pengakhiran kisah hidupnya iaitu dengan membawa bersama Manisah ke alam sana.

“Maaf…” balas Mawar, dengan niat mahu melepaskan tembakan ke kepala Manisah. Tawanya kedengaran kekok, dia sudah lama hilang pertimbangan.

Bam! 

Burung-burung berterbangan tinggi ke udara. Alam semulajadi yang selama ini sunyi, menjadi gegak-gempita sekelip mata bersama dengan tumpahnya darah ke bumi.


Previous: Bab 55
Next: Bab 57

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.