Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 34

Hujan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti dalam masa terdekat. Jarum jam sudah pun menghampiri ke angka 5:00 petang. Kidman tidak dapat fokus kepada pemanduan sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Seringkali dia termenung dan sikap sebegitu akan mengundang bahaya, tapi itu yang sedang berlaku ketika ini.

“Argh, kalau saja aku boleh Google apa yang berada dalam fikiranku,” keluhnya sambil memicit dahi sebelum menghentak kuat stereng menzahirkan rasa kesalnya dengan sesuatu tidak pasti.

Kali pertama sepanjang pemanduan, dia berasa sangat terganggu dengan kenderaan yang berselisih dengan keretanya. Bunyi bising dan silauan cahaya lampu menghasilkan perasaan tidak selesa. Gelisah sahaja sepanjang pemanduan sehingga dia bertindak untuk melonggarkan tali leher. Udara untuk disedut terasa begitu terhad seperti sedang berkurung dalam bilik yang tiada pengudaraan yang bagus.

Aneh, matanya semakin kuyu bagai disuruh-suruh tidur. Terkebil-kebil menahan diri daripada ketiduran. Berulang kali dia menguap sampailah akhirnya tersengguk-sengguk sehingga kepalanya terhentak stereng. Dia mengadu kesakitan.

Sebaik sahaja mengangkat pandangan, pantas dia memusing stereng mengelak seseorang dalam pakaian hitam yang muncul di depan kenderaan. Mujur tidak berlaku pelanggaran yang boleh meragut nyawa. 

“Lecehnya!”

Kidman masih berkira-kira untuk keluar mahupun meneruskan perjalanan. Seseorang yang dilanggar tidak kelihatan pula. 

Pon! Bunyi hon bertalu-talu memaksa Kidman keluar dari perut kereta dalam keadaan hujan lebat sebegitu untuk memastikan orang itu tidak apa-apa.

“Awak tak apa-apa ke?” soal Kidman dengan suara cemas.

Seorang perempuan berdasarkan susuk fizikalnya sedang terduduk di atas jalan tar dalam keadaan basah kuyup. 

“Saya… saya… okey.” Tergetar-getar suaranya, menahan sejuknya air hujan menimpa.

Kidman berasa bersyukur dengan jawapan diterima. Tidak perlulah dia berasa risau, ada banyak lagi perkara lain yang perlu dirisaukan. Sedikit kecewa, kerana perempuan itu tidak seakan menyorok wajahnya daripada dilihatnya. 

“Saya bawa awak ke hospital,” pelawanya setelah muncul rasa serba salah.

“Tak apa. Saya okey,” tolak wanita itu, berusaha bangun dalam keadaan susah payah dan menepis tiap kali pertolongan Kidman.

Akibat salah langkah menapak, wanita itu jatuh terduduk semula. Kedengaran dia mengadu sakit lalu menyebabkan Kidman terus mendukungnya ke pangkuan. Tidak sangka, dia akan bertemu dengan seseorang yang degil untuk mendapatkan rawatan.

Baru mulutnya ingin berkata sesuatu terus terlopong sambil matanya terbeliak besar saat wajah mereka saling bertatapan di dalam hujan. Kedua-dua mereka dalam keadaan terkejut yang teramat sangat. 

“Kidman…” sebut wanita itu akan namanya.

Suaranya sahaja berjaya menggetarkan jiwa Kidman. Dia tidak percaya dengan apa yang sedang dialami saat ini. Doa rindu seakan sudah terjawab ketika ini. Dia terbayang curahan air hujan yang turun dengan lebat ketika ini bertukar menjadi taburan kelopak-kelopak bunga seperti mana hatinya sedang berbunga-bunga. 


Kidman memerhati sahaja Manisah yang sedang tidur pulas di atas sofa di ruang tamu rumahnya. Jari-jemari Kidman membelai rambut berjuntaian pada dahi Manisah. Sebaik sahaja selesai mendapatkan rawatan di klinik berhampiran, Manisah dibawa pulang walaupun berkali-kali wanita itu menolak.

Setelah menyuruh pembantu rumahnya membantu membersihkan diri Manisah, wanita itu diserang demam lalu terus berbaring untuk merehatkan diri tanpa sempat menjamah sebarang makanan mahupun minuman yang disediakan pembantu rumah Kidman.

Dahi Manisah disentuh. “Dah sejuk sikit.”

Kidman keliru dan gembira dalam waktu yang sama. Bagaimana orang yang diketahui sudah meninggal dunia hidup kembali? Dia sendiri yang melihat wanita itu mati dalam pangkuan Zainuddin dan dia juga menghadiri majlis pengebumian mereka berdua.

Gembira kerana wanita itu kembali dan tentu juga kerana tidak perlu berebut dengan Zainuddin yang sudah tiada lagi di dunia ini. Dia yakin, dia akan memenangi perlawanan kali ini.

Beberapa uban kelihatan di antara rambut hitam Manisah yang lain. Giliran Kidman pula menyentuh rambutnya sendiri. Dia tahu, dia juga sudah ditumbuhi uban. Usia semakin meningkat dan kesepian untuk berteman sentiasa bersarang di hati.

Bibirnya menguntum senyuman lagi, kali ini dia terbayang akan menghabiskan waktu tua bersama dengan Manisah. Impiannya setinggi gunung dan akan dipastikan menjadi kenyataan.

“Kita dah semakin tua, Manisah. Indahnya pertemuan kita kali pertama. Kalaulah aku tahu akan masa depan, aku akan halang pertemuan kau dengannya. Kita akan terus bersatu dan hidup harmoni selamanya tanpa perlu berlaku partumpahan darah.”

Wajah tenang Manisah ditenung lagi. Rambutnya yang mulai kering, beralun-alun ditiup angin.


Imbas kembali…

“Lamanya tak balik Malaysia! Patut balik setelah habis pengajian dulu tapi… saja-saja cipta kenangan dulu di London.” 

Zainuddin mengeliatkan badan, lenguh seharian berada dalam perut pesawat. Perjalanan yang mengambil masa melebihi 12 jam memang melelahkan graduan dari Camberwell College of Arts di London. 

“Hey… my friend! Welcome back to Malaysia!” teriak seseorang dari suatu sudut.

Suara lelaki yang sememangnya dikenali Zainuddin.

“Helo my brother!” jerit Zainuddin sambil melambai tangan ke udara dengan riang.

Mereka saling berpelukan melepaskan rindu setelah beberapa bulan tidak bertemu.

“Aku dah rindu nasi lemak,” selamba kata Zainuddin sambil tergelak-gelak.

Kecur liur teringat makanan kegemaran ramai orang di Malaysia termasuk dirinya.

“Dan teh tarik… am I right?” sambung Kidman sambil ketawa.

“Yeah… you are right! Bijak!”

Mereka berlaga tangan untuk menyetujui kata-kata itu sebelum sama-sama ketawa.

“Itulah kau… aku ajak balik, tak mahu! Nak mengurat awek orang putihlah katakan,” usik Kidman.

“Rugi pula balik cepat rasanya.”

“Tak cukup ke 3 tahun lebih dekat sana tu? Cukup-cukuplah tu… Malaysia dah rindu!”

Sejenak mereka berdua terdiam. Baru Zainuddin perasan, bersama dengan kedatangan Kidman, terdapat seseorang wanita hampir sebaya mereka sedang berdiri berhampiran sedari tadi memerhati pertemuan semula mereka.

“Siapa ni Kidman?” soal Zainuddin sambil menunjuk menggunakan jari telunjuknya.

“Oh… ya! Perkenalkan, Manisah namanya. Err… pembantu aku,” kata Kidman teragak-agak untuk memperkenalkan Manisah yang baru berani mendekati mereka.

Jika mengikut hatinya, ingin sekali dia mengatakan Manisah itu merupakan kekasih hatinya namun, Kidman tidak mahu menanggung malu jika cintanya hanya bertepuk sebelah tangan. Dia belum pernah meluahkan perasaannya kepada Manisah. Pipinya terasa hangat menahan malu untuk menatap Manisah dengan penuh rasa cinta.

“Manis,” puji Zainuddin, terpikat dengan senyuman Manisah bak gula. “Cepat betul kau dah berkerjaya padahal baru beberapa bulan balik Malaysia. Cuba bertenang dulu.”

“Aku tak boleh nak rileks. Masa itu wang, rugi kalau aku lepaskan,” balas Kidman yang masih belum perasan Zainuddin mulai terpikat dengan Manisah.

Manisah dan Zainuddin bertukar senyuman. Masing-masing sempat tertunduk malu pada pertemuan kali pertama itu. Pipi Manisah merona merah.

“Ya… ya! Aku tahu perangai kau… yang sukar untuk berehat bersahaja,” balas Zainuddin, menepuk-nepuk bahu rakannya berulang kali. “Manisah… apa kata kita bertiga perkena nasi lemak di mana-mana. Saya dah lapar sangat ni sambil tu bolehlah kita berborak dan berkenalan lebih lanjut,” lanjut Zainuddin, berkenyit mata membuatkan wanita itu tersipu malu.

Kidman berasa tidak selesa dengan tindakan Zainuddin apatah lagi reaksi Manisah seakan menunjukkan rasa tertarik kepada kawannya itu. 

‘Dia tidak pernah begitu dengan aku.’ Diam-diam, Kidman berasa tidak puas hati.

Hubungan persahabatan antara dengan Zainuddin seperti tidak mampu menepis rasa cemburunya malahan menyesal pula mengajak Manisah turut serta menjemput kenalan semasa belajar dahulu. Dari situ, dia berasa sudah mempunyai pesaing untuk merebut hati Manisah. 

“Baik. Jom kita pergi,” ajak Kidman dengan tergesa-gesa sambil menarik tangan Manisah untuk meninggalkan tempat itu dengan agak kasar.

“Ops… kau macam menyakiti dia!” tegur Zainuddin yang ternyata menyedarinya.

Mood Kidman menjadi semakin tidak baik. Dia langsung tidak membalas mahupun menoleh sekilas sahabatnya itu. Kerinduan terus lenyap angkara cemburu yang meluap-luap.


Beberapa bulan selepas kepulangan Zainuddin…

Manisah mengadu tidak sihat kebelakangan ini, cuaca hujan panas tidak menentu membuatkan suhu badannya tinggi dan kerap bersin sahaja. Dalam masa tidak sihat itu, dia tidak bekerja. Kidman dengan rela hati membenarkan Manisah mengambil cuti meskipun wanita itu menolak. Kerja-kerja di studio gambar Kidman bertambah seiring dengan kedatangan pelanggan yang seamkin hari semakin ramai.  

Kidman berjalan riang sepanjang menuju ke rumah Manisah. Yalah, sehari tidak bertemu sudah membuatkan rindunya bergayutan. Thermos berisi sup ayam herba di dalam beg kanvas putih diangkat sambil dihidu aroma yang menyelerakan. Terbayang-bayang nanti dia bersama Manisah akan menikmati hidangan itu bersama di beranda rumah. Hanya mereka berdua sahaja tanpa gangguan. Tersenyum-senyum saat membayangkan saat indah sebegitu. 

Sampai di perkarangan rumah Manisah, Kidman melihat wanita itu keluar sambil menatang dua cawan bersama teko. Baru Kidman ingin menegur sambil melambai tangan, tiba-tiba moodnya berubah terpandangkan seorang lelaki yang dikenali berada di beranda tersebut. Beg berisi thermos terus terjatuh ke atas tanah dengan spontan.

Mendengar bunyi berdenting membuatkan Manisah bersama lelaki di beranda menoleh ke arahnya, Kidman spontan menguntum senyuman plastik untuk menutup rasa kecewanya.

“Hei… marilah masuk!” ajak Manisah dengan ceria sekali sambil melambai tangan seolah tidak mengerti kegundahan jiwa lelaki itu. 

Kidman cuba untuk buat-buat biasa, menunduk mengambil beg yang terjatuh seakan-akan tiada apa terjadi. Lambat-lambat melangkah ke beranda dengan hati yang berat. Beg berisi thermos ingin sekali dihempuk ke kepala lelaki yang dianggap sebagai orang ketiga dalam hubungan cinta yang tidak terluahnya itu.

“Hei, Kidman! Come in…” kata Zainuddin sambil mengajak dengan isyarat tangan, “Kau apa khabar?” Zainuddin menghulur tangan, terus membawa kawan sepengajian ke dalam pelukan setelah pertemuan terakhir mereka beberapa bulan lepas semasa dia pulang ke Malaysia.

Teragak-agak Kidman membalasnya, tidak ikhlas walhal persahabatan mereka sudah beberapa lama berbanding dengan pertemuan bersama Manisah. Nasib dia tidak mengikuti rasa hatinya yang sedang terbakar dengan api cemburu, ingin sekali merentap tangan Zainuddin dengan kasar dan mengugutnya agar menjauhi Manisah dengan mengatakan gadis itu miliknya. Dia yang mengenali Manisah terlebih dahulu dan dia berhak untuk melarang Zainuddin mendekati kekasih hatinya.

“Wah, apa itu?” sampuk Manisah melihat Kidman membawa sesuatu dalam beg, tanpa segan silu mengambilnya.

Dari aromanya, Manisah dapat mengagak apa isinya. Pernafasannya terasa kembali pulih daripada selesema menghidu aroma menyegarkan itu.

Dalam pada masa yang sama, pantas Kidman menarik lengan Manisah lalu membawa jauh sedikit daripada Zainuddin.

“Apa dia buat di sini?” berbisik perlahan agar tidak kedengaran nada suara seperti ditekan-tekan.

“Apa? Saja minum-minum dan lawat saya yang tak sihat. Zainuddin tu pun bukan orang lain, kawan awak juga,” balasnya tidak menganggap kata-kata Kidman serius sambil tersenyum manis sebelum mendapatkan Zainuddin.

Sebegitu sahaja dia tidak mempedulikan kehadiran Kidman.

Manisah duduk berbual mesra dengan Zainuddin, Kidman terkilan dengan hal itu. Semenjak Zainuddin tiba dalam hidup Manisah, dirinya terpinggir sebegitu sahaja. Mereka hanya akan bercakap mengenai hal kerja dan jarang sekali berbual santai sekarang ini. Keadaan mereka sudah begitu berubah. 

Kidman benci melihat kemesraan mereka berdua, hatinya bagai dicarik-carik sehingga tidak bersisa. Dalam hati, dia meraung sekuat hati. Untuk mengelakkan kejanggalannya terserlah, perlahan-lahan dia melangkah lalu duduk bersama mereka.

“Bincang apa ni rancak-rancak?” celah Kidman dengan mesra dan berpura-pura tidak terasa hati.

“Manis sayang…” kata Zainuddin menyentak tangkai jantung Kidman, berdebar-debar bagai mahu pecah jantungnya.

‘Ada apa mereka ini? Berani dia panggil Manisah macam tu!’ Tertanya-tanya Kidman dalam hati, sempat memerhati Manisah tersipu malu dengan panggilan itu.

Tidak keruan fikirannya melihat tiba-tiba Zainuddin mengenggam jari-jemari Manisah.

‘Berani dia!’ Batin Kidman menjerit, matanya terbeliak namun sempat dikawal.

“Kami sudah bertunang. Pernikahan kami tak lama lagi.”

Terkebil-kebil Kidman mendengarnya, buat-buat ketawa tidak percaya. Hakikatnya, dia berasa ingin meraung, menjerit meluahkan rasa kecewa wanita dicintai sepenuh hati akan dimiliki orang lain, tidak lain tidak bukan kalau kepada sahabatnya sendiri.

“You must be kidding?” Suaranya bergetaran. Hatinya menangis.

Malangnya kedua-dua manusia di depannya langsung tidak menyedari rasa kecewanya malahan mereka ketawa gembira seolah mereka sahaja manusia di dunia ini.

“No… we are serious!” Kata-kata Manisah membuatkan dunia Kidman menjadi kelam apatah lagi mereka berdua sudah saling menggenggam tangan menzahirkan rasa cinta.

Kidman benci melihatnya, sepatutnya dia yang berada di sisi Manisah!




Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.