Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 42

Dahlia menghirup teh O panas yang dipesan, barulah badannya terasa segar setelah mengharungi separuh hari bekerja yang mencabar. Fikirannya terasa lapang seketika.

Dahlia meletakkan cawan ke atas meja, menunggu Aniq Zafran pula untuk selesai menghirup kopi O panas. Meliar pandangan mata Dahlia melihat suasana kafe galeri yang lenggang daripada kunjungan orang ramai.  

“Cik Dahlia nampaknya dah berjaya menjadi seorang kurator,” kata Aniq Zafran menyentak lamunan Dahlia.

“Maaf… maksud awak?”

Ariq Zafran tersengih menampakkan barisan gigi putih tersusun cantik, tahu dah reaksi yang bakal diterima.

“Awak macam ada hajat nak berjumpa dengan saya.” Terus-terang Dahlia menyatakannya dengan nada suara tegas.

Malas mahu berkias-kias saat ini, mentalnya sudah kepenatan dengan semua kejadian yang tiba-tiba menimpanya.

Ariq Zafran memetik-metik jari beberapa kali setelah meletakkan cawan ke atas meja.

“Betul… sangat betul! Kalau tak, kenapa saya perlu berjumpa dengan cik Dahlia?” 

“Dan… awak juga ke yang kata dekat pelajar-pelajar tadi galeri ni melakukan art theft?” soal Dahlia, menyerang hendap dan sedaya-upaya mencuba hubung kaitkan dengan kejadian tadi. “Siapa awak ni menuduh tanpa bukti? Penyiasat persendirian ke apa?” 

Terbeliak besar mata Dahlia bagai mahu menelan orang lagaknya, ekspresi yang sukar dikawal dalam keadaan tertekan dari seawal pagi tadi. Mentalnya menjadi penat untuk bersikap manis ketika ini.

“Yeah… you hit the jackpot! Betul, saya penyiasat persendirian. Aniq Zafran.” 

‘Kenapa kelihatan gelisah? Tak sabar-sabar nampaknya nak tamatkan pertemuan ini,’ analisa Aniq Zafran dalam diam terhadap bahasa tubuh Dahlia.

“Kenapa dan nak apa daripada saya?” Laju-laju Dahlia menyoal.

Aniq Zafran tersenyum, pantas membuka galeri telefon lalu disuakan kepada Dahlia yang menyambutnya secara ragu-ragu.

“Ini…” suara Dahlia mulai mengendur seraya memandang kembali Ariq Zafran. “Cikgu Zainuddin?”

“Betul. Saya pun tahu awak pernah menemu ramah dia dan sekarang awak menjadi seorang kurator serta pernah menjaga ‘Si gadis pembunuh’,” bicara Aniq Zafran, sedikit menekan Dahlia.

Dahlia terkedu, lagi-lagi nama lukisan itu disebut.

“Cuba awak slide left. Ada gambar lain yang saya nak awak tengok.”

Tanpa membuang masa, Dahlia mengikuti arahannya. 

“Ni… Encik Antonio dengan cikgu Zainuddin? Lalu… siapa pula wanita di tengah mereka?”

“Bukan Encik Antonio. Itu adiknya, Kidman. Miripkan wajah dua beradik tu. Wanita itu pula ialah Manisah, isteri kepada cikgu Zainuddin. Antara mereka telah berlaku cinta tiga segi dan… memperguna atau akan diperguna.”

“Apa pula memperguna dan diperguna?” 

Terburai ketawa Aniq Zafran. “Awak ni macam tak tahu apa-apa pula mengenai mereka? Betul ke awak pekerja di sini?” 

Berang pula tiba-tiba diperli sedemikian rupa, Dahlia meletakkan dengan kasar telefon pintar Aniq ke atas meja kaca.

“Awak jangan nak cabar saya! Sia-sia sahaja pertemuan kita ni.” Tinggi suara Dahlia. 

Aniq Zafran melihat Dahlia sudah berdiri, mesti tercabar dengan kata-katanya.

“Saya tak faham tujuan awak untuk berjumpa dengan saya lepas tu tunjuk semua benda ni dan cerita perkara yang tak berkaitan langsung dengan saya. Can you mind your business?”

Nampaknya Dahlia memang tidak mahu menunggu lama di situ. Dia mengorak langkah beberapa tapak namun kemudian berhenti dan berpaling memandang Aniq kembali.

“I pay for your coffee today. Thank you sebab kacau hari saya yang sememangnya serabut hari ini.”

Aniq Zafran hanya membalas dengan sengihan sambil mengusap dagunya. Tiap bahasa tubuh Dahlia dari awal pertemuan sampailah ke akhirnya dianalisis. 

“Bahaya kalau sampai kerasukan watak.” 

Minuman dihabiskan. Setelah itu, Aniq Zafran mengeliatkan badannya yang terasa lenguh. Sempat lagi dia menguap.


Previous: Bab 41
Next: Bab 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.