Jam dinding berdenting kuat apabila jarumnya tepat menunjukkan ke angka 12. Seorang perempuan dengan selendang hitam hampir menutupi seluruh wajah, menjeling sejenak ke arah jam itu. Bingit, mengganggu tumpuannya yang sedang bermain dengan cecair hitam pekat dalam gelas kaca jernih sambil ditemani muzik jazz menggunakan instrument saxophone.
Moodnya dalam keadaan tidak baik, duduk bersendirian tanpa berteman di kafe itu. Suasana kafe suram disebabkan hanya sebuah lampu di kaunter sahaja dihidupkan. Waktu operasi sudah lama tamat kira-kira jam 8:00 malam tadi.
“Macam mana dengan kehidupan kau malam ini? Baik-baik sahajakah? Apa kata kau hirup dahulu secawan kopi? Kau tahu… meminum kopi boleh mengurangkan kemurungan dan membaiki mood kau. Dari cara kau ni, aku tahu kau sedang mempunyai masalah.”
Aniq Zafran malam ini kelihatan seperti barista di sebuah kafe. Dia meletakkan secawan kopi panas tanpa gula di hadapan perempuan itu. Tersengih senget Aniq Zafran apabila terdengar seseorang sedang berada di depannya sedang menggeram.
Biar sahaja pelanggannya yang meletakkan kiub gula mengikut citarasa mereka. Biji kopi panggang segar yang digunakan akan dikisar sendiri Aniq Zafran sebelum direndam seketika dalam air panas lalu disenduh selepas itu.
Aromanya memuncak mampu menggoda selera sesiapa. Malangnya, tidak kepada perempuan itu, hanya memandang jelik pada hidangan terbabit. Baginya, ini bukan masa sesuai untuk bersantai sambil menikmati minuman kegilaan ramai semenjak berabad lama.
“Baik… hmmm?” Bebelan panjang itu membuatkan moodnya bertambah buruk, sudah siap sedia memegang telinga cawan
Tidak teragak-agak membaling gelas kaca sehingga terhempas lalu berkecai di atas lantai sebagaimana juga berkecai hatinya.
“Oh… oh! Memang mood kau tak baik lagi-lagi setelah melihat permandangan menyakitkan mata,” balas lelaki itu dengan selamba sambil tergelak kecil.
Laju tangan Aniq Zafran mengelap beberapa cawan sudah siap dibilas tadi. Nanti-nanti sahaja dia membersihkan kaca berderai itu kerana situasi sekarang menjadi seronok untuk melanjutkan perbualan seterusnya. Panas membara auranya.
Perempuan itu kedengaran seperti sedang menggeram. Kuku tajam berwarna hitamnya mencakar permukaan meja kaunter berulang kali sehingga mewujudkan bunyi menggilukan deria pendengaran. Geli-geleman Aniq Zafran.
“Kau marah dengan dia… kan?” soal Aniq Zafran, tanpa menoleh melihat perbuatan perempuan itu.
Nafas wanita itu terhela kuat seperti sedang mengeluh mengenangkan sesuatu perkara yang menjadi kesalan buatnya.
“Marah?” Kedengaran suaranya perlahan tetapi penuh dengan emosi marah.
Bukan suatu bentuk pertanyaan tetapi suatu bentuk penafian kenyataan perasaan ketika ini. Perempuan itu menggengam kuat penumbuknya.
“Dah agak dah,” respon Aniq Zafran sambil tersengih.
Cukup dengan reaksi perempuan itu, dia sudah tahu isi hatinya.
“Jadi, apa yang membuatkan kau marah… Si gadis pembunuh? Cuba cerita. Aku mempunyai malam yang panjang untuk mendengar kau bercerita. Silakan. All yours,” provoknya demi membuatkan wanita itu membuka cerita.
Melalui selendang menutupi wajah, Aniq Zafran tahu perempuan bernama Si gadis pembunuh sedang menjengil mata tanda tidak puas hati dengan dirinya. Biarpun tahu, dia senang sungguh melihat aura negatif Si gadis pembunuh menyerlah dengan begitu cantik sekali.
Ya, biarkan aura itu membara kerana itulah identiti Si gadis pembunuh!
“Berani dia lupa misi dia! Lepas tu berfoya-foya dengan perempuan yang datang entah dari mana!” marah Si gadis pembunuh.
“Hari yang bagus untuk membalas dendamkan. Setelah setahun berlalu… tak begitu? Dan, bukan hanya sebab dah setahun kematian mereka tapi, kau dah sedikit demi sedikit membalas dendam. Macam… kejadian di Galeri Seni Antonio?”
Gelas bersih diambil lalu air kosong dalam jug kaca dituangkan ke dalamnya. Pastinya, situasi mendatang akan lebih hangat berbanding tadi. Elok rasanya, dia mendinginkan hati seseorang yang sedang mendidih itu.
Bum! Si gadis pembunuh menghentak meja. Dari dalam seledang, dia menikam tajam pandangan mata Aniq Zafran.
Imbas kembali…
1 jam lepas…
Hanya lampu meja sahaja dihidupkan di dalam bilik bacaan menemani Kidman bersendirian membersihkan Pistol jenis Glock 42. Lembut sahaja dia mengelap pistol berkenaan dengan menggunakan kain sapu tangan khas.
Beberapa saat kemudian, sang pemilik pistol mengacah-acah seperti sedang ingin melakukan tembakan. Pemicu pistol ditekan tanpa ragu-ragu.
Senyap. Tiada bunyi tembakan kedengaran, tiada peluru termuntah dari muncung pistol. Segaris senyuman terukir di bibir. Setelah mengujinya, ternyata senjata api itu masih dalam keadaan baik walaupun agak begitu lama tidak digunakan. Tiada niat sebenarnya untuk membersihkan senjata api itu. Asalnya, tujuan pembelian senjata itu adalah untuk mempertahankan diri daripada perkara yang tidak terjangka.
“Seumur hidup aku bersama dengan Glock 42, hanya dua peluru sahaja muntah dari muncungnya. Pertama sekali, ketika aku ingin membunuh Zainuddin. Malangnya, kau yang terkena tembakan… sayangku. Kedua pula, ketika aku benar-benar berjaya membunuh Zainuddin dan kau juga mati,” suaranya kedengaran seperti menyesal akan sesuatu.
Sebaik sahaja pulang dari kerja, hatinya meronta untuk melihat sesuatu yang berada di dalam laci meja. Perasaan ingin tahu kuat walaupun terlupakan apa yang disimpan di dalamnya. Apabila perlahan-lahan membuka laci meja, terjumpa akan senjata api itu di bawah beberapa majalah lama. Sepatutnya, dia membuang senjata itu lama dahulu. Dek kesibukan, dia terlupa untuk berbuat sedemikian.
Krek… bunyi engsel pintu kedengaran panjang ditolak sesuatu. Tiba-tiba debaran jantungnya semakin laju kerana dia tinggal sendirian. Sewaktu pintu terbuka luas, tiada kelihatan sesiapa di situ. Sempat dia menarik nafas lega dan mencuba berfikiran positif. Fikirnya, angin kuat bertiup masuk dari beberapa tinggal di luar membuatkan pintu bilik terbuka secara tiba-tiba walaupun dia yakin sekali kesemua tingkap sudah bertutup rapat.
‘Kenapa dengan malam ini? Apa yang ingin mengganggu aku semenjak dari bertemu dengan collector itu?’
Bum! Pintu terhempas kuat. Hampir luluh jantungnya, dia mengurut dada berulang kali. Terperanjat sekali diganggu sedemikian rupa. Perasaan takut menguasai apabila terbayang-bayang pelbagai bentuk kelibat menakutkan dari alam ghaib pada waktu malam begini. Anjing belaan di halaman rumah menyalak dengan galak menguatkan prasangkanya.
“Kidman!” Seseorang memanggilnya dengan keras kedengaran betul-betul di belakang.
Spontan menoleh dengan laju namun, tiada sesiapa pun. Hanya terdapat rak buku bersaiz besar diperbuat daripada kayu mahal. Belum sempat menarik nafas lega, matanya terbeliak melihat bayang-bayang hitam terbentuk di atas lantai menyerupai susuk tubuh seperti seorang wanita berhampiran pintu. Nafasnya hampir putus dan tidak mampu bernafas dengan betul sehingga tercunggap-cunggap dibuatnya.
“Kerana sebutir peluru itulah… sesuatu telah berlaku. Alahai… kau bukan sengaja! Tentu kau fikir begitu untuk menyedapkan hati sendiri… kan?”
Lelaki itu terkejut besar dengan kata-kata itu. Dengan itu, dia berasakan dia menghadapi dengan seseorang yang mengetahui rahsianya.
“Siapa kau? Keluarlah! Don’t be a coward!” ugutnya dengan nada marah apabila menyangka kediamannya sudah dicerobohi seseorang untuk menghuru-harakan hidupnya.
Dengan berhati-hati dia mencapai gunting dalam bekas kayu pensil atas meja. Matanya melilau sebelum terarah pada bayang-bayang itu. Bayang-bayang itu dianggap muslihat daripada seseorang untuk menakutkannya. Orang sebenar disangkakan bersembunyi di mana-mana ruang kosong.
Terbangun mendadak dari duduknya apabila bayang-bayang hitam bergerak mirip bayangan seorang manusia berjalan. Kini, sudah berada dekat dengannya bersama dengan hembusan angin misteri. Terasa bertiup-tiup manja di belakang tengkuk menyebabkan bulu romanya berdiri. Wangian seperti bunga menyerbu laju rongga pernafasannya. Kali pertama kejadian sedemikian berlaku setelah bertahun-tahun tinggal di situ.
Apabila tidak mendapat sebarang balasan setelah itu, barulah Kidman berani berjalan perlahan-lahan menjauhi sambil mengacu gunting ke arah bayang-bayang yang kaku seketika. Nasibnya tidak baik kerana jatuh tersandung sesuatu pada lantai lalu jatuh tersembam. Dia mengadu kesakitan. Tidak ketinggalan, bertubi-tubi kata-kata ibuian keluar dari mulutnya.
Tidak semena-mena kesakitannya diketawakan seseorang. Hilaiannya menjadi-jadi membingit telinga seolah-olah gembira dapat mempermainkan lelaki itu terus hilang sisa semangat tadi.
“Takut?” Suara berbisik kedengaran betul-betul sebelah telinga bikin merinding.
Bahunya terasa dipegang seseorang yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, sengaja mempermainkan perasaannya. Sekelip mata, bayang-bayang di lantai hilang begitu sahaja.
“Cuba fikir kenapa tiba-tiba kau teringatkan pistol itu?” Kali ini suara itu kedengaran jauh tetapi Kidman yakin, seseorang itu berada berdekatan.
Kidman tidak mampu berfikir dalam keadaan ketakutan sebegitu. Bola matanya tergerak-gerak melilau mencari kelibat suara itu. Jarinya berusaha mendapatkan gunting yang jatuh tidak jauh daripadanya. Sedaya upaya siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
“Ingat sesuatu peristiwa yang pernah berlaku kerana pistol itu?” Pertanyaan yang membuatkan Kidman terkejut. Pasti seseorang itu mengetahui rahsianya
Kidman ingin menjadi gila secara tiba-tiba, ingin sahaja menghentak kepala ke lantai bagi membolehkan mindanya memproses jawapan dengan cepat.
“Fikir jelah!” tengking suara itu menyentak keberanian Kidman, seolah-olah dapat membaca suara hatinya.
Bersama dengan suara itu, Kidman berasa sesak nafas. Ada tangan ghaib sedang mencekik lehernya dengan kuat membuatkan dia meronta-ronta minta dilepaskan. Suaranya langsung tidak keluar dari kerongkong untuk meminta pertolongan sesiapa berdekatan. Perbuatannya sia-sia kerana rumahnya sendiri jauh dari kawasan kejiranan lain.
Kudrat lelakinya tidak mampu melawan tenaga misteri itu. Dalam keadaan terkejut, dia menikam sesuatu tidak terlihat dengan gunting. Itu sahaja pemikirannya dalam keadaan mendesak itu.
“How could you!” Kedengaran suara kesakitan disertai tangisan.
Suara itu benar-benar dikenali, berlainan dengan suara tadi.
Kidman tidak berasa sesak nafas lagi. Sesuatu sudah menghentikan perbuatannya, dia terjatuh ke lantai tetapi dihambat dengan kejutan lain yang membuatkannya tergamam. Tangannya menggigil, tidak menyangka sama sekali bilah gunting dipenuhi darah. Darah siapa pula di situ?
Sedikit demi sedikit, terhijab sesuatu yang mencekiknya tadi. Air mata Kidman gugur deras tanpa dipinta kerana menguji kesedihan pula. Langsung tidak menyangka jelmaan menyerupai seseorang yang sangat dicintai sepenuh hati sehingga sanggup mati untuknya.
Susuk wanita dalam serba hitam rebah betul-betul di depannya akibat tikaman gunting, pantas Kidman menerpa mendapatkannya kemudian, meratap bagai orang kematian insan tersayang.
“No… no… not you!” Kidman tidak dapat menerima hakikat sesuatu misteri yang menganggu menyerupai wajah wanita yang sangat dikasihani. Antara mereka, ada sebuah kisah cinta yang tidak kesampaian.
“Aku dah gila… kenapa aku bunuh kau? Tolong jangan tinggalkan aku lagi!” Dengan erat, dia memeluk wanita itu.
Kali ini, dia takkan melepaskan pelukannya. Perkataan maaf diulang banyak kali supaya perbuatannya tadi akan dimaafkan wanita itu.
Wanita itu mengesat air mata berguguran dari pipi Kidman. Dalam kesakitan, bibir pucatnya mampu melakar senyuman yang kelihatan tawar.
“I love you. I really, really love you!” Kidman memegang tangan perempuan yang berada di pipinya. “Jangan tinggalkan aku,” lanjutnya lagi sambil berulang kali mencium tangan perempuan itu.
Butir-butir jernih jatuh dari tubir mata wanita itu, semakin lara hati Kidman. Kini, dia pula mengesat air mata perempuan itu dengan sepenuh perasaan.
“Betul ke?” Kedengaran seperti sindiran dalam suara menahan sakit.
Kidman mengangguk berulang kali, tidak mahu keikhlasan cintanya dipersia-siakan. Mana tahu ini kesempatan terakhir untuk menawan sepenuhnya hati wanita tersayang itu.
Tidak diduga, kukunya menjadi panjang dan tajam serta berwarna hitam pekat lalu mencengkam kuat sehingga berdarah pipi lelaki itu.
Kidman menjerit kesakitan, darah membuak-buak keluar seperti air paip mengalir. Situasi luar jangka dan bertentangan dengan logik akal menyebabkan dia terus menjerit bagai disampuk.
Perempuan itu bangkit seperti tidak mengalami apa-apa kecederaan. Dia membetul-betulkan urat leher. Riak wajah seperti orang yang hilang kewarasan akal dan mampu bertindak gila apabila dia mahu berbuat sedemikian.
Perempuan itu memandang lelaki itu dengan penuh kemarahan. Dia tidak mampu bersabar, kegilaannya memuncak. Rambut Kidman dicekak kuat sehingga terangkat bangun tubuhnya, kaki Kidman menendang-nendang.
Semakin kuat jeritannya, kesakitannya menjadi berganda-ganda!
“Kau nak tahu sesuatu?” provoknya. “Hakikatnya, aku tak mencintai kau. Sampah!” herdiknya.
Tangannya muncul sepucuk pistol Glock 42, menyerupai kepunyaan Kidman yang pernah meragut nyawa seseorang. Lelaki itu menjerit bagaikan histeri apabila sebutir peluru meluncur laju menembusi tepat pada kepalanya. Seluruh tubuhnya jatuh menggeletak di atas lantai.
Selamat tinggal dunia, fikirnya sebelum menutup mata.
Kidman membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Namun, pandangannya masih gelap. Sudahnya, teraba-raba dalam gelap mencari punca cahaya ibarat si buta kehilangan tongkat. Gelisah dibuatnya, ingin sekali menjerit sepenuh hati apabila berada dalam keadaan gelap secara tiba-tiba malahan berterusan pula dalam jangka masa yang lama.
“Aku... aku di mana? Adakah ini mimpi… suatu lagi mimpi ngeri?” soalnya dalam keadaan bingung.
Tubuhnya terpusing-pusing memerhati sekeliling, perubahan secara mendadak ibarat sedang bermimpi semasa tidur di malam hari.
Beberapa kanak-kanak berlari menghampiri dan merempuhnya sehingga hampir terjatuh. Hampir sahaja mulutnya ringan untuk mengeluarkan kata-kata kesat sebelum tersedar tempat itu mungkin bukan tempat sebenar.
Lagu Over the waves menyapa telinganya bermula daripada volume perlahan sehingga mencapai tahap ibusimum sehingga dapat didengar dengan jelas.
“Lagu ni… jika begitu,” respon Kidman, cepat tersedar di mana dirinya berada lantas, mendongak. “Fun fair? Tak mungkin!”
Gemerlapan lampu jingga meriah menerangi fun fair pada waktu malam. Euro wheel berpusing dalam kadar perlahan dengan beberapa pengunjung di dalam begitu juga Merry go round dinaiki beberapa pengunjung. Tidak ketinggalan beberapa booth permainan rancak dengan kunjungan orang ramai.
Tiba-tiba dia berasakan keadaan lengang semasa awal-awal membuka mata terus sesak dengan orang ramai membuatkan dia berasa lemas dan tenggalam dalam lautan manusia.
“Aku suka tempat ini. Lagi-lagi menaiki Euro wheel dengan orang tercinta. Meluangkan masa apabila sudah lama tidak bertemu. Tapi… tapi hari ini aku harus menyaksikan dia bersama dengan orang lain!” Suara itu lagi, kali ini empunya suara menjelmakan diri.
Kidman terkejut lagi, menggigil kerana jelmaan menyerupai wanita yang paling dicintai muncul tidak berapa jauh dari situ dalam pakaian serba hitam. Wanita itu memandang Euro wheel dengan senyuman paling manis terlakar di bibir. Masih terbayang-bayang tangannya sendiri menikam jelmaan itu dengan bilah gunting.
“Kau dah mati! Kau hanya khayalan aku saja. Tak… tak! Mungkin aku sedang bermimpi. Ya, mimpi! Aku sedang ketiduran lalu bermimpi ngeri!” bicaranya tergagap-gagap, sedaya upaya menepis kenyataan.
“Kelakarlah kau ni! Akukan sedang berdiri di depan kau. Mana mungkin aku dah mati! Bukan kau tak akan tinggalkan aku lagi? Marilah peluk aku, aku sudi!”
Tiba-tiba wanita itu sudah berdiri betul-betul di depan mata Kidman.
Kidman terundur-undur ke belakang tetapi kemudian jatuh terduduk.
Wanita itu membongkok, mendekatkan wajahnya kepada Kidman. Wajah mereka saling mendekat, Kidman tergamam antara percaya dengan tidak.
“Walaupun, kau pernah cuba nak bunuh aku di sini. Remember that?” bisik wanita itu ke telinga Kidman disertai hilaian panjang.
Berderau Kidman mendengar pengakuan itu. Terus teringat kejadian suatu malam di situ, ingatan yang sudah dipadam selama beberapa tahun kini terpapar jelas. Untuk bernafas sahaja dia tidak berani. Dahinya penuh keringat yang tidak berhenti mengalir.
“Kau…”