Bab
9
TUBUH Rafiq menggigil kerana
terkejut.Sedang dia sedap-sedap
tidur, tiba-tiba telinganya diasak oleh suara marah-marah Mak Minah di luar
biliknya. Dia terkejut lalu terbangkit secara spontan di atas katil. Keliru
sekejap fikirannya.
“Apa hallah pula ni?” Dia merungut
sendiri. Selimut ditolak ke tepi.
Dengan perasaan malas dan berat dia
duduk seketika di birai katil sambil memicit kepalanya. Perlahan-lahan dia
menghulurkan tangannya untuk mengambil jam tangan yang terletak di bawah
bantal.
“Awal lagi,” katanya sambil
merebahkan semula kepala ke atas bantal. Baru sahaja hendak terpejam semula,
telinganya menangkap bunyi-bunyi bising lagi.
“Engkau tak tahu nak bangun pagi ke? Kan aku
dah suruh engkau pergi bayar bil-bil tu?”
“Mak… petang nanti kan boleh?
Kenapa nak sibuk pagi-pagi ni?
“Dah berapa lama mak suruh bayar?
Kau tak bayar-bayar juga. Kau nak tunggu orang datang potong dulu baru kau nak
berlari ke sana?”
“Duitnya mana? Takkan nak bayar
dengan gigi saja?”
“Duit? Duit yang kakak kau hantar
bulan lepas tu mana? Satu sen pun mak tak nampak.” Perkelahian itu pun
berterusan.
Rafiq menekup mukanya dengan bantal
namun tidurnya sudah terganggu. Walau dipaksa-paksa mimpinya bersambung, namun
akhirnya dia tetap terpejam celik tanpa kesudahan.
“Teruklah kalau hari-hari macam
ni…” Dia merungut sambil terlentang di atas katil dan merenung siling. Dia
biasa tidur semula selepas bersolat Subuh di awal waktu. Oleh kerana jarak dari
situ ke tempat kerjanya cuma tak sampai 10 minit, dia bercadang untuk bangun
pada pukul 8.00 pagi. Kini rancangannya musnah dan kepalanya sakit.
Dia bangun semula dan melangkah
longlai ke muka pintu. Daun pintu dibuka sedikit dan dia menjenguk keluar untuk
melihat apa yang sedang berlaku.
Mak Minah dan Usop yang belum
habis-habis bertengkar berpaling apabila terdengar bunyi pintu bilik Rafiq
dibuka.
“Engkau pun baru bangun?” Mak Minah
menyergah sambil bercekak pinggang.
Rafiq terkedu tetapi dia tetap
mengangguk. “Apa hal ni, Mak Minah?”
Mak Minah menjeling. “Engkau tak
usah masuk campur. Ini hal aku.”
Aik? Dia pula yang kena marah?
Siapa yang ganggu siapa ni? “Bukan nak campur cuma… terkejut tadi.”
“Terkejut apa bendanya? Matahari
dah keluar dah, tak tahu nak bangun lagi? Engkau ni kerja ke tidak?”
“Kerja. Masuk pukul 9.00 pagi.” Rafiq
menjawab laju. Ibu dia di rumah pun tidak pernah berleter begitu, fikirnya.
“Eloklah tu. Jangan jadi macam si
Usop ni. Suruh cari kerja, tak mahu. Nak tidur saja yang tahu,” balas Mak Minah
seraya mengatur langkah menuruni tangga.
Rafiq pandang sahaja. Rasa-rasanya
hari tu juga dia hendak berpindah ke hotel.
*****
TEPAT sepuluh minit sebelum pukul
9.00 pagi, Rafiq sudah terpacul di bangunan Swenson Land. Setelah menandakan
kad kehadirannya dia terus naik ke pejabatnya yang hanya berselang empat buah
pintu daripada bilik Jeremy.
Pejabatnya tidak besar sangat,
hanya ada sebuah meja, tiga buah kerusi, sebuah rak panjang dengan pelbagai
dokumen dan sebuah sofa dua tempat duduk di tepi pintu. Namun mujurlah
permandangan di luar tingkapnya menghala ke jalan besar. Sekurang-kurangnya
tidak menghadap pokok sukun dan dia boleh bernafas dengan lebih lancar. Sedang
dia menghidupkan komputer di atas mejanya, terdengar ketukan di pintu.
“Masuklah,” pelawanya apabila
terpandang muka Jeremy di celah pintu yang dibuka.
Jeremy masuk sambil tersenyum. “Sorry semalam tak dapat jumpa. Kena
pergi Johor, cawangan sana ada masalah dengan pekerja.”
“Tak apa, semalam pun saya baru
tengok-tengok apa kerja saya dekat sini,” balas Rafiq. Wajah Jeremy yang
sentiasa tersenyum itu membuat paginya ceria sedikit. Ada juga perkara yang
boleh membuat dia tersenyum pada pagi itu.
“Macam mana rumah tu?”
“Okeylah.” Dia menjawab perlahan. Hendak
diadukan masalah pun bukannya Jeremy boleh buat apa-apa. “Tapi kalau boleh,
saya mahu cari rumah lain.”
Jeremy angguk. “Memang ada sebuah
rumah kosong, tapi tuan rumah dia mahu cat semula dulu. Kalau mahu, saya booking dululah untuk awak. Mungkin lagi
dua minggu boleh siap.”
“Boleh juga.”
“Kenapa dengan rumah tu? Tak
bagus?”
Rafiq menggumam. Macam mana dia
harus bercerita tentang rumah sewa yang kotor, berhabuk, hapak dan gelap? Malah
apabila dia balik kerja pada petang semalam, seluar yang dijemurnya di ampaian
telah hilang. Apabila ditanyakan kepada Mak Minah, Mak Minah kata tidak tahu-menahu.
Macam mana pula dengan pertengkaran yang selalu dengarinya pada setiap pagi dan
petang di rumah itu? Apalagi berkenaan suara halus yang menyanyikan lagu Cina
pada setiap tengah malam? Akhirnya dia hanya terkebil-kebil memandang Jeremy. Satu
apa pun tidak terluahkan.
“Dari siapa awak tahu tentang rumah
tu?” Di hatinya mula timbul persoalan.
“Dari Johan. Kita punya despatch boy. Dia tinggal areadekat situ juga.” Wajah Jeremy mula
berubah serius. “Betul kan sewanya satu ratus ringgit saja?”
Rafiq angguk. Kini dia mula faham
kenapa sewanya murah. Mungkin sebelum dia, sudah ramai penyewa yang datang
silih berganti. Siapa yang boleh bertahan lama dengan situasi seperti itu?
“Kalau Johan ada, cakap dengan dia
saya mahu jumpa.” Entah kenapa idea itu muncul di benaknya. Mungkin kerana
geram atau tidak puas hati. Terasa juga dirinya seolah-olah dipermainkan.
“Boleh, boleh. Nanti saya beritahu
staf di bawah suruh dia naik jumpa awak. Tapi kenapa? Awak macam ada masalah saja?”
Kali ini Rafiq tersenyum. Jeremy
nampaknya mahu sangat membantu dan ambil tahu. Tidak sanggup pula dia
mengecewakan kawan barunya itu. “Rumah tu memang ada masalah sikitlah, Jeremy.
Macam ada yang tak kena.”
“Tak kena macam mana? Bilik dia
sempit ke?”
Rafiq geleng. Dia belum mahu
menyebut dengan terperinci cuma dia mula berasa pelik setiap kali dia pulang ke
rumah itu. Macam masuk ke rumah hantu pun ada juga. Rumah itu ada aura yang
menyeramkan. Seolah-olah pada dinding-dindingnya ada mata yang memerhati dan
ada telinga yang mendengar.
“Bilik okey. Ada katil dengan
almari tapi di luar bilik, rumah tu macam pelik sikit.”
“Pelik? Mungkin awak tak pernah
tinggal di dalam rumah lama kut… Tentulah awak rasa pelik.”
“Mungkin juga. Rumah tu macam
muzium pun ada, semua benda-benda di dalam rumah tu barang-barang lama saja,”
katanya untuk menutup cerita.
Namun di matanya terbayang-bayang
perabot lama di beberapa sudut rumah itu, termasuklah sepasang tanduk rusa di
tepi tangga. Kalau ada orang yang jual tiket di hadapan pintu, jadilah muzium.
“Okeylah, nanti saya suruh Johan
jumpa awak.” Jeremy bangkit daripada kerusi. “Kita pergi lunchsama, saya belanja.”
Rafiq senyum tanda bersetuju.
Sebaik sahaja pintu pejabatnya tertutup semula, dia menarik nafas dalam-dalam. Mungkin
dia patut habiskan masa lebih lama di situ daripada di rumah. Hanya di situ,
dia berasa bukan seperti barang antik.