Bab
7
SETELAH berbual lebih kurang, Johan meminta diri.
Jimmy tinggal seorang diri di ruang tamu. Sedaya upaya dia cuba bersikap biasa
namun tidak berjaya. Setiap ruang yang dipandang, dinding, lantai, dan atap terasa
menyindir dirinya. Terdengar-dengar juga suara ayahnya, bagaikan bergema dari
dinding ke dinding memarahi dirinya. Makin lama makin dia terasa tidak selesa.
Rimas.
“Johan mana?” Mak Jiha masuk ke ruang tamu sambil
membetulkan hujung baju yang tersinsing ke siku sebelum itu.
“Entah,” balas Jimmy perlahan. “Tidur kut.”
Mak Jiha berhenti di hadapan pintu bilik, menyelak
sedikit kain langsir sebelum meneruskan langkah mendekati Jimmy.
“Johan solat. Kalau Aazim nak solat, masuklah ke bilik.
Nak gunakan bilik Aazim dulu pun boleh. Tapi kenalah kemas dulu. Nanti ada
pulak ular sawa tidur sekali.” Mak Jiha tersenyum. “Kalau bagitahu dulu nak
balik, boleh mak kemaskan bilik tu. Ni balik mengejut aje.”
“Tak apalah, sekejap lagi.”
Makin berserabut fikiran dia. Sungguh dia terasa
amat malu berbohong begitu. Solat? Bila kali terakhir dia bersolat pun, dia
sudah lupa. Sejadah pun dia sudah lama tidak punya. Kiblat arah ke mana pun dia
sudah lama tidak ambil tahu. Dia sepatutnya lebih bersedia sebelum pulang ke
situ. Sekurang-kurangnya baca buku panduan solat. Dia menggerutu dalam hati.
Menyesali diri.
“Kalau tak bawa kain pelikat, pinjam aje Johan
punya,” tambah Mak Jiha sambil tersenyum tenang.
“Nantilah,” balasnya dengan rasa serba salah sekali
lagi.
“Aazim… tidur sini malam ni, kan?”
Jimmy terkulat-kulat. Sebenarnya dia ingin pulang
petang nanti tetapi….
“Malam ni mak buat kenduri tahlil untuk arwah abah.
Mak tumpang kenduri pak ngah,” kata Mak Jiha lagi sambil merenung mata Jimmy.
Ah! Jiwa Jimmy makin berperang. Dia ingin balik. Dia
tidak ingin lagi berada di situ. Dia mahu pergi jauh-jauh. Dia ingin lupakan
semua itu. Tetapi akhirnya renungan mata ibunya menewaskan segala-galanya. Dia
angguk.
Mak Jiha tersenyum manis.
“Kalau macam tu, marilah kita makan dulu. Mak ada
bawa lauk dari rumah pak ngah tadi. Aazim tentu dah lama tak makan masakan
kampung kan? Ada umbut kabung masak
lemak, gulai labu kerisik yang Aazim suka dulu pun ada… marilah.” Mak Jiha
bangkit semula sambil beria-ia mengajak Jimmy.
Untuk tidak menggores hati ibunya, Jimmy ikutkan
sahaja. Namun apabila kakinya melangkah ke dapur dia tergamam di muka pintu.
Kakinya terasa tidak jejak ke lantai. Tidak dapat dielak, air matanya bergenang
melihat keadaan dapurnya rumah ibunya yang sudah hampir runtuh atapnya. Bahkan
ada lubang yang terlopong besar akibat dinding yang telah tumbang.
“Dinding tu reput, makan dek anai-anai,” kata Mak
Jiha apabila menyedari yang langkah Jimmy terhenti.
Jimmy tidak berdaya untuk bersuara. Sewaktu dia
menyuap nasi ke mulut, air matanya hampir sahaja menitik. Betapa dia sedar, dia
tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang anak.
Dia malu hatta untuk mengangkat muka.
*****
SELEPAS makan tengah hari, Jimmy mengambil keputusan
untuk berjalan-jalan di sekitar rumah. Apa yang dilihatnya, pokok-pokok buah
yang dahulunya baru ditanam kini sudah tumbuh merimbun dan boleh dipanjat.
Pokok-pokok yang dahulunya berbuah, ada yang sudah mati atau sekah dahannya.
Semua itu menyedarkan dia betapa lama dia telah meninggalkan tempat itu.
Sedang dia memijak laluan denai yang hampir tertutup
dek daun-daun lalang, dia tercium bau busuk. Makin jauh dia berjalan menghala
ke sebuah kebun getah yang sudah dipenuhi semak, makin kuat bau itu. Mungkin
ada haiwan yang mati, fikirnya. Dia terus berjalan sehinggalah masuk ke kawasan
kebun getah.
Dilihatnya ada pokok-pokok yang masih ditoreh. Sesetengah
cawan masih berisi getah skrap. Mungkin belum dikutip ibunya. Dari situ dia
tahu, keluarganya masih mengerjakan kebun getah itu yang sewaktu dahulu begitu
terang dan bersih sehingga boleh nampak paya di belakang kebun itu pada waktu
siang. Sayangnya sekarang kebun itu terlalu semak sehinggakan menutup
pandangan. Dia tidak pasti apa yang telah berlaku.
Namun, dia terus mengikut denai yang ada di situ.
Masih tercium bau haruman tanah yang subur dan lembap. Daun-daun pokok getah
yang berguguran, membentuk satu lapisan tanah yang lembut. Dia teringat sewaktu
kecilnya dia selalu menggali tanah di situ untuk mencari cacing buat umpan
mengail haruan dan keli di paya. Di situ juga tempat dia bermain sorok-sorok
dan tembak-tembak dengan bedil buluh berpelurukan buah cenderai. Bagaikan
terdengar-dengar suara kawan-kawanya ketawa dan mengejek.
Sedang leka mengenang kisah lama, semena-menanya,
pokok-pokok di sekitarnya bergoyang bagaikan diranduk angin keras. Lamunannya
terus mati. Pokok cenderai, pokok balik angin terus meliuk-liuk tanpa henti. Mahu
hujan? Ribut? Didongak ke langit, yang dilihat hanya langit gelap bagaikan mahu
hujan lebat.
Entah kenapa, hatinya jadi gementar. Bulu romanya
berdiri. Serentak dengan itu juga bau busuk menujah keras. Dia terasa seperti
ada sesuatu di situ.
Dia menoleh ke sisi kiri. Di celah-celah daun pokok
kapal terbang dia melihat sesusuk manusia sedang berdiri tegak tidak bergerak.
Dia hairan. Lalu dia cuba mejenguk. Dikuaknya daun-daun pokok yang ada,
kemudian langkahnya terus mati.
Dia terpempan. Tidak boleh bergerak.
“Bang!”
Panggilan itu membuatkan tubuhnya hilang
pertimbangan. Punggungnya terus terhentak ke atas akar pokok getah. Dia
terduduk. Kebingungan.
“Kenapa, bang?” Johan bertanya. Tubuh Jimmy dipaut
supaya bangun.
Jimmy terpinga-pinga apabila menyedari siapa di
sisinya. Dia menoleh semula ke arah tadi tetapi susuk yang menggerunkan itu
telah hilang. Lantas dia meraup mukanya yang kini sejuk bagaikan air batu. Apa
yang dia lihat tadi? Manusia? Syaitan? Hantu?
“Abang, kenapa ni?” tegur Johan sekali lagi.
“Tak ada apa.” Jimmy hanya mampu menggeleng. Hendak
diceritakan dia bimbang, Johan tidak percaya.
“Johan buat apa di sini?”
“Mak suruh cari abang. Dah rembang ni,” kata Johan.
“Marilah kita balik. Hari nak hujan ni.” Jimmy terus
melangkah pergi. Denai yang membawanya ke situ, dijejak semula. Cuma kali ini
lebih pantas. Sepantas debar di dadanya juga. Cuma apabila dia sampai ke luar
kebun getah, dia dapati cuaca cukup panas. Langit terang-benderang.
Apa yang berlaku tadi terus menjadi persoalan. Namun
wajah lelaki tua yang dilihatnya tadi masih jelas di ruang mata. Penuh ulat.
Bergelora pula perutnya.
*****
“AAZIM ke mana tadi?” tegur Mak Jiha sebaik sahaja
melihat Jimmy pulang bersama Johan. Resah hatinya melihatkan muka Jimmy agak
pucat.
“Ke belakang tu aje.”
Kini Jimmy duduk di muka pintu hadapan rumah sambil
berjuntai kaki ke atas pelantar. Rasa seram sejuk di badannya masih ada. Malah
bulu romanya sehingga saat itu masih tegak mencanak. Hendak diceritakan kepada
sesiapa, dia bukan seorang yang cengeng. Mungkin semua itu hanyalah bayangan
sahaja.
“Kebun di belakang tu dah semak sangat. Tak payahlah
pergi,” balas Mak Jiha. Sejujurnya dia rasa kurang selesa. Banyak perkara itu
di situ yang membuatkan dia rasa segan kalau dilihat orang. Lagipun mungkin
sahaja tempat itu akan mengundang bahaya.
Jimmy angguk sahaja. Cadangnya tadi hendak juga
melihat kawasan paya di belakang kebun itu. Tempat dia pernah memasang tajur
dan berperahu kalau musim tengkujuh. Sayangnya semua itu tinggal angan-angan.
Membayangkan tempat itu semula pun sudah membuatkan bulu romanya naik semula.
Terasa juga tempat itu sudah tidak sama lagi. Banyak
yang sudah berubah. Mungkin elok juga kalau dia ikut sahaja nasihat ibunya,
fikirnya.
*****
“TAKKAN abang nak pergi rumah pak ngah pakai baju
tu?” Johan menegur sewaktu Jimmy mahu melangkah keluar dari bilik dengan hanya
berbaju-T nipis. “Abang tak bawa baju Melayu?”
Dengan berat hati, Jimmy menggeleng. Manalah dia ada
baju Melayu lagi? Dia sudah tinggalkan semua tradisi yang boleh ditinggalkan.
Kehidupan barunya tidak memerlukan baju Melayu, kain pelikat, sejadah, songkok
dan segala apa yang dia pernah ada. Kehidupan baharunya mengajar dia tentang
pistol, pisau dan segala jenis kesakitan. Namun untuk menjelaskan perkara itu
tidak mungkin.
“Abang pakai baju sayalah.” Johan berpatah balik
menuju almari bajunya. Dikeluarkan sehelai baju Melayu yang agak baharu. Yang
masih tergantung pada penyangkut baju. Dihulurkan kepada Jimmy.
“Lawa sangat ni. Baju raya ke?” Jimmy cuba
berseloroh walau agak kekok.
“Tak apa, pakai ajelah. Saya dan mak pergi dulu.
Nanti abang nak keluar tu, jangan lupa kunci pintu. Lampu kat depan ni, abang
biar aje terpasang sebab jalan masuk tu gelap sangat. Abang ingat lagi
rumah pak ngah kat mana, kan?”
“Nak pergi dah ke?” Jimmy benar-benar terkejut.
“Kita pergi samalah. Naik kereta abang.”
“Mak nak pergi awal. Mak nak tolong apa yang patut
dulu. Lagipun pak ngah tak ada kat rumah. Tinggal Mak Yan, Bahiyah dan Aisha aje.”
Jawapan Johan tidak begitu meninggalkan kesan dalam
hati Jimmy. Apa yang pentingnya dia mahu ikut sekali sebab yang sebenarnya dia
sudah lupa di mana rumah pak ngah. Hendak mengaku dia malu.
“Tak apalah, kita pergi sekali.” Jimmy buat
keputusan.
Johan tersenyum.
Setibanya mereka di rumah pak ngah, mereka disambut
dengan riuh rendah. Bahiyah menerkam dan memeluk Jimmy apabila mengetahui
abangnya sudah pulang. Mak Yan tersengih-sengih di atas tangga. Manakala
seorang gadis manis pula terintai-intai dari tepi tingkap. Sekali lagi Jimmy dihimpit
rasa bersalah.