TIDAK lama selepas itu, Jimmy dan Johan tiba pula di
masjid kampung. Seperti yang diduga, kehadiran mereka berdua dengan menaiki
Honda Accord menarik perhatian kariah masjid. Semuanya terpinga-pinga dan agak
terkejut apabila melihat susuk Johan keluar dari kereta itu. Jimmy pula terasa
amat gugup.
“Ini….” Pak Salleh yang berada di situ turut
kehairanan.
“Abang Aazim, pak ngah.” Johan beria-ia menjawab.
Senyumannya lebar sampai ke telinga.
“Aazim?” Pak Salleh bertanya lagi sebelum meraih
Jimmy ke dalam pelukannya. Tubuh Jimmy dirangkul kemas sebelum kembali merenung
muka Jimmy bagaikan tidak percaya. “Balik juga kamu ya?”
Jimmy cuma tersenyum hambar. Walaupun pertanyaan itu
seperti menyindir, terpaksalah dihadapi dengan sabar.
“Lama ke balik?”
“Dua tiga hari aje. Pak ngah apa khabar?” Jimmy cuba
berlagak tenang, walhal dalam hati, rasa hendak lari sahaja dari situ dan balik
semula ke ibu kota. Berada di masjid, buat dia rasa cuak. Terasa sekujur
tubuhnya teramat kotor berada di tempat suci itu. Terasa juga tidak layak.
Malah amat gementar seperti mahu disunat kali kedua.
“Alhamdulillah. Eloklah sangat Aazim balik. Selepas
solat Isyak nanti, kita terus ke rumah pak ngah. Rasanya Johan dah beritahu,
kan?” Pak Salleh menoleh ke arah Johan.
Johan sekadar mengangguk. Sebaik sahaja terdengar
azan Maghrib dilaungkan bilal masjid, Pak Salleh segera meminta diri.
“Johan pergilah dulu ya.” Jimmy memegang perutnya.
“Abang nak ke tandas.”
Pada mulanya Johan hanya terkebil-kebil melihat
gelagat Jimmy, kemudian dia melangkah juga ke dalam ruang solat lelaki.
Di dalam tandas, Jimmy menuju ke sinki. Paip air
dibuka. Air ditadah dengan kedua belah tangan lalu disapukan ke muka. Dibiarkan
air itu melurut jatuh sendiri sehingga mukanya agak kering. Kemudian dia
merenung wajahnya di cermin yang retak dua. Dia seperti melihat wajahnya yang
asing. Wajah penuh pura-pura. Namun dia tidak punya pilihan. Dialah manusia dua
nama, dua jiwa.
Setelah rasa cukup lama di situ, Jimmy bergegas ke
ruang solat. Sewaktu tapak kakinya menyentuh permaidani, terasa sejuk menjalar hingga
ke tulang som-som. Pada waktu itu jemaah sedang mengangkat takbir rakaat kedua.
Dia terus masuk ke saf yang terakhir. Mengikut sahaja apa yang patut sehingga
selesai. Namun semuanya tidak semudah itu.
Masa terus berlalu. Ternyata sepanjang tempoh antara
waktu Maghrib dan waktu Isyak adalah waktu yang paling lama bagi diri Jimmy. Setiap
alunan surah yang dibaca, setiap patah penerangan yang disebut tok imam seperti
api kecil yang membakar tubuhnya. Dia rasa panas dan gementar. Mujurlah tempoh
penderaan itu berakhir juga.
“Jemput ke rumah.” Suara Pak Salleh kedengaran. Pada
waktu itu jemaah masjid sudah beransur-ansur meninggalkan ruang solat.
Jimmy dan Johan yang sudah menanti di tangga masjid
hanya memerhati jemaah yang beransur pergi.
“Pak ngah datang naik apa tadi? Kalau jalan kaki,
marilah naik sekali dengan kami.” Jimmy terus mempelawa. Kalau boleh, dia mahu
segala-galanya berakhir dengan cepat. Jiwanya sudah penat berlakon seperti
orang baik-baik di situ.
“Kamu berdua pergilah dulu. Pak ngah naik motor
tadi.” Pak Salleh tunjukkan sebuah motor yang diparkir tidak jauh dari tempat
berwuduk.
Dengan jawapan itu, Jimmy meminta diri untuk beredar
dahulu. Bagaikan terlepas dari ikatan, dia cepat-cepat meninggalkan kawasan
masjid. Namun di pintu masjid keretanya berselisih dengan sebuah kereta
Mercedes.
*****
PAK SALLEH terkocoh-kocoh menyarung selipar.
Sungguhpun majlis tahlil yang dibuat di rumahnya itu hanyalah majlis yang kecil
namun kerisauan tetap ada. Dia mahu pulang cepat untuk menguruskan apa yang
perlu.
“Jomlah kita,” katanya kepada tok siak yang masih
sibuk ke hulu ke hilir menutup pintu masjid.
Baru tok siak melangkah dua tapak, mereka berdua
sama-sama tertegun melihat siapa yang datang. Tok siak lantas memberi salam.
Salamnya bersambut.
“Lama tak balik?” tegur Pak Salleh pula. Dia kenal
lelaki itu.
Pak Daud tersengih lebar. “Aku datang ni nak
menjemput orang kampung ke rumah aku tiga hari lagi.”
“Nak buat kenduri kahwin ke?” tanya tok siak. Pak
Salleh juga mengangguk.
“Bukan kenduri kahwin. Tapi kenduri untuk anak
saudara aku, si Farish.”
“Kalau bukan kenduri kahwin, kenduri apa pulak?”
tanya Pak Salleh. Keliru sungguh fikirannya.
“Anak saudara aku tu akan dilantik jadi ketua kampung.
Menggantikan arwah Dr. Rafar.” Pak Daud tersenyum bangga.
Pak Salleh dan tok siak sama-sama terdiam.
“Tolonglah hebahkan ya? Aku wakilkan kamu berdua
untuk menjemput orang kampung. Jangan lupa pulak. Nanti mereka kata pulak aku
tak mengajak.” Panjang bicara Pak Daud sambil tangannya menghulurkan sekeping
kad jemputan. Siap beralamat dan berpeta tidak ubah seperti jemputan kenduri
kahwin.
Belum sempat Pak Salleh mahu membuka mulut, Pak Daud
sudah tergesa-gesa meminta diri.
“Daud,” tegur Pak Salleh sambil mengejar. Dia
teragak-agak tetapi kalau tidak diluahkan terasa terbuku pula dalam dada.
Apabila Daud berhenti melangkah, dia menyambung, “Engkau dah fikir habis-habis
ke?”
“Fikir pasal apa?” Pak Daud renung muka Pak Salleh.
“Pasal anak saudara kau jadi ketua tu.”
“Apa kena-mengena dengan anak saudara aku pulak?”
Suara Pak Daud mula meninggi.
“Aku tak bantah kalau anak saudara kau tu nak jadi
ketua kampung ni.Tapi kau pun tahu, macam mana adat perlantikan tu akan dibuat.
Kalau boleh aku minta, jauhkanlah adat-adat atau upacara yang khurafat tu.
Jangan mendekati syirik. Buat aje apa yang perlu.”
Dahi Pak Daud langsung berkerut. Matanya bagaikan
mahu tersembul keluar. Timbul urat di dahinya kiri dan kanan.
“Itulah orang kita. Pantang nampak orang lain lebih
sikit, mulalah nak kata macam-macam. Khurafatlah. Syiriklah. Dengki tak
habis-habis!” Dia menggeleng dan lantas masuk ke dalam kereta. Tidak lama
kemudian, keretanya meluncur laju meninggalkan tempat itu.
“Tak apalah,
Salleh. Kamu dah berusaha. Moga-moga dibukakan Tuhan mata dia sebelum
terlambat.” Tok siak tepuk bahu Pak Salleh dengan lembut. Dia padamkan
lampu-lampu di sekitar masjid, tinggal yang menerangi tangga sahaja.
Pak Salleh hanya mampu menarik nafas panjang.
*****
BEBERAPA minit kemudian, Jimmy dan Johan sampai
semula di rumah Pak Salleh yang diterangi lampu yang menerangi halaman. Tidak
jauh di belakang mereka, Pak Salleh menunggang motorsikalnya sambil membawa tok
siak. Ada dua orang lain menyusuli mereka termasuk tok imam dengan menaiki motorsikal
masing-masing.
“Naiklah,” pelawa Mak Yan sambil membetulkan letak
tikar. Di sampingnya berdiri Mak Jiha.
Johan mencuit lengan Jimmy. Sambil beriringan mereka
berdua naik ke atas rumah. Sebaik sahaja masuk ke rumah pak ngah, Jimmy memilih
untuk duduk bersila di atas tikar mengkuang di tepi dinding berdekatan tingkap.
Tidak lama kemudian, pak ngah masuk bersama ahli kariah masjid. Jimmy
membilang, kesemuanya tidak sampai pun dua puluh orang termasuk dirinya. Dia
agak terkejut dan resah. Janganlah pak ngah menyuruhnya apa-apa, fikirnya. Mahu
dia betul-betul sakit perut nanti.
Setelah menunggu beberapa ketika, tok imam memulakan
majlis tahlil. Jimmy diam sahaja. Dalam hatinya hanya berharap agar majlis itu
cepat tamat supaya dia boleh makan dan balik tidur sahaja. Lagipun bau
lauk-pauk di dapur, sudah menggoda rasa laparnya. Cuma ada ketikanya, suasana
menjadi hening. Mahu atau tidak, dia tetap teringatkan ayahnya yang telah
tiada. Hatinya sayu.
“Jom, bang!” ajak Johan sebaik sahaja doa selesai
dibacakan tok imam. Kini tibalah masanya untuk mereka menjamah hidangan.
Jimmy segera faham. Dengan langkah bersahaja, dia
menurut langkah Johan ke belakang untuk mengangkat dulang. Biasanya begitulah
kebiasaan di situ. Sama-sama menghidang. Sama-sama juga menjamah apa yang ada. Namun
sebaik sahaja dia cuba menuruni tangga, kakinya tersilap pijak. Terus terjerlus
ke celah anak tangga.
Dia terjatuh tiga anak tangga dan melanggar seorang
gadis yang mengangkat air minuman.
Dulang gadis itu terbalik.
Prang! Kedua-duanya jatuh bertindihan. Kuyup.
*****
DALAM keadaan terpinga-pinga dan sakit, Jimmy sempat
menyapu mukanya yang basah bersimbah air teh. Walaupun dia biasa dipukul bantai
sewaktu berlatih Muay Thai tetapi apabila disimbah air teh ke muka dan leher,
terasa juga panasnya. Mujur dia dapat mengawal rasa marahnya. Kalau tidak sudah
dibaling dulang itu ke muka gadis tadi.
“Kenapa tak pandang betul-betul ni?” Mak Jiha
bertanya. Keadaan di situ menjadi kalut kerana semua orang tertumpu ke situ.
Tok imam sendiri datang menjenguk. Pak Salleh pula berlari bertanyakan hal.
Suara ibunya membuatkan Jimmy tersedar di mana dia
berada. Apalah malangnya nasib dia hari tu? Tak pasal-pasal mandi dengan air
teh, hatinya jengkel bercampur malu. Apatah lagi apabila menjadi tumpuan dalam
insiden yang memalukan itu.
“Aisha tak apa-apa ke? Melecur tak?” Mak Jiha sibuk
pula melihat gadis yang dilanggar Jimmy tadi.
Gadis yang dipanggil Aisha hanya menggeleng sebelum
menundukkan muka. Kemudian segera berlari masuk ke bilik. Bahiyah yang turut
memandang sejak tadi terus berlari mengejar Aisha yang menghilang di balik
pintu.
“Tak apalah. Bukan sengaja,” kata Mak Yan sambil
menghulurkan kain lap kepada Jimmy.
Johan pula mengangkat Jimmy bangun sayangnya Jimmy
tidak boleh berdiri betul. Buku lalinya terkehel dan mula berdenyut. Dia
berdencit-dencit.
“Terseliuh?” Mak Jiha terperanjat.
Jimmy hanya mampu berkerut apabila buku lalinya
berasa kebas dan panas. Sungguh kejadian itu di luar jangkaannya. Dia jadi
buntu seketika memikirkan apa yang akan berlaku selepas itu.
“Duduk dulu.” Mak Jiha tarik lengan Jimmy. “Johan
kamu tolong mak ngah angkat dulang ya. Mak nak tengokkan abang ni sekejap.”
Johan terus beredar.
“Kamu duduk sini dulu. Jangan bergerak,” arah Mak
Jiha lagi. Kemudian turut sibuk membantu Mak Yan dan Johan. Aisha dan Bahiyah
pula terus tidak keluar dari bilik.
Jimmy tidak ada pilihan. Hendak ke mana-mana pun
sudah sukar. Akhirnya dia duduk sahaja di atas tangga tanpa dapat berbuat
apa-apa. Dia cuma berharap kakinya tidak bengkak teruk kerana dia sudah
memutuskan akan balik sahaja esok. Dia tidak boleh bertahan lama lagi di situ.
Semua keadaan di situ membuatnya rasa rimas dan tidak tentu arah. Apatah lagi
dengan kelembutan mereka yang berada di sekelilingnya. Dia rasa terseksa.
Walaupun begitu, kakinya seperti tidak mahu
berkompromi. Makin lama makin bengkak dan makin sakit.
“Makan di atas tangga ajelah nampaknya ya?” Mak Jiha
tersenyum lebar. Disuakan sepinggan nasi yang berisikan beberapa jenis lauk
buat Jimmy. Dia layan Jimmy makan sehingga selesai.
Jimmy makin rasa bersalah.
*****
KIRA-KIRA pada pukul 11.00 malam, mereka mula mahu
beransur meninggalkan rumah Pak Salleh.
“Boleh ke tu, Johan?” Pak Salleh bertanya dari luar
kereta. Riak wajahnya cuak sahaja melihat Johan berada di tempat memandu.
“Kalau tak boleh, biar pak ngah yang bawa.”
“Boleh,” balas Johan sebelum menghidupkan kereta
Jimmy. Oleh kerana Jimmy tidak boleh menggunakan kakinya, Johanlah yang
terpaksa memandu kereta Jimmy. Dia yakin, dia boleh.
Jimmy di sebelah diam sahaja. Walaupun berkali-kali Pak
Salleh dan Mak Yan meminta maaf darinya namun bagi dia bukanlah salah Aisha. Mungkin
salah dirinya sendiri yang cuai. Namun dia tahu sudah begitu adat orang
berbahasa, kalau ada salah sedikit mudah terasa bertanggungjawab. Bahkan bagi
dia, dialah yang sepatutnya meminta maaf kepada Aisha.
“Baik-baik, Johan.” Mak Jiha pula bersuara.
“Abang Johan boleh bawa tu, mak. Kan dia dah biasa
bawa lori?” Bahiyah yang duduk di kerusi belakang bersama Mak Jiha pula
menyampuk.
“Itu lori… ini kereta. Mana sama?” balas Mak Jiha.
Johan yang mendengar hanya tersengih. Kereta
diundurkan sebelum bergerak meninggalkan rumah Pak Salleh. Kesemua yang ada di
dalam kereta itu menarik nafas lega dan tidak banyak bercakap lagi kecuali
Bahiyah.
“Bang, lama ke abang balik?” Bahiyah bertanya.
“Kalau lama… bolehlah bawa kami jalan-jalan. Bahiyah dah lama tak pergi bandar.
Esok kan ada pekan sehari dekat bandar? Bolehlah kita pergi. Ajak Kak Aisha
sekali.”
“Hisy! Kamu ni,” tegur Mak Jiha sambil menepuk peha
Bahiyah.
Bahiyah hanya ketawa mengekek.
“Macam mana nak jalan? Kaki abang dah macam ni,”
balas Jimmy main-main. Walaupun sesungguhnya kata-kata Bahiyah itu telah menghimpun
rasa sayu dalam hatinya.
“Mak kan pandai urut? Nanti mak urutkanlah,” balas
Bahiyah.
Jimmy hanya tersenyum nipis. Dia terlupa, ibunya
memang pandai mengurut orang. Dengan itu dia berharap kakinya cepat sembuh. Dia
mahu balik ke kota dengan segera. Makin lama di situ hatinya makin rapuh.
*****
SETELAH keluarga Jimmy meninggalkan rumah, Pak
Salleh mahu menghantar tok siak pula balik ke rumah.
“Kunci pintu. Tutup semua tingkap. Lampu depan ni
jangan tutup.” Macam-macam yang dipesan Pak Salleh kepada Mak Yan sebelum
pergi. Mahu atau tidak, dia tetap berasa risau dengan keselamatan keluarganya.
Setelah itu baru dia meninggalkan halaman rumah
bersama tok siak. Motorsikal dipandu perlahan membelah malam yang agak cerah.
Bulan hampir mengambang penuh. Setelah lebih kurang sepuluh minit, baru mereka
sampai ke rumah tok siak yang gelap gelita.
“Kenapa gelap sangat ni?” tegur Pak Salleh. Dia
sedia maklum tok siak tinggal seorang diri di situ lantaran isteri tok siak
telah meninggal lama dahulu. Cuma apabila melihatkan rumah yang sebegitu gelap,
berdebar juga dadanya.
“Lupa nak pasang lampu.” Tok siak naik ke tangga
rumah dan membuka pintu. Kemudian dia masuk ke dalam mencari suis lampu.
Setelah itu dia berpatah balik ke tangga. “Terima kasihlah sebab menghantar
tadi.”
Pak Salleh angguk sahaja. Selepas menghidupkan
semula enjin motorsikal, dia terus meninggalkan halaman rumah tok siak. Kali
ini dia memecut lebih laju untuk cepat sampai ke rumah.Namun di pertengahan
jalan, dia terpaksa menekan brek apabila lampunya tersuluh sesuatu yang ganjil.
Siapa pulak yang berjalan sorang-sorang dalam gelap
ni? Dahlah tak bawa lampu, rungutnya dalam hati. Namun begitu motorsikalnya
semakin hampir mendekati lelaki itu dari belakang.
“Nak ke…” Sebaik sahaja menoleh ke arah lelaki itu,
Pak Salleh tidak jadi menghabiskan pertanyaannya. Sedar-sedar sahajanya dadanya
sudah sakit. Dia pun memerah minyak dan memecut laju balik ke rumah.
Setibanya di rumah, dia terus masuk dan mengunci
pintu rapat-rapat. Sepatah kata pun tidak diceritakan kepada isterinya. Dia
langsung terbaring di ruang tamu. Puas dia membaca surah demi surah untuk menenangkan
perasaan dan melupakan apa yang dia lihat tadi. Dia sedar, malam itu dia pula
yang terkena.