BEBERAPA minit kemudian, mereka berempat selamat
sampai ke rumah semula. Setelah mengunci kereta, Johan memimpin Jimmy naik ke
atas rumah sementara Mak Jiha membentang tikar di ruang tamu.
“Ambilkan bantal untuk abang,” pinta Mak Jiha kepada
Bahiyah. Di tangannya sudah ada sebotol minyak urut.
Bahiyah segera menghilang sebelum datang semula
bersama sebiji bantal kekabu. Diserahkan kepada ibunya.
Setelah Jimmy duduk selesa di atas tikar, Mak Jiha
mula menyapu minyak pada kaki Jimmy yang mula membengkak. Risau hatinya dengan
apa yang telah berlaku. Sudahlah balik sekali-sekala, sakit pula.
“Kalau mak letih, tak payahlah urut dulu. Esoklah
urut,” tegur Jimmy. Pilu hatinya melihat ibunya begitu bersungguh-sungguh
menyapu minyak pada buku lalinya. Terasa dia hanya menambahkan beban.
“Tak apalah. Bukannya letih sangat. Sapu minyak aje.
Nak urut sangat pun tak boleh lagi, tengah bengkak,” balas Mak Jiha dengan
tenang. Dia masih asyik melumurkan minyak. Sendu hatinya melihat keadaan Jimmy.
“Mak,” panggil Jimmy. Apabila ibunya mengangkat
muka, dia bertanya, “Kenapa yang datang kenduri tadi sikit sangat orangnya? Yang
datang solat di masjid tadi pun dah tak ramai macam dulu. Ke mana orang kampung
ni pergi?”
Sehabis berkata-kata, Jimmy mula perasan. Sejak dia
memasuki kawasan Kampung Silak Tua, jalan rayanya agak lengang. Tidak seperti
dahulu, jalan raya sentiasa sibuk. Ada sahaja kenderaan di situ. Malam itu,
hendak mendengar bunyi motorsikal pun payah.
Pertanyaan Jimmy tidak terus dijawab. Mak Jiha
mengeluh pendek.
“Saya dengar… orang kampung kita ni dah ramai
berpindah. Betul ke, mak?” Dia bertanya lagi apabila teringatkan kata-kata pak
cik yang menjual cendul pulut di bandar. Mungkinkah khabar itu benar?
Kali ini pertanyaannya berjaya membuatkan ibunya
mengangkat muka. “Dari mana kamu dengar?”
“Sebelum balik ke sini, saya singgah minum di
bandar. Ada yang beritahu kononnya orang kampung ni dah ramai yang jual tanah
dan berpindah,” jawabnya.
Mak Jiha tutup botol minyak urut lalu diletakkan di
tepi dinding. Kemudian menarik nafas dengan tenang. Mungkin Jimmy harus tahu
keadaan yang sebenar.
“Kampung ni dah tak macam dulu lagi,” katanya
perlahan. “Dah ramai yang pindah. Dah ramai yang jual tanah. Sebab itulah
masjid makin kosong. Kalau ada kenduri kendara pun, mereka lebih suka buat di
bandar. Guna dewan.”
“Kenapa sampai macam tu sekali? Dulu kampung ni okey
aje,” Jimmy pandang muka ibunya lama-lama. Walaupun muka itu sudah berkedut
halus namun wajahnya tetap sama. Setiap kali matanya memandang, hatinya tenang.
“Macam-macam hal,” balas Mak Jiha sebelum termenung
jauh.
“Contohnya?”
“Tidurlah dulu. Kamu tu pun mesti letih berjalan
jauh,” balas Mak Jiha sebelum mengangkat punggung.
Jimmy tercengang. Tidak disangka ibunya tidak mahu
menjawab persoalan itu. Dia mula rasa tidak puas hati dan marah. Hendak
bertanya ibunya sudah menjauh. Lagipun ibunya mungkin penat.
“Aazim,” panggil ibunya yang semena-mena berpaling
semula ke arahnya.
“Ya, mak?”
“Kalau… kalau dengar bunyi apa-apa… jangan buka
pintu ya? Buat tak tahu aje.” Sehabis meninggalkan pesan Mak Jiha terus
beredar.
Bunyi? Bunyi apa? Jimmy tinggal tertanya-tanya.
Namun kerana keletihan, dia terlelap juga sehinggalah dia terdengar bunyi sesuatu
di luar rumah.
*****
MATA Jimmy terbuka luas. Latihan keras yang
diterimanya selama ini menjadikan dia peka kepada bunyi dan pergerakan.
Nafasnya ditahan. Bunyi yang didengar itu makin lama makin kuat dan jelas.
Seolah-olah di tepi kepalanya sahaja.
Dia memasang telinga lagi. Terdengar seperti ada
sesuatu memijak tanah di sekeliling rumahnya. Bunyi nafas yang
termengah-mengah. Bunyi seperti haiwan yang menderam marah. Akhirnya terdengar bunyi
cakaran pada dinding rumahnya. Panjang dan menyakitkan telinga.
Jimmy mengeraskan diri. Anak matanya membesar dalam
cahaya yang samar-samar. Pendengarannya ditajamkan. Dia mengamati. Ada
pergerakan di luar pintu rumahnya. Semena-mena…
Krak! Krik! Krak! Seperti ada sesuatu yang sedang memijak
atap rumah.
Matanya terus melotot ke atas. Semena-mena juga
bunyi itu hilang. Diganti bunyi cakaran pada dinding dekat dengan tempat
tidurnya. Dadanya berdebar kuat. Sedang leka mengamati, dia terlihat sesusuk
tubuh berjalan ke arahnya. Tinggi dan hitam.
Tanpa berfikir panjang, satu libasan dihayunkan
dengan kaki kiri tepat ke lutut. Tubuh itu jatuh tersungkur ke lantai bersama bunyi
yang bising dan jeritan yang nyaring.
“Johan!” balas Jimmy. Langsung dia duduk. Sungguh
dia tidak menyangka yang dilibasnya itu adalah adiknya, Johan. “Maafkan, abang.
Abang tak sengaja.”
“Aduh….” Johan merengek sambil memegang lutut.
Lantas, kekecohan di situ mengejutkan seisi rumah.
Mak Jiha dan Bahiyah berkejar ke situ.
****
RUANG tamu
kini diterangi simbahan cahaya dari lampu dapur yang sampai ke situ. Walaupun
tidak terang namun cukup untuk Jimmy melihat wajah ibu dan adik-adiknya yang
sedang duduk rapat-rapat. Mujurlah pada waktu itu, bunyi yang mengganggu tadi
sudah berhenti. Tinggal bunyi ayam-ayam di atas pokok yang mengelepar bagai
diterkam sesuatu. Jimmy makin keliru.
“Itulah sebabnya kenapa ramai yang berpindah.”
Semena-menanya Mak Jiha bersuara. Lutut Johan disapu minyak dan diurut-urut.
Nampaknya dia tidak dapat menyorokkan lagi hal itu daripada Jimmy.
“Aduh!” Johan berkerut muka menahan sakit.
Mata Jimmy terkelip-kelip. Otaknya belum dapat
memahami apa-apa. Sesekali menjeling Johan dengan rasa penuh simpati. Dia tahu
libasan kakinya kuat dan padu tetapi dia tidak sengaja. Dia benar-benar
terperanjat tadi.
“Sudah lama perkara ni berlaku. Arwah abah kamu pun
dah tak tahu nak buat apa,” sambung Mak Jiha. “Tapi sekarang makin teruk.
Setiap malam pulak benda tu datang ke sini.”
Johan berkerut dahi. Bahiyah pula memeluk rapat
lengan Mak Jiha.
Anak mata Jimmy melirik ke arah ketiga-tiga orang
yang sedang berada di hadapannya. Wajah muram ibunya, Johan dan Bahiyah seperti
menyatakan keresahan hati yang dalam. Ketakutan dan kebimbangan. Tetapi apa
yang berlaku di situ?
“Sejak bila?”
“Sejak Dr. Rafar meninggal. Tapi sebelum tu pun
selalu dengar cuma tidak seteruk sekarang.”
“Benda apa tu, mak?” Jimmy masih kurang jelas.
“Entahlah benda apa. Tapi rasanya pak ngah dan arwah
abah kamu tahu pasal tu. Cuma mereka tak nak berkongsi dengan kami. Mungkin tak
nak kami takut. Tapi sekarang… nampaknya tak boleh dibiarkan lagi. Makin
menjadi-jadi.”
“Makin menjadi-jadi?”
“Selepas arwah abah meninggal,” jawab Johan. “Sebelum
ni kami hanya dengar cerita orang kampung. Tapi selepas abah tak ada ni, hampir
setiap malam benda tu datang ke sini. Entah apa yang dicarinya.”
“Kenapa mak tak berpindah aje dari sini? Jual tanah
ni, beli rumah baru,” kata Jimmy. Baru dia sedar kampungnya yang dahulu permai
kini sudah berubah wajah. Keluarganya sahaja yang tidak mahu menyesuaikan diri
dengan perubahan.
“Arwah abah tak benarkan.” Johan menjawab laju.
Bahiyah di sisinya mengangguk. Mak Jiha pula tertunduk menekur lantai.
“Tapi abah dah tak ada,” balas Jimmy. Dia rasa
keputusan ayahnya itu tidak adil. Sangat mementingkan diri.
“Memang abah dah tak ada tapi…” Johan menjawab lagi.
“Tapi apa?” Jimmy tidak puas hati.
“Sebab abah kata… mungkin satu hari nanti abang akan
balik.” Johan pandang lama muka Jimmy. Kini,
suasana dini hari itu menjadi begitu hening. Semua orang terdiam. Hatta cicak
di atas para pun tidak lagi berbunyi.
Jimmy pula rasa terpukul. Lama dia tergamam. Berat
untuk mengangkat muka. “Tiap-tiap malam ke macam ni?”
Hati yang tersentuh dipujuk cepat. Kesedihan yang
dirasa cuba dikuis jauh. Apa pun kata ayahnya, dia masih belum dapat memaafkan orang
tua itu. Kerana orang tua itulah, dia terpaksa merantau dan menjalani kehidupan
yang perit selama bertahun-tahun.
Dia pernah meminta sedekah. Dia pernah mencuri. Dia
pernah makan nasi basi. Semua kerana ayahnya. Malah dia menyertai Kumpulan
Wuntai hanyalah kerana untuk menyelamatkan diri.
Tanpa sokongan sesiapa, dia mungkin sudah lama tidak
bernyawa. Kota batu itu ada sisinya yang liar. Yang hitam. Yang kejam. Yang
tidak pernah dilihat sesetengah orang kecuali manusia seperti dia.
“Setiap malam selepas arwah abah kamu tak ada.” Mak
Jiha yang menjawab pertanyaan Jimmy. Lega sedikit jiwanya kerana telah dapat
berkongsi masalah itu. Walau sejujurnya dia tidak mengharapkan apa-apa.
“Kalau abang nak tahu lebih lanjut, cuba abang tanya
pak ngah esok,” kata Johan pula sambil memandang wajah Jimmy.
Jimmy tersenyum kelat.
“Marilah kita tidur dulu. Dah nak pagi ni. Esok
Bahiyah sekolah, kan?” balasnya. Dia tidak mahu menjanjikan apa-apa. Kepalanya
juga sudah pening dengan pelbagai masalah di situ. Lepas satu, satu pula yang
keluar.
“Kita tidur ajelah di sini ramai-ramai,” balas
Johan.
Jimmy tidak menolak. Lalu pada malam itu, mereka berempat
tidur berdekatan setelah 15 tahun terpisah. Sayangnya sehinggalah ayam jantan
mula berkokok, Jimmy masih terkelip-kelip. Sedikit demi sedikit perasaannya
tewas. Wajah ayahnya terbayang di ruang mata. Sejujurnya dia tidak sangka,
ayahnya menunggu dia pulang. Sedang dia leka melayan perasaan, dia terasa
tubuhnya dihimpit sesuatu.
Bahagian belakangnya terasa lebih hangat. Tengkuknya
terasa disentuh sesuatu yang lembut dan dingin. Terdengar juga bunyi orang tua
yang sedang payah menarik nafas. Hidungnya terus mencium bau busuk, masam dan
bau darah yang hanyir.
Dia bingkas menoleh. Dalam samar-samar, dia melihat
seorang lelaki tua yang tidak berwajah, sedang berbaring di sebelahnya.
Spontan dia bangun lalu terlanggar ibunya.
“Kenapa Aazim?” Mak Jiha bingkas duduk dengan mata
yang kuyu.
Jimmy menjeling ke tempat tidurnya namun lelaki aneh
itu telah hilang. Tegak bulu romanya. Seram sejuk rasa badannya.
“Tak ada apa, mak,” balasnya sambil tersenyum pahit.
Selepas itu dia tidur duduk bersandarkan dinding di sebelah Bahiyah. Sekarang
dia mengakui, keadaan di kampung itu sudah berbeza.
******
SEMENTARA itu Ijam baru sampai ke jalan masuk ke
Kampung Silak Tua. Disebabkan keretanya tiba-tiba sahaja naik suhunya di lebuh
raya terpaksalah, dia berhenti agak lama. Mujurlah di hentian tol, ada mekanik
yang datang membantu membetulkan kipas radiator yang tidak berfungsi. Akibatnya
dia terlewat sampai ke kampung walaupun malam itu dia sepatutnya ke rumah Pak
Salleh.
Jam dikerling sekilas. Mata sudah terasa kesat. Namun
tempat yang dituju masih belum dilihat. Sesekali dia menghempas nafas yang
berat. Namun sempat juga dia melontar pandangan ke arah rumah Pak Salleh yang
sudah pun bertutup rapat.
Dia percaya kenduri tahlil sudah lama selesai. Tidak
ada rezeki dia malam itu untuk menjamah hidangan Mak Yan dan menatap wajah
Aisha yang manis. Sedang leka membayangkan wajah Aisha, dia terasa keretanya
bergegar sedikit. Kemudian mula terasa berat. Bergerak pun agak perlahan walau
minyak ditekan seperti biasa.
“Rosak apa pulak ni?”
Nafasnya mula sesak memikirkan pelbagai kemungkinan.
Tetapi yang anehnya dia tidak mendengar bunyi-bunyi yang pelik atau melihat
apa-apa tanda kerosakan yang nyata. Cuma terasa seperti membawa beban yang
bertan beratnya. Keretanya seperti merangkak-rangkak di atas jalan raya.
Oleh kerana tidak ada pilihan, dia teruskan juga
pemanduan tanpa ada keberanian untuk berhenti dan memeriksa. Apa-apa pun biarlah
di rumah nanti, fikirnya. Dia pun teruslah memandu perlahan-lahan sehingga
sampai ke halaman rumah.
Setelah mematikan enjin, dia mengambil beg baju yang
diletakkan di atas kerusi penumpang di sebelahnya. Entah bagaimana dia
terpandang ke cermin pandang belakang, barulah dia sedar apa yang berlaku.
Sejuk mukanya.
Tanpa menunggu lagi, dia buka pintu kereta dan
berlari ke muka pintu rumah. Diketuk bertalu-talu sambil tercungap-cungap
mengatur nafas. Sebaik sahaja pintu rumahnya dibuka ibunya, dia terus menerpa
masuk.
“Kenapa? Macam dikejar hantu aje?” Ibunya
terkulat-kulat melihat Ijam yang ketakutan.
Ijam tidak menjawab apa. Dia berharap walau apa
benda pun yang begitu ramai menumpang di atas keretanya tadi sudah pergi jauh.
Sekarang baru dia tahu kenapa keretanya berat. Rupa-rupanya ada penumpang tidak
berkepala.