Kampung Silak Tua
SEBAIK sahaja keretanya masuk ke simpang yang
menghala ke kampungnya, semena-mena dadanya terasa senak. Degupan jantung
melaju tidak tentu hala. Nafas tertahan-tahan. Keretanya juga terasa berat
bagaikan dihempap sesuatu. Dia mula rasa tidak sedap hati dan teragak-agak.
Jimmy menelan air liur. Berhadapan dengan samseng
jalanan pun tidak secemas itu, fikirnya. Sedikit kalut. Minyak ditekan,
keretanya masih bergerak perlahan. Namun akhirnya dia sampai juga di hadapan
pagar rumahnya yang sudah tidak berpintu.
Dengan tarikan nafas yang berat dia teruskan
pemanduan perlahan-lahan. Keretanya mula menyusuri jalan kecil yang tidak
bertar menuju ke halaman rumahnya. Dari jarak sepuluh meter, dia dapat melihat
semula rumah yang pernah ditinggalkan dahulu.
Rumah itu tidak jauh berubah. Bentuk masih sama. Cat
masih sama. Sayangnya sewaktu dia tiba, pintu hadapan dan tingkap-tingkapnya
bertutup rapat. Dia mula tertanya-tanya. Mungkinkah ibu dan adik-adiknya memang
benar telah meninggalkan tempat itu?
Enjin kereta dimatikan. Dia buka pintu kereta dan melangkah
keluar dengan perlahan. Tapak kasutnya terus disambut tanah becak. Melihatkan
tanah basah di serata tempat, dia percaya hujan telah turun di situ beberapa
waktu yang lalu. Walaupun pada waktu itu langit sedang terang.
“Assalamualaikum!” Dia melaung di hadapan pintu
rumah yang masih bertutup. Manalah tahu kalau-kalau ibu dan adik-adiknya sedang
berada di dapur. “Assalamualaikum!”
Sesaat demi sesaat berlalu. Masih tiada sebarang
bunyi mahupun jawapan yang didengarinya. Dia menarik nafas panjang, kemudian
mengambil keputusan untuk menjenguk pintu dapur yang berada di sebelah kiri
rumah. Baru sahaja memulakan langkah, terasa bulu tengkuknya meremang.
Dia menoleh ke belakang. Terasa seperti ada sesuatu
menyentuh lehernya pula. Dia menepis tetapi tidak ada apa-apa. Aneh. Sedang
terfikir-fikir apa yang harus dibuat, dia terdengar bunyi deruman enjin
motorsikal menuju ke arah rumahnya. Dia terus menoleh.
*****
TIDAK JAUH jauh dari jalan masuk rumahnya, dia
terlihat seorang pemuda sedang membonceng seorang perempuan tua. Kedua-duanya
juga terpinga-pinga melihat dia dan keretanya yang diparkir di tengah halaman.
Jantungnya makin laju. Sesekali terasa hendak pitam.
Untuk beberapa detik, Jimmy dan dua orang yang
berdiri di hadapannya sama-sama terdiam dan tidak bergerak. Masing-masing
terpaku dengan mata yang tidak berkelip.
“Mak!”
Jimmy meluru ke arah ibunya, Mak Jiha. Diraihkan
kedua belah tangan, dicium dan dipeluk tubuh tua itu dengan sepenuh perasaan
rindu dan sedih. Lama dia begitu, larut dalam perasaan yang berbaur. Mengalah
kepada sebuah kerinduan yang lebur.
“Aazim? Ya, ALLAH….” Mak Jiha mengetatkan pelukannya
dan akhirnya dia tersedu-sedu di bahu anaknya.
Mata Jimmy terpejam.
“Ke mana Aazim pergi selama ni…” Mak Jiha bertanya,
bersulam esak yang belum reda. Kemudian melepaskan pelukannya. Diraih pula muka
Jimmy dengan kedua belah tangannya, ditatap sekejap sebelum dicium kedua belah
pipi Jimmy.
Bagaikan terkena renjatan elektrik, tubuh Jimmy
sejuk tidak bernafas. Sentuhan, tatapan dan ciuman penuh kasih itu seperti
telah memadamkan sebahagian hidupnya yang kotor dan hitam. Betapa selama 15
tahun dia telah kehilangan kasih sayang seorang ibu yang murni. Hari itu, dia
terasa bagaikan menemui semula sebahagian daripada dirinya yang telah hilang.
“Mak dan adik-adik sihat tak?” Jimmy tidak mahu
menjawab pertanyaan ibunya. Biarlah perkara itu ditolak ke tepi dahulu. Dia
belum bersedia walaupun dia tahu itulah yang ingin sangat diketahui oleh ahli
keluarganya.
“Macam nilah.” Mak Jiha juga seperti keberatan.
Kemudian mata Mak Jiha melilau bagaikan mencari sesuatu. “Marilah naik. Aazim
balik sorang aje ke?”
Jimmy tersenyum. Dia faham apa yang dimaksudkan oleh
ibunya. Ya, dia tahu dia sudah berumur hampir 31 tahun, secara logiknya dia
sepatutnya sudah berkeluarga. Namun orang seperti dia, perkara itu tidak sesuai
untuk difikirkan.
“Sorang aje, mak.” Jimmy melangkah ke hadapan sambil
memegang lengan ibunya. Entah kenapa, dia seperti tidak mahu lagi melepaskan
tangan tua itu. Terlalu sayang.
“Abang…” tegur pemuda yang ralit memerhati Jimmy
sejak tadi. Di matanya bersinar rasa kekaguman.
“Johan…,” bisik Jimmy. Perasaannya sukar diungkap
apabila melihat Johan yang sudah besar panjang, menjadi seorang pemuda yang
tenang. Mengikut kiraannya, Johan sudah berusia dalam lingkungan 18 tahun.
Tanpa diduga, Johan memeluk tubuhnya. Jimmy agak
kaget tetapi tetap membalas pelukan adiknya yang pernah ditimang dan didukung
sewaktu kecil. Sekali lagi dia dihambat rasa sayu dan bersalah.
“Mari naik.” Mak Jiha tepuk bahu Johan beberapa kali
sebelum menaiki tangga batu menuju ke pintu. Pintu rumah dibuka lebar.
“Jom, bang!” Johan juga menarik lengan Jimmy.
“Johan dengan mak, ke mana tadi?” Jimmy cuba
memecahkan kejanggalan antara dia dan Johan. Mungkin menerusi adiknya, situasi
di situ tidaklah seteruk mana.
“Ke kubur abah,” balas Johan sebelum melepaskan
tangan Jimmy.
Jimmy terdiam. Terus dihukum rasa bersalah.
*****
SECANGKIR air teh kosong sudah terhidang di atas
meja kopi. Jimmy duduk di atas kerusi kayu yang sama, di tempat di mana dia pernah
diherdik dan dimarahi ayahnya dahulu. Dia jadi sedar bahawa dalam tempoh yang
begitu lama, kehidupan ibu bapanya tidak banyak berubah kecuali tangga di
hadapan rumah yang sudah berganti dari tangga kayu kepada tangga batu. Dan
pelantar yang tidak siap. Itu sahaja.
“Minum, bang,” tegur Johan. Dituangnya secawan teh
kosong untuk Jimmy lalu cawan itu dihulur dengan sedikit rasa bersalah. “Air...
air kosong aje.”
“Tak apalah,” balas Jimmy.
Tekaknya tidak berasa haus dalam keadaan yang serba
janggal itu. Semua keadaan menunjukkan keluarganya sedang berada dalam
kesempitan namun tetap pasrah. Sejujurnya dia tidak dapat lari dari rasa malu
dan bersalah.
“Johan dah habis sekolah, kan? Johan buat apa
sekarang?” Diteguk air teh yang manisnya sekadar ada rasa. Sekali lagi, rasa
pilu menghambat dada. Mungkinkah di rumah itu tidak ada gula?
“Buat sementara ni… saya kerja di kedai runcit tepi
simpang kampung kita tu. Sementara menunggu keputusan masuk universiti.” Johan
menoleh sekilas.
Jimmy angguk perlahan. Berpura-pura faham. Namun sejujurnya
dia takut untuk bertanya lagi. Makin ditanya makin berat tanggungan
perasaannya. Itu pun pada bila-bila masa sahaja dia akan dihukum lagi oleh
seribu persoalan.
“Maafkan abang sebab lambat tahu…” Dia tidak berani
memandang muka Johan. Namun hal itu perlu dibincangkan juga kerana itulah
tujuan dia balik ke situ.
Johan diam sahaja. Mungkin tidak tahu apa yang harus
dijawab.
“Abah sakit apa?” Kali ini Jimmy menjeling wajah
Johan yang makin muram. Dia rasa kesal tetapi semuanya sudah berlaku.
“Abah… abah tak sakit.”
“Habis tu?” Jimmy tidak faham. Mustahil abahnya
jatuh pokok pula, fikirnya.
“Kena tembak.”
Kening Jimmy terangkat tinggi. Kena tembak?
Pertanyaan itu bergema dalam hati. Betul ke ni? Dahinya berkerut. Bibirnya
bergetar tetapi tidak ada suara yang keluar. Rasa terkilan dan rasa tidak
percaya mula berbaur.
“Abah kena tembak dua das dekat kebun getah. Selepas
dua hari… baru kami jumpa.” Suara Johan bergetar.
“Selepas dua hari?”
Johan angguk. “Sebelum tu kami dah cari merata. Cuma
tak ada siapa terfikir hendak ke kebun berdekatan bukit sebab tempat tu jauh.
Mujurlah ada orang luar yang masuk ke situ untuk mencari rotan kerai. Dialah
yang jumpa mayat abah.”
Cerita Johan membuatkan hati Jimmy terasa sakit
bukan kepalang. Selama ini dia mengambil nyawa orang tanpa perasaan tetapi
sekarang seolah-olah semua perasaan sakit itu merempuh dadanya serentak. Rasa
marahnya memuncak sehingga terasa otaknya menggelegak. Tidak sedar dia
berpeluh.
“Abang tak baca surat khabar? Ada masuk dalam surat
khabar dua minggu lepas.” Johan pandang mukanya. “Ada gambar abah.”
Air liur pun tidak tertelan kali ini. Dengan lemah
dia menggeleng sambil menyapu peluh di sekitar hidung dan mulut.
Johan angguk. “Polis sedang siasat.”
“Mungkin tersalah orang,” kata Jimmy kemudian.
Apabila difikirkan semula, tidak ada sebab kenapa ayahnya perlu ditembak. Ayahnya
hanya seorang penduduk kampung, seorang penoreh getah dan pekerja kilang papan.
Lagipun kes tersalah tembak bukan perkara aneh. Dia juga pernah begitu.
“Entahlah. Polis pun masih tak jumpa motif.”
“Bahiyah mana? Tak nampak pun dari tadi.” Jimmy menukar
topik. Bagi dia hal serumit itu tidak akan tercapai dek akal Johan tetapi dia
tidak akan duduk diam begitu sahaja. Sia-sia sahaja dia menjadi anak jantan
kalau kematian ayahnya tidak terbela. Dia akan cari puncanya sampai dapat. Itu
janji dia.
“Dia di rumah pak ngah. Malam ni ada kenduri. Tadi
kami pun ke sana tolong apa yang patut sebelum mak ajak ke kubur. Malam nanti
abang pergi sekali ya.” Johan tersenyum.
Kali ini rasa tekaknya kesat. Dia terbatuk-batuk
kecil.