Home Novel Seram/Misteri PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
Maria Kajiwa
3/9/2013 11:35:10
65,597
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 8

Kuala Lumpur

TANPA Jimmy di rumah, Manjoy berasa bosan. Lalu dia membuat keputusan untuk keluar berhibur. Setelah meredah jalan raya yang tidak pernah lengang, dia tiba juga ke tempat Suharto. Belum sempat hendak tersenyum, rasa gembiranya terus pudar. Irama dangdut yang begitu rancak pun terasa hambar.

Memikirkan dia sudah datang sejauh itu, dia cuba bersabar.

“Apa hal kau boleh ada dekat sini?” Dia tarik kerusi lalu duduk. Digamitnya seorang pelayan untuk menghantarkan minuman.

“Tempat ni kau punya ke?” sindir Tang sambil matanya lurus memandang skrin televisyen tidak jauh darinya. Ada perlawanan Muay Thai Fit Warriors sedang ditayangkan.

Manjoy berdengus. Dia sudah lali dengan sikap Tang yang sombong tetapi sejujurnya dia tidak suka Tang berada di situ. Seleranya terus hilang kerana Tang seorang yang pengotor. Bau badan Tang kadangkala mengalahkan bau haiwan di zoo. Memikirkan soal itu, dia angkat punggung untuk beredar tetapi ditahan oleh Tang.

“Mana Jimmy?”

“Tidur,” balas Manjoy. Dia makin mahu segera beredar. Bahaya. Sayangnya kata-kata Tang mematikan langkahnya.

“Lokkai suruh aku ajak kau pergi Wang Kelian.”

“Buat apa?” Manjoy renung muka Tang.

“Apa lagi?” balas Tang sambil tersenyum nipis.

Manjoy tarik nafas. Dia segera faham tetapi mengikut Tang bukan kerja yang dia suka. Dia lebih suka berkerja dengan Jimmy. Cuma kadang-kadang Jimmy bawa Pakkai.

“Mahal depa bayar. Dua kepala,” tambah Tang lagi sambil jari-jemarinya mengetuk-ngetuk meja.

“Yang dua minggu lepas tu, kau boleh buat sorang.” Manjoy melepaskan geram. Memang dia marah pada Lokkai. Sepatutnya dia yang pergi tetapi di saat akhir, Lokkai suruh Tang. Memang selama ini Tang yang selalu dapat kerja yang bayarannya mahal-mahal. Dia rasa Lokkai tidak adil.

“Yang tu kerja senang… orang kampung naik motor buruk,” balas Tang. “Yang ni bodyguard keliling pinggang. Mana sama?”

“Kalau orang kampung kenapa depa bayar kau mahal sangat?” tingkah Manjoy. Dia benci diperbodohkan.

“Lantak kaulah kalau tak percaya. Pasal apa depa bayar mahal, tu bukan kerja aku. Kerja aku… habiskan aje.”

“Pergilah sorang…” Manjoy terus beredar.

Walaupun dia menolak peluang, dia juga ada harga diri. Kalau Lokkai tidak percaya pada dia, tidak payahlah harapkan dia lagi untuk kerja-kerja macam itu. Lagipun dia tidak suka berdekatan dengan Tang. Sekejap pun boleh hilang selera. Inikan pula kalau duduk dekat berhari-hari. Mahu dia hilang selera seumur hidup.

Di muka pintu, dia berselisih dengan Suharto yang baru sahaja tiba.

*****

“MAHU ke mana kamu?” tegur Suharto. Bahu Manjoy dipaut mesra.

“Ada haiwan zoo dalam tu. Mati selera aku.” Manjoy tarik muka masam. Suharto pun tahu siapa yang dia maksudkan.

Suharto hanya mengeluh. Mustahil dia dapat menghalau Tang dari situ. Mahu habis kedainya punah diamuk Tang. Tetapi dia juga tidak mahu kehilangan Manjoy, sahabat yang banyak berjasa kepada dia.

“Duduk di tingkat ataslah,” pujuknya. Dia tahu apa yang Manjoy suka. Dia yakin dia masih mampu memujuk Manjoy menghabiskan duit di situ. Sayangnya Manjoy terus menolak.

“Aku pergi tempat lainlah.” Manjoy tolak tangan Suharto baik-baik. Seleranya sudah mati. Dia benci betul kalau Tang ada di situ.

“Kamu dengan Tang masih seperti kucing dengan anjing gitu,” tegur Suharto. Dia tahu Tang tidak ubah seperti duri di hati Manjoy. Mujurlah selama ini ada Jimmy. Jimmy sahajalah yang selalu dapat memujuk Manjoy. Jimmy tidak ubah seperti seorang abang dan pelindung kepada Manjoy.

Manjoy tersenyum sinis. Macam anjing dengan kucing? “Dalam zaman sekarang, anjing dengan kucing juga sudah kamceng lor.”

“Jimmy mana?” Suharto tertawa mendengar jawapan Manjoy. Ternyata hati Manjoy cukup keras membenci Tang. Dia sudah mati akal untuk memujuk.

“Dua tiga hari ni dia tak ada.” Manjoy membalas.

“Dia…”

Manjoy menggeleng. Faham apa yang difikirkan oleh Suharto. “Dia balik kampung.”

Mata Suharto membesar.

“Diam-diam aje,” pesan Manjoy sebelum menepuk bahu Suharto dan berpaling pergi. Namun Suharto terus mengejar.

“Aku dengar, Lokkai marah sama Jimmy. Pasal Pakkai.” Suharto merenung tajam wajah Manjoy. Selagi kebenaran itu tidak dicari, hatinya tidak puas. Benarkah Jimmy balik kampung atau Jimmy sudah….

Manjoy mengeluh. Dia sendiri tidak tahu apa hukuman Lokkai nanti. Tetapi dia tahu kejadian yang telah berlaku akan membuatkan semua orang berasa risau. Mungkinkah Lokkai akan membunuh Jimmy? Nampaknya tidak. “Jangan bimbang deh… Jimmy takkan lama di kampung. Mustahil dia akan tahan.”

Suharto senyum tawar. Apa yang berlaku kepada Pakkai sedikit merunsingkan dia. Dia tahu Jimmy orang kanan Lokkai tetapi dalam soal ini, dia yakin Lokkai akan lebih mementingkan hubungan darah. Bagaimanapun daripada kesemua ahli Kumpulan Wuntai yang dia kenal, dia hanya selesa berurusan dengan Jimmy. Tanpa Jimmy, dia yakin dia juga dalam bahaya.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.