Home Novel Seram/Misteri MARGASATWA
MARGASATWA
Saidee Nor Azam
23/2/2013 13:30:04
103,554
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 12

Kuala Berang, Terengganu

Tahun 2012


ROMLI mengambil keputusan untuk membawa Azli sebagai pembantunya dalam misi yang boleh dikatakan cukup merbahaya ini. Azli mahir dalam selok-belok hutan, malah jikalau di kampungnya, Azli digelar budak hutan kerana sering sahaja masuk hutan untuk memburu. Pernah satu ketika ada orang sesat, Azlilah yang akan masuk ke hutan pergi menjejak orang sesat. Walaupun usianya masih muda, Azli tua dengan pengalaman di dalam hutan.

Shazzuana juga sebenarnya ada turut sama dalam ekspedisi ini, walaupun ditegah dan dilarang oleh Romli, Shazzuana tetap berdegil. Mahu atau tidak Fazlun terpaksa menemani Shazzuana. Fazlun tidak mahu sahabatnya itu sendirian dikelilingi lelaki, kalau ada dia tidaklah Shazzuana keseorangan tanpa teman bicara.

Kedegilan Shazzuana menambah beban kepada Romli dalam usaha yang belum lagi pasti akan berjaya atau pun tidak. Romli bukan sahaja harus menjaga nyawanya tetapi turut menjaga keselamatan Shazzuana dan anak saudaranya, Fazlun.

“Ana, ada lebih baik Ana dan Fazlun tidak ke Tasik Kenyir. Biar sahaja pakcik dan Azli yang uruskan perkara ini.” Romli masih mahu Shazzuana tidak mengikut ekspedisi ini.

“Ana dah sampai di sini, alang-alang sudah sampai apa salahnya kita teruskan ke Tasik Kenyir?” tingkah Shazzuana, dia masih tidak mahu mengalah.

“Ana, betul kata Pak Ngah. Lebih baik kita tidak ikut masuk ke dalam hutan. Kita sewa chaletssahaja dan tunggu Pak Ngah dan abang Azli pulang ya?” pujuk Fazlun.

Wajah Fazlun bercampur antara gementar dan teruja. Tetapi apabila mengenangkan cerita tentang keganasan Margas, Fazlun terasa risau dan gentar.

“Tak payah nak sewa chalets, kita camping sahaja di dalam hutan.” Tegas Shazzuana.

Fazlun mengeluh, dia sudah tidak tahu nak pujuk Shazzuana macam mana lagi. Semangat sahabatnya itu cukup tinggi untuk menyelamatkan Ezuan. Betullah kata orang, cinta buat kita buta dan cinta juga buat kita jadi bodoh hingga lupa tentang kesejahteraan diri sendiri.

“Kalau begitu pakcik tak tau nak cakap apa lagi. Apa yang pakcik nak pesan, jaga-jagalah ketika di dalam hutan nanti. Mulut jangan terlalu mudah berkata sesuatu yang tidak enak, hati kena jaga jangan ada niat yang tidak baik. Ana dan Fazlun kena ingat ALLAH selalu.” Nasihat Romli.

Dia yang telah lama bertugas di dalam hutan ketika menjadi askar dahulu, cukup arif dalam selok belok hutan dan pantang larangnya.

“Baik pakcik.” Shazzuana tersenyum girang kerana Romli bertolak ansur dengannya.

“Pak Romli, kita nak berhenti makan di mana ni?” Azli bersuara setelah hanya diam ketika memandu pacuan empat roda milik Romli.

“Kau singgahlah di mana-mana asalkan kedai makan.” Ujar Romli seraya tersenyum.

“Oh ya, ini gambar Ewan, er... Ezuan. Saya berharap sangat dia dapat diselamatkan.” Ucap Shazzuana.

Romli terdiam, gambar Ezuan direnungnya. Azli yang sedang memandu juga tidak mahu ketinggalan melihat wajah lelaki pujaan Shazzuana itu. Dia hanya mencuri-curi pandang gambar Ezuan yang masih dipegang oleh Romli.

Azli dan Romli hanya diam tanpa bicara mereka berdua tidak menjamin Ezuan masih hidup atau tidak. Kerisauan bermain-main di minda, mampukah misi menyelamatkan Ezuan ini berjaya? Harapan tetap ada walaupun agak tipis. Romli mengembalikan gambar teman lelaki Shazzuana dan memaniskan senyumannya agar Shazzuana tidak terlihat kerisauan yang melanda di hati pesara tentera itu.

Pacuan empat roda bernombor pendaftaran Kelantan itu kelihatan meluncur dengan sederhana laju. Tidak lama kemudian kenderaan yang dipandu Azli itu berhenti di bahu jalan setelah memberi isyarat. Sebuah kedai makan yang sederhana besar menjadi destinasi untuk mengisi perut yang sudah berkeroncong.

Setelah mengambil tempat di satu sudut, keempat-empat mereka memesan minuman dan makanan yang ingin mereka nikmati. Sementara menunggu tibanya makanan yang dipesan, Azli pergi membeli surat khabar di kedai runcit bersebelahan. Romli pula mengeluarkan sebatang rokok dan menghisapnya dengan perlahan.

“Pak Ngah biasa datang ke Kenyir?” Fazlun bertanya.

“Dulu adalah, tapi bukan datang berburu. Ini kawasan yang dilarang untuk berburu. Pak Ngah datang memancing sahaja.” Cerita Romli sambil tersenyum.

Asap rokoknya kelihatan terhembus dari rongga hidungnya. Kelihatan seperti seekor naga yang menghembuskan asap di dalam filem sahaja.

“Habis, kita ni salahlah ya?” Tanya Fazlun lagi.

“Salah? Apa yang salah?” Romli berkerut memandang anak saudaranya itu.

“Yelah, kita datang bukan nak memancing, langsung tak bawak batang pancing pun. Pak Ngah dan abang Azli bawak senapang patah pulak tu.” Fazlun memperlahankan suaranya ketika menyebut senapang patah, risau ada orang yang mendengarnya.

“Memang salah pun, tapi kita bukan datang untuk berburu. Sebenarnya Pak Ngah dah tanya pihak pengurusan Tasik Kenyir, memang mereka tidak membenarkan kita bawa senjata api. Tapi jangan bimbang Pak Ngah ada kawan di Tasik Kenyir, insya-ALLAH dia akan tolong.” Romli tersenyum.

Ketika ini Azli datang terkocoh-kocoh mendapatkan Romli.

“Pak Romli, tengok berita ni,” gesa Azli dan selajur itu jugalah dia menghulurkan surat khabar Sinar Harian kepada Romli.

“Lagi Serangan Binatang Liar di Tasik Kenyir?” Romli membaca tajuk utama akhbar Sinar Harian.

“Tempat dan cara serangannya adalah sama, tapi kali ini ada mangsa yang terselamat.” Azli bercerita dengan bersungguh-sungguh.

“Ini angkara Margas!” Romli yakin.

“Macam mana pakcik tahu?” Shazzuana mencelah. Wajahnya terpamer seribu kerisauan.

“Naluri pakcik dapat merasakan semua ini. Margas makin mengganas.” Romli berkalih pandang pada wajah manis Shazzuana.

“Tapi ada mangsa terselamat, ini petanda kita juga tidak perlu risau dengan binatang itu.” celah Azli.

Perbincangan mereka terhenti seketika apabila seorang pelayan lelaki yang sudah berusia datang menghantar makanan dan minuman yang dipesan.

“Assalamualaikum, maaf kalau mengganggu. Saya ada dengar yang encik hendak memburu Margas.” Pelayan yang datang itu terus menyapa Romli.

“Er... ya, kenapa?” jujur Romli seraya bertanya dengan teragak-agak.

“Maaflah kalau saya ni sibuk dengan urusan encik, lebih baik batalkan sahaja niat memburu Margas. Orang kampung sendiri tidak berani apabila mendengar nama makhluk itu.” cerita pelayan itu lagi.

“Kenapa? Kenapa perlu takutkan binatang yang tidak ada akal dan fikiran? Kita manusia lebih bijak dan mulia dari binatang itu. Dan kita hanya perlu takutkan ALLAH sahaja, bukannya takutkan kepada binatang yang tidak berakal.” Tempelak Shazzuana dengan menekankan sedikit suaranya.

Dia rasa pelayan kedai yang berusia itu tidak layak untuk memberi nasihat dan pandangan. Semuanya akan menimbulkan rasa tidak puas hatinya sahaja.

Wajah pelayan itu berubah setelah mendengar kata-kata Shazzuana. Ada betul juga kata-kata gadis berkulit putih berhidung mancung itu. keberanian Shazzuana membuatkan Fazlun tertelan air liur. Dia tidak menyangka Shazzuana berani menempelak pelayan kedai makan tersebut walaupun usia pelayan itu boleh dikatakan seusia dengan ayahnya.

“Ana, tak baik cakap macam tu.” Bisik Fazlun.

“Maaf encik, kawan anak saudara saya ni tertekan sedikit. Harap tidak makan hati dengan kata-katanya.” Romli cuba mententeramkan keadaan yang tegang sebentar tadi.

“Tak apa, salah saya juga kerana sibuk masuk campur hal urusan orang. Saya tidak mahu ada yang lagi yang menjadi mangsanya. Tetapi berhati-hatilah dengan Margas, binatang itu lebih tangkas bila malam menjelma.

“Apa yang encik tahu tentang Margas?” soal Fazlun pula.

“Saya hanya dengar cerita dari orang-orang dahulu sahaja. Binatang itu sebenarnya asalnya manusia, kerana cinta dia jadi begitu. Ada juga yang mengatakan binatang itu ada menyimpan mayat seorang perempuan di dalam satu gua. Dan ada juga yang menyatakan Margas ini sebenarnya jin yang dahagakan darah dan jantung manusia. Entahlah, saya hanya mendengar cerita-cerita orang sahaja. Kadang-kadang ada orang bercerita lebih-lebih, sekadar ingin menyedapkannya lagi.” Cerita pelayan kedai itu panjang lebar seraya mengukir senyum yang ikhlas.

Terdiam Romli, Azli dan Fazlun. Manakala Shazzuana mencebik dan memandang ke arah lain. Dia merasakan pelayan kedai makan ini sekadar mereka-reka cerita agar dapat menakut-nakutkan orang sahaja.

“Diharap tercapai segala apa yang diinginkan. Saya minta maaf kalau saya ada menyinggung perasaan cik-cik semua, minta diri dahulu ya.” Pelayan kedai itu tersenyum-senyum kemudian meminta diri untuk ke belakang semula.

“Terima kasih.” Ucap Romli dan Azli serentak.

“Nak nasihat orang, kalau penakut cakaplah penakut.” Gerutu Shazzuana. Terasa geram terhadap pelayan kedai tersebut.

“Ana, dahlah tu.” Pujuk Fazlun.

“Ada betul juga kata-kata dia, Margas lebih tangkas dan ganas bila malam menjelma. Orang di sini memang tahu sejarah Margas. Ada orang cakap Margas itu Jin, ada juga yang bercerita Margas hidup beratus-ratus tahun dengan memakan daging manusia.” Cerita Romli.

“Saya pun ada dengar macam itu juga, orang-orang tua ada cakap Margas akan tidur selama lima puluh tahun setelah dia memakan jantung-jantung manusia berserta daging-dagingnya. Selepas lima puluh tahun dia akan bangkit lagi mencari mangsanya.

Sesekali cerita Margas ini sama dengan kisah makhluk yang bernama Wendigo yang selalu diceritakan oleh orang di Amerika Selatan. Makhluk yang kononnya hidup beratus tahun dengan memakan daging manusia. Makhluk itu dengar khabarnya berasal dari manusia, tetapi kerana tersesat di dalam hutan dan kebuluran, dia sanggup memakan rakannya sendiri untuk terus hidup.” Giliran Azli pula yang bercerita. Wajahnya kelihatan bersungguh-sungguh.

“Sudahlah, mari kita makan, nanti sejuk pula makanan kita.” Ujar Romli. Dia tahu kisah Margas tidak akan berhenti di sini. Terlalu panjang untuk berbicara, terlalu lama untuk menghabiskannya.

Shazzuana masih lagi geram, ikutkan hati yang panas mahu sahaja dia tolak ke tepi makanan yang dihantar oleh pelayan tersebut. Tetapi akalnya masih dapat mententeramkan api amarah yang membakar perasaan. Perlahan-lahan dia menghela nafas meraih ketenangan kemudian membaca Bismillah sebelum menyentuh makanan yang terhidang.
Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.