Prolog
Tasik
Kenyir, Terengganu
SEEKOR pelanduk sedang enak menikmati
dedaunan muda. Suasana petang sebegini cukup damai dan tenang sekali. Jarang
sekali pelanduk kecil ini menampakkan dirinya, kerana kawasan di Sungai Cicir
ini merupakan tempat tumpuan kaki pancing. Dan jika terbau akan kehadiran
manusia, si pelanduk kecil ini akan sembunyi dan juga melarikan dirinya dari
dilihat makhluk ciptaan ALLAH yang lebih pintar dari mereka itu. Akan tetapi
hari ini nasib si pelanduk kecil ini tidak sebaik hari-hari yang lainnya.
Kala mentari sudah mula
merunduk di ufuk barat, suasana hutan semakin menjadi kelam. Si pelanduk kecil
ini bagaikan tidak mengendahkan perubahan suasana yang semakin membawa ke
daerah yang tiada sinaran sang mentari lagi.
Dan
pabila malam mula menutup tirai mentari senja, sepasang mata yang merah menyala
terus memerhati gerak-geri si pelanduk kecil itu dari atas pokok yang tinggi
dan jaraknya hanya dalam beberapa ela dari tempat si pelanduk malang itu
berada. Makhluk yang merenung bak sang helang itu mulai menyeringai menampakkan
baris-baris gigi yang tajam dan bergerigis tetapi jarang-jarang.
Perlahan-lahan
makhluk aneh itu menuruni pepohon yang di dudukinya itu dengan berhati-hati. Ia
turun dengan mendahulukan kepalanya ke bawah, cengkaman kuku tangannya begitu
tajam dan kejap sekali sehingga melekat pada batang dan kulit pokok tersebut.
Laksana seekor sang sesumpah yang bergerak perlahan mencari mangsanya.
Si
pelanduk itu mulai tersedar dari menikmati keenakkan dedaunan muda apabila dia
mula terhidu sesuatu yang hamis dan hapak berdekatan dengan tempat dia berada.
Mata si pelanduk itu meliar mencari dari mana arahnya bau yang tidak
menyenangkan itu.
“Worghh...!”
Belum
sempat si pelanduk kecil itu melarikan diri, satu terpaan pantas telah
membuatkan kepalanya patah serta-merta. Si pelanduk kecil itu tergeletak
beberapa ketika sebelum nafasnya tidak kedengaran lagi.
Di
dalam kegelapan senja yang semakin beransur gelita itu, terlihat sesusuk tubuh ‘binatang’
yang membaham si pelanduk kecil itu sedang enak menikmati daging segar. Bunyi
kecuran air liurnya jelas kedengaran setiap kali ia menghirup darah segar sang
pelanduk. Hutan yang menyimpan seribu misteri ini sunyi daripada bunyi
cengkerik atau unggas rimba, hanya yang kedengaran suara makhluk itu menderam
dan mengunyah daging santapannya. Rakus dan cukup gelojoh!
Usai
menikmati sisa-sia daging yang tertinggal, si binatang misteri itu mencampak
kepala sang pelanduk itu ke dalam semak. Kemudian binatang itu memanjat kembali
ke atas pokok sehingga ke puncaknya.
“Auwwwooo...!”
Di puncak itu si
pemangsa kejam itu kemudiannya mengaum lantang seraya menyalak bak serigala
yang kekenyangan. Ternyata ia bukan seekor serigala yang tidak mungkin mampu
memanjat pepohon kayu keras yang cukup tinggi menjulang itu. Dan ia juga sudah
semestinya bukan seekor harimau bintang kerana salakkannya ternyata cukup jauh berbeza.
Makhluk itu kini sudah terjaga dari lenanya yang cukup panjang. Kini ketenangan
dan kedamaian di hutan Kenyir tidak sedamai dahulu lagi!