Kuala
Berang, Terengganu
Tahun
2012
ROMLI mengambil keputusan untuk membawa
Azli sebagai pembantunya dalam misi yang boleh dikatakan cukup merbahaya ini. Azli
mahir dalam selok-belok hutan, malah jikalau di kampungnya, Azli digelar budak
hutan kerana sering sahaja masuk hutan untuk memburu. Pernah satu ketika ada
orang sesat, Azlilah yang akan masuk ke hutan pergi menjejak orang sesat.
Walaupun usianya masih muda, Azli tua dengan pengalaman di dalam hutan.
Shazzuana
juga sebenarnya ada turut sama dalam ekspedisi ini, walaupun ditegah dan
dilarang oleh Romli, Shazzuana tetap berdegil. Mahu atau tidak Fazlun terpaksa
menemani Shazzuana. Fazlun tidak mahu sahabatnya itu sendirian dikelilingi
lelaki, kalau ada dia tidaklah Shazzuana keseorangan tanpa teman bicara.
Kedegilan Shazzuana
menambah beban kepada Romli dalam usaha yang belum lagi pasti akan berjaya atau
pun tidak. Romli bukan sahaja harus menjaga nyawanya tetapi turut menjaga
keselamatan Shazzuana dan anak saudaranya, Fazlun.
“Ana, ada lebih baik Ana dan Fazlun tidak
ke Tasik Kenyir. Biar sahaja pakcik dan Azli yang uruskan perkara ini.” Romli
masih mahu Shazzuana tidak mengikut ekspedisi ini.
“Ana dah sampai di sini, alang-alang
sudah sampai apa salahnya kita teruskan ke Tasik Kenyir?” tingkah Shazzuana,
dia masih tidak mahu mengalah.
“Ana, betul kata Pak Ngah. Lebih baik
kita tidak ikut masuk ke dalam hutan. Kita sewa chaletssahaja dan tunggu Pak Ngah dan abang Azli pulang ya?” pujuk
Fazlun.
Wajah Fazlun bercampur
antara gementar dan teruja. Tetapi apabila mengenangkan cerita tentang
keganasan Margas, Fazlun terasa risau dan gentar.
“Tak payah nak sewa chalets, kita camping
sahaja di dalam hutan.” Tegas Shazzuana.
Fazlun mengeluh, dia sudah tidak tahu nak
pujuk Shazzuana macam mana lagi. Semangat sahabatnya itu cukup tinggi untuk
menyelamatkan Ezuan. Betullah kata orang, cinta buat kita buta dan cinta juga
buat kita jadi bodoh hingga lupa tentang kesejahteraan diri sendiri.
“Kalau
begitu pakcik tak tau nak cakap apa lagi. Apa yang pakcik nak pesan,
jaga-jagalah ketika di dalam hutan nanti. Mulut jangan terlalu mudah berkata
sesuatu yang tidak enak, hati kena jaga jangan ada niat yang tidak baik. Ana
dan Fazlun kena ingat ALLAH selalu.” Nasihat Romli.
Dia yang telah lama
bertugas di dalam hutan ketika menjadi askar dahulu, cukup arif dalam selok
belok hutan dan pantang larangnya.
“Baik pakcik.” Shazzuana tersenyum girang
kerana Romli bertolak ansur dengannya.
“Pak Romli, kita nak berhenti makan di
mana ni?” Azli bersuara setelah hanya diam ketika memandu pacuan empat roda
milik Romli.
“Kau singgahlah di mana-mana asalkan
kedai makan.” Ujar Romli seraya tersenyum.
“Oh
ya, ini gambar Ewan, er... Ezuan. Saya berharap sangat dia dapat diselamatkan.”
Ucap Shazzuana.
Romli
terdiam, gambar Ezuan direnungnya. Azli yang sedang memandu juga tidak mahu
ketinggalan melihat wajah lelaki pujaan Shazzuana itu. Dia hanya mencuri-curi
pandang gambar Ezuan yang masih dipegang oleh Romli.
Azli dan Romli hanya
diam tanpa bicara mereka berdua tidak menjamin Ezuan masih hidup atau tidak.
Kerisauan bermain-main di minda, mampukah misi menyelamatkan Ezuan ini berjaya?
Harapan tetap ada walaupun agak tipis. Romli mengembalikan gambar teman lelaki
Shazzuana dan memaniskan senyumannya agar Shazzuana tidak terlihat kerisauan
yang melanda di hati pesara tentera itu.
Pacuan empat roda bernombor pendaftaran
Kelantan itu kelihatan meluncur dengan sederhana laju. Tidak lama kemudian
kenderaan yang dipandu Azli itu berhenti di bahu jalan setelah memberi isyarat.
Sebuah kedai makan yang sederhana besar menjadi destinasi untuk mengisi perut
yang sudah berkeroncong.
Setelah mengambil tempat di satu sudut,
keempat-empat mereka memesan minuman dan makanan yang ingin mereka nikmati.
Sementara menunggu tibanya makanan yang dipesan, Azli pergi membeli surat
khabar di kedai runcit bersebelahan. Romli pula mengeluarkan sebatang rokok dan
menghisapnya dengan perlahan.
“Pak Ngah biasa datang ke Kenyir?” Fazlun
bertanya.
“Dulu adalah, tapi bukan datang berburu.
Ini kawasan yang dilarang untuk berburu. Pak Ngah datang memancing sahaja.”
Cerita Romli sambil tersenyum.
Asap rokoknya kelihatan
terhembus dari rongga hidungnya. Kelihatan seperti seekor naga yang
menghembuskan asap di dalam filem sahaja.
“Habis, kita ni salahlah ya?” Tanya
Fazlun lagi.
“Salah? Apa yang salah?” Romli berkerut
memandang anak saudaranya itu.
“Yelah, kita datang bukan nak memancing,
langsung tak bawak batang pancing pun. Pak Ngah dan abang Azli bawak senapang
patah pulak tu.” Fazlun memperlahankan suaranya ketika menyebut senapang patah,
risau ada orang yang mendengarnya.
“Memang salah pun, tapi kita bukan datang
untuk berburu. Sebenarnya Pak Ngah dah tanya pihak pengurusan Tasik Kenyir,
memang mereka tidak membenarkan kita bawa senjata api. Tapi jangan bimbang Pak
Ngah ada kawan di Tasik Kenyir, insya-ALLAH dia akan tolong.” Romli tersenyum.
Ketika ini Azli datang
terkocoh-kocoh mendapatkan Romli.
“Pak Romli, tengok berita ni,” gesa Azli
dan selajur itu jugalah dia menghulurkan surat khabar Sinar Harian kepada
Romli.
“Lagi Serangan Binatang Liar di Tasik Kenyir?”
Romli membaca tajuk utama akhbar Sinar Harian.
“Tempat dan cara serangannya adalah sama,
tapi kali ini ada mangsa yang terselamat.” Azli bercerita dengan
bersungguh-sungguh.
“Ini angkara Margas!” Romli yakin.
“Macam mana pakcik tahu?” Shazzuana
mencelah. Wajahnya terpamer seribu kerisauan.
“Naluri pakcik dapat merasakan semua ini.
Margas makin mengganas.” Romli berkalih pandang pada wajah manis Shazzuana.
“Tapi ada mangsa terselamat, ini petanda
kita juga tidak perlu risau dengan binatang itu.” celah Azli.
Perbincangan mereka
terhenti seketika apabila seorang pelayan lelaki yang sudah berusia datang
menghantar makanan dan minuman yang dipesan.
“Assalamualaikum, maaf kalau mengganggu.
Saya ada dengar yang encik hendak memburu Margas.” Pelayan yang datang itu
terus menyapa Romli.
“Er...
ya, kenapa?” jujur Romli seraya bertanya dengan teragak-agak.
“Maaflah kalau saya ni sibuk dengan
urusan encik, lebih baik batalkan sahaja niat memburu Margas. Orang kampung
sendiri tidak berani apabila mendengar nama makhluk itu.” cerita pelayan itu
lagi.
“Kenapa? Kenapa perlu takutkan binatang
yang tidak ada akal dan fikiran? Kita manusia lebih bijak dan mulia dari
binatang itu. Dan kita hanya perlu takutkan ALLAH sahaja, bukannya takutkan
kepada binatang yang tidak berakal.” Tempelak Shazzuana dengan menekankan sedikit
suaranya.
Dia rasa pelayan kedai
yang berusia itu tidak layak untuk memberi nasihat dan pandangan. Semuanya akan
menimbulkan rasa tidak puas hatinya sahaja.
Wajah pelayan itu berubah setelah
mendengar kata-kata Shazzuana. Ada betul juga kata-kata gadis berkulit putih
berhidung mancung itu. keberanian Shazzuana membuatkan Fazlun tertelan air
liur. Dia tidak menyangka Shazzuana berani menempelak pelayan kedai makan
tersebut walaupun usia pelayan itu boleh dikatakan seusia dengan ayahnya.
“Ana, tak baik cakap macam tu.” Bisik
Fazlun.
“Maaf encik, kawan anak saudara saya ni
tertekan sedikit. Harap tidak makan hati dengan kata-katanya.” Romli cuba
mententeramkan keadaan yang tegang sebentar tadi.
“Tak
apa, salah saya juga kerana sibuk masuk campur hal urusan orang. Saya tidak
mahu ada yang lagi yang menjadi mangsanya. Tetapi berhati-hatilah dengan
Margas, binatang itu lebih tangkas bila malam menjelma.
“Apa yang encik tahu tentang Margas?” soal
Fazlun pula.
“Saya hanya dengar
cerita dari orang-orang dahulu sahaja. Binatang itu sebenarnya asalnya manusia,
kerana cinta dia jadi begitu. Ada juga yang mengatakan binatang itu ada
menyimpan mayat seorang perempuan di dalam satu gua. Dan ada juga yang menyatakan
Margas ini sebenarnya jin yang dahagakan darah dan jantung manusia. Entahlah,
saya hanya mendengar cerita-cerita orang sahaja. Kadang-kadang ada orang
bercerita lebih-lebih, sekadar ingin menyedapkannya lagi.” Cerita pelayan kedai
itu panjang lebar seraya mengukir senyum yang ikhlas.
Terdiam Romli, Azli dan
Fazlun. Manakala Shazzuana mencebik dan memandang ke arah lain. Dia merasakan
pelayan kedai makan ini sekadar mereka-reka cerita agar dapat menakut-nakutkan
orang sahaja.
“Diharap tercapai segala
apa yang diinginkan. Saya minta maaf kalau saya ada menyinggung perasaan
cik-cik semua, minta diri dahulu ya.” Pelayan kedai itu tersenyum-senyum
kemudian meminta diri untuk ke belakang semula.
“Terima kasih.” Ucap Romli dan Azli
serentak.
“Nak nasihat orang, kalau penakut
cakaplah penakut.” Gerutu Shazzuana. Terasa geram terhadap pelayan kedai
tersebut.
“Ana, dahlah tu.” Pujuk Fazlun.
“Ada betul juga kata-kata dia, Margas
lebih tangkas dan ganas bila malam menjelma. Orang di sini memang tahu sejarah
Margas. Ada orang cakap Margas itu Jin, ada juga yang bercerita Margas hidup
beratus-ratus tahun dengan memakan daging manusia.” Cerita Romli.
“Saya pun ada dengar macam itu juga,
orang-orang tua ada cakap Margas akan tidur selama lima puluh tahun setelah dia
memakan jantung-jantung manusia berserta daging-dagingnya. Selepas lima puluh
tahun dia akan bangkit lagi mencari mangsanya.
Sesekali cerita Margas
ini sama dengan kisah makhluk yang bernama Wendigo yang selalu diceritakan oleh
orang di Amerika Selatan. Makhluk yang kononnya hidup beratus tahun dengan
memakan daging manusia. Makhluk itu dengar khabarnya berasal dari manusia,
tetapi kerana tersesat di dalam hutan dan kebuluran, dia sanggup memakan
rakannya sendiri untuk terus hidup.” Giliran Azli pula yang bercerita. Wajahnya
kelihatan bersungguh-sungguh.
“Sudahlah, mari kita makan, nanti sejuk
pula makanan kita.” Ujar Romli. Dia tahu kisah Margas tidak akan berhenti di
sini. Terlalu panjang untuk berbicara, terlalu lama untuk menghabiskannya.
Shazzuana masih lagi geram, ikutkan hati
yang panas mahu sahaja dia tolak ke tepi makanan yang dihantar oleh pelayan
tersebut. Tetapi akalnya masih dapat mententeramkan api amarah yang membakar
perasaan. Perlahan-lahan dia menghela nafas meraih ketenangan kemudian membaca
Bismillah sebelum menyentuh makanan yang terhidang.