Home Novel Seram/Misteri MARGASATWA
MARGASATWA
Saidee Nor Azam
23/2/2013 13:30:04
103,552
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 2

Bab 2

Kampung Telaga

Tahun 1712

TAMAR bukan anak jati kampung ini, dia merantau dari jauh semata-mata ingin mencari pengalaman dan rezeki. Bak kata orang tua, jauh perjalanan, luaslah pemandangan. Semenjak dia tiba di Kampung Telaga, Tamar menjadi terkenal kerana kerajinan dan kepandaiannya dalam membuat lukah dan bubu dari rotan. Dia sering masuk ke dalam hutan kerana ingin mencari rotan, hutan baginya seperti taman permainannya sahaja. Dia tahu selok-belok hutan, malah tahu bagaimana untuk berhadapan dengan binatang buas ketika berada di tengah-tengah rimba.

Lukah dan bubu yang Tamar hasilkan sering menjadi pilihan orang-orang kampungnya, malah ada yang datang dari kampung lain semata-mata ingin membeli lukah dan bubu yang dihasilkan oleh Tamar.

Setiap yang berjaya pasti akan ada yang iri hati. Jaluk dan Ajak sememangnya berbulu dengan Tamar. Jaluk hairan kenapa lukah yang Tamar hasilkan akan mendapat tempat di hati orang kampung, sedangkan dia dan Ajak juga bersusah payah masuk ke hutan mencari akar dan rotan untuk dibuat lukah. Tetapi hasil tangan Tamar juga yang jadi pilihan.

Bukan lukah sahaja yang Jaluk cemburui. Di dalam kampungnya ada sekuntum bunga yang menjadi kegilaan setiap para jejaka termasuk jugalah Jaluk sendiri. Melur anak kepada Penghulu kampung, menaruh hati terhadap Tamar yang tinggi budi pekerti dan rajin bekerja.

Mereka berdua sering sahaja kelihatan berdua-duaan di sungai Nerus. Tamar akan menahan lukahnya di sungai dan dia akan ditemani oleh Melur. Bukan Tamar yang mengajak Melur untuk datang tetapi Melur sendiri yang ingin berjumpa dengan lelaki idamannya.

“Buat apa Melur datang, nanti teruk Tamar dikerjakan jikalau Penghulu Jantan nampak kita berdua-duaan.” Terang Tamar.

Dia tidak mahu memburukkan keadaan, dia tahu dia hanya perantau yang mencari rezeki. Tamar sebenarnya bukan asal dari Kampung Telaga. Dia datang ke sini semata-mata ingin mencuba nasibnya di tanah orang.

“Alah, bapak dah tahu Melur ke sungai untuk berjumpa dengan Abang.” Ujar Melur.

Dia sengaja membega-begakan mukanya. Tamar hanya tersenyum melihat ulah anak dara Penghulu itu, di tangannya kelihatan ada bungkusan yang dibaluti dengan kain batik.

“Bapak kirim salam pada Abang.” Ujar Melur lagi.

“Waalaikumussalam, nanti Melur sampaikan salam Abang pada bapak Melur ya.” Tamar tersenyum.

“Abang Tamar dah makan belum? Melur ada bawakan kuih lepat pisang untuk Abang. Melur dan ibu yang buatkan tau, sedap! Abang, mari kita makan bersama-sama.”

Melur perlahan-lahan mengeluarkan kuih lepat pisang dari bungkusan kain batik yang dibawanya.

“Melur makanlah dahulu, Abang nak pergi menahan lukah ini sebentar.” Tamar menolak dengan baik pelawaan Melur.

“Abang tidak mahu makan, Melur pun tak nak makan.” Melur memuncungkan bibir mungilnya. Wajahnya yang manis kini kemerahan menahan rajuk.

“Melur, Melur, baiklah Abang makan sekali dengan Melur ya?” bujuk Tamar.

Dia kenal benar dengan anak dara penghulu ini. Kuat merajuk kalau tidak menuruti kehendaknya. Tamar mengalah kerana dia sayang kepada Melur. Dan sebagai seorang lelaki yang cukup memahami hati perempuan yang disayanginya mengalah adalah yang cara terbaik.

Kemesraan Tamar dan Melur membuatkan Jaluk menyeringai kemarahan. Dia dan Ajak bersembunyi di sebalik semak-samun, memerhatikan sahaja dari jauh pasangan berkasih itu.

“Aku dah kata, Melur pasti akan datang berjumpa dengan Tamar.” Ajak berbisik ke telinga Jaluk. Bisikan yang berbaur hasutan.

“Semakin hari semakin meluat aku melihat budak Tamar itu, dia belum lagi kenal siapa Jaluk!” Jaluk menekan-nekan sedikit suaranya. Tangannya dikepal-kepal menahan rasa amarah yang membakar jiwa.

“Sudahlah Jaluk, lebih baik kita pulang sahaja. Tiada gunanya kita tunggu di sini.” Gesa Ajak.

Sebenarnya mereka sebentar tadi telah mengekori Melur dari belakang. Jaluk berharap agar dapat memujuk Melur menjadi kekasih hatinya. Tetapi hati Melur kini lebih memihak kepada Tamar, si perantau.

“Ikut pada hati panas aku ini, budak Tamar itu pasti akan aku kerat-kerat sehingga dia mampus! Merampas hak aku!” bentak Jaluk seraya menghempas keluhan berbaur api dendam yang mula marak membara.

Machang, Kelantan

Tahun 2012

TIGA pelajar jurusan seni lukis dari sebuah Universiti awam di Kelantan telah diberitakan hilang. Ketiga-tiga mereka pergi ke Tasik Kenyir untuk memancing tetapi tidak pulang-pulang ke kampus masing-masing sejak tiga hari yang lalu. Usaha mencari telah menemui jalan buntu, ke tiga-tiga pelajar terbabit langsung tidak diketemui dan hanya khemah dan alatan memancing sahaja yang ditemui.

Renjer hutan Kuala Berang mensyakki pelajar-pelajar institusi terbabit telah diserang oleh binatang buas. Cuma tidak dapat disahkan lagi binatang apakah yang menyerang mereka, ini kerana bentuk tapak kaki yang ditemui amat aneh dan jauh berbeza dengan tapak kaki binatang liar yang lain. Bentuknya hampir-hampir menyerupai bentuk tapak kaki manusia, dengan mempunyai lima batang jari dan kelihatan besar. Cuma ianya lebih panjang dan berjari tirus. Mungkin ianya kesan dari kuku kaki yang panjang tatkala ia mencengkamkan kakinya ke atas tanah. Atau mungkin ada binatang aneh yang tidak tahu asal-usulnya hidup bebas di hutan Kenyir.

Shazzuana hanya mampu menangis apabila mengenangkan nasib kekasihnya, Ezuan, yang sehingga sekarang masih lagi tidak ditemui. Dia redha sekiranya Ezuan telah ditakdirkan pergi dahulu sebelum dirinya. Apa yang dia harapkan agar jasad Ezuan disemadikan dengan sempurna di pusara, dia tidak mahu kekasihnya itu berkubur tanpa nesan di hutan Kenyir. Tetapi jauh disudut hatinya masih berharap agar Ezuan pulang dengan nafas yang tersimpan di dada.

“Ana, aku berharap kau banyak bersabar. Aku pasti Ewan dan dua orang kawannya selamat. Mereka mungkin tersesat di dalam hutan.” Fazlun memujuk sahabatnya, Shazzuana.

Pujukan Fazlun sekadar dijawab Shazzuana dengan satu keluhan sahaja. Dia tahu kawannya itu mahu melihat dirinya tidak dirundung rasa sedih yang berpanjangan. Shazzuana tahu Ezuan dan rakan-rakannya tidak tersesat di dalam hutan Kenyir, malah berita yang mula tersebar mengatakan kawasan perkhemahan mereka seolah-olah diserang binatang buas. Ada kesan darah dilihat di sekitar kawasan tersebut. Ini membuatkan Shazzuana pasrah sekiranya Ezuan tidak lagi berada di sisinya.

“Aku fikir habis cuti penggal ini, aku nak ke Tasik Kenyir. Aku nak cari Ewan.” Putus Shazzuana.

Kenyataan Shazzuana mengejutkan Fazlun. Fazlun tahu Shazzuana sememangnya seorang yang tahan lasak, tetapi tidak pula tersangka dia ingin ke Tasik Kenyir untuk mencari Ezwan.

“Kau jangan buat perkara gila, Ana. Kita perempuan, manalah kita terdaya nak buat perkara semua itu.” Fazlun membantah.

“Aku tahu, tapi naluri aku menyatakan bahawa Ewan masih hidup dan dia ada di hutan Kenyir itu.” Ujar Shazzuana dengan bersungguh-sungguh.

Shazzuana kemudiannya terfikir untuk pergi berjumpa dengan ibu dan bapa Ezuan di Kemaman, Terengganu. Seboleh-bolehnya dia perlu memberi kata-kata semangat kepada ibu bapa kekasihnya itu, dia yakin Ezuan masih selamat. Keyakinannya itu begitu mengkagumkan.

“Beginilah, kita serahkan sahaja kepada pihak berwajib. Insya-ALLAH Ewan dan kawan-kawannya akan ditemui kelak.” Fazlun tidak mahu mengikut rentak Shazzuana.

Fazlun tidak mahu Shazzuana terus hanyut dengan emosi yang terganggu, seboleh-bolehnya dia perlu menjadi peneman sahabatnya itu. Dia tahu Shazzuana begitu menyayangi Ezuan dan dia juga faham dengan perangai Shazzuana yang keras hati, tegas dan tidak mudah mengalah.

Shazzuana hanya melepaskan segumpal keluhan yang hampa, ada benarnya juga kata-kata Fazlun. Biarlah pihak berwajib yang menjalankan tugas-tugas mereka. Tetapi jauh di sudut hati Shazzuana, dia berikrar akan tetap menjejakkan kaki ke bumi Tasik Kenyir suatu hari nanti.

Kampung Telaga

Tahun 1712

JALUK dan Ajak mengekori Tamar perlahan-lahan, hari ini mereka mahu memberi amaran kepada Tamar agar keluar dari Kampung Telaga. Tamar yang menggalas lukah berjalan dengan tenang tanpa rasa curiga. Anak telinga begitu tangkas mendengar jejak langkah Jaluk dan Ajak. Tamar bukan calang-calang orang untuk diperkotak-katikkan, kalau tidak penuh ilmu di dada tidak mungkin dia berani merantau ke tanah orang. Tamar hanya tersenyum sendirian, dia tahu Jaluk dan Ajak sudah hampir dengannya.

“Kau berdua mahu apa dariku?” Tamar berdiri tegak tanpa menoleh ke belakang. Di tangannya tersedia parang untuk mempertahankan diri.

“Kau hebat Tamar, kau cukup hebat.” Jaluk bertepuk tangan, gaya langkahnya begitu angkuh.

“Apa kau mahu Jaluk?” kali ini Tamar berkalih pandang kepada Jaluk dan Ajak.

“Aku nak kau pergi dari Kampung Telaga!” Arah Jaluk dengan muka yang membengis.

“Cis, dasar perantau. Hendak tunjuk handal di kampung orang.” Ajak mengejek.

“Aku tidak pernah menyakiti hati sesiapa pun di dalam kampung ini. Seandainya aku tersalah berkata-kata, maafkanlah aku wahai sahabatku.” Tamar merendah diri. Biarlah dia mengalah asalkan pertelingkahan dapat dielakkan.

“Nampaknya ada orang berhati tikus...” sekali lagi Ajak mengejek dan disambut deraian ketawa yang menjengkelkan dari Jaluk.

“Aku tidak mahu bertelingkah di sini. Maafkanlah aku seandainya aku membuat hati kamu berdua sakit. Izinkan aku pulang dahulu.” Tamar berlalu pergi tanpa mengendahkan Jaluk dan Ajak.

“Hei budak hingusan! Jangan kau ingat kau dapat terlepas dari tangan kami. Kau dengar atau tidak Tamar!” laung Jaluk dengan lantang, tetapi Tamar langsung tidak mengendahkan ejekkan dari Jaluk.

“Kurang ajar! Ajak kau ajar dia cukup-cukup.” Perintah Jaluk kepada rakannya. Ajak hanya tersenyum, pada pandangannya, Tamar mudah sahaja untuk ditumbangkan.

Ajak berlari menerkam Tamar dari belakang, tetapi dengan mudah Tamar mengelak dan menahan dengan kakinya sehingga Ajak tersadung dan rebah tertiarap di atas tanah. Melihatkan Ajak tersungkur, Jaluk naik berang lantas menyerang Tamar dengan keris yang baru dicabut dari sarungnya.

Serangan Jaluk lebih berisi dari Ajak, tetapi Tamar tangkas mengelak dengan berpusing ke kiri dan ke kanan. Keris Jaluk hanya menikam angin. Jaluk tidak mengalah, dilibaskan pula kerisnya itu ke perut Tamar, Tamar menangkis dengan tangan dan melepaskan satu tendangan tujah yang padu mengenai perut Jaluk. Jaluk mengundur beberapa langkah sebelum terduduk melutut. Terbatuk-batuk Jaluk akibat terkena penangan Tamar.

“Sudahlah, cukuplah untuk hari ini. Aku tidak mahu bersengketa dengan kamu berdua.” Tamar tetap berlembut bicara.

Ajak bangun dari jatuhnya, dia berasa tercabar dengan kata-kata Tamar. Dia menerkam ke arah Tamar tetapi Tamar terlebih dahulu membalas dengan kepala lututnya. Terdongak Ajak apabila lutut Tamar tepat mengenai bawah dagunya. Kedua-dua pemuda Kampung Telaga mengerang kesakitan di atas tanah.

“Maafkanlah jikalau hati kamu berdua terasa sakit kerana aku. Izinkanku berundur dahulu.” Tamar berlalu meninggalkan Ajak dan Jaluk yang masih lagi menahan kesakitan. Ternyata kehebatan si perantau ini tidak dapat diduga langsung oleh Ajak dan Jaluk.

“Biadap... satu hari nanti kau akan melutut di kakiku!” bentak Jaluk. Benih-benih dendam mulai tumbuh subuh di dalam hatinya.

Tasik Kenyir, Terengganu

Tahun 2012

MUSIM memancing Toman sudah bermula, ramai kaki-kaki pancing menjadikan Tasik Kenyir, tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara ini sebagai destinasi untuk menguji kehandalan mereka dalam memancing ikan-ikan di dasar Tasiknya. Bot-bot rumah seperti feri untuk kaki pancing juga ada disediakan, dengan pelbagai kemudahan asas ada di dalamnya.

Rajib salah seorang pengusaha bot housedi Tasik Kenyir pernah mendengar tentang berita kehilangan tiga orang penuntut Universiti. Rajib pernah bersua dengan mereka, Ezwan dan rakan-rakannya pernah menyewa botnya untuk ke hulu Sungai Cicir. Rajib juga terkejut dengan berita kehilangan tiga penuntut tersebut. Baginya mustahil ke tiga-tiganya mati dibaham harimau, ini kerana heboh orang-orang menyatakan tapak kaki binatang yang menyerang Ezwan dan rakan-rakannya langsung tidak menyerupai tapak kaki harimau.

Ada juga khabar-khabar angin yang menyatakan binatang yang dianggap mitos kembali mengganas di Hutan Kenyir. Rajib amat payah untuk mempercayai tentang perkara-perkara karut. Apa yang pasti kehilangan tiga penuntut institusi awam itu begitu misteri.

“Pak Rajib, jauh lagikah sungai Cacing?” suara Lokman mengejutkan Rajib yang mengelamun sambil tangannya yang kejap memegang stereng bot pelancong, membelah kedamaian Tasik Kenyir.

Bot pelancong Rajib ini diberi nama KD Kelisa, mempunyai dua tingkat, di bawah dikhaskan untuk pelancong lelaki berisitirehat manakala di tingkat atas untuk pelancong wanita. Bot pelancong Rajib ini juga dipanggil sebagai bot house ada menyediakan tempat untuk mandi dan juga dapur untuk memasak. Hari ini hanya tiga orang sahaja yang menaiki botnya. Lokman, Shuib dan Jehan. Jehan sebenarnya merupakan anak sulung Rajib, Jehan sentiasa menemani bapanya ke mana sahaja dan boleh dikatakan sebagai pembantu kepada Rajib.

“Oh, tak jauh sangat dah. Dalam lima, enam minit sampailah...” jawab Rajib dengan nada yang bersahaja.

Lokman dan Shuib dua sahabat yang berasal dari Kuala Lumpur, datang ke Tasik Kenyir semata-mata ingin memancing dan mencari pengalaman baru di dunia ikan air tawar. Mereka sudah menjelajah ke seluruh semenanjung Malaysia mencari lubuk-lubuk ikan bagi memuaskan nafsu memancing mereka. Hanya Tasik Kenyir sahaja yang belum lagi mereka jelajahi.

“Pak Rajib, pernah tak ada pemancing dapat ikan Tapah di Tasik Kenyir ini?” Shuib meringankan mulutnya dengan bertanya.

“Ikan Tapah? Payah nak jumpa orang dapat ikan Tapah di tasik ini. Kalau ada pun di sungai-sungai. Seperti Sungai Nerus. Mungkin ada di Sungai Cicir, entahlah. Orang tak berapa suka sangat nak memancing Tapah. Lagipun ini musim Toman bertelur, waktu-waktu beginilah pemancing akan turun memburu Toman.” Panjang lebar Rajib bercerita.

“Toman bertelur?” Shuib menggaru-garukan kepalanya. Dia ternyata kurang arif tentang ikan air tawar.

“Ikan Toman akan bertelur apabila sampai pada musimnya. Waktu-waktu begini ikan Toman akan bermain-main di permukaan air. Tetapi awas, ikan Toman sejenis ikan pemakan daging, kalau kamu terjatuh ke dalam sekawan ikan Toman nescaya nyawa kamu akan melayang.” Terang Rajib lagi. Mukanya serius.

“Wah, macam ikan Piranha... bahayanya.” Shuib tertelan air liur mendengar cerita Rajib.

“Tapi kami nak cari ikan Tapah, bukannya ikan Toman, Pak Rajib.” Ujar Lokman.

“Pak tak pasti ikan Tapah ada ke tidak ada di Sungai Cacing, kalau Sungai Cicir mungkin ada.” Ujar Rajib.

“Kalau begitu, kita berpatah balik ke Sungai Cicir sahajalah.” Shuib memberi arahan dengan serta-merta. Wajahnya kelihatan teruja untuk memburu sang pemangsa, ikan Tapah.

“Habis tu kamu berdua nak teruskan ke Sungai Cacing atau berpusing ke Sungai Cicir?” Rajib bertanya. Dia mula tidak tahu ke manakah hala dua pemuda ini mahu pergi.

“Beginilah Pak Rajib, kita berpatah ke Sungai Cicir. Lagipun tujuan kita ke mari adalah kerana ikan Tapah. Kalau tak dapat ikan Tapah, kami tak akan berpuas hati.” Ujar Lokman.

“Baiklah, Pak Rajib akan berpatah balik ke Sungai Cicir.” Rajib tersenyum. Dia tidak marah walau sedikit pun. Memang lumrah sebagai pemandu bot pelancong, terpaksa mengikut rentak penumpang. Kepuasan mereka adalah keutamaan Rajib.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.