Home Novel Seram/Misteri MARGASATWA
MARGASATWA
Saidee Nor Azam
23/2/2013 13:30:04
103,597
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 13
Kuala Terengganu, Terengganu


ADI PUTRA berjaya memujuk Razman untuk turut serta ke tasik Kenyir, tetapi dengan bersyarat. Razman hanya mahu pergi memancing dan tidak akan sesekali menjejak Margas. Adi Putra tahu rakannya itu sememangnya pemancing yang tegar, dia akur dengan syarat-syarat yang diberikan oleh Razman.

Niat Adi Putra ke Tasik Kenyir sebenarnya bukanlah mahu memburu makhluk Margas, tetapi ingin membuat kajian tentang persekitaran Tasik Kenyir agar dapat menghayati kawasan permainan binatang misteri itu sekaligus dapat menghasilkan novel yang mampu menyentuh sisi hati pembaca. Bagi Adi Putra merasai sendiri pengalaman berada di kawasan kejadian adalah berlainan dengan hanya mendengar cerita dari mulut orang sahaja.

Sebelum mereka bertolak, Razman telah menghubungi bapa saudaranya yang juga merupakan seorang pemandu bot pelancong di Tasik Kenyir. Dia menyatakan hasrat untuk ke Sungai Cicir kerana ingin memancing. Puas bapa saudara Razman menasihatkan agar ke sungai lain, kerana risaukan tentang keselamatan anak saudaranya itu.

“Razman pergi dengan kawan Razman, alah... bolehlah Pak Long, Razman pergi sekejap sahaja.”

Dengan pujukan Razman, akhirnya bapa saudaranya mengizinkan juga. Sungai Cicir kini sudah tidak seharum namanya, kawasan yang dahulunya menjadi kawasan kaki pancing kini menjadi kawasan yang dilarang keras untuk berkelah dan bermalam.

Di dalam kereta Razman, Adi Putra lebih banyak membelek kamera digitalnya daripada melayan celoteh Razman. Kadang-kadang sahabatnya itu akan menyanyi sendirian
mengikut rentak radio keretanya. Minda Adi Putra lebih banyak berfikir tentang tujuannya ke Tasik Kenyir sahaja. Di dalam hati dia berharap agar dapat melihat dengan sendiri wajah Margas, tetapi itu hanyalah kata hatinya sahaja, mendengar cerita Lokman pun sudah membuat bulu romanya menegak.

“Man, jauh lagikah Tasik Kenyir?” Adi Putra mengganggu nyanyian yang penuh penghayatan Razman dengan meluahkan pertanyaan.

“Erm... dalam lima belas minit lagi sampailah.” Jawab Razman dengan selamba.

“Kau ni kenapa Adi, nampak macam berserabut jer?” soal Razman.

“Aku okay. Cuma banyak memikirkan tentang ekspedisi kita ini sahaja.” Jawab Adi Putra. Kemudian dia mengeluh.

“Aku tengok kau ni macam ada masalah, cuba ceritakan pada aku, mana tahu aku boleh tolong selesaikan.” Tersengih-sengih Razman. Dia berkalih pada Adi Putra sekejap-sekejap kerana dia sedang memandu.

“Tak ada apa-apalah, aku banyak fikirkan fasal binatang Margas, itu sahaja.” Adi Putra tersenyum tawar ke arah Razman.

“Fasal Margas ke fasal ex girlfriend kau?” Razman tergelak. Tetapi hanya disambut senyuman pahit dari Adi Putra.

“Ayu ada hubungi kau lagikah?” Razman cuba menduga.

“Erm... ada.” Adi Putra menjawab dengan ringkas, kemudian dia kembali terdiam.

“Kau ada berhutang dengan dia? Kenapa dia hubungi kau lagi? Mesti kau ada buat apa-apa ni...” Razman senyum menyindir.

“Hutang apa? Buat apa? Maksud kau sihir? Aku bukan lelaki yang suka porak perandakan rumahtangga orang. Aku bukan tak ada agama, aku tak akan sesekali sihir atau guna-guna orang dengan tak tentu fasal. Kalau dah dia tak sukakan aku, takkan aku nak
bomoh-bomohkan dia pulak?” bentak Adi Putra. Dia begitu sensetif kalau dituduh dengan bukan-bukan. Sememangnya itu adalah pantang larang Adi Putra.

“Er, maafkan aku, aku bergurau sahaja.” Terkedu sekejap Razman, dia langsung tidak menyangka Adi Putra akan naik angin.

“Jujur aku cakapkan kepada kau, aku tak pernah benci pada dia. Biarlah dia buat aku begini, biarlah suami dia tuduh aku dengan perkara yang bukan-bukan. Aku ingat lagi, bila lelaki itu rapat dengan Ayu, pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepada aku. Dan apa yang aku sakit sangat, Ayu percaya bulat-bulat. Dia singkirkan aku kerana lelaki itu. Demi ALLAH, aku tak pernah nak permainkan Ayu. Sampai sekarang aku tetap cintakan dia!”

Akhirnya terluah apa yang terbuku di hati Adi Putra terhadap Rahayu Razlan. Razman terdiam mendengarnya.

“Tapi Adi, Ayu dah jadi milik orang. Lepaskanlah dia. Jangan kau siksa diri kau.”

Razman cuba menyimbah kedinginan air agar kepanasan hati yang berombak di jiwa Adi Putra akan terpadam.

“Aku tak pernah menyiksa diri aku. Aku juga manusia, ada perasaan, ada hati. Aku nak juga lafazkan Iqamat dan Takbir ke telinga bakal zuriat-zuriat aku. Tapi setiap kali nafas aku berhembus, nama Rahayu Razlan tetap akan aku ungkapkan. Aku bagaikan langsung tidak dapat melupakan nama itu.” Adi Putra menghela keluhan yang panjang. Belum pernah dia meluahkan rasa sakitnya itu kepada sesiapa.

“Aku faham, tapi Adi, Ayu dah ada tanggungjawabnya sekarang. Kau lepaskanlah rasa cinta kau itu pada insan yang lebih memerlukan. Jangan kau terus-menerus mengharap agar jatuhnya bulan ke dalam dakapan kau. Kau carilah perempuan yang lebih baik dan cantik dari Ayu.” Razman tahu Adi Putra terlalu mencintai Rahayu Razlan, tetapi tidak salah kalau dia cuba memujuk hati sahabatnya itu.

“Aku tak boleh, Man.”

“Tak boleh apa? Kalau kau tak pandai mengurat, biar aku ajarkan.” Seloroh Razman.

“Aku tak mahu menyakiti hati orang yang mencintai aku. Kalau aku memaksa diri dengan mencintai perempuan lain, nescaya satu hari nanti perempuan itu akan terluka kerana nama Rahayu Razlan tetap ada di dalam hati ini dan bukan namanya.” Adi Putra mengeluh lagi.

“Adi, jangan kau cakap begitu. ALLAH tak akan membuat umatnya sentiasa bersedih.” Sanggah Razman pula.

“Man, aku tak mungkin menemui orang yang mampu menggetarkan jantung dan hati aku seperti mana sewaktu aku bersama dengan dia. Dan seandainya ada pun mungkin dalam satu persejuta. Cukup payah Man.” Adi Putra seperti sudah putus harapan.

“Percayalah cakap aku, suatu hari nanti kau akan bertemu jua dengan jodoh kau. Dan satu hari pasti ada yang mampu menggetarkan jantung dan membahagiakan hati kau kembali. Kau tengok aku ni, mana ada bercinta. Berjumpa, berkawan kemudian aku ajak kahwin, dia pun terus setuju. Senangkan? Ha ha ha...” Razman tergelak lagi, dia mahu Adi Putra turut gembira bersama-sama dengannya.

“Kau memang... berjumpa dalam Facebook lepas tu ajak kahwin.” Sindir Adi Putra, dia tersenyum.

“Dah jodoh aku dalam Facebook, aku nak buat macam mana? Kau tu, mungkin jodoh kau nanti datangnya dari peminat novel kau sendiri. Mana tahu, kita hanya merancang, ALLAH yang menentukan.” Razman berjaya membuatkan Adi Putra terdiam sejenak.

“Aku penulis novel seram dan thriller, mana ada perempuan yang gemar membaca karya macam aku buat ni.” Adi Putra cuba mengelak.

“Bukankah aku dah cakap tadi, kita hanya merancang. Mana tahu terselit dalam ribuan peminat kau tu ada seorang perempuan yang cantik, comel, cerdik yang minat pada kau.” Razman ketawa lagi. Kali ini ketawanya bersambut dengan tawa kecil dari Adi Putra.

“Ada-ada sahajalah kau ni...”

Sesekali Adi Putra menggeleng-gelengkan kepalanya tatkala mendengar celoteh Razman. Sedikit sebanyak Razman berjaya membuatkan hati Adi Putra berbunga walau mekarnya hanya sementara. Dia terdiam seketika dan berfikir sejenak tentang apa yang Razman katakan kepadanya. Kadang-kadang kita hanya merancang, tetapi hakikatnya bukan kita yang menentukan segala-galanya. Mungkin suatu hari nanti nama Rahayu Razlan pasti akan terhakis jua. Bila dan siapakah yang menghakisnya, biarlah ALLAH S.W.T sahaja yang menentukan. Adi Putra tersenyum sendirian.


Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir

SHAZZUANA merasa kagum dengan keindahan Tasik Kenyir. Biru airnya membuatkan matanya sejuk seketika. Kelihatan kayu-kayu balak mati yang berceracak di tengah tasik membuatkan pemandangan menjadi unik sekali. Fazlun juga begitu, ini adalah kali pertama dia menjejakkan kakinya di Tasik Kenyir, tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara.

“Wah, cantiknya...” Fazlun lekas-lekas mengeluarkan kamera digitalnya. Dia tidak sabar-sabar untuk merakam keindahan Tasik Kenyir.

Shazzuana dan Fazlun meninggalkan pacuan empat roda Romli dan mereka terus mengambil gambar bersama-sama berlatarbelakangkan air tasik yang tenang dan membiru. Romli dan Azli tersenyum melihat ulah dua gadis remaja tersebut. Ternyata mereka terlupa seketika tentang tujuan mereka datang ke sini.

Romli dan Azli pula kelihatan sedang menunggu seseorang, sesekali mereka melihat Shazzuana dan Fazlun yang agak jauh dari mereka.

“Cantik juga budak Ana tu ya Pak Romli...” Azli berbisik.

“Hm, kau ni kenapa? Tak akan kau dah jatuh cinta pada Ana pula. Kau jangan Li, dia datang ke mari semata-mata nak cari teman lelaki dia yang hilang.” Romli mengingatkan Azli.

“Saya puji sahajalah Pak Romli. Tak ada niat pun nak mengurat budak Ana tu. Bertuahlah Boyfriend dia, dahlah Ana tu cantik, lepas tu berani pulak tu.” Puji Azli lagi. Seperti hatinya sudah terpikat dengan keayuan Shazzuana.

“Puji boleh, tapi jangan melekat di hati sudahlah.” Romli menyindir seraya tersenyum.

“Ke situ pulak Pak Romli ni. Mana kawan Pak Romli tu?” Azli menukar topik perbualan mereka.

“Katanya dalam perjalanan. Kita tunggulah sekejap lagi.” Ujar Romli.

Terangguk-angguk Azli mendengar kata-kata Romli, tetapi matanya tetap terarah pada Shazzuana. Wajah riang Shazzuana terpancar ketika bergambar dengan Fazlun, langsung tidak menggambarkan rasa kesedihan yang tertanam di dalam hati gadis dari Kemaman itu.

Sudah memang sifat Shazzuana yang tidak pernah melukiskan perasaan gundah dan risau pada wajah ayunya, dia seorang yang tabah dan pemendam rasa. Dalam diam-diam Azli mula menaruh minat pada Shazzuana. Matanya yang berkaca, hidungnya yang mancung, bibir yang mungil membuatkan jantung Azli berdebar-debar.

“Ana, kau perasan tak?” tanya Fazlun.

“Perasan apa? Cepatlah ambil gambar, panas ni...” wajah Shazzuana yang putih kelihatan merah padam kerana terik mentari mula hampir menegak di atas kepala.

“Tu, kawan Pak Ngah aku yang bernama Azli tu, dari tadi asyik pandang ke arah kau sahaja. Jangan-jangan dia minat pada kau tak?” usik Fazlun, dia tersenyum-senyum.

“Hish... kau ni Faz, ada-ada sahajalah... cepatlah ambil gambar aku ni.” Shazzuana memuncungkan mulutnya.

“Yelah-yelah, tapi budak Azli tu boleh tahan jugak. Kulit putih, hidung mancung. Tapi kurang tinggi. Tinggi aku lagi,” Fazlun tertawa.

“Ha ha ha... tak baiklah kau kutuk-kutuk dia.” Shazzuana tertawa walaupun dia marahkan Fazlun kerana mengutuk Azli.

“Aku gurau sahajalah, yang kau gelak tak apa pula ya?” Fazlun tertawa dan diikuti deraian gelak tawa dari Shazzuana.

“Eh, kenapa dengan diorang tu? Gelak bagaikan nak runtuh empangan Kenyir ni?” Romli kehairanan melihat Shazzuana dan Fazlun tertawa dari jauh.

“Entah, ada cerita lucu kot.” Azli cuba meneka.

Tidak lama kemudian kelihatan sebuah kereta Proton Iswara datang, Romli terus melambai dan kelihatan pemandunya membalas lambaian Romli.

“Hah, dah sampai pun.” Getus Romli.

Rajib berjalan ke arah Romli setelah memarkirkan keretanya di bawah pohon hiasan yang merendang. Kelihatan anaknya Jehan juga ada bersama dengannya.

“Assalamualaikum, dah lama ke tunggu? Maaflah kereta meragam tadi.” Rajib bersalaman dengan Romli dan Azli. Dari kejauhan kelihatan Shazzuana dan Fazlun datang perlahan-lahan mendapatkan Romli dan Azli.

“Taklah lama sangat, bila kita nak bertolak?” soal Romli.

“Kita tunggu sikit lagi boleh tak?”

“Kenapa Rajib? Ada apa-apa masalah?”

Romli mengerutkan dahinya. Shazzuana, Fazlun dan Azli hanya diam sahaja. Manakala Jehan berdiri agak ke belakang dari ayahnya. Jehan memang seorang yang tidak banyak bercakap.

“Anak saudara saya dan kawannya nak ke Sungai Cicir juga. Mereka dalam perjalanan.” Ujar Rajib yang murah dengan senyuman.

“Kalau begitu kita minum dahulu ya, terasa dahaga pula.” Romli memberi cadangan.

Rajib bersetuju, manakala Shazzuana dan yang lain-lain hanya menurut sahaja. Mereka berenam berjalan menuju ke sebuah gerai minuman yang berhampiran. Azli mencuri-curi pandang ke arah Shazzuana.

Matanya bagaikan tidak puas memandang Shazzuana. Mujur jugalah tindakannya itu tidak disedari oleh Romli, Fazlun dan terutama sekali gadis itu, Shazzuana.

Rajib mengenali Romli semenjak dua tahun yang lepas lagi, waktu itu Romli datang ke Kenyir kerana ingin memancing dan Rajiblah yang membawa Romli ke setiap penjuru Tasik Kenyir, semata-mata mencari lubuk ikan. Kali ini tujuan Romli bukan lagi datang untuk memancing ikan, tetapi lebih kepada memburu dan menyelamatkan nyawa orang.
Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.