Home Novel Seram/Misteri MARGASATWA
MARGASATWA
Saidee Nor Azam
23/2/2013 13:30:04
103,561
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 11

Bab 11


Kampung Telaga

Tahun 1712

PENGHULU JANTAN mengajak Tamar ke kebunnya seketika, dia tahu Tamar mesti bosan duduk berbaring di dalam rumah sahaja. Lagi pun tidak manis kalau dibiarkan Tamar berada di rumah tatkala dia tiada bersama, ini kerana Penghulu Jantan tiada anak lelaki. Hanya Melur dan isterinya sahaja yang menjadi peneman hidupnya.

“Tamar, bagaimana dengan dada? Masih sakit lagikah?” Penghulu Jantan bertanya kepada Tamar.

“Alhamdulillah, rasa seperti sudah sembuh.” Tamar tersenyum. Dia yang membantu Penghulu Jantan membersihkan kawasan kebun kelihatan bersemangat melakukan tugas-tugasnya.

“Baguslah kalau begitu, Tuk ada perkara yang ingin katakan kepada Tamar.” Penghulu Jantan berhenti dari menebas tumbuh-tumbuhan liar yang hidup subur di kebunnya, dia melabuhkan punggungnya di atas rumput hijau berhampiran dengan sepohon kayu yang rendang. Tamar juga begitu, perlahan-lahan dia mendapatkan Penghulu Jantan.

“Ada apa yang Tuk ingin katakan?” Tamar terus bertanya setelah punggungnya dilabuhkan bersebelahan dengan Penghulu Jantan.

“Tuk tiada anak lelaki, Tuk risau tentang masa depan keluarga Tuk seandainya Tuk pergi dahulu sebelum mereka.” Penghulu Jantan memulakan rentak bicara sambil menyalakan rokok daunnya.

“Maksud Tuk?” Tamar masih lagi belum dapat meneka kiasan Penghulu Jantan.

“Tuk tengok Melur betul-betul sayangkan Tamar, Tuk juga perasan yang Tamar juga sukakan Melur.” Penghulu Jantan berkalih pandang ke arah Tamar seraya tersenyum.

“Er... Tamar kurang mengerti apa maksud Tuk.” Wajah Tamar mula berubah. Degup jantungnya juga berdetak kencang.

“Tuk bukan mahu memaksa Tamar, lagipun Tamar dan Melur sudah besar panjang. Tahu yang mana buruk dan yang mana baiknya. Baiklah, Tuk mahu bertanya pada Tamar. Adakah Tamar betul-betul sukakan anak Tuk?” satu soalan yang membuatkan Tamar terkedu.

“Cakaplah secara jujur dari hati, Tuk tak marah.” Penghulu Jantan menghembuskan asap dari rokok daunnya berkepul-kepul ke udara.

“Er... saya... er... ya, Tamar sukakan Melur.” Berat untuk meluahkan, Tamar terasa hangat pada wajahnya. Malu ketika berterus-terang di hadapan Penghulu Jantan.

“Baguslah kalau begitu, apa kata hujung minggu ini Tamar dan Melur bertunang.” Dengan bersahaja Penghulu Jantan berkata.

Tamar terdiam, malah tidak tahu untuk berkata apa-apa. Baginya terlalu awal untuk dia dan Melur mengikat tali pertunangan. Perkenalan yang belum lagi menjejak usia matang antara sebab kenapa Tamar terkedu mendengar keputusan Penghulu Jantan.

“Tapi...”

“Tamar jangan bimbang, segala urusan akan Tuk selesaikan dan akhir bulan ini Tamar dan Melur akan diijab kabulkan.” Kata Penghulu Jantan lagi.

“Akhir bulan kahwin?” Tamar ternganga.

“Ya, genap sebulan bertunang lepas itu kamu berdua terus kahwin. Lepas kahwin Tamar tidak payah bekerja mengambil upah membuat lukah dan bubu lagi. Dan Tamar bolehlah tinggal di rumah Tuk.” Ujar Penghulu Jantan lagi. Wajahnya kelihatan ceria.

“Tapi Tamar tak cukup duit untuk meminang Melur.” Jujur Tamar meluahkan isi hatinya.

“Tuk tidak mahu apa-apa dari Tamar, cukuplah sekadar menghadiahkan kitab Al-Quran tanda mas kahwin. Selebihnya biar Tuk yang uruskan.” Ulas Penghulu Jantan, dia faham dengan keadaan Tamar.

“Kalau begitu, Tamar setuju...”

Tamar menunduk, dia akur dengan ketentuan ILAHI terhadapnya. Tamar langsung tidak tersangka hari ini Penghulu Jantan telah ‘meminang’ Tamar untuk anak gadisnya, Melur. Dia yang segak berkulit cerah kelihatan cukup sepadan dengan kecantikan Melur.

“Alhamdulillah, kalau begitu mari kita pulang. Tuk nak sampaikan berita gembira ini kepada isteri Tuk dan semestinya Melur juga gembira mendengarnya.” Penghulu Jantan menepuk-nepuk bahu Tamar yang tegap itu. Dia ternyata gembira dengan kata putus yang keluar dari mulut Tamar.

“Eh, bukankah kita baru sampai di kebun?” Tamar hairan dengan tingkah laku Penghulu Jantan. Belum pun panas mentari singgah ke ubun-ubun, Penghulu Jantan sudah mahu berangkat pulang.

“Esok sahajalah kita sambung. Hari ini adalah hari yang paling gembira buat Tuk. Ayuh kita pulang.” Gesa Penghulu Jantan dan Tamar hanya menurut sahaja.


JALUK dan Ajak ketika ini sedang meredah hutan mencari akar dan rotan. Mereka tahu Tamar masih lagi belum pulih dan tinggal di rumah Penghulu Jantan. Bagi mereka ini adalah waktu yang sesuai untuk mencari rotan untuk membuat lukah dan bubu yang setanding dengan hasil tangan Tamar.

“Jaluk, kita dah masuk jauh ke dalam hutan ni. Aku risau kita akan tersesat.” Ajak menyeka peluh yang berjejeran membasahi wajahnya.

Kelihatan juga di bahunya segulung rotan yang telah diikat dengan kemas dan terbongkok-bongkok dia menggalas rotan yang berat itu.

“Kau jangan banyak cakap, kalau sudah memang dasar penakut, semuanya perkara kau akan fikir yang bukan-bukan.” Marah Jaluk.

Dia berjalan kehadapan sedikit sambil menghayun parang pendeknya, menebas setiap pokok-pokok renek yang menghalang laluannya. Ajak pula hanya menuruti dari belakang sahaja, dia bagaikan orang suruhan Jaluk, akur dan tunduk dengan perintah dari pemuda bertubuh kurus dan tinggi itu.

“Kita berehat dahulu, aku penat.” Ajak bersuara lagi. Wajahnya jelas sekali menggambarkan sudah kehausan tenaga.

“Ah, ada-ada sahaja.” Bentak Jaluk. Mereka berdua berhenti seketika di bawah pohon Cengal yang merendang.

“Jaluk, bila kita mahu pulang? Aku sudah tidak sanggup meredah hutan lagi.”

Ajak tersandar di banir Cengal yang besar, gulungan rotan yang digalasnya disandarkan dicelah-celah banir pokok. Dan dengan perlahan-lahan dia meneguk air yang dibawanya di dalam buluh. Aliran air yang dingin membuatkan rengkungannya terasa tenang.

“Masih terlalu awal untuk kita pulang, kita mesti cari rotan dengan lebih banyak lagi. Aku tidak mahu kalah dengan si Tamar.” Jaluk menekan sedikit suaranya.

“Api amarah mu masih menjulang tinggi anak muda.”

Tersentak Jaluk dan Ajak, serta-merta mereka berdua berpaling ke arah datangnya suara yang datang menyapa. Kelihatan seorang lelaki tua berjubah hitam datang dengan membawa tongkat panjangnya perlahan-lahan ke arah Jaluk dan Ajak. Lelaki tua itu adalah Namtar!

“Siapa kamu? Kenapa kamu boleh berada di dalam hutan sebegini?” Jaluk dapat menghidu sesuatu yang buruk terhadap lelaki tua berjubah hitam itu. lekas-lekas dia mengacukan parangnya.

“Kamu berani wahai Jaluk, aku suka dengan semangat dan api amarah kau itu.” Namtar bersikap tenang. Gerak langkahnya diteruskan walaupun Jaluk mengancamnya dengan parang.

“Bagaimana kamu tahu nama aku?!” bentak Jaluk dengan keras.

“Jaluk... aku rasa dia datang hendak membantu kita.” Ajak berdiri dan berbisik di sebelah Jaluk. Dia bagaikan dapat membaca niat Namtar walaupun sekadar menekanya sahaja.

“Ya, aku datang kerana ingin membantu kau Jaluk.” Ujar Namtar. Dia kini sedang berdiri dalam sedepa dari Jaluk dan Ajak.

“Bantu aku? Kau siapa dan hebat sangatkah kau sampai mahu membantu aku?” Jaluk tersenyum mengejek.

“Aku boleh buat rotan itu dibaluti emas, dan aku juga boleh membuat parang kamu bertukar menjadi batu.” Namtar yang berwajah lelaki tua itu tersenyum menyeringai menampakkan barisan gigi yang kekuningan.

“Kau memang pandai berborak orang tua!” Jaluk tidak percaya dengan kata-kata Namtar.

“Jaluk, kenapa dengan parang kau?” Ajak tersentak tatkala melihat parang yang dipegang oleh Jaluk bertukar menjadi batu.

Jaluk juga terperanjat, cepat-cepat dia melepaskan parangnya itu ke tanah. Kata-kata yang terluah dari mulut lelaki tua itu kini menjadi kenyataan. Jaluk memandang pula pada gulungan rotan pada banir pokok ketapang. Wajahnya berubah serta-merta apabila melihat gulungan rotan itu memancarkan cahaya keemasan. Melihatkan perubahan yang berlaku hati Jaluk mula diserang rasa kagum dengan kebolehan Namtar.

“Emas, emas...” Ajak terus mendapatkan gulungan rotan dan terus memeluknya. Wajahnya begitu gembira apabila melihat kekayaan di depan mata.

“Siapa kamu wahai orang tua? Dari mana kamu mendapat kuasa sebegini?”

Jaluk tidak seghairah Ajak tatkala terlihatkan emas. Dia masih tetap berdiri tegap mengadap Namtar. Jaluk masih berjaga-jaga, dia tahu dia kini berhadapan dengan seorang yang mempunyai ilmu yang cukup tinggi.

“Namaku Namtar. Aku datang kerana aku tahu apa keinginanmu anak muda.”

“Apa yang kamu mahu beri pada aku, wahai Namtar?” soal Jaluk.

“Ambillah kalung ini. Kamu pakailah, nescaya apa sahaja yang menghalang cita-citamu akan tersungkur menyembah bumi.” Ujar Namtar seraya menghulurkan kalung berwarna hitam kepada Jaluk. Jaluk menerima dengan berhati-hati, wajahnya berselirat dengan seribu persoalan.

“Apa lagi kehebatan kalung pemberian mu ini Namtar?” Jaluk masih tidak berpuas hati.

“Kamu akan jadi kebal dan kuat. Tapi ingat, jangan sesekali kamu biarkan kalung itu terkena darah kamu sendiri, nescaya buruk padahnya!” tegas Namtar.

“Aku juga mahu, aku mahu kalung seperti Jaluk...” Ajak yang masih memeluk gulungan rotan yang bertukar emas terus mendapatkan Namtar. Ketamakkannya jelas terserlah.

“Ajak, jangan biadap!” marah Jaluk pada ketamakkan Ajak.

“Pada kamu, aku hadiahkan badik emas ini. Kamu asapkanlah setiap malam jumaat dengan kemenyan dan mintalah apa sahaja yang kamu inginkan. Tetapi dengan syarat, sebut namaku sebanyak tiga kali. Sembahlah aku...” Namtar menghulur sebilah badik kecil kepada Ajak.

“Aku pulang dahulu.” Usai memberi hadiah kepada Jaluk dan Ajak, Namtar berpusing dan berjalan perlahan-lahan meninggalkan dua pemuda tersebut.

“Nanti dahulu Namtar, tunggu sebentar!” Jaluk memanggil Namtar yang kini sudahpun menghilang di sebalik pohon kayu yang merendang.

Jaluk cuba mengejar Namtar tetapi usahanya hanya sia-sia. Namtar sudah tidak kelihatan lagi. Jaluk hairan kenapa orang tua itu mahu menolongnya, dan bagaimana orang tua yang bernama Namtar itu mengetahui isi hatinya. Jaluk melihat kalung hitam yang masih digenggamannya.

“Jaluk, kau tunggu apa lagi? Pakai sahajalah kalung itu. hari ini adalah hari bertuah kita!” canang Ajak.

Ajak bagaikan hilang segala kepenatan yang melandanya sebentar tadi. Dia melompat kegembiraan kerana memiliki sesuatu yang tidak pernah dimilikinya sepanjang hayatnya. Emas dan kekayaan dunia.

Jaluk tersenyum melihat kegembiraan Ajak. Dengan perlahan-lahan dia memakai kalung pemberian Namtar ke lehernya. Dengan tiba-tiba Jaluk dapat merasakan ada satu kuasa datang meresap ke dalam tubuhnya. Jaluk terasa otot-otot di badannya mengembang dan dia dapat merasakan dirinya kini gagah dan tegap, tidak seperti dahulu.

Jaluk ketawa dengan sekuat-kuatnya, dia merasakan dirinya semakin kuat. Jaluk begitu gembira dengan perubahan yang berlaku. Rancangan untuk membunuh Tamar semakin menjadi kenyataan.

“Tamar, mayat kau akan aku cincang hingga lumat. Ha ha ha...!” Jaluk ketawa lagi. Dia dan Ajak bagaikan lupa dengan kuasa ALLAH. Kini mereka berdua sudah menjadi hamba kepada Namtar, sang iblis makhluk terkutuk.
Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.