Home Novel Seram/Misteri MARGASATWA
MARGASATWA
Saidee Nor Azam
23/2/2013 13:30:04
103,552
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 4

Bab 4

Sungai Cicir, Tasik Kenyir

Tahun 2012

RAJIB memperlahankan KD Kelisanya ketika menyelusuri Sungai Cicir, dia memutarkan kemudi botnya dengan perlahan-lahan agar tidak berlanggar dengan dahan-dahan pokok yang rendah hingga menyentuh dipermukaan air. KD Kelisa merupakan sebuah rumah bot yang dikhaskan untuk pelancong dan juga kaki pancing yang datang ke Tasik Kenyir untuk beriadah dan berkelah, rekaannya juga amat mesra pengguna. Suasana damai jelas terasa dengan kicauan burung-burung bersama suara unggas-unggas membuatkan melodi rimba terus berkumandang bagaikan mendendangkan lagu ke telinga Shuib dan Lokman.

Tiba di satu kawasan di mana akar-akar kayu daripada pokok-pokok berhampiran berjuntaian menyentuh permukaan air. Shuib tertawa apabila melihat sekawan kera liar bermain-main di pokok tersebut. Ada yang bergayut dari pohon ke pohon dan ada juga yang hanya duduk di atas dahan memerhatikan aksi kawan-kawannya.

Rajib memberhentikan seketika botnya dari jarak hampir sepuluh meter dari sekawan kera liar itu. Sesekali dia juga tertawa melihat kenalan kera hutan bermain-main antara satu sama lain. Satu pemandangan yang biasa dilihat disekitar Sungai Cicir. Lokman tertarik melihat seekor kera yang sedang bergayut pada akar pokok yang berjuntai, lekas-lekas dia merakam aksi berani mati kera tersebut dengan kamera videonya.

Lokman terperanjat apabila air berkocak dengan secara tiba-tiba dan seekor ikan yang begitu besar melompat dari dalam sungai dan menyambar kera yang sedang bergayut itu. kera-kera yang lain bertempiaran melarikan diri apabila melihat rakannya disambar. Sambaran yang cukup menggerunkan, sang kera yang malang itu langsung tidak menduga riwayatnya pada hari ini akan habis di mulut ikan pemangsa.

Kera malang itu masih meronta-ronta walaupun tubuhnya sudah berada di dalam mulut ikan yang besar saiznya, kelihatan tubuh kera itu tenggelam-timbul di permukaan air. Rontaan kera itu semakin lemah dan akhirnya tidak bergerak-gerak lagi. Perlahan-lahan ikan itu tenggelam semula ke dasar sungai bersama-sama santapannya. Tidak lama kemudian air sungai yang hijau bertukar kemerah-merahan dengan warna darah.

“Pak Rajib, ikan apa itu? ya ALLAH besarnya!” laung Lokman yang terus berlari ke hujung bot. Wajahnya kelihatan seperti tidak percaya.

“Ikan tu makan kera!” Shuib pula terlopong mulutnya setelah menyaksikan seekor kera hutan disambar oleh ikan yang begitu besar saiznya.

“Kalau korang nak tahu, itulah ikan yang korang nak pancing sangat. Ikan Tapah. Dan ini adalah lubuknya.”

Tenang Rajib menjawab walaupun dia sendiri sedikit terperanjat melihat aksi kera dibaham oleh ikan Tapah. Anak Rajib, Jehan sekadar memerhati dari dalam bot sahaja, dia berasa gentar untuk hampir dengan air. Dia juga tidak pernah melihat aksi kera disambar oleh seekor ikan yang bersaiz besar. Dan aksi yang jarang-jarang disaksikan itu telah terakam di dalam kamera video Lokman.

Rajib sudah biasa dengan pemandangan tersebut. Malah banyak kali juga dia mendengar cerita ikan Tapah membaham kera-kera yang bergayut berhampiran dengan sungai. Pernah suatu ketika dia terlihat seekor babi hutan yang sedang minum air di tebing sungai juga disambar oleh ikan Tapah yang bersaiz dua kali ganda besarnya dari babi hutan tersebut. Keganasan ikan Tapah hampir menyamai dengan keganasan ikan Arapaima Gigas yang biasa ditemui di hutan sungai Amazon.

“I... ikan Tapah?” Shuib bagaikan tidak percaya. Mulutnya ternganga.

“Kenapa besar sangat?” Lokman bertanya. Wajahnya kelihatan tegang.

“Memang ikan Tapah besar-besar dan memang ikan Tapah makan apa sahaja asalkan makanannya itu berdaging.” Ujar Rajib seraya tersenyum.

Diam seketika Lokman dan Shuib. Mereka berdua belum lagi pernah melihat aksi ikan Tapah menyambar mangsanya dari dalam air. Melompat seperti ikan lumba-lumba yang terlatih layaknya.

“Kalau tak salah, ikan Tapah yang paling besar pernah dinaikkan oleh pemancing bersaiz lebih kurang dua meter lebih dan beratnya menghampiri lima puluh kilogram. Dan dengar khabar pemancing tersebut sampai terseliuh tangannya ketika cuba menewaskan ikan Tapah itu. Korang berdua masih nak teruskan ke rancangan memburu Tapah?” Rajib bertanya secara sinis.

“Kami akan buru ikan Tapah yang lebih besar lagi.” Ujar Shuib dangan penuh yakin. Sebenarnya dia tidak mahu kalah dengan cerita Rajib. Dia mahu Rajib kagum dengannya. Manakala Lokman sekadar tersengih sahaja.

“Semoga korang berdua berjayalah hendaknya.” Rajib hanya tersenyum dengan semangat yang ditunjukkan oleh Shuib dan Lokman. Dia tahu darah orang muda sentiasa mudah tercabar dengan cerita-cerita yang mengujakan dan mencabar.

Kuala Lumpur

BANGSAR UTAMA sibuk seperti biasa, kereta berpusu-pusu datang dari setiap arah menandakan pemandunya mempunyai urusan yang perlu dilaksanakan dengan segera. Suasana sebegini adalah satu pemandangan yang biasa kita lihat, terutama sekali ketika di waktu puncak. Adi Putra meminta pemandu teksi menurunkannya di hadapan bangunan Maybank sahaja. Di situ dia akan berjalan perlahan-lahan menuju ke bangunan bersebelahan.

Adi Putra merupakan seorang penulis novel seram, hari ini dia akan menghantar salinan manuskripnya ke Syarikat Pena Prima Sdn Bhd. Dia berharap benar ceritanya kali ini mendapat tempat di hati pembaca, setelah novel pertamanya tidak begitu memberangsangkan hasil jualannya.

Adi Putra menaiki anak tangga Syarikat Pena Prima dengan perlahan-lahan, dia tidak mahu tergesa-gesa untuk sampai ke destinasinya. Apabila sampai di bahagian pentadbiran dan bilik pengarah Syarikat Pena Prima. Belumpun sempat Adi Putra memulas tombol pintu terlebih dahulu pintu pejabat Pena Prima terbuka. Seperti ada seseorang yang menolaknya dari dalam.

Seorang gadis muda dengan berbaju kurung jingga bertudung bawal terkejut melihat Adi Putra tercegat di hadapannya. Adi Putra hanya tersenyum tatkala mata mereka berdua bertentangan antara satu sama lain.

“Er... maaf, encik handak berjumpa dengan siapa?” bibir mongel gadis itu bergerak-gerak menuturkan soalan kepada Adi Putra.

Adi Putra terpaku melihat wajah lembut yang sedang berdiri dihadapan matanya, gadis yang berkulit kuning langsat, mata yang berkaca dan ada tahi lalat manis di dagu kiri menambahkan keayuan sang pemilik ini dan membuatkan Adi Putra ternganga.

“Encik... encik cari siapa?” sekali lagi soalan yang dilontarkannya kepada Adi Putra setelah pertanyaan yang pertama tidak terjawab. Gadis itu memandang Adi Putra dengan wajah kehairanan.

“Oh, maafkan saya... saya hendak berjumpa dengan May, saya ingin menghantar manuskrip novel saya.” Jujur Adi Putra.

“May ada di dalam, mari saya bawa encik berjumpa dengannya.” Senyuman manis terus bergayut di bibir gadis berbaju kurung sutera ini.

“Eh, tak perlulah susah-susah. Saya boleh masuk sendiri, lagipun saya sudah biasa dengan May.” Terang Adi Putra, dia menolak dengan baik.

“Oh kalau begitu encik masuklah ya,” gadis itu berlalu sambil tersenyum ke arah Adi Putra, Adi Putra sekadar mengangguk dan anak matanya langsung tidak berkerdip dari memandang wajah gadis muda yang baru sahaja berlalu menuruni anak tangga.

“Mesti pekerja baru...” gumam Adi Putra sendirian.

Adi Putra menolak pintu pejabat Syarikat Pena Prima dengan perlahan-lahan. Adi putra berjalan perlahan-lahan menuju ke arah May. Kelihatan May sedang sibuk melakukan kerja-kerja di mejanya, dia langsung tidak memandang Adi Putra yang sudah tercegat berdiri dihadapannya. May merupakan setiausaha yang sudah bekerja hampir lima tahun di syarikat itu. Wajahnya masih kelihatan muda walaupun usianya sudah menghampiri empat puluh tahun.

Hello May, sibuk sangatkah?” Adi Putra bertanya.

“Oh Adi, sorry May tak perasan. Bila you sampai?” May mendongak seraya bertanya.

“Dah hampir dua minit Adi berdiri di sini. Er, Tuan Haji Ali ada dalam bilik dia tak?” soal Adi Putra sambil tersenyum-senyum.

“Oh ada-ada, dia baru sahaja masuk. Apa mau?” kali ini giliran May pula yang bertanya.

“Tak ada apa-apa, Adi mahu hantar ini manuskrip dan softcopy novel Adi yang terbaru, itu sahaja.” Ujar Adi Putra.

“Wah, ada novel terbaru? Apa tajuk?” pelat cina masih lagi menebal di lidah May.

“Er, tajuk dia Kebangkitan.” Adi Putra tersenyum-senyum ke arah May.

“Pendeknya, kenapa tak buat tajuk yang panjang-panjang macam novel lepas?” May bertanya lagi. Wajahnya kelihatan tidak berpuas hati dengan tajuk yang diberikan oleh Adi Putra.

“Okeylah tu tajuk Kebangkitan, kalau Adi tulis tajuk Bangkit, lagilah pendek. Macam tajuk untuk kuih bangkit sahaja...” Adi Putra menyanggah kritikan May secara berseloroh, dia tidak mahu menyakiti hati sesiapa. Lagipun dia masih baru dengan May dan dalam dunia penulisan.

“Yelah, apa-apa sahajalah... you letaklah dahulu manuskrip you atas meja May, nanti May beri pada editor. Younak jumpa dengan Tuan Haji Ali ka?” tanya May lagi.

“Er, tak payahlah. Kirim salam sahaja pada dia ya. Saya mahu cari kedai makan, perut saya sudah berbunyi lagu keroncong ni...” seloroh Adi Putra lagi.

“Macam-macam sahajalah...”

May mencebik, dia kembali menyambung kerja-kerjanya. Adi Putra hanya tersenyum dan selajur itu juga dia menuju ke pintu untuk keluar dari pejabat Pena Prima. Tetapi dia terhenti dari melangkah dan berpaling kembali ke arah May.

“Er... May, siapa budak perempuan yang keluar tadi?” soal Adi Putra dengan teragak-agak. Dia berpatah balik ke arah May.

“Oh nama dia Nurul Farhana, dia budak praktikal kat sini. Kenapa?” soal May kembali.

“Tak mengapalah, sahaja bertanya.” Adi Putra tersengih-sengih. Kemudian dia meminta diri untuk pulang.

“Kalau nak berkenalan nanti May sampaikan pada dia.” May tersenyum sinis.

“Er... tak mengapalah, tak payah susah-susahlah... May, saya beransur-ansur dahulu ya.” Ujar Adi Putra, seraya tersengih-sengih bagaikan kerang busuk.

Adi Putra menuruni anak tangga dengan perlahan-lahan, tujuan asalnya sudah tercapai, kini dia perlu mencari kedai makan untuk mengisi perutnya yang sudah berkeroncong. Dalam hatinya dia berharap novel ke duanya ini akan menjadi novel yang terlaris jualannya nanti. Ini kerana percubaan pertamanya dengan mempertaruhkan novel yang bertajuk Apabila Senja Menjelang tidak mendapat sambutan yang menggalakkan. Adi tidak pernah berputus asa malah menganggapnya sebagai satu cabaran untuk terus berjuang dalam arena penulisan.

Sedar tidak sedar Adi Putra sudahpun tiba di hadapan restoran Mamak yang berhampiran. Dia melabuhkan punggungnya ke sebuah kerusi kayu, di atas meja kelihatan beberapa bungkus nasi lemak yang dibungkus dengan lipatan surat khabar lama. Adi Putra mengambil sebungkus, pagi ini perutnya yang masih lagi belum terisi akan diisi dengan sebungkus nasi lemak.

Usai menikmati nasi lemak bungkus, Adi Putra meneguk perlahan-lahan teh tarik yang dipesannya. Dia tersandar kekenyangan, sesekali terdengar dia tersendawa. Dalam pada dia sedang bersandar, matanya terpandang pada satu tajuk di kertas surat khabar yang menjadi bungkusan kepada nasi lemak yang dimakannya.

“Tiga pelajar Universiti hilang secara misteri?” Adi Putra membaca dengan perlahan-lahan.

Lekas-lekas dia mengambil kertas bungkusan nasi lemak itu dan membacanya tajuk kehilangan misteri pelajar institusi awam itu dengan penuh minat. Wajahnya berkerut tatkala membaca coretan wartawan akhbar tempatan itu. Adi Putra kelihatan berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi, tetapi malangnya dia hanya sempat membaca sedikit sahaja, ini kerana surat khabar lama itu sudah terkerat separuh.

“Cerita kehilangan pelajar Universiti ini boleh aku garapkan ke dalam novel aku yang seterusnya.” Adi Putra bercakap dengan dirinya sendiri.

Selepas dia membayar harga makanan dan minuman, Adi Putra terus bergegas mendapatkan teksi. Dia mahu segera pulang ke rumahnya dan melayari jalur lebar dengan niat ingin mencari kesudahan cerita dari akhbar tempatan tentang kehilangan pelajar-pelajar terbabit. Adi Putra bagaikan tertinggal dengan dunia luar, segala berita dan cerita langsung tidak dipedulikan, apatah lagi kalau hal ehwal semasa dan politik, semuanya tidak pernah menjadi keutamaannya selagi novelnya tidak siap dengan sepenuhnya.

Semenjak dia mengalami kekecewaan dalam percintaan, Adi Putra banyak menghabiskan masanya dengan menulis. Dengan cara ini dia berharap dapat melupakan Rahayu Razlan bekas kekasihnya yang kini sudahpun bergelar isteri orang. Mereka terpisah bukan kerana pergaduhan atau persengketaan, tetapi hati Rahayu Razlan sebenarnya telah berubah dengan serta-merta. Malah merelakan dirinya dirampas oleh seorang lelaki yang habis-habisan memburuk-burukkan Adi Putra agar Rahayu Razlan menjadi miliknya. Dan yang paling menghiris hati Adi Putra, Rahayu Razlan mempercayai setiap fitnah yang dilemparkan.

Apa yang tinggal pada Adi Putra, hanyalah satu kesan luka yang merobek-robek di dalam jiwanya. Kesan dari kecurangan Rahayu Razlan membuatkan Adi Putra tidak mempercayai lagi pada cinta. Dia tidak pernah berdendam dengan Rahayu Razlan dan pasangannya, tetapi dia sudah kehilangan rasa percaya pada golongan kaum hawa. Biarlah dia bercinta dengan ALLAH dan RasulNYA sahaja, apa yang pasti cinta hakiki akan tetap kekal selama-lamanya. Walaupun pada hakikatnya rasa cinta terhadap Rahayu Razlan masih lagi utuh di dalam sukma Adi Putra.

Akan kerana kekecewaan itulah yang menyebabkan Adi Putra menjadi penulis, dan kini keterujaannya itu mula bercambah apabila terbaca akan berita tentang kehilangan pelajar di Tasik Kenyir. Tidak mustahil kalau dia ke hutan Kenyir demi menggarap satu naskah yang pasti akan lain dari naskah-naskah miliknya sebelum ini.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.