KILAT
memancar membawa cahaya kepada kegelapan malam. Dan sejenak selepas itu datang
guruh berdentum-dentam memecah
keheningan malam, menanda hujan bakal turun mencurah-curah di langit malam.
Sesekali tiba angin menderu kencang, menerbangkan dedauan di perkarangan sebuah bangunan yang bertingkat lima itu.
Dia… duduk termanggu di hujung bangunan di aras lima. Bangunan yang terletak
sedikit terpencil dari mana-mana bangunan fakulti yang lain. Bangunan pada pandangan
hadapannya kelihatan seperti sudah berusia, lama dan… sunyi. Terutama sekali
pada lewat malam-malam sebegini.
Esak tangisan
kedengaran sayu dan mendayu-dayu. Dia duduk di atas lantai simen yang dingin
sambil memeluk kedua-dua belah lututnya, rambutnya yang panjang mengurai
mencecah ke bahu dibiarkan bergerak-gerak tatkala angin datang menderu. Dia
membenamkan mukanya seraya menangis teresak-esak. Kedengaran panjang dan sayu.
Waktu sudah menjengah
lewat malam, tiada seorang pelajar pun yang masih ada di bangunan setinggi lima
tingkat itu. Hendak-hendak lagi kala kilat dan guruh sabung-menyabung membangkitkan
rasa gentar di hati. Hanya dia! Ya, hanya dia sahaja yang seorang diri meratap
mengenangkan nasib dirinya.
“Aku juga ada perasaan, aku juga ada
hati… kenapa dunia ini tak adil? Kenapa?!” dia bermonolog sendirian, air
matanya terus merembes keluar.
Rambut dia kusut-masai
langsung tidak terurus. Angin malam mula bertiup dingin, dia mengangkat mukanya
perlahan-lahan. Esakkan yang menderu sebentar tadi mula kedengaran berkurangan.
Tetapi air matanya masih melimpah dari kolam matanya. Kilat memancar lagi,
memberikan satu cahaya yang terang-benderang menyinari kegelapan malam dan
wajah murung gadis itu terlihat seketika walaupun samar-samar.
“Aku juga ada hati, aku
bukan binatang… aku ada maruah!” bentak gadis itu keras. Bebelannya itu tiada
siapa yang mendengarnya.
Bergaung-gaung suaranya
di atas bangunan berkenaan. Dia langsung tidak bimbang sekiranya ada pengawal
keselamatan datang memarahinya. Kerana waktu-waktu begini adalah waktu yang
menjadi larangan buat sesiapa sahaja yang menceroboh masuk ke dalam bangunan
tersebut. Hujan lebat mulai turun dari langit malam, bunyi air hujan yang jatuh
kedengaran kasar. Rasa dingin mulai mencengkam tatkala angin malam turut serta hadir.
“Hanya kamu peneman
kala aku sunyi…” ucap gadis itu seraya mengusap gelang kaki yang berkilauan
setiap kali cahaya kilat memancar di langit malam.
Gelang kaki emas itu
dibelai-belai dan diusap dengan penuh rasa kasih. Entah kenapa dia berbicara
dengan benda yang tidak bernyawa itu. Mungkin hanya gelang yang sentiasa
bergemerincing itu sahaja yang menjadi peneman hidupnya. Dia benar-benar
seorang gadis yang tiada berteman, sehingga menganggap gelang emas di kakinya
itu sebagai sahabat.
Dia bangun dengan perlahan-lahan,
pakaiannya kelihatan comot. Berbaju T putih dan hanya berseluar sukan. Dia
tidak mengenakan sepatu, hanya berkaki ayam. Wajahnya tidak jelas kelihatan
kerana terlindung dek rambutnya yang panjang dan tidak terurus. Dia berjalan
sedikit membongkok dan sesekali dia mengongoi tersedu-sedan dan kadang kala
bergumam sendirian. Entah apakah yang dicakapkannya pun tidak kedengaran dengan
jelas.
Dia kini berjalan
melewati sebuah bilik yang kelihatan seperti sebuah dewan kuliah. Bunyi
bergemerincing kedengaran setiap kali dia mengatur langkah kakinya. Dia
berjalan perlahan-lahan, dia berjalan seperti tidak bermaya sehingga badannya
terbongkok-bongkok. Lemah dan longlai, sesekali terdengar sedu sedan
tangisannya yang masih tersisa.
Gadis itu kini sudah
berada di hujung koridor, hanya tembok setinggi hampir mencecah lebih tiga kaki
menjadi penghalang untuknya meneruskan langkahan kakinya. Di sebalik tembok itu
tiada apa-apa lagi yang ada, kecuali tanah dan pepohon yang merendang di bawah
sana. Di situ dia berdiri kaku bersama tangisan yang masih belum lagi berhenti.
Dia mendongak perlahan-lahan melihat langit malam untuk seketika. Memandang langit malam
yang kelam bersama dengan simbahan air hujan.
“Aku tak layak hidup di
dunia ini lagi… semua orang benci aku… aku hodoh… aku aneh… aku tak layak…!”
Gadis itu seolah-olah
mengadu pada air hujan yang mencurah-curah ke bumi. Omelan suaranya
berselang-seli dengan dentuman guruh di langit. Kuat memekakkan telinga. Dia
kemudiannya menundukkan kepalanya seraya mengeluh. Kedengaran begitu hampa. Dia
memanjat tembok tinggi yang menghampiri tiga kaki itu dengan perlahan-lahan. Kini
dia sudah berdiri di atas tembok itu dengan tanpa ada rasa gentar atau bimbang
tergelincir jatuh. Walaupun ketinggian bangunan berkenaan hanyalah lima tingkat,
tetapi risiko untuk cedera amatlah tinggi. Silap langkah kematian yang akan
menjengah.
“Hoi! Siapa tu? Buat
apa malam-malam buta kat sini?” sergah serorang lelaki dengan kasar mengejutkan
gadis itu.
Gadis itu berpaling
perlahan-lahan ke arah suara yang menegurnya tadi. Suara seorang pengawal
keselamatan datang dari belakangnya. Lelaki yang berpakaian uniform biru gelap
itu menyuluh lampu picitnya ke arah gadis yang sudah pun berdiri di atas tembok
di hujung koridor bangunan berkenaan.
“Buat apa ni? turun-turun!
Tak takut mati ke apa?!” pengawal itu terus menekan suaranya, kedengaran
seperti memberi arahan secara paksa agar gadis itu turun dari tembok di koridor
itu.
“Semua orang tak suka
aku, semua orang marah aku… aku memang perempuan yang malang! Tiada siapa yang
mahu berkawan dengan aku!” dia menangis lagi.
Dia kembali memandang
ke arah langit malam, langsung tidak mengendahkan arahan pengawal keselamatan
itu. Sesekali angin menderu, rambutnya akan beralun berterbangan bagaikan
menari-nari. Tempias air hujan membasahi sedikit batang tubuhnya, namun dia
langsung tidak mengendahkan suasana persekitarannya sekarang ini.
“Apa yang kau mengarut
ni? Jangan nak berdrama la kat sini. Sudah, turun dan ikut saya jumpa Warden!”
Arah pengawal itu lagi.
Pengawal itu bagaikan tidak termakan dengan kata-kata dari si dia. Gadis itu
terus setia berdiri di atas tembok. Pengawal tersebut berasakan si gadis itu
hanya mengugut sahaja, sedangkan dia tidak tahu akan bagaimana berkocaknya
perasaan dan jiwa si gadis berkulit sederhana cerah itu. Gadis itu berpaling
semula pada pengawal yang berkasar dengannya. Bukan hendak memujuknya, tetapi
pengawal itu siap menyindir dirinya lagi. Hatinya yang terguris makin dihiris
rasa sakit yang tidak pernah henti-henti meramas perasaannya.
“Terima kasih…”
Ucap
gadis itu perlahan. Satu ukiran nipis terukir di bibirnya sebelum dia
mencondongkan tubuhnya ke hadapan, dan batang tubuh yang tidak bermaya itu
terjunam jatuh dari atas tembok penghadang tempat dia berdiri. Bunyi gelang
kaki kedengaran bergemerincing lagi seiring dengan pergerakkan kaki dan
tubuhnya yang melayang jatuh ke bawah.