BAB 15
Bunyi penyaman udara jenama York yang berkeriuk-keriuk dari
tadi segera menangkap ke gegendang telinga Tipah. Perlahan-lahan dia membuka
matanya. Wajah Pak Saad dan Melah segera menerpa ke ruangan matanya. Ya, dia
masih lagi berada di dalam balai polis ini. Namun seraut wajah yang seringkali
mencuri ketenangannya siang dan malam tidak kelihatan di mana-mana. Sah! Pasti
dia mengelamun lagi!
Tipah cuba bangkit namun tubuhnya yang lemah tidak
membuatkan kakinya tidak berdaya untuk berdiri.
“Duduklah dulu, tak payah bangun. Badan awak tu masih lemah
lagi.” Tipah terpana. Suara yang datang dari belakangnya itu amat-amat di
kenalinya! Takkanlah dia benar-benar ada di sini? Tipah segera berpaling ke
belakang. Rayyan sedang berdiri di situ sambil berpeluk tubuh. Bibirnya tidak
henti-henti menguntum senyuman. Baru sahaja Tipah ingin memengsankan dirinya
apabila tiba-tiba terasa dahinya di tunjal dengan keras.
“Adoi!! Sakitlah!” Gerutu Tipah sambil menggosok-gosok
dahinya.
Melah menggerutu. “Padan muka kau! Jangan nak buat-buat
pengsan lagi, yer? Nak tercabut pinggang aku ni angkat kau, tau tak?”
Tipah hanya menyerigai. “Alah, nak manja-manja sikit pun tak
boleh.”
Pak Saad segera menyampuk. “Sudahlah tu. Semuanya pun dah
selesai. Nasib baiklah ada Rayyan. Kalau tidak kamu tu tidur dalam lokap malam
ni. Ucaplah terima kasih kat Rayyan tu.”
Acuh tak acuh sahaja ungkapan tersebut terletus dari bibir
Tipah. “Terima kasihlah. Dahlah ayah, jom kita balik. Punggung Tipah ni pun dah
naik kematu duduk atas simen kat dalam lokap tu tadi.”
“Yelah. Jomlah kita balik.” Pantas Tipah menarik tangan
ayahnya dan Melah sebelum menghayunkan langkah kakinya laju-laju meninggalkan
Rayyan terpinga-pinga. Tidak sanggup rasanya dia bertentangan mata dengan
Rayyan. Luka di hatinya masih belum pulih sepenuhnya.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Jam di dinding menunjukkan ke angka lapan. Rayyan melangkah
keluar dari bilik. Kelibat Tipah tidak kelihatan di mana-mana. Makcik Rosnah
sedang sibuk berperang dengan pinggan mangkuk di dapur. Dengan perlahan-lahan
Rayyan menghampiri Pak Saad yang sedang khusyuk membaca suratkhabar. Begitu
lekanya Pak Saad sehinggakan tidak di sedarinya yang Rayyan sudah melabuhkan
punggung di sebelahnya.
Rayyan sengaja mendehem kuat. Taktiknya untuk memancing
perhatian Pak Saad ternyata berjaya. Terus sahaja Pak Saad melabuhkan suratkhabar
di tangannya ke atas meja.
Rayyan mengumpul segala kekuatannya untuk berkata-kata. “Err..pakcik...sebenarnya
ada perkara yang saya nak bincangkan dengan pakcik. Saya harap pakcik boleh
menimbangkan permintaan saya ini dengan sebaik-baiknya.”
Pak Saad merenung tajam ke arah Rayyan. “Ada perkara apa
sebenarnya ni, Rayyan? Cuba kamu terangkan pada pakcik.”
Rayyan menarik nafas panjang. “Pakcik, sebenarnya tujuan
saya ke mari adalah untuk...untuk meminta keizinan dari pakcik. Saya ingin
menyunting Tipah sebagai isteri saya yang sah.”
Tersentak seketika Pak Saad. “Hah? Kamu nak kahwin dengan
Tipah? Bukan ke aritu kamu yang beria-ria tak mahu kahwin dengan dia? Apa yang
telah membuatkan kamu berubah fikiran tiba-tiba ni?” Bertalu-talu Rayyan di
tebak dengan soalan demi soalan oleh Pak Saad. Namun di kuatkan hatinya untuk meneruskan
misi penting ini!
“Pakcik, memang betul tempohari saya yang beria-ria tak nak
kahwin dengan Tipah. Tapi keengganan saya tempohari bukanlah bermakna saya tidak
sukakan Tipah. Cuma saya sendiri yang belum bersedia untuk menepuhi alam
perkahwinan itu sendiri.”
Pak Saad menghembus nafas kasar. “ Dahlah Rayyan. Tak
payahlah ungkit benda yang dah lepas. Pakcik sekeluarga tidak pernah marahkan
kamu. Kita lupakan saja peristiwa tempohari, ya? Anggap saja benda tu tak
pernah berlaku.”
Rayyan menggaru-garu kepala. “Itu yang tak boleh tu pakcik
sebab sekarang saya betul-betul nak kahwin dengan Tipah. Saya harap pakcik akan
benarkan.”
Pak Saad menyandarkan badannya ke kerusi. Pada hematnya
Rayyan benar-benar bersungguh kali ini. “Macam ni jelah Rayyan. Pakcik memang
takde apa-apa halangan. Sekarang ni pakcik nak Rayyan tanya sendiri pada Tipah.
Rayyan pun tahu kan peristiwa tempohari telah memberi tamparan yang hebat buat
Tipah. Pakcik nak Rayyan sendiri dapatkan persetujuan dari dia. Setuju Tipah,
setujulah Pakcik.” Rayyan terkedu. Misinya tampak bertambah sukar. Sejak pulang
dari balai polis Tipah langsung tidak mahu bersemuka dengannya. Nampaknya dia
harus merangka strategi baru demi memenangi hati sepupunya itu!
Rayyan bingkas bangun. “Baiklah pakcik. Saya sendiri akan
bercakap dengan dia.” Pantas Rayyan melangkah menuju ke bilik Tipah.
“Rayyan, Tipah takde dalam biliknya. Dia pergi ke surau
dengan kawan-kawannya. Tunggulah dia balik nanti.”
“Oh, yeke? Takpelah kalau macam tu saya pergi cari dia kat
sana.” Terkocoh-kocoh Rayyan menuruni tangga. Dalam sekelip mata dia sudah
menghilang di celah kepekatan malam. Pak Saad hanya menggeleng-gelengkan
kepalanya.
Bunyi burung hantu yang bersahutan memecahkan keheningan
malam yang semakin kelam. Namun ianya sedikit pun tidak mampu menggentarkan
jiwa Tipah, Melah, Tijah dan Lili. Mereka berempat berjalan beriringan dan
melangkah keluar dari surau Kampung Delima dengan hati yang cekal.
Melah memecahkan suasana dengan lontaran soalan cepumasnya.
“Hei Tipah! Kenapa si Rayyan tu datang balik ke sini, hah? Bukan ke aritu dia
yang beria-ria tak nak kahwin dengan kau?”
Tijah mencelah. “Dia gila talak kot!” Mereka berempat ketawa
terbahak-bahak.
Tipah menggeleng-gelengkan kepala. “Gila talak apanya? Nikah
pun belum. Tuler, aku pun rasa macam ada sesuatu yang tak kena je. Sejak dari
petang tadi dia cuba nak bercakap dengan aku tapi aku buat bodoh je. Malas aku
nak layan perangai dia tu."
Lili pula menukas. “Lah, kenapa kau tak nak layan dia pulak?
Patutnya kau kena buat baik dengan dia kalau kau nak tahu rahsia dia.”
Tipah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Ye tak ye
jugak kan. Tak terfikir pulak aku tadi.”
Melah mangacum Tipah. “Hah, inilah masanya kau nak tunjukkan
skill Charlie’s Angel kau tu! Jangan risau kitorang akan backup kau baik punya!
Yang penting kita mesti selidik apa tujuan sebenar putera kodok tu datang balik
ke sini.”
Tipah tersenyum sinis. “Jangan risau kawan-kawan. Kalau
betul putera kodok tu ada niat tak baik aku akan pastikan dia akan menyesal
seumur hidup!” Azam Tipah makin menebal. Walau apa pun yang terjadi muslihat
Rayyan akan di bongkarnya!
Sejurus selepas itu kelibat sesusuk tubuh yang sedang
melangkah menuju ke arah mereka.
“Hei! Itu Rayyanlah! Menyorok cepat!” Kelam-kabut Tipah,
Melah, Tijah dan Lili bersembunyi di sebalik pokok sena yang tumbuh merimbun.
Gugup seketika Melah dibuatnya. “Kita nak buat macam mana
ni, Tipah? Rayyan dah dekat nak sampai tu.” Fikiran jahat Tipat segera
membetikkan sesuatu di mindanya.
Tipah menenangkan Melah. “Relaks, jangan gabra. Kata nak
jadi Charlie’s Angel! Serahkan je semua pada aku.” Tangkas Tipah mengeluarkan
telekung daripada beg sandang PowerPuff Girl kesayangannya yang di belinya dari
Kedai Buku MPH. Di sarungkan telekung itu ke tubuhnya. Melah, Tijah dan Lili
seakan-akan dapat mengagak agenda Tipah.
“Kau biar betul, Tipah! Karang kalau tiba-tiba dia pengsan,
macam mana?” ujar Melah sedikit cuak.
Pantas Tipah menangkis. “Kau jangan risaulah! Takkanlah
sampai dia boleh pengsan, kot? Ini pun kira berlapik ler jugak aku kenakan dia,
tau? Kalau nak lagi ganas boleh je aku culik dia pastu aku campak kat
tengah-tengah bendang tu.”
Tijah mendesis. “Korang! Jangan bising! Dia dah dekat dah
tu!” Tipah segera mengambil tempat yang strategik. Terlihat kelibat Rayyan yang
terkocoh-kocoh melangkah menghampiri pokok tempat mereka berempat bersembunyi.
Sebaik sahaja Rayyan sampai ke situ, terus sahaja Tipah melompat keluar dari
sebalik pokok dengan kostum telekungnya.
Tipah memekik sekuat hati. “WARGHH!!!!”
“Alamak! Ada hantu! Tolong!!!” Pucat lesi muka Rayyan. Dia
benar-benar terkejut. Terus sahaja dia berpatah balik dan membuka langkah
seribu. Melah, Tijah dan Lili berguling-guling ketawa dari celah pokok
tersebut.
Entah bagaimana Rayyan tersilap langkah. Kakinya terseradung
sebiji batu besar dan tubuhnya terus melayang-layang ke atas rumput. Dia terus
terbaring tidak sedarkan diri.
Tipah tersentak. “Wei korang! Dia pengsanlah! Jom kita
tengok dia!” Tipah sudah berlari-lari menuju ke arah Rayyan. Terus di pangkunya
kepala Rayyan di atas ribaannya. Melah, Tijah dan Lili menyusul di belakang
sejurus selepas itu.
Menitik air mata Tipah melihatkan Rayyan terbujur kaku di
situ. “Rayyan! Bangunlah, Rayyan! Jangan takutkan saya! Tadi saya main-main je!
Tolonglah buka mata, Rayyan!”
Melah, Tijah dan Lili terkelu seketika. “Apa yang kita nak
buat ni, hah? Kita kena dapatkan pertolongan orang kampung.”
Tipah segera menghalang. “Jangan panggil orang kampung!
Kalau perkara ni sampai ke pengetahuan orang kampung, habislah aku kena dengan
makcik aku nanti.”
Melah segera membebel. “Hah, tahu pun takut. Kau kan tahu
betapa penakutnya putera kodok kau ni. Yang kau nak kenakan dia juga afsal? Habis
tu takkan kita nak biarkan si Rayyan ni terbongkang sorang-sorang kat sini?”
Tipah menghembus nafas kasar. “Yelah, aku yang salah. Macam
nilah. Melah, kau teman aku kat sini. Tijah dan Lili pulak pergi patah balik
kat surau, ambil air dalam baldi kecil kat tandas perempuan tu, bawa ke sini.
Manalah tahu lepas sapu air kat muka dia ni, dia akan sedar dari pengsan.”
Tijah dan Lili bingkas bangkit. Bergegas mereka berlari-lari anak ke arah surau
yang terletak berdekatan dengan tempat kejadian tersebut.
“Aku nak pergi ambil telekung aku kat belakang pokok tu
sekejap,” ujar Melah pula. Dia bingkas bangkit dan terus menuju ke arah pokok
persembunyian mereka tadi.
Kesempatan ini di ambil oleh Tipah untuk menelek-nelek wajah
putera kodok kesayangannya. Dia bermonolog sendiri. “Tengah pengsan pun hensem
lagi, kan? Kenapalah awak ni hensem sangat, Rayyan? Sampai susah betul saya nak
lupakan awak. Kan bagus kalau awak sudi kahwin dengan saya, mesti kita dah
berbahagia sekarang ni.”
Serta-merta mata Rayyan terbuka. Selamba dia menjawab.
“Siapa cakap saya tak sudi kahwin dengan awak? Pasal tulah saya datang balik ke
sini. Sudi tak awak jadi isteri saya?” Tipah kaget. Pantas dia menolak kepala
Rayyan dan bingkas bangun. Mujurlah malam yang kelam berjaya menyembunyikan
rona wajahnya yang sudah bertukar kemerah-merahan!
Rayyan segera menghadangnya. “Awak nak lari ke mana lagi ni,
Tipah? Kalau awak lari sampai ke hujung dunia sekalipun saya tetap akan cari
awak. Kalau awak tak kahwin dengan saya harta tu takkan jadi milik saya.” Opps!
Rayyan terus terdiam. Macam mana dia boleh tersasul pula ni?
Berkerut dahi Tipah. “Harta? Harta apa pulak ni? soal Tipah
kebingungan.
Akal Rayyan pantas membisikkan sesuatu ke mindanya.
“Err...tak...maksud saya...err...hah...awak ni seumpama harta yang tak ternilai
bagi saya.”
Tipah mencebik. “Saya ni umpama harta tak ternilai bagi
awaklah? Kenapa saya rasa macam tipu je, macam kelentong je kata-kata awak tu
yek?”
Dengan tidak semena-mena tubuh Tipah dan Rayyan basah lencun
di hujani sebaldi air hasil dari lontaran padu Tijah dan Lili!
Tipah terus memekik sekuat hati. “Wei! Afsal korang jirus
aku dengan air, hah?”
Tijah dan Lili sudah mengekek-negekek ketawa. “Padan muka
korang berdua! Suruh kitorang ambil air konon kat surau. Rupa-rupanya korang
seronok bercengkerama kat sini!”
Tipah berang. Segera dia menghambat Tijah dan Lili dari
belakang. Sepantas kilat mereka berdua berlari sambil ketawa terbahak-bahak.
“Jagalah korang! Kalau aku dapat korang, aku siram korang
dengan air lumpur pulak!” Rayyan hanya memerhatikan sahaja Tipah
berkejar-kejaran dengan rakan-rakannya sambil tersenyum. Meskipun bibirnya
mengukir senyuman namun hatinya di palu kebimbangan. Selagi Tipah tidak
memberikan persetujuan selagi itulah jiwanya tidak akan pernah tenang!