BAB 19 - Part 2
Walaupun majlis hari ni di buat secara
kecil-kecilan sahaja demi menghormati arwah Dato’ Khalid dan Datin Khalida
namun orang kampung tetap berpusu-pusu datang ke rumah Pak Saad. Mereka tidak
mahu ketinggalan menyaksikan majlis pernikahan di antara Rayyan dan Tipah yang
telah menjadi suatu fenomena di Kampung Delima ini.
Sedikit kehairanan bertapak di hati Pak
Saad. “Beria-ria pula orang kampung datang ke mari, ya? Pelik pula saya rasa.”
Makcik Rosnah tersenyum sinis. “Apa yang
nak peliknya? Diorang semua mana boleh lepaskan peluang ni. Yelah kot-kot
penganti lelaki nak cabut lari lagi di hari pernikahannya!”
Pak Saad segera menangkis. “Awak ni,
Rosnah. Tak baik cakap macam tu. Sepatutnya sebagai ibu bapa, kita patut doakan
anak kita yang baik-baik je.”
“Tipah tu anak awak, yer. Dia bukan anak
saya!” Bentak Makcik Rosnah sambil terus berlalu ke dapur. Pak Saad hanya mampu
mengeluh.
DI DALAM BILIK...
Melah sedang asyik memberikan sentuhan
ajaibnya pada wajah Tipah. Kali ini gaya solekan arab menjadi pilihan Melah.
Tatarias matanya banyak menggunakan teknik soket dengan warna-warna yang
berkilauan. ‘Eyeliner’ warna hitam tebal yang di calitkan pada kelopak atas dan
bawah mata Tipah benar-benar merubah wajahnya. Sekali pandang persis Ratu Rania
dari Jordan!
Melah tersenyum bangga apabila menatap
wajah anggun Tipah. “Lawanya kawan aku sorang ni! Aku harap kau dan Rayyan akan
berbahagia sampai ke akhir hayat. Aku akan doakan kau, Insya-Allah,” ujar Melah
sambil menahan sebak.
Tipah segera memeluk erat sahabat baiknya
itu. “Terima kasih, Melah. Kaulah sahabat aku dunia akhirat. Aku juga doakan
kau akan cepat-cepat bertemu jodoh.” Makcik Rosnah terjegul di sebalik pintu
dengan wajah yang kelat.
“Tak payahlah nak emo sangat! Sudah tu,
keluar ke depan sekarang. Tok kadi dan pengantin lelaki dah bersiap-sedia kat
depan tu.” Pelukan mereka berdua terlerai. Melah segera mengiringi Tipah
melangkah keluar dari bilik. Semua mata yang memandang nyata terpukau dengan
kejelitaan Tipah.
Rayyan juga tidak terkecuali. Tidak
berkelip matanya memandang seraut wajah nan jelita itu. Namun segera dia
memujuk hatinya. “Rayyan! Tolong jangan tergoda dengan dia. Kau ada misi yang
perlu di lakukan. Jangan rosakkan segala misi kau hanya semata-mata kerana
dia!”
Tok kadi segera bersuara. “Baiklah!
Semuanya sudah bersedia, bukan? Sekarang dengan lafaz bismillahirrohmanirrohim
saya mulakan majlis ini.” Tok kadi memulakan mukadimahnya dengan bacaan khutbah
nikah. Tipah mendengarnya dengan khusyuk. Lain pula halnya dengan Rayyan. Darah
gemuruhnya sudah mula datang. Jantungnya berdegup kencang bagaikan tidak dapat
di tahan-tahan lagi. Ngeri dia memikirkan yang bila-bila masa sahaja dari
sekarang upacara akad nikah akan di langsungkan. Walaupun sudah puas dia
menghafaz akad nikah sejak dari malam semalam namun gementar di hatinya
langsung tidak memudar.
Selesai sudah bacaan khutbah akad nikah. Terus
sahaja Tok Kadi berkalih ke arah Rayyan. Tangan Rayyan di jabatnya dengann
kuat. “Kamu dah sedia, Rayyan? Rayyan Haikal bin Khalid, aku nikahkan dikau
dengan Latifah binti Saad dengan berwali hakimkan aku dengan mas kahwinnya
sepuluh ribu lapan puluh ringgit tunai...”
Entah mengapa tiba-tiba darah Rayyan
berderau. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. “Err...err...hmm...err..”
Tok kadi tersenyum. “Awak ni gugup sangat
ni! Cuba bawak bertenang. Tarik nafas panjang-panjang. Ok mari kita cuba sekali
lagi. Rayyan Haikal bin Khalid, aku nikahkan dikau dengan Latifah binti Saad
dengan berwali hakimkan aku dengan mas kahwinnya sepuluh ribu lapan puluh
ringgit tunai...”
“Aku terima nikah Pak Saad dengan mas
kahwinnya...”
Tok kadi segera menarik tangannya dari
genggaman Rayyan. “Itu nama ayahnya! Takkan kamu nak menikah dengan ayahnya
pulak?” Seisi rumah pecah dengan gelak-tawa. Rayyan tambah kalut.
“Takpe. Kita cuba sekali lagi. Rayyan
Haikal bin Khalid, aku nikahkan dikau dengan Latifah binti Saad dengan berwali
hakimkan aku dengan mas kahwinnya sepuluh ribu lapan puluh ringgit tunai...”
“Aku terima nikah Tipah dengan mas
kahwin...” Sekali lagi meletus gelak-tawa seluruh penduduk kampung yang berada
di situ.
Tergeleng-geleng kepala Tok Kadi. “Rayyan,
kamu kena sebut nama penuh pengantin perempuan, tak boleh sebut nama glemer
dia, faham?”
Peluh renik mula terbit di dahi Rayyan.
“Err...yer tok. Saya cuba sekali lagi.”
“Baiklah. Rayyan Haikal bin Khalid, aku
nikahkan dikau dengan Latifah binti Saad dengan berwali hakimkan aku dengan mas
kahwinnya sepuluh ribu lapan puluh ringgit tunai...”
“Aku terima nikah Latifah binti Saad dengan
mas kahwinnya sepuluh ribu lapan puluh ringgit tunai...”
Secara tiba-tiba Tipah berteriak dengan
kuat. “Ya, sah tok kadi! Sah!” Semua orang memandang ke arah Tipah dengan wajah
kehairanan.
Tok kadi menepuk-nepuk dahinya. “Astagfirullahalazim!
Yang kamu menyampuk tu kenapa? Bukan pengantin perempuan yang sahkan
pernikahan! Itu saksi punya kerja! Aduh, pening kepala aku dengan kamu berdua
ni!” Sekali lagi rumah Pak Saad riuh rendah dengan gelak-tawa yang
berpanjangan.
Tipah menyengeh. “Oh, bukan saya yang
sahkan, yer? Sorilah tok, saya ter’over excited’ pulak.”
Tergeleng-geleng sekali lagi kepala Tok
Kadi. “Sudahlah tu. Kali ni kita buat betul-betul. Rayyan Haikal bin Khalid,
aku nikahkan dikau dengan Latifah binti Saad dengan berwali hakimkan aku dengan
mas kahwinnya sepuluh ribu lapan puluh ringgit tunai...”
Kali ini Rayyan menjawab dengan penuh
yakin. “Aku terima nikah Latifah binti Saad dengan mas kahwinnya sepuluh ribu
lapan puluh ringgit tunai...”
“Sah?”
Serentak kedua-dua saksi menjawab. “Sah!” Gembiranya
hati Tipah terkira. Akhirnya dia sah jadi milik mutlak Rayyan Haikal Dato’
Khalid. Bibirnya tidak putus-putus mengukir senyuman.
Selepas itu upacara bacaan taklik segera
mengambil tempat. Namun fikiran Tipah sudah menerawang-rawang entah ke mana. Asyiknya
Tipah dalam lamunan sehinggakan dia tidak sedar Rayyan sudah berada betul-betul
di hadapannya!
Merah padam seketika wajah Tipah. Rayyan
segera menyarungkan seutas gelang emas bertahtakan berlian ke tangan kanan
Tipah. Pantas Tipah mencium tangan Rayyan. Di kucupnya tangan suaminya itu
dengan penuh kesyahduan. Sebaik sahaja dia mengangkat muka, Rayyan terus
mendekatinya. Sebuah kucupan dari sang suami buat pertama kalinya hinggap di
dahi sang isteri. Air mata kegembiraan menitis membasahi pipi Tipah.
‘Ya Allah
Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agamaMu
Bimbinglah aku menjadi isteri solehah
Hanya padaMu Ya Allah ku pohon segala harapan
Kerana aku pasrah dengan dugaanMu, Kerana aku sedar hinanya aku
Kerana aku insan lemah yang kerap keliru
Kerana aku leka dengan keindahan duniamu, Kerana kurang
kesabaran ku menghadapi cabaranMu, Kerana pendek akal ku mengharungi ujianMu
Ya Allah Tuhanku…
Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati
Isteri yang dikasihi, Isteri yang solehah, Isteri yang sentiasa dihati
Amin Ya Rabbi Allamin..’