BAB 17
Lepas satu, satu kedai barangan elektrik di jejaki oleh
Makcik Rosnah. Dia mahu memilih oven terkini dengan rekabentuk paling canggih
membuatkan pencariannya memakan masa yang lama. Soal harga langsung tidak
menjadi kudis buat Makcik Rosnah kerana Rayyan selaku ‘bank bergeraknya’ juga
turut serta dalam pencarian ini.
Rayyan menggerutu di dalam hati. Naik kematu kaki di buatnya
dalam meladeni tingkal laku bakal ibu mertuanya ini. Kalau bukan kerana misinya
untuk menawan hati Tipah, tidak ingin rasanya dia melayan karenah Makcik
Rosnah. Banyak benar songehnya!
“Rayyan! Mari sini, Rayyan! Cantik tak periuk dan pemanggang
ajaib serbaguna ni? Makcik dah lama mengidam nak beli periuk macam ni. Kalau
beli sekali oven dengan periuk ni, boleh dapat diskaun,” seru Makcik Rosnah
dengan girang.
Rayyan mencempung rasa geramnya padat-padat dalam dada. “Eh,
takde masalah. Ambil je apa yang makcik nak. Semuanya saya belanja,” tukas
Rayyan sambil tersenyum sinis.
Makcik Rosnah terlonjak kesukaan. “Terima kasih, Rayyan.
Baik betul kamu ni. Untunglah siapa yang dapat bersuamikan kamu.”
Bersinar-sinar mata Rayyan mendengarnya. “Suami? Saya nak
jadi suami kepada anak makcik, boleh?” Namun kata-kata itu hanya mampu bergema
di dalam hatinya sahaja.
Pak Saad menghampiri mereka dengan wajah yang kusam.
“Sudah-sudahlah tu, Rosnah. Berapa banyak lagi duit Rayyan yang awak nak
habiskan ni?”
Makcik Rosnah tersenyum sumbing. Hatinya puas tidak terperi.
Akhirnya dapat juga dia mengikis harta arwah Dato’ Khalid. Namun ini baru
permulaan. Segaris senyuman terus mewarnai bibirnya. Dia tidak akan berhenti
selagi cita-citanya tidak tercapai!
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Petang yang mendamaikan. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Alunan
lembutnya berpupuk lembut di pipi sang dara yang sedang leka menikmati
keindahan alam anugerah Ilahi. Tipah, Melah, Tijah dan Lili sedang asyik
bersantai di pangkin yang di payungi pepohonan mempelam yang merimbun. Masing-masing
terduduk kepenatan setelah hampir seharian mengerah sekalian tenaga yang ada
untuk membersihkan dapur Makcik Rosnah hasil dari projek cupcake mereka yang
tidak menjadi.
Kata-kata amaran dari Makcik Rosnah masih terngiang-ngiang
di gegendang telinga mereka. “Aku mahu dapur ni kemas seperti sediakala sebaik
sahaja aku balik nanti. Kalau tidak, nahas korang berempat aku kerjakan!” Atas
dasar itulah mereka berempat bekerja dengan bersungguh-sungguh. Hasilnya dapur
itu kelihatan berkilau-kilauan dari jauh!
Tiba-tiba sebuah lori berlogo ‘Seng Heng’ meluncur masuk ke
halaman rumah tersebut.
“Aik? Ayah aku tak cakap pun nak beli barang elektrik. Salah
rumah kot diorang ni,” getus Tipah sambil terus melangkah menghampiri lori
tersebut. Melah, Tijah dan Lili segera membontotinya.
Seorang lelaki berbangsa Cina yang berkulit putih melepak
turun dari lori tersebut. Dia terus mendapatkan Tipah. “Ini lumah Encik Saad
ka? Ada balang mahu kasi antar.”
Tipah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Ini memang
rumah Encik Saad tapi kitorang takde order apa-apa barang. Awak ni dah salah
rumah, kot.”
“Haiya, mana boleh itu macam. Ini balang memang sini punya
tempat woo. Semua balang ini sudah bayar habis woo, talak hutang punya,”
bersungguh-sungguh lelaki Cina itu cuba menyakinkan Tipah.
Sejurus selepas itu sebuah teksi menjalar masuk dan berhenti
betul-betul di belakang lori tersebut. Makcik Rosnah melangkah keluar dengan
penuh bergaya. Pantas dia memberi arahan kepada lelaki Cina tadi. “Leng chai,
you tolong angkat semua barang-barang ini naik ke rumah, ya.” Barangan demi
barangan mula di punggah dan di angkut ke dalam rumah.
Terbelalak biji mata Tipah apabila melihat barang-barang
yang telah di beli oleh Makcik Rosnah. Bukan setakat oven dan periuk pemanggang
ajaib, turut serta dalam senarai barangan tersebut adalah mesin pemutar kek,
hud dapur dan yang paling memeranjatkan adalah tiga unit penghawa dingin!
Tipah segera menghampiri Pak Saad. “Ayah! Mana ayah dapat
banyak duit beli semua benda-benda ni? Kan ladang ayah tengah bermasalah sekarang?”
Selamba Makcik Rosnah menukas. “Tak payah nak beranganlah,
Tipah. Kalau nak harapkan ayah kau, alamat sampai aku mati belum tentu lagi
merasa nak pakai semua benda ni. Ni ha, si Rayyan ni yang paling berjasa. Dia
yang belikan semua ni untuk aku. Bukan macam kau, tahu nak lingkupkan harta aku
je!”
Rayyan mengerling sinis ke arah Tipah. Sakit pula hati Tipah
melihat Makcik Rosnah memuji-muji Rayyan tinggi melangit.
Melah terlompat-lompat keriangan. “Wah! Semua ni awak yang
belikan, Rayyan? Kalau macam tu bolehlah awak belikan saya peti televisyen yang
baru pasal peti televisyen kat rumah saya dah rosak.”
Rayyan tersentak namun dia cuba mengawal tingkah-laku
plastiknya. “Err...boleh, takde masalah.”
Hati Tipah bagaikan di renjat amarah yang bertubi-tubi.
“Hei, tak payah nak berlakon baik sangatlah, putera kodok! Ini semua mesti ada
udang di sebalik batu!” Pantas Tipah melangkah memasuki rumah dengan wajah
cemberut. Sukar baginya untuk mempercayai kebaikan yang cuba di hamparkan oleh
sepupunya itu setelah teruk hatinya di lukai tempohari!
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Tipah terkesima melihatkan pelbagai hidangan yang menjentik
selera yang terhampar di atas meja malam itu. Beria-ria benar Makcik Rosnah
malam ini. Ini pasti penangan rasuah Rayyan petang tadi.
Rayyan muncul di sisi Tipah. Sempat lagi dia berbisik manja
ke telinga Tipah. “Untukmu apa-apa sahaja sanggup saya redahi, Tipah.”
Merah padam wajah Tipah di buatnya. Cepat-cepat dia
melangkah ke arah Makcik Rosnah yang sedang menceduk lauk ke dalam pinggan. “Makcik,
biar saya tolong cedukkan kuah tu. Rayyan tengah tunggu makcik kat meja tu.”
Tergedik-gedik Makcik Rosnah mendengarnya. “Oh, yeke? Nah
ambil pinggan ni. Aku kena layan si Rayyan tu baik-baik. Dia sekarang dah jadi
tetamu khas aku,” balas Makcik Rosnah sambil terkocoh-kocoh mendapatkan Rayyan.
Malam itu Rayyan mendapat layanan kelas pertama dari Makcik
Rosnah. Beria-ria Makcik Rosnah mencedukkan lauk dan menuangkan minuman kepada
Rayyan. “Tambah lagi, Rayyan! Kamu kena makan lebih sikit. Semua makanan ni
makcik masak khas untuk kamu.”
Meluat pula Tipah melihat layanan terlampau Makcik Rosnah pada
Rayyan. Wajah kelat Tipah di sambut dengan senyuman sinis Rayyan. Bertambah panas hati
Tipah di buatnya lantas kaki kanannya di hayunkan laju-laju tepat mengenai kaki
Rayyan.
“ADOI!!!!” Pekik Rayyan sekuat hati.
Kelam-kabut Makcik Rosnah mendengarnya. “Kenapa ni Rayyan? Afsal
kamu menjerit?”
Selamba Tipah menyuap saki-baki makanan dari dalam pinggan
ke mulutnya tanpa sebarang perasaan bersalah. Sedaya-upaya Rayyan memekung
perasaan geramnya. “Takde apa, makcik. Kaki saya ni kena gigit dengan semut
betina,” perli Rayyan sambil menjeling tajam ke arah Tipah.
Mengilai-ngilai Makcik Rosnah ketawa. “Pandai pula semut
betina tu cari mangsa, ya? Ada-ada sajalah kamu ni, Rayyan.”
Riuh-rendah di meja makan langsung tidak meresap di jiwa Pak
Saad. Seribu satu kerut di dahi Pak Saad sudah cukup menggambarkan betapa
kusutnya fikirannya di kala itu. Dia asyik memikirkan mengenai nasib ladangnya
yang kian terumbang-ambing. Hanya keajaiban sahaja yang mampu mengheretnya
keluar dari kemelut ini.
Tipah mengerling sayu ke arah Pak Saad. Dia seakan-akan
dapat membaca fikiran Pak Saad. Namun apakah yang terdaya di lakukannya? Projek
cupcakenya petang tadi sudah menemui titik kegagalan. Apa yang patut di
lakukannya sekarang?
Rayyan sedar akan riak-riak kekusutan yang melanda Pak Saad
dan Tipah. Dia sudah merangka strategi serampang dua mata bagi menangani
kebuntuan mereka berdua. Tindakan yang bakal di ambilnya ini bakal memberi
impak yang besar. Dia yakin dan pasti kali ini pasti dia akan menjadi hero di
hati Tipah!
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Buat julung kalinya Rayyan bangun awal pagi itu. Niatnya
sudah di pasang untuk melaksanakan agendanya. Namun ternyata Pak Saad jauh
lebih awal darinya. Kelibat Pak Saad serta but keramatnya tidak kelihatan di
mana-mana. Terjengket-jengket Rayyan menuruni tangga. Dia tidak mahu Makcik
Rosnah yang sedang sibuk mempamerkan skilnya di dapur membaca gerak-gerinya.
Sejak dari semalam Makcik Rosnah asyik membontotinya ke mana sahaja dia pergi
sampai naik rimas pula jadinya.
Tanpa di sedari sepasang mata di birai jendela sedang asyik
menelek gerak-geri Rayyan. “Ke mana dia nak pergi agaknya?” getus Tipah dengan
penuh tanda-tanya.
Sebaik sahaja Rayyan menyarungkan kasut dan melangkah keluar
dari rumah tersebut, pantas Tipah mengikutinya dari belakang. Makin lama mereka
kian menghampiri ladang lembu Pak Saad.
Tipah bertambah bingung. “Apa yang dia nak buat kat sini?”
Rayyan tersenyum penuh makna. Dia dapat membaca kehadiran
Tipah di belakang dan memang inilah yang di idam-idamkannya! Langkah kaki
Rayyan semakin laju di hayunkan menuju ke arah Pak Saad dan Rahim yang sedang asyik
meneliti aliran kewangan syarikat.
“Assalamualaikum, pakcik,” sapa Rayyan sambil terus
bersalaman dengan Pak Saad dan Rahim. Tipah kian menghampiri. Dia segera
bersembunyi di sebalik tiang. Cuping telinganya mula di pasang besar-besar.
Kehadiran Rayyan di situ benar-benar mengejutkan Pak Saad.
“Walaikumsalam! Eh, apa yang kamu buat kat sini, Rayyan?”
Rayyan tersenyum simpul. “Saja je nak melawat ladang pakcik
ni. Pakcik, kalau saya cakap sesuatu, pakcik jangan marah, ya?”
Berkerut seketika dahi Pak Saad. “Ada apa-apa masalah ke,
Rayyan? Risau pulak pakcik mendengarnya.”
Rayyan menghela nafas. “Beginilah, pakcik. Sebenarnya...saya
datang sini sebab saya nak tolong pakcik. Itu pun kalau pakcik tak keberatan. Mungkin
pakcik hairan dari mana saya tahu semua cerita ni. Saya mohon maaf
banyak-banyak pada pakcik sebab saya curi-curi dengar perbualan pakcik dengan
Tipah semalam,” terang Rayyan panjang lebar.
Pak Saad tersenyum hambar. “Rayyan, sebenarnya pakcik tak
mahu menyusahkan sesiapa. Ladang ini adalah hasil usaha pakcik dan penduduk
Kampung Delima. Jadi walau macam mana perit sekalipun pakcik akan berusaha
untuk menyelesaikan segala permasalahan yang timbul.”
“Walaupun anak sendiri yang ingin membantu, pakcik tetap
menolaknya?” Tersentak Pak Saad mendengar kata-kata Rayyan itu.
“Pakcik, terus-terang saya katakan, sejak arwah papa dan
mama meninggalkan saya dan kak Raina, kami dah takde siapa-siapa lagi dalam
dunia ni. Cuma tinggal pakcik sekeluarga sahaja dalam hidup kami. Salahkah saya
nak menumpang kasih dengan pakcik sekeluarga? Saya dah anggap pakcik macam ayah
kandung saya sendiri jadi apa sahaja masalah pakcik sekarang adalah masalah
saya juga.”
ZASS!! Kata-kata Rayyan itu menyusup masuk ke tangkai hati
Tipah. Hatinya mula berbolak-balik. Adakah Rayyan benar-benar ikhlas terhadap
mereka sekeluarga?
Pak Saad menggeleng-gelengkan kepala. “Tak boleh macam tu,
Rayyan. Duit RM 10,000 tu bukan sikit
jumlahnya. Takkanlah kamu nak bagi macam tu je dengan pakcik? Apa pula kata
orang kampung nanti?”
Nampaknya wang ringgit tidak mampu mengaburi mata Pak Saad. Berbeda
sekali dengan Makcik Rosnah yang hidup bernobatkan harta benda semata-mata. Ligat
otak Rayyan memikirkan ayat-ayat jitu yang mampu mencairkan pendirian pakcik
saudaranya itu. Akhirnya satu idea yang bernas tercetus di dalam mindanya.
“Macam nilah, pakcik. Kalau pakcik segan nak terima duit
macam tu je dari saya, anggap jelah duit tu saya pinjamkan pada pakcik. Bila
pakcik dah ada wang nanti, pakcik bayarlah semula pada saya. Bayar
berdikit-dikit pun tak apa.”
Wajah suram Pak Saad terus bercahaya mendengarnya. “Betul ke
ni, Rayyan? Kamu tak main-main, kan?”
“Betul, pakcik. Saya tak main-main. Cuma...ada satu syarat
yang pakcik perlu penuhi,” ujar Rayyan dengan tegas.
Kaget seketika Pak Saad. “Apa syaratnya tu?”
Rayyan tersenyum lebar. Dia tahu kata-katanya ini dapat di
dengari oleh Tipah dengan jelas. “Saya nak pakcik rahsiakan hal ini daripada
makcik dan Tipah. Saya tak mahu diorang fikir saya buat macam ni semata-mata
nak buatkan Tipah berkahwin dengan saya. Memang niat saya datang ke mari untuk
menyunting Tipah tapi saya nak dia terima saya dengan kerelaan hati dia,
bukannya sebab terhutang budi atau faktor-faktor lain.”
Tipah terkesima. Rasa cinta yang telah mati dalam diri
bagaikan menerima suntikan penawar semula. Masih adakah rasa cinta itu?