Home Novel Komedi/Romantik Komedi PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 14

BAB 14

Dua minggu sudah berlalu sejak kejadian memalukan tempohari. Berita panas tersebut telah merebak hingga ke kampung seberang sana. Malunya Pak Saad dan Makcik Rosnah tidak terperi. Belum reda lagi perkara itu berita pemergian Dato’ Khalid dan Datin Khalida yang terkorban di dalam kemalangan maut beberapa hari selepas itu tambah menyesakkan dada Pak Saad sekeluarga. Pemergian Dato’ Khalid dan Datin Khalida bagaikan menutup pintu bagi kedua-dua keluarga. Impian Tipah untuk bersuamikan Rayyan nampaknya hanya sekadar tinggal kenangan.

Tipah masih setia duduk di bawah pondok kecil di tengah sawah bendang itu seorang diri. Dia masih melayani perasaan sedih yang semakin berkuping-kuping di dalam hatinya. Sejak kejadian memalukan itu, secara rasminya Tipah telah menamatkan permainan ‘kahwin-kahwin’nya. Tiada lagi bersanding, tiada lagi majlis tepung tawar, yang ada hanyalah seorang gadis yang saban waktu duduk termenung di pondok tersebut sambil di temani hembusan bayu yang menyentuh lembut pipinya. Jiwanya hancur apabila mengenangkan perbuatan Rayyan terhadapnya. Sampai hati kau, Rayyan!

Melah tiba-tiba muncul dari belakang. “Tipah! Apa yang kau buat kat sini sorang-sorang ni? Jom kita main kahwin-kahwin, nak? Aku dah bawak beg hikmat aku ni.” Melah mengunjurkan beg hikmatnya sambil tersengih-sengih.

Tipah mengeluh. “Buat apa nak main kahwin-kahwin lagi? Kan kau sendiri yang cakap pelamin angan aku dah musnah?”

Melah mengaru-garu kepalanya. “Ye tak ye jugak! Kalau macam tu apa kata kita main masak-masak, nak? Boleh juga hilangkan kesedihan di hati kau tu.”

Acuh tak acuh sahaja Tipah menjawab. “Sukati kaulah Melah. Janji kau bahagia.” Melah segera menarik beberapa tangkai padi yang sedang elok menguning. Kemudian segera di leraikannnya bulir-bulir padi yang merenek dari tangkainya lantas di masukkannya ke dalam sebuah mangkuk bujur yang dirembatnya dari rumah.

Tijah dan Lili muncul secara tiba-tiba. “Wei, main apa tu? Nak join sekali!” Pantas Tijah dan Lili juga menarik beberapa tangkai padi dan mengikuti segala perlakuan Melah. Akhirnya bulir-bulir padi yang kekuningan sudah memenuhi ruangan mangkuk tersebut.

Tijah mengambil segenggam padi tersebut dan terus merenjisnya ke arah mereka bertiga sambil menyanyi ria. “Renjis-renjis dipilis, di taburi lah mawar, cik adik duduk bersanding, di sirami air mawar!”

Serentak Melah dan Lili turut serta dalam nyanyian tersebut. “Renjis-renjis dipilis, di taburi lah mawar, cik adik duduk bersanding, di sirami air mawar!” Dada Tipah terasa sebak. Airmatanya pantas menuruni pipi gebunya. Luka di hati akibat kejadian tempohari masih belum pulih sepenuhnya. Tipah segera bangkit dari pondok itu. Dengan lemah dia menghayunkan kakinya dan berlalu pergi dari situ.

Melah segera mengarahkan mereka semua untuk diam. “Hei korang! Berhenti nyanyi. Tipah tengah sedihlah. Tak patut kita nyanyi lagu kahwin tadi. Tengok dia dah pergi.”

Tijah dan Lili serba-salah di buatnya. “Alamak! Macam mana boleh terlupa ni? Betullah cakap kau Melah. Kita tak patut nyanyi lagu kahwin depan Tipah. Sedih dia mesti tak habis lagi.” Terlajak perahu boleh di undur namun terlajak kata buruk padahnya. Tiada apa lagi yang mampu di lakukan oleh mereka bertiga untuk mengubati hati Tipah di kala ini.

Tipah melangkah dengan lemah. Langkah kakinya di hayunkan tidak keruan. Dia melintasi kedai runcit Wak Karman. Sekumpulan makcik merangkap paparazzi tidak bertauliah Kampung Delima sedang leka berbual di situ sambil memilih sayur-sayuran. Demi sahaja terpandang kelibat Tipah mereka mula bersoksek. Gegendang telinga Tipah dapat menangkap kata-kata kutukan mereka dengan jelas.

“Tak malu betul budak perempuan zaman sekarang ni! Orang lelaki takde apa-apa pun, diorang pulak yang sibuk-sibuk nak kahwin! Apa kata pepatah tu, hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong?” Kata-kata Makcik Jemah itu segera di sambut dengan gelak ketawa Makcik Pah dan Makcik Jenab.

Makcik Pah turut menambahkan rencahnya. “Ahalah! Selalunya orang lelaki yang sibuk-sibuk nak meminang, ini dah terbalik kod pulak! Tulah, dulu tiap-tiap hari berangan kat tengah sawah tu. Bersandinglah konon! Sekarang dah tak jadi kahwin, siapa yang malu? Kita sekampung jugak yang malu, kan?”

Menyirap darah Tipah di buatnya. Pantas dia menghampiri Makcik Pah. “Apa makcik cakap? Makcik malu yer? Meh sini saya tambah lagi malu makcik tu!” Pantas Tipah menceduk taugeh yang berendam di dalam baldi dan di jirusnya ke kepala Makcik Pah.

Terjerit-jerit Makcik Pah di buatnya. “Kurang ajar punya budak! Meh sini aku cili mulut kamu!” Makcik Pah sudah mencapai cili boh. Belum sempat Makcik Pah melontar Tipah meluru ke arahnya dan menolaknya dengan sekuat hati. Makcik Pah jatuh terduduk di atas pangkin yang menempatkan sayur-sayuran. Habis semua sayur-sayuran berteraburan ke seluruh tubuh Makcik Pah. Rupanya sekarang tak ubah macam maskot sayur-sayuran!

Wak Karman meluru keluar dari kedainya. Bagai hendak pecah perutnya ketawa apabila melihat rupa Makcik Pah yang sebegitu. Makcik Pah menjerkah Wak Karman. “Apa gelak-gelak? Wak pun sama je macam si Tipah ni!”

Wak Karman menggaru-garu kepalanya. “Lor, kok aku pulak yang di persalahkan? Hah, ni semua sayur-sayur yang dah rosak ni, siapa yang nak ganti?”

Makcik Pah menjuihkan bibirnya ke arah Tipah. “Suruh dia yang ganti! Siapa suruh dia cari pasal dulu!”

Tipah tersenyum sinis. “Jangan haraplah saya nak ganti! Makcik yang jatuhkan sayur-sayur tu afsal saya pulak nak kena ganti? Sorilah!” Selamba Tipah berlalu pergi dari situ. Namun Wak Karman ternyata lebih pantas. Cepat-cepat di hadangnya Tipah.

Dengan muka yang garang Wak Karman bertempik. “Kamu jangan nak lari, Tipah! Wak nak kamu sama Makcik Pah ganti balik semua sayur-sayuran yang dah rosak tu. Kalau tidak wak report sama polis!”

Tipah menukas. “Reportlah! Tak takut pun! Biar polis tu tangkap dulu Makcik Pah yang kepoh ni!”

Menyirap darah Makcik Pah. “Apa kamu cakap? Kamu ni sengaja cari nahas dengan aku!” Makcik Pah sudah meluru ke arah Tipah. Pipi mulus Tipah menjadi sasaran tujahannya namun Tipah pantas mengelak dan menepis.

Secara kebetulan kereta peronda polis lalu di situ. Melihatkan kepada riuh-rendah yang berlaku membuatkan pegawai polis tersebut terus memberhentikan kereta.

“Apa kecoh-kecoh ni?” Serentak Tipah, Makcik Pah dan Wak Karman memandang ke arah pekikan itu. Kemunculan pegawai polis itu amat melegakan Wak Karman. Dia segera berlari-lari anak ke arah pegawai polis tersebut.

“Tuan, dua orang perempuan ni dah jahanamkan kedai saya tapi diorang berdua tak mahu bayar ganti rugi,” adu Wak Karman.

Tipah mengetap bibirnya. “Wak ni nak kena belasah ke? Bukan saya yang buatlah, ni ha Makcik Pah kepoh ni yang buat. Suruhlah dia bayar!”

Makcik Pah menggerutu. “Aku tampar jugak muka budak ni karang! Dia sendiri yang salah, suka-suka je nak tuduh orang lain. Jangan haraplah aku nak bayar!”

Hilang sabar pegawai polis itu melihat kelakuan mereka bertiga. “Sudah tu! Jangan nak bising-bising kat sini. Sekarang ni awak bertiga ikut saya ke balai!”

Makcik Pah tersentak. “Eh, tolonglah jangan tangkap saya, encik. Saya tak bersalah. Budak tak betul ni yang cari pasal dulu.”

“Dah! Jangan banyak cakap! Masuk dalam kereta sekarang!” Nampaknya Tipah tiada pilihan. Dengan hati yang berat dia menghenyakkan punggungnya ke dalam perut kereta peronda polis itu. Mengamuk lagilah jawabnya bini tarzan kat rumah nanti!

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Dia sama sekali tidak menyangka kakinya akan di jejakkan sekali lagi ke tempat yang terpahat segala memori pahit dan manisnya beberapa minggu yang lepas. Jikalau bukan kerana wasiat keramat tersebut tidak sanggup rasanya dia menunjukkan wajahnya ke sini lagi setelah kejadian tempohari. Rayyan sendiri tidak tahu bagaimana dia mahu berhadapan dengan Pak Saad sekeluarga. Dia sendiri yang sudah meludah mereka jauh-jauh dari kehidupannya namun sekarang tampak ludah tersebut terpaksa di telannya semula. Apakah yang patut dilakukannya? Fikirannya buntu dan kacau.

Kata-kata amaran Raina masih terngiang-ngiang di telinganya. “Semua ni salah Rayyan! Kakak tak sangka Rayyan sanggup buat Tipah sekeluarga macam tu. Sekarang ni kakak tak peduli, kakak nak Rayyan balik ke Malaysia dan mohon maaf kepada Tipah sekeluarga!”

“Tapi kak...”

“Takde tapi-tapi lagi! Rayyan mesti kahwin dengan Tipah!”

Rayyan sekadar mencebik seraya menjeling tajam ke arah Raina. “Rayyan tak sangka betul! Kakak ni memang betul-betul tamakkan harta, kan? Demi harta arwah papa dan mama, sanggup kakak pertaruhkan adik kakak sendiri sebagai kambing hitamnya. Kakak memang kejam!”

PANG!!! Sebuah tamparan kuat hinggap di pipi Rayyan. Tersentak dia seketika.

“Jangan tuduh kakak macam tu! Rayyan, kakak bukan tamakkan harta. Kalau kakak tamakkan harta dah lama kakak bekerja di syarikat arwah papa. Aurora Electrical Services merupakan satu-satunya peninggalan arwah papa dan mama buat kita berdua. Takkanlah kita nak sia-siakannya begitu sahaja? Lagipun apa yang Rayyan dah buat pada keluarga Tipah tidak boleh di maafkan sama sekali. Kakak rasa inilah waktu yang sesuai untuk kamu menebus dosa kamu terhadap Tipah sekeluarga.”

Teksi limousin tersebut tiba-tiba berhenti mengejut sehingga tubuh Rayyan terdorong sedikit ke hadapan. Lamunannya serta-merta menjauh. “Kita dah sampai, encik.” Pemandu tersebut segera turun dan menuju ke bonet teksinya. Bagasi Rayyan di keluarkan dengan berhati-hati.

Rayyan pantas menyeluk kocek. Sekeping not seratus ringgit di hulurkan kepada pemandu teksi limousin tersebut. “Keep the change,” tingkah Rayyan bersahaja. Apa sangatlah nilai seratus ringgit itu berbanding dengan keselamatan dirinya. Serta-merta ingatannya tertancap pada peristiwa dia dan Tipah di kejar oleh pemandu teksi tempohari. Agak-agak kalau kali ni dia bertembung lagi dengan pemandu teksi gila tu, sudikah Tipah menyelamatkannya sekali lagi?

Pak Saad dan Makcik Rosnah melangkah keluar ke beranda rumah sebaik sahaja terdengar bunyi deruman enjin kereta. Terbeliak biji matanya apabila melihat sesusuk tubuh pemuda yang langsung tidak di jangkakan kehadirannya ke sini sama sekali!

“Rayyan! Apa yang kamu buat kat sini?”

Rayyan tertunduk malu. “Pakcik, sebenarnya...tujuan saya datang ke mari adalah untuk memohon maaf kepada pakcik sekeluarga atas perlakuan buruk saya tempohari.”

Pak Saad tersenyum hambar. “Takpelah Rayyan. Bukan salah Rayyan. Pakcik faham. Soal hati ni bukannya boleh di paksa-paksa.”

Makcik Rosnah mengerling dengan penuh kebencian. “Takkanlah kamu sanggup datang dari jauh semata-mata nak minta maaf pada kami? Mesti ada perkara lain ni, kan?”

Rayyan meneguk air liurnya berkali-kali. “Betul tekaan makcik tu. Sebenarnya saya datang sini dengan hajat yang sangat besar. Saya harap pakcik dan makcik akan memperkenankan hajat terakhir arwah papa dan mama saya.” Berkerut seketika dahi Pak Saad dan Makcik Rosnah. Sebelum sempat mereka berkata apa-apa suatu teriakan yang kuat hinggap di gegendang telinga mereka. Kelihatan kelibat Melah, Tijah dan Lili berlari-lari menghampiri perkarangan rumah Pak Saad.

“Pakcik! Tipah dan Makcik Pah bergaduh kat kedai Wak Karman! Polis dah tahan mereka berdua!”

Pak Saad sudah terjelepuk di muka pintu. “Ya Allah! Tipah! Kenapalah tak habis-habis buat masalah??”

Rayyan segera mendekati Pak Saad. “Pakcik jangan risau! Serahkan saja perkara ni pada saya. Walau apapun yang terjadi, Tipah akan saya pertahankan sehingga ke titisan darah saya yang terakhir!” Semua yang berada di situ terkesima seketika.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

“LATIFAH BINTI SAAD!” Tipah menjengah-jengah kepalanya ke luar lokap. Seorang anggota polis wanita membuka pintu lokap dan menggamitnya.

Pantas Tipah menghampiri polis wanita tersebut. “Kenapa, cik? Saya dah di dapati bersalah ke? Jadi apakah hukuman saya? Adakah saya akan di buang daerah?”

Bulat biji mata polis wanita tersebut mendengarnya. “Jangan nak mengarutlah! Dah ada orang datang jamin awak. Orang tu juga berjaya memujuk Wak Karman supaya menggugurkan tuduhannya terhadap awak dan Puan Syarifah. Jadi sekarang awak dah bebas!”

Berseri-seri wajah Tipah mendengarnya. “Betulkah, cik? Yabedabedu! Yihaa!! Cik, boleh saya jumpa orang yang berjasa besar pada saya tu?”

“Dia ada betul-betul kat belakang awak sekarang.” Tipah segera berpaling ke belakang. Wajah itu, tubuh itu, serupa betul dengan seseorang yang begitu dekat di hatinya. Benar-benar diakah? Hampir-hampir sahaja Tipah pitam di buatnya.

Rayyan menghampiri Tipah dengan senyuman yang paling manis. Sambil melutut, Rayyan mengeluarkan sebentuk cincin berlian dari poketnya seraya menghulurkannya pada Tipah. “Tipah, jadi isteri saya, boleh?”

Kali ini Tipah benar-benar pitam!


P/S : Apa sudah jadi? Dulu Tipah yang ajak Rayyan kahwin, ini Rayyan pula ajak Tipah kahwin?

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.