BAB 29 - Part 1
“Betul cakap makcik Roza tu! Kau kena ikut
laki kau, Tipah! Takkan senang-senang kau nak biarkan perempuan tu
bermaharajalela! Lawan, jangan tak lawan, Tipah! Jangan risau, aku akan sentiasa
sokong kau dari belakang!” laung Melah dengan penuh bersemangat. Ternganga
seketika Tipah dan Makcik Roza.
“Apa yang lawan-lawannya ni? Korang nak
pergi tengok WWE secara live ke?” serbu Raina dari belakang dengan riak
kehairanan.
“Cik Raina! Encik Rayyan dah buat perangai
pulak! Dia dah lari rumah dengan Cik Zeta!” beria-ria Makcik Roza mengadu
domba.
Berkerut dahi Raina di buatnya.
“Mengarutlah makcik ni! Lari apanya? Isteri dia Tipah kan ada kat sini?
Takkanlah dia nak buat perangai macam tu. Lagipun kaki dia tu belum sembuh
lagi, kan?”
“Betul tu, kak Raina. Saya pun nampak
dengan mata kepala saya tadi. Rayyan siap bawak beg baju lagi. Dahlah perempuan
urban tu pakai sikit punya seksi. Terjojol biji mata saya ni memandangnya!”
tokok Melah pula.
Raina mendengus kasar.
“Rayyan..Rayyan...tak habis-habis buat perangai! Bila nak berubah pun tak
tahulah!”
“Habis tu apa yang kita nak buat sekarang
ni Cik Raina? Makcik kesian sangat dengan Tipah ni. Tak patut Rayyan buat dia
macam tu,” acum Makcik Roza pula.
Raina juga benar-benar bingung. Dia sendiri
tidak tahu apa yang patut di lakukannya agar Rayyan sedar akan tanggungjawabnya
sebagai seorang suami. Betapa kusutnya fikiran mereka berempat sehinggakan
kehadiran SUV Porsche Cayenne Turbo S berwarna merah cili di perkarangan
kediaman ini tidak di sedari oleh mereka. Sudah agak lama juga Arif Ilham
memasang telinganya pada butir-butir perbualan mereka berempat rupa-rupanya!
“Sayang, jangan risau. Saya boleh tolong
Tipah cari Rayyan!”
Serentak semua berpaling ke arah Arif
Ilham. Raina segera menerpa ke arah kekasih hatinya. “Bila awak sampai? Saya
tak perasanlah,” gumam Raina dengan wajah terkulat-kulat.
“Macam mana nak perasan? Saya tengok
semuanya bukan main serius lagi berbincang. Jangan risau, serahkan saja
semuanya pada saya. Tahulah saya nak buat macam mana,” dengan yakin Arif Ilham
mengungkapkan kata-katanya. Terlopong seketika keempat-empat mereka. Terlorek
seribu satu soalan di wajah masing-masing.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Deringan telefon yang melantun-lantun dari
ruang depan menyentakkan Makcik Rosnah. Pantas dia berlari-lari anak. Segera di
capainya gagang telefon tersebut.
“Assalamulaikum.”
“Waalaikumsalam. Mak apa khabar?”
Hati Makcik Rosnah menggeletik gembira.
Suara di hujung talian itu benar-benar di rindui kelibatnya. “Raimi! Bertuah
punya anak! Lama kamu tak call mak. Ni apa mimpi kamu call tengahari rembang
ni?”
Senang hati Raimi mendengar suara ceria
ibunya. “Takde apalah mak. Saja je. Mak, kenapa tak bagitahu Tipah datang ke
Perth ni?”
Menjuih bibir Makcik Rosnah mendengar nama
‘musuh ketat’nya itu berkumandang dari bibir anaknya. “Malaslah mak nak ambil
tahu hal budak senget tu. Lagipun kan dia dah kahwin. Pandai-pandailah laki dia
jaga dia. Yang kamu sibuk sangat pasal
Tipah ni kenapa?”
Raimi mengeluh. “Raimi bukannya apa mak,
Raimi kesian dengan nasib Tipah tu.”
Berkerut dahi Makcik Rosnah di buatnya.
“Kesian? Nak kesian apanya? Dia dah dapat kahwin dengan laki kaya. Dah tentulah
sekarang dia hidup atas timbunan duit.”
“Mak tak tahu cerita sebenar. Kesian Tipah,
mak. Saya sendiri pun tak tahu macam mana nak tolong dia.”
Antena telinga Makci Rosnah mula
terceracak. Seronok benar hatinya mendengarkan Tipah sedang di rundung malang.
“Yeke? Apa pasalnya tu? Cuba kamu cerita dengan mak.”
Raimi meneguk air liurnya. “Panjang
ceritanya, mak. Untuk pengetahuan mak, Rayyan tu kahwin dengan Tipah
semata-mata kerana harta je. Dahlah si Rayyan
tu kaki perempuan, makan hati Tipah di buatnya.”
Mengekek-ngekek Makcik Rosnah ketawa. “Kamu
jangan nak buat lawak bodohlah, Raimi. Kerana harta apa bendanya? Si Tipah tu mana
ada harta, kalau menghabiskan harta ayahnya pandailah dia. Kalau si Rayyan tu
ada perempuan lain, memang mak tak heran langsung! Kamu tengok sajalah fesyen
si Tipah tu, macam badut sarkas kepala dungga je mak tengok.”
Tergeleng-geleng kepala Raimi mendengar
cercaan Makcik Rosnah terhadap Tipah. “Mak ni, tak baik cakap macam tu kat
Tipah! Sebenarnya semalam saya dan Tipah di jemput untuk bacaan wasiat arwah
Dato’ Khalid. Dalam wasiat tu tertulis yang Rayyan kena kahwin dengan Tipah
kalau dia nak mewarisi harta ayah dia. Kalau Rayyan ceraikan Tipah sebelum
genap setahun, semua harta tersebut akan jatuh ke tangan Tipah.”
Buntang biji mata Makcik Rosnah mendengarnya.
Serta-merta terangka pelbagai idea jahat di dalam otak jahat Makcik Rosnah. “Hah???
Kamu biar betul, Raimi? Kamu tak main-main, kan? Oh, maknanya ada peluanglah si
Tipah tu mewarisi segala harta-benda arwah Dato’ Khalid tu, kan? Bagus! Kamu
suka sangat dengan si Tipah tu, kan? Inilah masa untuk kamu rebut cintanya,
Raimi! Sambil menyelam minum air. Sambil rebut cintanya, kamu rebut juga
hartanya!”
Tersentak Raimi mendengar kata-kata Makcik
Rosnah. “Mak! Sampai hati mak cakap macam ni? Tipah tu kan adik Raimi,
takkanlah Raimi nak hancurkan rumahtangga dia pulak?”
Makcik Rosnah tersenyum sinis. “Kamu ingat
mak ni buta ke Raimi? Selama ni mak tahu kamu ada hati dengan Tipah, kan? Tak
payahlah nak tegakkan benang yang basah! Mak tahu apa yang ada dalam fikiran
kamu. Sekarang ni mak tak peduli. Kamu kena fikirkan cara untuk bolot segala
harta si Tipah tu!”