BAB 8
Pucat lesi wajah Tipah di buatnya. Habislah kali ini!
Tergagap-gagap Tipah menjawab. “Err...kasut...hmm...hah, tadi
ada tapi sekarang dah takde.” Tipah hanya mampu berdoa agar Rayyan tidak
perasan dengan kasut Adidas Porche Design di kakinya yang sudah seiras dengan
but yang di sarung oleh Raimi yang telah berpalit dengan lumpur. Telahan Tipah
ternyata silap. Mata Rayyan tidak pernah gagal dalam mengecam manikamnya!
Terbelalak biji matanya sebaik sahaja terpandang keadaan
terkini kasut kesayangannya itu. “Itu...itu kasut saya, kan? Ya ampun! Jahanam
kasut aku! Kenapa awak pakai kasut saya untuk ke ladang, Tipah? Kenapa?” Bagai
hendak di telannya Tipah hidup-hidup di situ.
Tipah buntu. Kalaulah dia tahu kasut ini kepunyaan Rayyan
sumpah mati balik hidup semula pun dia tidak akan menyentuh kasut itu.
Kebetulan dia berdiri di sebelah palong minuman yang menyalurkan bekalan air
bersih buat lembu yang terdapat di ladang itu. Dengan selambanya terus dia
mencelupkan kasut Rayyan ke dalam palong minuman tersebut!
Bagai nak pengsan Rayyan melihatnya. “Woi! Suka hati je
celup kasut tu dalam bekas minuman lembu! Kembanglah kasut tu! Harga kasut tu
RM 440, tau tak? Bukannya RM 4.40!”
Tipah menyerigai. “Alah kira ok lah tu. Tengok, tanggal dah
semua lumpur kat kasut awak ni. Kejap lagi awak jemurlah kasut awak kat tepi
bendang tu, gerenti cepat kering. Nah, ambiklah balik kasut ni. Tak best pun
pakai!” Selamba Tipah mengunjurkan semula kasut tersebut pada Rayyan.
Merah padam muka Rayyan di buatnya. “Tak guna betul! Siaplah
awak! Saya nak pergi mengadu kat makcik awak pasal perangai awak ni!”
Terkocoh-kocoh Rayyan menyarung semula kasut kesayangannya. Dengan wajah masam
mencuka dia terus berlalu dari situ.
Raimi tersenyum sinis. “Dahlah penakut, kaki mengadu pulak
tu! Perangai mengalahkan anak dara sunti! Kamu layanlah sangat Putera Kodok
kamu tu, Tipah!”
Tipah menyengeh. “Sayang punya pasal, bang. Redah jelah. Nak
di telan pahit, nak di buang sayang.” Sentap Raimi mendengarnya. Tidak di
sangkanya begitu besar sekali cinta Tipah pada Rayyan!
Pak Saad segera menghampiri mereka. “Apa yang kecoh-kecoh
tadi, Tipah, Raimi? Dari hujung sana ayah boleh dengar suara kamu semua.”
Pantas Raimi mengangkat bahunya. “Ayah tanyalah dengan Tipah
sendiri. Raimi tak nak masuk campur,” ujar Raimi sambil terus berlalu dari
situ.
Pak Saad berkalih pula pada Tipah. “Apa cerita ni, Tipah?
Cuba cakap dengan ayah!”
Tipah menggaru-garu kepalanya. “Macam ni jelah, ayah. Kejap lagi
kalau tiba-tiba Makcik Rosnah melolong macam bini tarzan, ayah pedulikan jelah,
ya? Anggaplah itu sebagai selingan iklan di pagi hari.” Belum sempat Pak Saad
bersuara Tipah sudah menghayunkan langkah ke arah Melah yang masih tercongok di
atas motosikalnya. Sejurus selepas itu motosikal Melah melunjur laju membelah keheningan
pagi.
Pak Saad hanya mampu menggelengkan kepala.
“Tipah...Tipah...Kalau sehari kamu tak buat hal memang tak sah,” gerutu Pak
Saad. Telahan Tipah ternyata tepat. Sebaik sahaja Pak Saad menjejakkan kaki ke
perkarangan rumah, laungan nyaring dari atas rumah segera menggegarkan suasana.
“Abang! Mana budak bertuah tu? Eei geram betul saya dengan
perangai dia! Tak habis-habis menyusahkan orang!” Padanlah Tipah menggelarnya
bini tarzan. Kalah Jacyln Victor! Kalau masuk Anugerah Juara Lagu anugerah
Vokal Terbaik sah dalam tangan!
Pak Saad terpinga-pinga. “Kenapa ni Rosnah? Pagi-pagi macam
ni dah bising-bising. Silap-silap sampai kampung seberang sana boleh dengar
suara awak.”
Panas hati Makcik Rosnah mendengarnya. “Awak jangan nak
naikkan darah saya lagi! Awak tahu apa yang anak kesayangan awak dah buat? Ada
ke patut di sauknya kasut Rayyan yang mahal tu sampai ke ladang lembu! Siapa
yang nak ganti kalau kasut tu rosak?” Riuh-rendah itu segera menggamit
perhatian Dato’ Khalid, Datin Khalida dan Rayyan. Bergegas mereka bertiga
menuju ke serambi hadapan. Rayyan tersenyum lebar. Pasti teruk Tipah akan di
marahi sebentar lagi. Puas hatinya sekarang!
Datin Khalida segera mencelah. “Ros, benda kecil je tu. Si
Rayyan ni manja sangat. Bukannya rosak pun kasut tu, basah sikit je.”
Pak Saad membidas. “Hah! Awak dah dengar sendiri apa yang
Ida cakap tu. Tak payahlah nak panjangkan benda yang remeh-temeh ni. Lagipun
tak lama lagi kan Tipah dan Rayyan akan di satukan sebagai suami isteri.
Kenalah belajar menerima dan berkongsi seadanya.”
Sampuk Dato’ Khalid pula. “Betul cakap kau tu, Saad. Rayyan,
beralahlah sikit dengan Tipah tu. Dia kan bakal isteri kamu. Cuba belajar jadi
matang sikit macam abang kamu Raimi tu.” Semua orang tersentak. Kata-kata
Dato’ Khalid itu benar-benar di luar jangkaan!
Rayyan berteriak. “Abang?? Bila masa pula Raimi tu jadi
abang saya?”
Pantas Dato’ Khalid menangkis. “Err...maksud papa Raimi tu
kan abang saudara kamu.” Kelegaan terpancar di wajah semua orang yang berada di
situ kecuali Makcik Rosnah. Sakit benar hatinya apabila seorang ayah tidak mahu
mengakui kewujudan anaknya sendiri. Dengan wajah masam mencuka dia terus
berlalu ke dapur.
Dato’ Khalid bersuara dengan tegas. “Rayyan! Mulai saat ini
papa tak mahu dengar kamu bertekak lagi dengan Tipah. Tidak lama lagi kamu akan
jadi suami isteri jadi belajarlah terima Tipah seadanya. Sekaranglah waktunya
untuk kamu menyelami dan mengenali dia dengan lebih dekat, bukannya asyik
bertekak dari pagi sampai malam.” Rayyan mendengus. Dia tidak faham mengapa
papa dan mama terlalu berkenan dengan gadis tersebut. Dahlah bengong, selamba
badak pulak tu. Mana padan dengan jejaka idaman ramai sepertinya.
“Kau tunggulah, Tipah. Aku akan gagalkan rancangan mak dan
ayah kita. Jangan haraplah aku nak kahwin dengan kau,” desis Rayyan dalam hati.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Hari ini awal pula Tipah dan kawan-kawan memulakan sessi
biasa mereka. Tipah bagaikan sudah menduga yang ribut tsunami sedang melanda
rumahnya. Pasti bini tarzan sedang mempamerkan kehebatan vokal nyaringnya.
Seperti biasa Melah bertindak sebagai mak andam manakala
Lili tetap setia sebagai pengapit pengantin. Tipah duduk tersipu-sipu di atas pelamin
seorang diri. Oleh kerana Ali tidak dapat menghadirkan diri pada sessi pagi ini
maka Tipah memutuskan sessi ini bertukar dari acara bersanding kepada acara
berinai.
“Tipah, aku rasa mesti makcik kau mengamuk gila kat rumah
tu. Yang kau pun satu. Kenapa kau bedal kasut si Rayyan tu?” soal Melah.
Tipah menyengeh. “Aku salah bajet daa! Aku ingatkan tu kasut
abang Raimi, sekali tu kasut Rayyan ler pulak. Nak buat macam mana, nasi dah
jadi bubur.”
Melah mengaru-garu kepalanya. “Nasi dah jadi bubur? Eh bila
masa pulak kau masak nasi?”
Pantas Lili menunjal kepala Melah. “Afsal lah kau ni bendul
sangat, hah? Nasi dah jadi bubur tu simpulan bahasalah. Takkan itu pun kau tak
tahu?”
Melah mencebik. “Alah kalau kau pandai sangat, cuba cakap
dengan aku apa maksud simpulan bahasa tu?”
Lili tersenyum simpul. “Senang jelah. Maksudnya kalau orang
dak tak nak dengan kita, buat apa kita nak terhegeh-hegeh.”
Kali ni giliran Tipah pula menunjal kepala Lili. “Eloklah
tu! Kau pun dua kali lima juga dengan si Melah ni. Nasi dah jadi bubur tu
bermaksud perkara yang dah terlanjur, dah tak boleh nak betulkan semula,
faham?”
Lili menggerutu. “Yelah Cik Tipah! Kami berdua ni kan
lembab, SPM pun dapat cukup-cukup makan je. Lainlah Cik Tipah kita ni, pelajar
STPM terbaiklah katakan.”
Kembang kuncup hidung mancung Tipah bila di puji sebegitu.
“Hah, tau takpe! Sekarang ni cepatlah makeup kan aku cantik-cantik! Hari ni kau
makeup aku ala-ala Ziana Zain pulak yek. Kening kasi tarik sikit.”
Melah sudah mengeluarkan peralatan soleknya. “Baik, cik
pengantin. Dah, jangan bergerak. Aku nak conteng kening kau ni.” Dengan
berhati-hati Melah menggunakan pensel mata berwarna hitam untuk membentuk
kening Tipah supaya lebih tajam dan lentik.
Dari jauh Rayyan sudah ternampak kelibat Tipah dan
rakan-rakan. Memang sudah di duganya Tipah pasti berada di ‘port’ kegemarannya
itu. Pondok kecil di tengah sawah bendang yang sedang subur menguning itu
sememangnya menjadi tempat keramat buat Tipah dan rakan-rakannya. Seluruh
penduduk kampung sudah sedia maklum akan hal itu.
Rayyan semakin menghampiri namun mereka berempat tidak
menyedari kemunculan pemuda tersebut. Sengaja Rayyan bertempik kuat-kuat.
“WOI!! Dah takde kerja lain ke? Dah tua-tua bangka pun nak
main kahwin-kahwin lagi ke? Eei tak malu betul! Tak hingin nak mengaku sepupu
kalau macam ni.”
Tersentak Tipah seketika. Namun dia tidak mudah mati akal.
“Baguslah kalau macam tu! Saya pun memang dah lama tak teringin nak mengaku
awak tu sebagai sepupu saya!”
Buntang biji mata Rayyan di buatnya. “Apa awak cakap? Berani
awak cakap macam tu, yer?”
Tipah tersengih. “Apa yang tak beraninya pulak? Saya memang
tak nak mengaku awak sebagai sepupu saya sebab lepas ni saya nak mengaku awak
sebagai suami saya!”
Merah padam muka Rayyan di buatnya. “Hei, Tipah! Boleh tak
awak jangan nak perasan sangat? Bila masa pulak yang saya cakap saya nak jadi
suami awak ni?”
Selamba Tipah menjawab. “Sekarang memanglah tak nak mengaku,
tunggulah bila kita dah nikah jangan-jangan awak pula yang terhegeh-hegeh nak
mengaku saya sebagai isteri awak pula nanti!”
Nak termuntah Rayyan mendengarnya. “Jangan nak perasanlah!
Eei makin lama saya bercakap dengan awak
makin menyakitkan hati ler pulak di buatnya! Hah, ni ada satu benda lagi saya
nak cakap. Siaplah awak balik rumah nanti. Makcik awak tengah mangamuk sakan
kat rumah tu.”
Tipah terkejut. “Ek eleh dia ni! Kuat mengadu macam
perempuan! Salah-salah perempuan lagi macho dari dia.”
Melah, Tijah dan Lili pantas mengejek. “Rayyan macam
perempuan, ye yey! Rayyan macam perempuan, ye yey!”
Menyirap darah Rayyan di buatnya. “Korang ni memang tak
sayang mulut kan? Nah, ambik ni!” Rayyan mengutip batu-batu kecil di atas tanah
dan segera melemparnya ke arah mereka berempat. Apalagi, mereka berempat terus
bertindakbalas!
Tipah berseru. “Kawan-kawan, kita lancarkan perang sekarang!
Serang musuh kita tu!” Mereka berempat turut mengutip batu-batu kecil dan
melemparnya semula kepada Rayyan. Mereka langsung tidak menyedari ada bala yang
bakal menanti! Ada sarang tebuan yang terletak betul-betul di atas pokok yang
memayungi pondok tersebut! Balingan Rayyan akhirnya tepat mengenai sarang
tersebut. Tebuan-tebuan yang kemarahan mula mengumpulkan koloni mereka. Nampaknya
kali ini peperangan di antara mereka bakal di sertai oleh sang tebuan pula!
Telinga Tipah yang peka segera dapat menangkap bunyi-bunyian
kuat yang di hasilkan oleh tebuan yang kemarahan. “Cop! Cop! Berhenti dulu!
Korang dengar tak apa yang aku dengar?” Serentak Rayyan, Tijah dan Lili
berhenti membaling. Mereka terdiam seketika. Segerombolan tebuan tiba-tiba
muncul dari atas bumbung dan bersedia untuk menyerang mereka!
Tipah segera membuka langkah seribu. “Lari semua! Tebuan tu
dah mengamuk!” Rayyan, Melah, Tijah dan Lili pantas menghayunkan langkah. Melah,
Tijah dan Lili segera menuju ke tali air yang berdekatan. Niat di hati mereka
ingin terjun ke dalam tali air tersebut namun nampak gayanya hasrat mereka
terbantut. Musim panas sejak kebelakangan ini membuatkan paras air dalam tali
air itu agak cetek dan tidak sesuai untuk melakukan aktiviti terjun tiruk di
situ.
Tipah dan Rayyan pula sudah berlari menuju ke hutan simpan
yang terletak di belakang sawah bendang itu. Tipah memekik-mekik memanggil
Melah, Tijah dan Lili. “Sini, wei! Ikut aku! Aku tahu nak menyorok kat mana!”
Berdedai-dedai Melah, Tijah dan Lili mengekori Tipah dan Rayyan dari belakang.
Bagaikan tidak cukup tanah mereka berlima berlari ke dalam hutan tersebut sehinggalah
kelibat tebuan tidak kelihatan lagi mengejar mereka. Tipah segera menghenyakkan
punggungnya ke atas perdu pokok merbau dalam keadaan yang tercungap-cungap. Melah,
Lili dan Tijah pula sudah terduduk keletihan. Cuma Rayyan sahaja yang masih
berdiri dengan wajah yang panik. Keadaan hutan tebal yang gelap dan suram
mencambahkan benih-benih ketakutan dalam dirinya.
“Hei, korang! Lain macam je tempat ni. Saya tak sedap
hatilah. Jom kita balik!”
Tipah menggerutu. “Boleh tak tolong sabar? Saya tak habis
lelah lagi ni. Relaslah dulu. Kejap lagi kita baliklah.”
Melah memerhatikan keadaan sekeliling dengan cuak. “Tipah,
kita nak balik macam mana, yek? Aku rasa kita dah sesat!”
Rayyan memekik. “WHAT?!”
P/S : Kita hanya merancang tapi Allah jugalah yang Maha menentukan segala-galanya. Segala yang berlaku ada hikmahnya. Mungkinkah hubungan Tipah dan Rayyan akan bertambah baik selepas ini?