BAB 20 - Part 1
Petang yang indah dan damai. Angin mendesir
dari celah-celah pepohonan padi yang subur menguning. Langit pula begitu cerah
sekali. Sekalian alam seakan-akan turut bergembira dengan terbinanya sebuah
lagi ikatan perkahwinan yang suci di antara Tipah dan Rayyan.
Namun Rayyan pula makin gelisah. Telefon
pintar di tangan di telek berkali-kali. Panggilan yang di tunggu-tunggu tidak
kunjung tiba. “Mana si Zaff ni? Tak reti-reti nak inform aku ke? Dari tadi aku
call langsung tak jawab. Eei panasnya hati aku ni!” gerutu Rayyan dalam hati.
Dari dapur Makcik Rosnah terlihat kelibat Rayyan di bawah pangkin tersebut.
“Ini peluang baik yang tak harus di
lepaskan! Aku kena jumpa dengan dia,” bisik Makcik Rosnah dalam hati.
Segera dia menghampiri Rayyan. “Rayyan,
makcik ada benda sikit nak cakap dengan kamu.”
Tersentak seketika Rayyan melihat wajah
serius Makcik Rosnah. “Ada apa ya, makcik?”
Makcik Rosnah bersuara dengan tegas. “Makcik
cuma nak tahu, sebelum papa dan mama kamu menghembuskan nafas yang terakhir,
ada tak diorang bagitahu apa-apa pada kamu?”
Berkerut dahi Rayyan. “Takde pulak diorang
cakap apa-apa. Kenapa makcik tanya saya soalan tu?”
Makcik Rosnah menyumpah dalam hati. “Celaka
kau, Khalid! Kau memang sengaja menidakkan hak Raimi. Aku takkan berputus asa,
Khalid. Walau apapun yang terjadi, aku akan pastikan Raimi akan mewarisi segala
harta-benda kau suatu hari nanti!”
“Makcik, kenapa makcik diam je ni? Kalau
ada apa-apa yang makcik nak cakap, saya sedia mendengarnya,” desak Rayyan
dengan nada tidak sabar.
Makcik Rosnah segera berdalih. “Tak ada
apa-apa, Rayyan. Cuma arwah papa kamu dah janji aritu, kalau kamu kahwin dengan
Tipah, kamu tak boleh abaikan kami sekeluarga. Pakcik kamu tu dah tua, tak
larat dah nak bekerja yang berat-berat lagi. Raimi pula masih belajar lagi. Kamu
faham maksud makcik, kan?”
Rayyan melepaskan sebuah keluhan yang
berat. “Ya, makcik. Saya faham. Jangan risau mulai bulan ini saya akan tanggung
segala perbelanjaan pakcik, makcik dan Raimi. Saya akan masukkan duit tu ke
dalam akaun pakcik tiap-tiap bulan. Makcik jangan risau.”
Makcik Rosnah tersenyum lebar. Jarumnya
makin mengena. “Lagi satu Rayyan, kalau boleh janganlah masukkan duit tu dalam
akaun pakcik kau. Dia mana reti sangat nak uruskan duit-duit ni semua. Selama
ni pun makcik yang uruskan segala urusan duit dalam rumah ni. Masukkan saja
duit tu dalam akaun makcik.”
Malas pula Rayyan nak berdebat. Dia hanya
mampu akur sahaja dengan permintaan Makcik Rosnah. “Yelah! Apa-apa jelah,
makcik. Nanti makcik bagi saya nombor akaun makcik, ya?”
“Ok nanti malam makcik bagi, ya. Terima
kasih, Rayyan.” Makcik Rosnah berlalu pergi dengan hati yang riang. Rayyan
hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Boleh tahan juga tamaknya mak
mertuanya ini!
Tipah tertinjau-tinjau dari serambi rumah. Dilihatnya
Rayyan sedang mundar-mandir di hadapan pangkin yang di payungi pepohonan
mempelam yang merimbun. Lagaknya bagai sedang menunggu seseorang yang penting.
Siapa pula agaknya? Tipah tidak mahu terus berteka-teki. Terus sahaja
langkahnya panjang menghampiri Rayyan.
“Tak sangka kita dah sah jadi suami isteri,
kan?” Tersentak Rayyan seketika dengan kemunculan Tipah di situ. Kacau daun
sungguhlah!
Acuh tak acuh sahaja Rayyan menjawab. “Ye
Cik Tipah.”
Unsur-unsur ketegangan jelas kedengaran
dalam nada suara Rayyan. Tipah bingung. Apakah agaknya yang menganggu fikiran
suaminya?
“Awak ada tunggu sesiapa ke? Dari tadi
gelisah je saya tengok. Kalau ada apa-apa masalah, ceritalah dengan saya. Mana
tahu saya boleh tolong.”
Meruap pula hati Rayyan mendengarnya. Belum
apa-apa lagi dah mula nak tunjuk kuasa ‘queen control’ nampak si Tipah ni!
Rayyan mendengus kasar. “Oh, nak tolong,
ya? Boleh tak tolong jangan sibuk hal saya? Saya masih mampu menangani masalah
saya sendiri, tak perlu orang lain nak masuk campur.”
Tersentak Tipah. “Orang lain? Saya ni
isteri awaklah! Sampai hati awak umpamakan saya ni macam orang lain?”
“Dahlah! Saya malas nak dengar semua ni.
Awak jangan nak kusutkan lagi fikiran saya ni!” Pantas Rayyan berlalu dari
situ. Terkebil-kebil Tipah di buatnya. Kenapa pula tiba-tiba Rayyan naik angin?
Apa salahnya? Hati Tipah mula berbolak-balik. Adakah dia telah melakukan
kesilapan yang paling besar dengan mengahwini lelaki yang bernama Rayyan Haikal
bin Dato’ Khalid ini?
Sejurus selepas itu sebuah teksi meluncur
masuk ke halaman rumah. Seorang lelaki melangkah keluar dari teksi itu. Tampannya!
Dup dap dup dap jantan Tipah di buatnya. Segera di dekatinya lelaki tersebut.
Di sapanya lelaki itu. “Assalamualaikum.
Encik ni cari siapa, ya?”