Home Novel Komedi/Romantik Komedi PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 9

BAB 9

Tipah cuba menenangkan keadaan. “Relaks semua! Jangan risau. Tipah the great kan ada bersama-sama dengan korang! Papehal kita duduk lepaskan penat dulu. Lepas tu baru kita fikir macam mana nak balik.”

Rayyan sudah mula naik angin. “Awak jangan nak main-main, Tipah! Benda ni tak kelakar, okay!”

Tipah tersenyum hambar. “Sabar! Jangan marah-marah. Sabar tu kan separuh dari iman. Sekurang-kurangnya dengan bersabar tenaga kita dapat di jimatkan.”

Rayyan mencebik. “Tenaga jimat apa kebendenya? Boleh tak awak berhenti mengarut? Ada jugak yang makan ranting kayu tengahari rembang ni karang!”

Sengih Tipah makin melebar. “Hah! Nampak tu? Semakin awak marah, semakin kurang tenaga dalam tubuh awak. Tubuh badan orang dewasa normal macam kita semua ni biasanya menggunakan 4.6 kilojoules tenaga seminit. Tadi pun kita dah berlari sakan, bermakna 30 kilojoules tenaga telah di bazirkan. 30 kilojoules tambah 4.6 kilojoules dah jadi 34.4 kilojoules. Awak dah marah-marah lebih kurang sepuluh minit jadi kita gandakan 4.6 kilojoules darab sepuluh kali. Ini bermakna setakat ni tenaga yang awak telah gunakan adalah 34.4 kilojoules tambah 46 kilojoules, jumlahnya adalah 80.4 kilojoules. Sementara kita nak cari jalan keluar nanti pasti awak sudah kehabisan tenaga.”

Melopong mulut Rayyan, Tijah dan Lili. Melah pula menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Kilojaoules tu apa yek? Pen kilometrico ke?” Terbahak-bahak Tipah, Tijah dan Lili ketawa.

Rayyan pula merenung Tipah dengan pandangan yang sukar di mengertikan. Dia tidak menyangka sepupunya yang nampak bodoh-bodoh alang boleh jadi sepintar ini. Terserlah sisi lain seorang Tipah di mata Rayyan!

Melah tampak bingung. “Afsal korang gelakkan aku, yek? Salah ke apa yang aku cakap?”

Selamba Tipah menukas. “Salah tu tidak tapi tak betul!”

Semakin bingung Melah jadinya. “Tak salah tapi tak betul? Apa benda ni wei? Aku tak fahamlah!” Kali ini Tipah, Tijah dan Lili tidak dapat menahan diri lagi. Mereka ketawa mengekek-ngekek sehingga berguling-guling di atas rumput.

Kasihan pula Rayyan melihat Melah terpinga-pinga keseorangan. “Ish korang ni! Tak patutlah korang main-mainkan dia. Tak guna jadi orang yang berilmu andainya kedekut untuk berkongsi ilmu. Ilmu yang sebaik-baiknya adalah ilmu yang di manfaatkan, di amalkan dan di kongsi bersama.”

Kali ini giliran Tipah pula yang melopong. Tidak disangkanya yang Rayyan pandai juga berfalsafah pujangga. Ini yang membuatkan hatinya bertambah sayang!

Tipah tersenyum lebar. “Maafkan kami semua wahai Encik Rayyan Haikal bin Dato’ Khalid @ Putera Kodok jikalau perbuatan kami semua tidak manis di mata tuan putera.”

Tersentak Rayyan seketika. “Apa awak panggil tadi? Putera Kodok? Bila masa pula nama saya jadi Putera Kodok ni?”

Tipah menyengeh. “Abang Raimi yang gelar awak nama tu. Yelah semalam kan awak larikan diri dari katak kat bilik air tu. Macam comel je gelaran Putera Kodok tu. Saya suka sangat!”

Berubah air muka Rayyan. “Cis! Balik-balik si Raimi! Takde nama orang lain ke yang nak di sebutnya? Dahlah mana je ada Tipah dah tentu ada dia. Tadi kat ladang lembu tu pun dia ada bersidai kat situ. Si Tipah ni pun satu, ikut je cakap si Raimi tu,” gerutu Rayyan dalam hati.

Rayyan segera membentak. “Awak jangan nak mengada bagi gelaran macam tu kat saya, yer? Saya tak suka! Dah, jom kita gerak sekarang sebelum hari gelap. Bak kata awak tadi kan, kita tak boleh bazirkan walau satu kilojoules pun tenaga kita.”

Tipah menjuih bibirnya. “Yelah, Putera Kodok...opps Encik Rayyan. Sori saya tershashul pulak hehehe. Lidah ni dah sedap dok sebut nama tu. Baiklah geng sekalian, jom kita mulakan misi mencari jalan pulang.” Terjegil mata Rayyan mendengar kata-kata Tipah itu.

Perjalanan mereka di teruskan. Juntaian peluh yang menitis membasahi pakaian masing-masing langsung tidak di hiraukan. Matlamat mereka hanya satu; segera keluar dari hutan ini. Mereka berlima cuba menjejaki semula kesan tapak kaki mereka namun tanpa di sedari ianya semakin membawa mereka jauh ke dalam hutan.

Tijah mula panik. “Tipah, aku rasa kita ni makin jauh ke tengah hutan. Apa kata kita patah balik semula?”

Lili juga sudah mula cuak. “Nak patah balik apanya? Aku tengok sama je jalan kat semua penjuru. Mana satu jalan kita nak pilih ni?”

Tipah menarik nafas panjang. Dia juga sudah kehabisan idea. “Entahlah. Aku pun dah buntu ni. Apa kata kita ambil laluan sebelah kanan? Sebab dalam Islam pun lebih afdhal kalau kita mendahulukan yang sebelah kanan berbanding dengan yang sebelah kiri.” Mereka semua mengangguk tanda setuju. Laluan sebelah kanan di redahi dengan perasaan yang bercampur-baur.

“AUUMMMM!!!!!!!!!!!!!”

Serentak langkah kaki mereka berlima terhenti. Meremang bulu roma masing-masing. Bunyi ngauman itu benar-benar menggerunkan!

Melah berpaut kuat pada lengan Tipah. “Kau dengar tak bunyi ngauman tu, Tipah? Mak aku pernah cakap dalam hutan ni ada hari...”

Serentak Tipah, Tijah, Lili dan Rayyan berdesis. “Syyhhh! Jangan sebut nama tu dalam hutan ni.”

“AUUMMMM!!!!!!!!!!!!!”

Kali ini bunyinya semakin kuat. Ini bermakna makhluk itu semakin hampir. Bagai hendak tercabut jantung Tipah di buatnya. Matanya meliar memerhatikan keadaan sekeliling. Terdengar bunyi derapan bagaikan seseorang sedang menyeret sesuatu yang berat di atas dedaunan kering. Dengan tidak semena-mena belukar yang terletak di hadapan mereka terkuak lebar. Muncul seekor harimau putih berbelang hitam yang besar dan merenung mereka dengan garang!

Melah mahu menjerit namun cepat-cepat Tipah menutup mulutnya. Harimau putih itu semakin menghampiri. Matanya yang hitam bersinar bagaikan dapat membaca fikiran mereka berlima. Tipah merasakan ada sesuatu yang mistik, aneh lagi pelik mengenai harimau itu. Hariamu jadian, barangkali? Terus dia teringat pada ceramah Ustaz Darus yang pernah di dengarinya di surau Kampung Delima beberapa bulan yang lepas.

‘petikan dari Hadis Abu Hurairah sesungguhnya Rasulullah bersabda : apabila azan di laungkan untuk sembahyang, syaitan lari terkentut-kentut lintang-pukang sehingga tidak mendengar suara azan dan apabila sempurna azan, dia datang hingga apabila di laungkan iqamah untuk sembahyang dia lari lagi, sehinggalah sempurna iqamah di baca, lalu dia datang menganggu dan menimbulkan rasa was-was dalam diri, membisikkan kepadanya, ingatkan itu dan ini sesuatu yang tidak terlintas sebelum ini, menyebabkan seseorang itu tidak sedar berapa rakaat dia sembahyang.’

Tipah segera menggesa Rayyan. “Awak! Azan kuat-kuat sekarang!”

Rayyan mengelengkan kepala. “Kenapa nak kena azan pulak? Tak naklah, mana saya reti. Awaklah yang azan.”

Tipah menepuk dahinya. “Mana boleh orang perempuan yang azan! Cepatlah! Takkanlah awak tak pernah belajar azan masa sekolah dulu?”

Rayyan menggerutu. “Memanglah ada tapi saat-saat genting macam ni mana saya nak ingat! Lagipun suara saya bukannnya sedap mana pun.”

Tipah makin gelabah. “Astagfirullahalazim! Ini bukan pertandingan Imam Muda, ini ikhtiar untuk menyelamatkan nyawa! Alah, awak redah jelah! Tolonglah Rayyan, kalau awak tak mahu azan, kita semua takkan dapat selamat dari benda ni.” Harimau itu semakin menunjukkan belangnya. Matanya sudah bersinar-sinar bagaikan merah saga. Tampak ia sudah bersedia untuk menerkam!

Lili tambah kaget. “Rayyan! Cepatlah buat sesuatu! Harimau tu macam nak serang kita je!”

Rayyan mendengus kasar. “Yelah! Tapi korang semua janji jangan gelak ya!”

Tipah segera membalas. “Takde sapanya nak gelak pun! Cepatlah!”

“AUUMMMM!!!!!!!!!!!!!”

Buat kali ketiga harimau itu mengaum lagi dengan kuat. Ngaumannya itu jelas bergema di segenap pelusuk hutan. Kemudian tanpa di duga ia terus melompat ke arah mereka. Tipah, Melah, Tijah dan Lili segera menutup wajah dengan tangan. Ayat Kursi tidak henti-henti terungkap dari bibir masing-masing.

Rayyan menelan air liurnya berkali-kali. Kemudian dengan lantang dia mula mengalunkan azan dengan sepenuh perasaan. Hampir-hampir sahaja Tipah, Melah, Tijah dan Lili menitiskan airmata mendengarkan lunak merdunya suara Rayyan melagukan azan. Benar-benar menyentuh hingga ke lubuk sanubari yang paling dalam!

Fadhilat azan mula menampakkan keajaibannya. Harimau putih itu serta-merta ghaib dari pandangan. Tipah segera mengucap kesyukuran. Tijah,Melah dan Lili pula sudah berpelukan.

Rayyan menarik nafas lega sambil melemparkan senyuman pada Tipah. “Macam mana awak tahu yang azan boleh menyelamatkan kita dari harimau tadi?”

Pantas Tipah menjawab. “Saya dengar ceramah tempohari kat surau. Ustaz Darus bagitahu yang syaitan dan iblis akan lari sebaik sahaja terdengar azan. Memang besar fadhilat azan ni, kan?”

Bagaikan tidak percaya Rayyan mendengarnya. “Aik, muda-muda lagi dah pergi dengar ceramah kat surau? Biar betul!”

Tipah membidas. “Apa pula salahnya? Lagipun kalau nak mati ni bukannya mengira orang tua ke orang muda ke. Jadi sementara di beri kesempatan untuk bernafas di bumi Allah ni kita hendaklah sentiasa bersedia untuk memenuhkan ilmu akhirat di dada.” BAM!! Terkena sebiji Rayyan! Kata-kata Tipah benar-benar mengena batang hidungnya.

Rayyan segera berdalih. “Err...jomlah kita gerak semula. Kalau lambat nanti risau pulak mak ayah kita kat rumah tu.”

“Okay,” balas Tipah. Perjalanan mereka di teruskan. Namun tanahnya semakin landai dan condong ke bawah. Mereka bagaikan sedang menuruni bukit pula. Dari kejauhan bunyi deruan yang sangat kuat benar-benar menceriakan Tipah, Melah, Tijah dan Lili. Bunyi itu sangatlah mesra di pendengaran mereka. Ini bermakna ada air terjun yang berdekatan!

Tepat sekali tekaan mereka! Sebaik sahaja kelibat air terjun mula kelihatan mereka berempat terus berlari dan melontarkan badan masing-masing ke dalam air terjun yang sangat jernih itu. Rayyan tergamam melihat kelakuan mereka berempat.

Tipah menyeru-nyeru Rayyan. “Awak! Meh lah mandi sekali! Seronok tau. Airnya jernih dan sejuk. Kat Australia awak tak boleh dapat suasana macam ni. Meh lah!”

Pantas Rayyan menggelengkan kepala. “Taknaklah. Nanti basahlah baju. Takkan nak balik rumah dalam keadaan yang lencun? Saya keluar rumah dalam keadaan yang bersih dan kemas jadi balik rumah pun mestilah dalam keadaan yang sama jugak.” Sah! Memang dasar lelaki metroseksual! Mementingkan penampilan diri, tidak gemarkan kekotoran, memang terserlah sekali ciri-ciri ini dalam diri Rayyan. Tipah, Melah, Tijah dan Lili berpandangan dengan wajah yang nakal. Idea bernas telah menerjah ke dalam pemikiran mereka!

Tipah pura-pura menyandar di tepi batu sungai sambil berteriak. “Adoi! Sakitnya kaki! Rayyan, tolong saya! Kaki saya sakit! Saya terpijak sesuatu!”

Kelam-kabut Rayyan menghampiri Tipah. “Kenapa dengan kaki awak? Biar saya tengok.” Tipah menjulurkan kakinya. Sebaik sahaja Rayyan tunduk, pantas Lili dan Tijah menolak Rayyan masuk ke dalam air. Habis basah kuyup pemuda itu di buatnya!

“Woi! Tak guna betullah korang ni!” pekik Rayyan sekuat hati. Pantas dia naik ke tebing semula dengan wajah yang masam mencuka. Mereka berempat hanya menyerigai sesama sendiri.

Selamba Tipah membidas Rayyan. “Hidup ini hanya sekali. Jangan takut untuk menikmati keseronokan dalam hidup. Sekali-sekala cuba lepaskan sifat liar yang tersembunyi jauh di sudut hati awak tu, Rayyan. Barulah hidup awak akan ceria, taklah membosankan macam sekarang ni!” Berubah air muka Rayyan. Ya, memang selama ini kehidupannya amat statik dan membosankan. Sekadar pergi kerja, balik kerja dan di hujung minggu pula berpeleseran di kelab-kelab malam terkemuka di sekitar Perth. Mungkin hidupnya di limpahi dengan kemewahan namun hakikatnya jiwa Rayyan sentiasa sepi dan dahagakan sesuatu. Di kerlingnya Tipah dan rakan-rakannya yang sedang asyik mandi-manda. Meskipun mereka hidup serba kekurangan namun mereka jauh lebih gembira daripadanya kerana mereka semua tidak hidup dalam kepura-puraan sepertinya. Rayyan tersenyum sendirian. Dia harus akui kehadiran gadis tersebut telah membawa warna-warni ke dalam kehidupannnya yang selama ini kelam!

Tanpa di sedari ada sepasang mata yang sedang asyik memandang ke arah mereka.

“Assalamualaikum! Apa yang anak-anak semua buat kat tengah-tengah hutan belantara ni, hah?” Serentak mereka semua memandang ke arah suara itu dengan wajah yang cuak.


P/S : Rindu tak dengan Tipah dan Rayyan? Khas buat korang semua....moga-moga terubat kerinduan.....

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.