Home Novel Komedi/Romantik Komedi PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 30 - Part 1

BAB 30 - Part 1

Rayyan tidak mampu menidakkan permintaan Arif Ilham yang sudah di anggapnya macam abang sendiri. Dengan lemah dia mengganggukkan kepalanya. 

“Hmm...oklah. Nak buat macam mana, kan? Bilik dah tak cukup,” ujar Rayyan sambil mengerling ke arah Zeta. Pengertian dari gadis jelita itu amat-amat di tagihnya saat ini.

Geramnya hati Zeta tidak terperi. Segala angan-angannya untuk berdua-duaan dengan Rayyan hancur lebur kini. Ini semua gara-gara si Tipah, budak kampung tu!

Dengan muncung panjang sedepa, Zeta segera berlalu dari situ sambil menghentak-hentakkan kakinya. “Sayang! Janganlah marah. Dengarlah cakap I ni. Sayang!”

Rayyan cuba mengejar Zeta dari belakang namun Raina lebih pantas menghalang langkah kakinya. “Adik! Patutnya adik kena layan isteri adik, si Tipah ni. Bukannya layan si Zeta tu!” terjuih-juih bibir Raina meleter.

“Tak habis-habislah akak ni! Rimaslah saya dengar! Tipah tu bukannya budak kecil lagi. Tak payah nak bertatang bagailah! Cuba akak tengok apa yang dia tengah buat tu,” unjur Rayyan dengan hati bengkak.

Rupa-rupanya Tipah, Melah dan Makcik Roza sudah tiada di sisi Raina. Lautan biru yang terbentang menerujakan mereka. Tanpa sempat menukar pakaian, mereka sudah melontarkan tubuh masing-masing ke dalam gigi ombak yang menampar manja ke pinggir pantai yang memutih.

Raina menggeleng-gelengkan kepala. “Bertuah betul budak-budak ni! Makcik Roza pun sama? Tipah! Melah! Pergi tukar baju dulu!” teriak Raina. Namun sia-sia sahaja teriakannya itu kerana mereka bertiga sudah berkubang di perut lautan dengan riangnya.

Ritma kemenyampahan segera bertandang di hati Rayyan. Perilaku Tipah itu benar-benar jelik pada pandangan matanya. Jikalau bukan kerana wasiat arwah papanya, tidak mungkin dia akan mengahwini perempuan yang bersifat ala-ala kanak-kanak ribena ni!

“Akak nak suruh saya layan kanak-kanak ceria macam Tipah tu? Kirim salam jelah! Banyak lagi benda lain yang saya boleh buat!” gerutu Rayyan sambil berlalu pergi dari situ.

Sekali lagi Raina cuba menghalang namun kali ini Arif Ilham cepat-cepat menegahnya. “Raina, sudahlah tu. Jangan di paksa-paksa dia. Nanti lagi dia bertambah rimas.”

“Saya bukannya apa. Sakit hati pula tengok si Rayyan tu buat Tipah macam tak wujud je. Ikutkan hati nak je saya tambat Rayyan tu kat dalam bilik. Biar dia tak dapat jumpa dengan si Zeta tu,” getus Raina dengan nada geram.

“Sabar, Raina. Bukan mudah kita nak melentur buluh yang sudah keras. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus, tepung tidak berselerak,” pujuk Arif Ilham sambil merenung si jelita di hadapannya itu sampaikan naik malu Raina di buatnya.

“Yang awak ni pandang-pandang saya semacam ni kenapa pulak?” soal Raina dengan nada kurang senang.

Senyuman nakal segera terukir di bibir Arif Ilham. “Takdelah. Saya cuma harap sangat, bila kita di kurniakan cahaya mata nanti saya nak anak-anak kita mewarisi mata awak yang bundar, hidung awak yang mancung dan senyuman semanis madu milik awak tu.”

“Awak ni, saya tengah pening pasal Tipah dan Rayyan, awak ke situ pulak. Malaslah nak layan perangai awak ni!” gerutu Raina sambil menghayunkan laju-laju langkahnya dari situ.

Berlari-lari anak Arif Ilham mengejarnya dari belakang. “Raina! Janganlah marah, sayang! Saya bergurau je. Raina!”

Tipah, Melah dan Makcik Roza memerhatikan sahaja adegan kejar-mengejar di antara Arif Ilham dan Raina dari kejauhan. Tipah melepaskan sebuah keluhan yang berat. “Seronok aku tengok Kak Raina dan Abang Arif tu, kan? Memang pasangan yang secocok. Kan bagus kalau aku dengan Rayyan pun macam tu jugak.”

“Kau tak payah nak berangan sangat, yer? Cuba kau tengok kat sana tu,” tukas Melah sambil menjuihkan bibirnya. Jelas kelihatan Rayyan dan Zeta yang sedang enak bersantai-santai di bawah sinaran matahari. Kedua-dua belah mata Zeta sudah di tutupi oleh penutup mata khas. Di tangan Rayyan pula sudah tersedia sebotol losen penahan cahaya suria. Tipah, Melah dan Makcik Roza saling berpandangan. Pasti sebentar sahaja lagi adegan sapu-menyapu akan di langsungkan. Ini memang tidak boleh di biarkan!

Idea mantap terus sahaja terbit di pemikiran Tipah. Terus sahaja idea itu di utarakan pada Melah dan Makcik Roza. “Bagus! Inilah semangat yang makcik mahukan dari dalam diri kamu, Tipah. Ok sekarang ni biar makcik jalankan babak yang pertama dulu, ya. Korang berdua standby.”

Serentak Tipah dan Melah menjawab. “Ok, bos.”

Terkedek-kedek Makcik Roza menghampiri Rayyan dan Zeta. “Tuan, Cik Raina panggil tuan sekejap. Ada hal sikit katanya.”

Rayyan terus bangkit. “Yeke? Haishh...apa sajalah Kak Raina ni. Sayang, I pergi jumpa Kak Raina sekejap, ya.”

Acuh tak acuh sahaja Zeta menjawab. “Hmm...okay.”

Sebaik sahaja kelibat Makcik Roza dan Rayyan menghilang, Tipah dan Melah pantas menghampiri Zeta. Melah melabuhkan punggung ke sebelah Zeta dan segera mencapai losen penahan cahaya suria. Di picitnya isi kandungan losen tersebut dengan sekuat hati hingga hampir separuh dari isinya terjojol keluar. Melah mula menyapu losen tersebut ke lengan Zeta.

“You dah balik ye, sayang? Tolong sapu lebih sikit kat perut I ni.” Tipah dan Melah saling berpandangan dengan wajah nakal. Melah segera menghulurkan losen penahan cahaya suria itu kepada Tipah. Sengaja Tipah menghamburkan kesemua isipadu losen itu ke atas telapak tangannya. Kemudian terus sahaja dia melumurkan kesemua losen tersebut ke wajah Zeta. Di tenyehnya wajah gadis jelita itu sekuat hati!


P/S: Manuskrip penuh JSSB sudah saya ajukan pada pihak Karangkraf. Jikalau ada rezeki insya-Allah manuskrip ini akan di bukukan. Doakan yang terbaik buat manuskrip ini ya! Bab 30 ini adalah bab terakhir yang di update dalam portal Ilham ni. Part 2 akan menyusul nanti. Jutaan terima kasih saya ucapkan pada para pembaca sekalian yang selama ini tidak jemu-jemu menyokong, membaca dan memberi komen pada JSSB ini. Sokongan dari anda semua amatlah saya hargai. 


Salam sayang,

fedra.amelda @ dirami collectionz

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.