BAB 29 - Part 2
Raimi mengeluh. Senak dadanya mendengarkan
agenda jahat Makcik Rosnah itu. “Mak, kalau setakat harta, Raimi pun dapat
bahagian jugalah! Tak perlulah nak rebut-rebut harta orang lain yang dah
sah-sah bukan milik kita.”
Terbejat Makcik Rosnah mendengarnya. “Hah?
Kamu pun dapat bahagian jugak? Berapa percent saham syarikat yang kamu dapat?”
soal Makcik Rosnah dengan mata yang bersinar-sinar. Gambaran wang ringgit sudah
mula memenuhi ruangan otaknya.
“Saham apanya? Mereka cuma akan menanggung segala
perbelanjaan pembelajaran dan kos sara hidup Raimi jelah,” ujar Raimi sedikit
kesal. Bukan kesal kerana pembahagian harta tersebut tapi dia kesal dengan
ketamakan Makcik Rosnah yang semakin terserlah.
“Hah? Itu je? Mana boleh macam tu! Si Tipah
tu senang-senang je dapat bolot harta Rayyan. Takkanlah kamu dapat tu je? Ini
tak adil! Memang tak adil!” teriak Makcik Rosnah.
“Mak, saya tak boleh nak cakap lama-lama
ni. Nanti saya telefon balik. Kirim salam dengan ayah, ya. Assalamualaikum.”
Klik! Talian segera di matikan. Tidak betah Raimi berbual lama dengan Makcik
Rosnah. Kecut perutnya apabila angin meroyan Makcik Rosnah sudah kembali
menjengah!
Pak Saad terjegul di muka pintu dengan wajah
kehairanan. “Apa kena dengan awak ni, Rosnah? Dari bawah tadi saya dengar
terpekik, terlolong. Siapa yang telefon tadi?”
“Abang, kita kena pergi ke Australia
secepat mungkin. Tipah dalam kesusahan!” Tersentak Pak Saad mendengarnya.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Pepohonan Norfolk Pines gergasi di
sepanjang Cottesloe Esplanade seakan-akan melambai kedatangan Rayyan dan Zeta
ke situ. Kereta sport Audi TT 2.0 yang di pandu Zeta meluncur laju dan kian
menghampiri Cottesloe Beach Hotel. Hotel ini terletak betul-betul bersebelahan
dengan Cottesloe Beach, salah satu
pantai bandar yang paling terkenal antara semua pantai bandar Australia Barat. Sebaik
sahaja mendapat maklumat yang Aurora Electrical Sevices Pty Ltd akan
menganjurkan hari keluarga di hotel ini Zeta sudah mula mengatur langkah.Awal-awal
lagi dia sudah mengarahkan Zaffrul supaya menempah Suite King yang merupakan
bilik terbesar dan termewah di hotel tersebut buatnya dan Rayyan.
Sudah
terbayang di fikiran Zeta bagaimana dia akan berlibur dan bercanda bersama-sama
dengan Rayyan di tepian pantai Cottesloe Beach tatkala matahari menegak di atas
kepala. Kala malam mula menjelma pula mereka akan asyik memadu asmara di dalam
Suite King tanpa sebarang gangguan. Ah, sungguh nikmatnya! Segaris senyuman
segera terukir di bibir Zeta.
Kereta
sport Audi TT 2.0 milik Zeta akhirnya terjejak juga di parkir kereta
bersebelahan dengan hotel tersebut. Pantas Zeta dan Rayyan melangkah turun. Zeta
segera memaut lengan Rayyan dengan erat. Pautan itu bagaikan memberi isyarat
bahawa Rayyan adalah miliknya seorang dan tiada sesiapapun yang boleh bertakhta
di hati jejaka tersebut melainkan dia!
Zaffrul
yang sedang sibuk menguruskan pendaftaran staf terus sahaja berlari mendapatkan
Rayyan sebaik sahaja kelibat bosnya itu terlihat di lobi hotel. “Awalnya bos
sampai! Amboi dah tak sabar-sabar nak berbulan madu ke? Bilik bos dah sedia.
Bos nak ‘check-in’ dulu?” tuntas Zaffrul selamba sambil menyerigai.
Mencerlung
bebola mata Rayyan mendengarnya. “Hei, kau nak satu hotel ni dengar ke lawak
bodoh kau tu? Bagi kad bilik aku cepat! Aku takde masa nak dengar tazkirah
pagi-pagi buta camni!” herdik Rayyan dengan perasaan yang berbulu.
Kata-kata
Zaffrul seterusnya hanya sekadar bermain-main di kerongkongnya. Wajah kelat
Rayyan sudah cukup menggambarkan betapa sadisnya ‘mood’ majikannya pagi ini. Kad
magnetik suite mewah segera bertukar tangan. Tanpa mempedulikan mata-mata yang
memandang pantas sahaja Rayyan dan Zeta melangkah menuju ke suite mewah
tersebut.
Akhirnya
mereka tiba di hadapan pintu suite mereka. Sebaik sahaja pintu terkuak, mata
Rayyan terus sahaja tertangkap pada balkoni suite yang menempatkan beberapa
kerusi rotan dan sebuah kerusi malas di situ. Segera terhampar di hadapannya riak
lautan yang membiru dan beralun-alun yang sungguh memukau pandangan!
Tilam
empuk yang sedia terbentang membuatkan Rayyan semakin tidak sabar untuk
melabuhkan tubuhnya di situ. Dia mahu berehat dengan sepuas-puasnya. Sejak dua
tiga hari kebelakangan ini fikirannya kusut dengan pelbagai perkara yang tidak
langsung di jangkanya. Dia berharap segala kekusutannya akan terlerai dan
hilang di tiup bayu angin laut Cottesloe ini.
Zeta
sudah muncul di sisi dengan sepasang bikini berwarna oren yang menyerlahkan
lekuk tubuh seksinya. “Sayang, cepatlah tukar baju. Jomlah kita pergi tepi
pantai. I dah tak sabar nak berenang ni.”
Nampaknya
niat Rayyan untuk berehat terpaksa di pendamkan buat seketika. “Ok. Anything
for you, sayang,” tukas Rayyan seraya bangkit. Dia terus menukar bajunya ke sut
renang lelaki berwarna biru gelap. Tidak lama selepas itu mereka berdua sudah
bertamu di tepian pantai.
Zeta terlebih
dahulu menceburkan dirinya ke perut lautan. Belum sempat Rayyan ikut sama,
suatu teriakan yang kuat menambat langkah kakinya. “Rayyan! Tak sangkanya boleh
jumpa kat sini!”
Serta-merta
Rayyan berpaling. Arif Ilham?! Macam mana pula dia boleh berada di sini? Terkujat
Rayyan seketika. “Err...ahalah tak sangka betul, kan. Apa yang kau buat kat
sini?”
Pantas
Arif Ilham menukas. “Aku saja bawak diorang bercuti kat sini. Kau datang sini dengan
siapa? Dengan Zeta ke?”
Rayyan
terkedu. “Err...diorang? Siapa diorang tu?”
Dengan
tidak semena-mena Tipah, Melah, Makcik Roza dan Raina muncul di situ dengan
wajah selamba. Serentak mereka menyapa. “Hai, Rayyan!”
Pucat
wajah Rayyan di buatnya. Jikalau di toreh dengan pisau sekalipun sah tidak akan
berdarah! “Err...apa yang korang buat kat sini? Awak ikut saya ye, Tipah?”
Tipah
pura-pura bingung. “Ikut? Mana ada saya ikut awak. Abang Arif yang ajak
kitorang pergi bercuti. Yelah sejak saya jejakkan kaki ke sini, takde sapa pun
nak bawa saya jalan-jalan kat bandar Perth ni. Jadi bila Abang Arif dah offer,
mana boleh saya lepaskan peluang keemasan ni.”
Rayyan
terus menikus. Kata-kata Tipah itu tepat menusuk ke sanubari. Ya, memang dia
akui, sejak Tipah dan Melah muncul secara tiba-tiba di bandar Perth ini, belum
pernah sekalipun dia membawa mereka bersiar-siar.
Zeta
segera menghampiri Rayyan dengan wajah masam mencuka. “Sayang, macam mana
diorang semua boleh ada kat sini? Kacau privasi kita jelah!” sungut Zeta sambil
mengerling tajam ke arah Tipah.
Selamba
Tipah membalas. “Hello minah urban! Tak nampak pun ada papan tanda tulis ‘hanya
Rayyan dan Zeta’ kat sini? Ini tempat awam. Siapa-siapa pun boleh datang sini,
faham?” Mencerlung bebola mata Zeta mendengarnya.
Arif
Ilham segera mencelah. “Kebetulan pula, Rayyan. Kami memang perlukan
pertolongan kau. Kami berlima dah buntu dah ni. Kepala pun dah naik bingung.
Tak tahu dah nak buat macam mana. Mujurlah jumpa kau kat sini. Memang kau penyelamat
kamilah!”
Berkerut
dahi Rayyan mendengarnya. “Penyelamat? Aku penyelamat korang? Hei, aku tak
fahamlah!”
Arif Ilham tersenyum lebar. Rancangannya
tampak kian menjadi. “Tak. Macam ni. Aku dah tempah dua bilik Suite King kat
Cottesloe Beach Hotel. Masalahnya satu bilik cuma boleh ada maksimum tiga
orang. Mereka pula berempat. Bilik kosong pula dah takde. Semua dah penuh pasal
Aurora Electrical Services dah sapu semua bilik untuk staf. Kalau aku tahu
Aurora Electrical Services nak buat hari keluarga kat sini takdelah kitorang
datang ke mari.”
So?” soal Rayyan kebingungan.
Senyuman kian melebar di wajah Arif Ilham.
“Jadinya kaulah harapan kami sekarang. Apa kata kau dan aku kongsi bilik, satu
bilik lagi Zeta dan Raina dan satu bilik lagi Tipah, Melah dan Makcik Roza.
Habis cerita, selesai satu masalah!”
Tercengang Rayyan dan Zeta. Serentak
kedua-duanya memekik. “What??”