Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 34


“Tahniah. Aku tumpang gembira,” ucap Ekram dengan senyuman. Adam tersenyum mengangguk.

“Terima kasih, Ram,” balasnya.

“Kalau aku tanya sikit boleh?” soal Ekram.

“Apa dia? Pasal Nazri?” teka Adam. Ekram mengangguk pantas. Adam menarik nafas panjang.

“Aku sebenarnya rasa bersalah Ram. Aku dah tahu mereka berdua sekarang cuma kawan. Tapi kerana rasa cemburu, aku tak dapat terima kehadiran Nazri dalam hidup aku dan Chinta. Lebih tepat lagi, aku tak suka Nazri berkawan dengan Chinta sebab lelaki tu pernah jadi insan istimewa di hati isteri aku. Aku…,” Adam terdiam sejenak. Ekram menepuk bahu rakannya itu.

“Kau berhak rasa cemburu. Kau tu suami Chinta,” katanya.

“Tapi sikap aku dah buat isteri aku menderita. Kerana sikap pentingkan diri sendiri, aku terlambat menerima berita yang dia sedang mengandung. Aku takut Ram. Aku tak boleh lagi macam ni. Lebih baik aku terima Nazri sebelum aku kehilangan Chinta. Aku tak mampu pisahkan mereka. Mereka kawan baik. Sama seperti kita,” sambung Adam dengan tenang. Ekram mengangguk sambil tersenyum.

“Nampak sangat kau dah bersedia nak jadi papa,” katanya separuh mengusik. Adam tergelak kecil. Benar kata rakannya itu. Dia perlu berubah demi si kecil yang akan menjengah dunia tidak lama lagi.

“So, lepas ni kau tak ada masalah lagi kalau nak lepak dengan Nazri kat cafe?” soal Ekram separuh mengusik.

“Aku okay aje,” balas Adam dengan senyuman. Ekram mengangguk. Dia tumpang gembira dengan perubahan rakannya itu.

                                   *****

“Khai, tolong hormat status aku. Aku dah ada keluarga. Begitu juga dengan kau. Hari ni Adam akan datang jumpa kau. Tolong jangan buat hal lagi,” kata Bella separuh merayu. Kedengaran Khairul mengeluh perlahan.

“Cukup lah apa yang dah berlaku antara kita. Masa kita dah berlalu Khai. Aku dah maafkan kau dengan apa yang dah kau lakukan pada aku dan papa. Aku harap kau kenang budi dan tak ganggu hidup aku lagi,” sambung Bella lagi.

“Saya masih sayangkan awak,” balas Khairul. Bella menggelengkan kepalanya.

“Jangan sampai aku benci kau lagi sebab hal ni,” katanya dengan kening berkerut.

“Awak bahagia dengan Adam?” soal Khairul. Bella tersenyum sinis.

“Kenapa? Kau fikir aku tak bahagia? Kau ingat bila kau dah kahwin lain aku akan menderita? Khairul, kau silap dalam hal ni. Aku sangat bahagia dan bersyukur mendapat suami seperti Adam,” katanya dengan nada tegas.

“So, saya memang tak ada harapan?” soal Khairul lagi masih tidah mahu berputus asa.

“Kau memang gila Khai,” marah Bella yang mula hilang sabar dengan sikap lelaki itu. Khairul mengeluh lagi.

“Saya nak jumpa awak,” pintanya. Bella mendengus geram sambil menekan punat merah.

“Tak guna!”

                                     *****

“Hai Elis,” sapa satu suara. Langkah Delisya terhenti. Dia berpaling menoleh. Kelihatan Samuel sedang berjalan menuju ke arahnya sambil tersenyum. Delisya membalas dengan senyuman hambar.

“Apa khabar?” tanya Samuel yang kini berdiri di hadapannya.

“Baik,” balas Delisya sepatah. Sejak akhir-akhir ini dia sering terserempak dengan lelaki itu.

“Sayang,” panggil Adam yang sedang berjalan menghampiri mereka. Delisya agak berdebar.

“Abang ingat dah sesat tadi,” kata Adam dengan senyuman sambil memeluk bahu isterinya itu.

“Sorry,” ucap Delisya dengan kening berkerut. Dia menyuruh Adam masuk dahulu dalam kedai kerana dia tertinggal dompet di dalam keretanya. Dia tidak menyangka pula akan terserempak dengan Samuel. Adam memandang Samuel.

“Samuel,” kata Samuel sambil menghulurkan tangan. Adam tersenyum menyambut huluran lelaki itu.

“Adam,” balasnya. Samuel lega melihat wajah tenang Adam. Mungkin benar kata Delisya. Adam lebih baik daripadanya.

“Kirim salam pada papa. Jumpa lagi Adam,” katanya tersenyum memandang Delisya sebelum beralih memandang Adam. Delisya hanya tersenyum pahit tanpa berkata apa-apa. Adam hanya tersenyum memandang lelaki itu berlalu.

“Jom,” ajaknya sambil menarik lembut lengan isterinya. Delisya hanya menurut. Dia agak berdebar melihat reaksi suaminya itu.

                                *****

“Kenapa diam aje? Tak sihat?” soal Adam sambil memandang sekilas ke arah Delisya yang duduk di bahagian penumpang.

“I’m okay,” jawab Delisya dengan senyuman hambar.

“So, kenapa tiba-tiba senyap? Sayang terganggu dengan Samuel?” soal Adam lagi. Delisya merenung Adam yang sedang memandu.

“Abang marah Elis?” soalnya pula. Dia sebenarnya agak risau melihat reaksi tenang suaminya itu. Apabila mengingat semula reaksi Adam pada Nazri membuatnya turut rasa takut. Dia takut akan melalui apa yang sudah dilalui oleh Chinta. Adam tiba-tiba tergelak kecil.

“Sayang risau abang cemburu ke?” soal Adam dengan senyuman. Berkerut kening Delisya.

“Abang tak marah?” soalnya pula masih kurang percaya.

“Buat apa nak marah. Sayang dah jadi milik abang,” balas Adam dengan tenang. Hanya Allah yang tahu betapa dia rasa bersalah pada isteri-isterinya itu. Dia seperti tidak menghargai kasih sayang yang sudah diberikan. Asyik pentingkan diri sendiri sehingga tanpa sedar melukai hati isteri-isterinya. Delisya menarik nafas lega.

“Maafkan abang,” ucap Adam dengan nada perlahan.

“Untuk apa?” soal Delisya agak hairan.

“Abang mungkin dah buat hati Elis terguris tanpa sedar. Maafkan abang,” ucap Adam lagi. Delisya tersenyum manis.

“Boleh dengan syarat malam ni abang kena masak untuk Elis,” guraunya.

“Boleh sayang,” balas Adam dengan senyuman. Delisya ikut tersenyum. Bahagia yang dirasainya saat itu sangat disyukurinya.

                                 *****

Bella dan Chinta hanya memandang Naufal yang sedang leka bermain. Bella beralih memandang Chinta.

“Kau semakin berseri bila dah ada isi,” pujinya. Chinta tergelak kecil.

“Tak lah. Sama aje,” balasnya.

“Aku pun teringin. Tapi tak ada rezeki lagi,” kata Bella perlahan. Chinta menyentuh jemari wanita itu lalu menggenggamnya erat.

“Insya Allah, pasti ada. Jangan putus asa. Ada yang tak kena? Wajah kau nampak pucat,” soalnya agak risau. Bella tersenyum.

“Aku okay. Cuma aku risau. Hari ni abang nak jumpa Khai,” beritahunya.

“Maksud kau, Khairul?” soal Chinta ingin tahu. Bella mengangguk lambat.

“Kenapa?” soal Chinta lagi dengan perasaan berdebar. Bella mengeluh perlahan.

“Khai ganggu aku. Dia selalu ajak aku keluar malam,” beritahunya.

“Why? Dia dah kahwin kan? Kenapa nak kacau kau lagi?” soal Chinta mula tidak senang duduk.

“Sebab tu aku suruh abang pergi jumpa lelaki tu. Aku pun tak tahu apa dah kena dengan Khairul. Nak kata dah gila, tak pula. Nak kata waras, macam tak betul,” jawab Bella. Chinta tergelak kecil. Geli hati dia mendengar ayat wanita itu.

“Kau jangan nak gelakkan aku. Aku tengah runsing ni,” kata Bella dengan kening berkerut.

“Kau jangan risau. Abang pasti akan selesaikan dengan lelaki tu,” balas Chinta sambil mengelus lembut bahu wanita itu. Bella hanya tersenyum hambar.

“Papa,” jerit Naufal sambil berlari ke arah Nazri yang baru sahaja turun dari kereta. Nazri mendepangkan tangannya. Naufal pantas melompat ke arah lelaki itu. Kini dia berada dalam pelukan Nazri.

“Thank you Chin, Bella,” ucap Nazri dengan senyuman.

“Sama-sama. Kalau Naufal merengek nak keluar lagi, jangan segan call kami,” balas Bella ikhlas.

“Terima kasih. Maaf menyusahkan kamu berdua,” ucap Nazri. Walaupun dia lega kedua wanita itu sudi memberikan sedikit kasih sayang buat Naufal, namun dalam masa yang sama dia juga segan pada Chinta dan Bella.

“Perlukah aku cari seseorang untuk jaga aku dan Naufal?” soal hati Nazri.

“Papa, jom lah balik,” kata Naufal sambil menepuk lembut pipi Nazri. Nazri tergelak kecil. Dia memandang ke arah Bella dan Chinta semula.

“Saya balik dulu dengan Naufal. Terima kasih sekali lagi,” ucapnya dengan senyuman. Bella dan Chinta serentak mengangguk. Naufal berlari semula menghampiri. Dia memeluk dan mencium Bella dan Chinta silih berganti.

“Jumpa lagi mama,” katanya sebelum kembali semula pada Nazri.

“Jumpa lagi,” balas Chinta dengan senyuman.

“Hati-hati,” celah Bella pula. Kedua-dua wanita itu hanya memerhatikan kereta Nazri berlalu.

“Aku balik dulu,” kata Bella dengan senyuman. Chinta mengangguk. Dia hanya memerhatikan saja Bella yang berlalu ke keretanya.

“Chinta,” tegur satu suara. Chinta menoleh mencari arah datangnya suara tersebut. Kelihatan Farah sedang tersenyum berjalan menghampirinya.

“Farah, apa khabar?” tanya Chinta dengan senyuman.

“Alhamdullillah sihat. Nak balik dah? Jom, makan malam dengan saya. Saya belanja,” balas Farah separuh mengajak. Chinta terdiam sejenak memikirkan ajakan gadis itu. Dia tidak perlu risaukan Adam kerana malam ini suaminya itu akan berada di rumah Delisya.

“Adam tunggu awak kat rumah?” soal Farah apabila melihat Chinta terdiam lama.

“Tak. Jom. Saya pun dah lama juga tak berbual dengan awak,” balas Chinta dengan senyuman manis. Farah tergelak kecil. Dia menarik lembut lengan wanita itu menuju ke keretanya.

“Awak naik kereta saya,” katanya. Chinta hanya mengangguk setuju.

                                   *****

“Saya gembira awak dan Adam dah berbaik semula. Sorry, Ram ada beritahu saya pasal kejadian hari tu. Awak jangan marah ek. Saya, Ram dan Adam memang kawan baik sejak dari dulu. Masalah Adam secara tidak langsung akan jadi masalah kami juga,” kata Farah yang agak takut hati wanita itu terguris dengan kata-katanya. Chinta tersenyum hambar.

“Sebenarnya dah dua kali Adam merajuk dengan saya. Semuanya salah saya. Saya tak pandai jaga hatinya. Mungkin juga saya masih tak kenal Adam sepenuhnya,” katanya dengan nada perlahan. Farah menggeleng.

“Adam sayang sangat kat awak, Chin. Lelaki kalau dah milikya memang dia tak nak orang lain usik. Bukan sebab awak tak kenal Adam,” balasnya dengan senyuman.

“Saya nak tanya sikit boleh?” soal Chinta separuh meminta. Farah tergelak kecil.

“Tanya aje. Pasal Adam?” soalnya pula separuh meneka.

“Arwah Qaisara. Saya sebenarnya dah lama nak tahu pasal orang pertama yang ada di hati Adam. Nak tanya Adam serba salah. Tak tanya, saya rasa tak adil. Adam tahu siapa saya sebelum ni. Malah kenal orang yang pernah hadir dalam hidup saya. Tak salahkan saya nak tahu? Awak dah lama kenal Adam. Mesti awak kenal arwah juga,” soal Chinta dengan senyuman hambar. Farah tersenyum nipis mendengar soalan wanita itu.

“Arwah sangat istimewa di hati Adam. Saya, Ram, Adam dan Sara memang rapat sejak masih belajar lagi. Adam bertunang dengan Sara ketika kami masih belajar. Sebenarnya Adam berniat nak sunting terus Sara untuk jadi isterinya. Namun Sara yang tak nak. Katanya biar habis belajar dulu dan dapat kerja. Namun Allah lebih sayangkan Sara. Tak sempat pegang skrol, Sara pergi tinggalkan kami. Dia terlibat dengan kemalangan. Masa tu Adam memang berubah seratus peratus. Sara seperti bawa separuh dari diri Adam.” Farah berhenti sejenak. Chinta diam membisu menunggu ayat seterusnya keluar dari mulut gadis itu.

“Selepas Sara pergi, Adam tak pernah senyum lagi. Maksud saya, susah nak senyum. Suka bersendirian. Bercakap pun bila perlu. Tak macam sekarang ni. Kehadiran awak, Bella dan Elis benar-benar kembalikan diri Adam yang dulu. Saya tak nak kata Adam betul. Saya tak kata juga awak salah. Saya tak kahwin lagi. So, saya tak berani nak kata lebih. Tapi biasa lah, setiap pasangan akan diuji dalam pelbagai bentuk dugaan. Sama seperti apa yang awak dan Adam lalui. Saya harap awak, Adam, Bella dan Elis bahagia selama-lamanya,” sambung Farah ikhlas. Chinta tersenyum.

“Terima kasih Farah. Saya pun berharap macam tu. Saya memang tak nak kehilangan Adam,” balasnya. Farah mengangguk tersenyum.

“Makan lah. Makanan kita dah sejuk,” katanya sebelum mencapai sudu. Chinta mengangguk setuju.

                                      *****

“Adam jumpa Khai?” soal Rasya dengan riak kurang percaya.

“Aku dah beritahu kau hari tu. Tak payah nak tunjuk muka terkejut sangat,” balas Bella dengan kening berkerut. Rasya tergelak besar.

“Kau tenang aje lah. Nasib baik Adam larang kau ikut sekali. Aku takut perang dunia ketiga meletus kat Malaysia ni,” balasnya separuh mengusik. Bella hanya menjeling rakannya itu. Malas dia hendak mengulas. Dia sebenarnya sangat risau sekarang ini. Dia takut Khairul bertindak bodoh mengatakan yang tidak patut pada Adam.

“Kau lapar tak?” soal Rasya sengaja ingin menarik perhatian Bella.

“Bella,” panggil satu suara. Bella mengabaikan soalan Rasya. Dia berpaling menoleh.

“Mama,” balasnya dengan senyuman lebar. Dia bangun dari kerusinya lalu memeluk wanita yang kini berdiri di hadapannya itu.

“Rindunya,” katanya dengan perasaan sebak. Puan Hasna tergelak. Dia melepaskan pelukan wanita itu.

“Sihat?” tanya Puan Hasna sambil memandang Bella dari atas ke bawah. Bella mengangguk dengan senyuman.

“Bella sihat. Mama sihat? Papa apa khabar? Maaf lah minggu lepas tak sempat nak lawat mama. Chinta dan Elis ada beritahu mama kirim salam,” beritahu Bella.

“Mama risau bila Bella tak datang hari tu,” kata Puan Hasna dengan kening berkerut. Bella tergelak kecil. Dia memeluk bahu wanita itu.

“Maaf lah. Tak apa, hari ni Bella belanja mama. Mama nak makan apa?” soal Bella sambil menarik lembut lengan wanita itu duduk di sebelahnya. Puan Hasna tergelak lagi.

“Pandainya nak pujuk mama,” katanya separuh mengusik. Bella hanya tersengih.

“Jangan risau, papa kamu sihat. Dia tak ada dengan mama hari ni sebab keluar dengan papa Elis. Mereka pergi memancing. Suka sangat memancing. Tak ada pula ikan dia bawa balik,” sambung Puan Hasna separuh merungut. Bella tergelak lagi mendengar rungutan wanita itu.

“Mama jangan risau. Hari ni Bella teman mama,” balasnya dengan senyuman.

“Nak pesan apa?” celah Rasya yang sedari tadi hanya memerhati.

“Bella pesan lah. Mama ikut selera Bella. Sekejap, mama nak ke tandas,” kata Puan Hasna. Bella mengangguk tersenyum.

“Untung dapat mak mentua macam ni,” kata Rasya yang turut memerhati langkah Puan Hasna berlalu. Bella hanya tersenyum mendengar kata-kata rakannya itu. Memang dia sangat bersyukur apabila mendapat ibu mentua seperti wanita itu. Puan Hasna menerima dirinya tanpa mempersoalkan siapa dia sebelum ini. Sama seperti Adam yang menerimanya dengan hati yang terbuka.


Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.