12
BAIZURA memerhatikan
sahaja tingkah Melisa yang masih berbaju tidur itu biarpun waktu tengah hari
sudah beransur pergi. Wanita seksi itu membuka peti ais dan sebotol brendi
selamba sahaja dikeluarkan. Dia menuang air kencing syaitan itu ke dalam gelas.
“Nak?” sua Melisa ke
arah PAnya itu.
“Kau tahukan yang aku
tak sentuh benda-benda haram ni!” Tegas Baizura.
“Ooo... aku lupa pula
yang kau ni ‘ustazah’. Ustazah manalah nak sentuh benda-benda vogue macam ni.” Melisa tertawa sinis.
Senang hatinya dapat menyakiti hati insan yang sudah mengambil tempat di salah
sebuah kerusi di meja makannya itu.
“Bukannya vogue! Tapi minuman air kencing syaitan itulah
tiket kau untuk masuk ke neraka nanti. Tak payahlah nak bangga-bangga dengan
benda bodoh macam tu. Sayangkan... ALLAH tutup aib hambaNYA. Tapi ‘orang’ yang
membuat dosa bangga pula mengaibkan diri sendiri.” Tiada niat Baizura untuk
memperli tetapi lebih kepada menasihati.
Berdesing telinga
Melisa mendengarkan kata-kata itu, “Aku suruh kau datang ke rumah aku ni,
bukannya nak suruh kau perli aku bagai!”
“Habis tu kenapa kau
suruh aku datang ke sini? Nak tayang dekat aku tentang keaiban diri kau?
Keaiban yang boleh merosakkan diri kau! Macam tu?” Baizura sedang cuba mengawal
emosinya.
Berombak dada Melisa.
Nampaknya sahabatnya itu kian lancang mulutnya.
“Nah!” sua Melisa
setelah dia mendapatkan sehelai cek daripada poket baju tidurnya.
“Cek apa ni?” Laju,
Baizura menyoal.
“Cek untuk paparazzi
tulah.” Melisa sudah mengambil tempat di sisi Baizura.
Baizura mengerutkan
dahinya, tanda tidak mengerti.
“Untuk paparazzi
bangang yang dapat tangkap gambar aku dengan Dato Ezman dekat hotel tempoh
hari!” jelas Melisa. Nada amarahnya kembali semula.
“Ooo... cepat kau dapat
‘sapu’ si tua tu. Untunglah ‘orang’ tu sebab menjadi perempuan simpanan
tersayang Dato Ezman.” Sempat lagi Baizura menyindir. Senyuman menghina terukir
di bibirnya.
“Kau ni, kalau tak hina
aku tak boleh ke? Kau kena ingat sikit, siapa yang bayar gaji kau tu! Orang
yang kau perli-perli nilah yang keluarkan duit untuk makan minum kau!!!” Tinggi
benar suara Melisa setinggi kebongkakannya tika ini.
Baizura terdiam.
Bukannya dia takut menghadapi kekalahan seandainya perbalahan diteruskan,
tetapi bau hancing yang keluar dari mulut Melisa itu sudah cukup meloyakan
tekaknya.
“Tahu pun takut.”
Perlahan Melisa menuturkan kata-kata itu.
“Bukannya takut. Aku
cuma malas nak layan orang yang dah tak siuman macam kau ni,” balas Baizura.
“Kau!!!... Ah!
Sudahlah, aku dah tak ada urusan lagi dengan kau. Aku nak keluar.” Melisa sudah
bangkit.
“Kau nak pergi mana?”
Baizura memandang tepat ke arah Melisa.
“Kau tu cuma PA aku je.
Bukannya mak bapak aku! So, tak payah
nak menyibuk pasal aku!” Melisa sudah memulakan langkahnya.
“Melisa nanti dulu.”
Baizura turut bangkit dan menghalang langkah model itu.
“Apa lagi yang kau
nak?” Melisa membalas pandangan Baizura.
“Aku... aku ada hal
sikit nak cakap dengan kau,” tutur Baizura.
“Hal apa?” soal Melisa.
Baizura terdiam.
“Yang kau tiba-tiba
jadi bisu ni dah kenapa? Aku tanya dekat kau, hal apa?” Melisa sudah kembali
kebengangan dengan sikap insan di hadapannya itu.
“Mak kau... dia...”
tergagap-gagap Baizura dalam melahirkan kata-kata.
“Dia apa?” Melisa sudah
menunjukkah riak bosan saat perihal ibu kandungnya itu hendak dibangkitkan oleh
sahabatnya itu.
“Mak kau callaku.” Baizura memaklumkan.
“Dia nak apa?” Sambil
lewa, Melisa bertanya.
“Dia nak jumpa kau,”
tutur Baizura.
“Aku tak ada masa.”
Melisa melangkah setapak ke hadapan. Namun Baizura pantas menarik lengannya
kasar.
“Sakitlah!” bentak
Melisa.
“Sakit lagi hati mak
kandung kau tu! Kau tahu tak yang mak kau sangat rindukan kau. Apa salahnya
kalau kau jawab call dia.” Baizura
masih mencengkam lengan Melisa.
“Suka hati akulah nak
jawab call dia ke tidak! Kau tu cuma
PA aku! Sedar sikit diri kau tu!” Melisa menarik kuat lengannya dari cengkaman
Baizura.
“Memang! Memang aku
cuma PA kau. Tapi... aku juga merupakan orang yang paling rapat dengan kau.
Orang yang memperkenalkan kau dengan dunia modeling ni! Aku tak kisah kalau kau
dah lupakan jasa aku. Tapi... tolong jangan lupakan pengorbanan mak kau. Insan
yang mengandungkan dan melahirkan kau ke muka dunia ni!” Berombak dada Baizura.
Sakit benar hatinya dengan sikap angkuh dan bongkak insan di hadapannya itu.
“Aku tak lupakan orang
tua tu. Tiap-tiap bulan aku kirim duit. Apa lagi yang dia nak? Atau... dia nak
aku tambahkan lagi jumlah wang tu?” sinis Melisa.
“Kau ingat mak kau
hadap sangat dengan duit kau? Hei! Kau dengar sini! Mak kau tu boleh hidup
senang lenang tanpa menggunakan sesen pun duit kau. Apa yang mak kau nak
hanyalah ihsan kasih sayang daripada kau. Kau tahu tak yang mak kau sering
jatuh sakit sekarang ni. Mak aku cakap tiap-tiap hari mak kau sebut nama kau.
Takkan sikit pun simpati kau tak ada buat mak kau!” Masih tinggi nada suara
Baizura.
‘Mak sakit? Betul ke
yang mak aku sakit?’ Hati Melisa meragui kenyataan sahabatnya itu.
“Kenapa
kau diam? Kau fikir aku tipu? Terpulanglah... Tapi ingat Melisa... kalau satu
hari nanti kau betul-betul dah kehilangan mak kau. Kau jangan nak terjerit
terlolong macam orang gila. Tak ada gunanya kita merintih pada insan yang sudah
tiada.” Habis menuturkan kata-kata itu, Baizura melangkah keluar dari penthouse milik insan yang kian bongkak
dan takbur sikapnya!