11
TEPAT pukul 11 malam
barulah Asyraf sampai ke rumahnya. Dato Hassan memerhatikan langkah lesu anak
bongsunya itu.
“Ehem...” Terdengar
dehem.
Asyraf pantas memandang
ke arah dehem itu. Dia kemudiannya melencongkan arah kakinya. Niat untuk terus
merebahkan tubuh ke tilam empuk miliknya dibatalkan.
“Papa tak tidur lagi?”
soal Asyraf saat melabuhkan punggung di sisi papanya itu. Mereka kini sedang
berada di ruang tamu banglo tiga tingkat itu.
“Belum lagi... yang
kamu ni kenapa lambat pula balik hari ni?” Dato Hassan mengalihkan pandangannya
tepat ke arah insan di sisinya. Wajahnya kelihatan sedikit serius.
“Ada banyak kerja dekat
ofis tadi.” Sememangnya itulah kenyataannya. Dia bergegas pulang semula ke
pejabatnya setelah dihantarnya Juliana pulang ke kondominium. Masih ada banyak
kerja yang perlu disudahkan sebelum tibanya hari esok.
“Tulah kamu... papa
suruh kamu bekerja di syarikat papa, kamu tak nak. Sekarang ni, siapa yang
susah? Siapa yang perlu bekerja keras? Lagipun... nak buat apalah kamu uruskan
agensi mencari jodoh tu? Kamu tak malu ke?” bebel Dato Hassan.
“Nak malu apa pula pa?”
balas Asyraf perlahan. Asyraf tahu yang papanya itu berada di pihak
‘pembangkang’ saat dia memberitahu akan niatnya untuk membuka agensi mencari
jodoh itu.
“Nak malu apa, kamu
cakap?! Kamu tahu tak yang kawan-kawan papa tu dah sok sek, sok sek pasal
kamu... Papa buka syarikat hartanah untuk kamu! Untuk kamu uruskan... tapi...
tup-tup... kamu ikut kepala tak betul kamu tu! Kamu buka agensi mencari jodoh!
Jodoh sendiri tak terurus, sibuk nak mengenenkan orang lain!” perli Dato Hassan
di akhir bicaranya.
Asyraf diam. Malas dia
hendak melayan kemarahan papanya itu. Sudah tidak terlarat rasanya untuk dia
menambahkan saham dosanya saat pertengkaran lepas berkaitan agensi mencari
jodohnya diperlekehkan oleh ayah kandungnya itu.
“Yang kamu diam ni
kenapa?” soal Dato Hassan tiba-tiba.
Pelik dengan sikap bisu
anaknya itu pada kali ini. Kebiasaannya anaknya itu tidak sebegitu. Pasti akan
ditegakkan keputusannya dalam menubuhkan agensi mencari jodohnya itu.
“Asyraf dah malas.
Malas nak bertekak dengan papa pasal agensi mencari jodoh Asyraf tu. Sama ada
papa suka atau pun tidak... Asyraf dah pun menubuhkan syarikat tu dan dalam
diam tak diam syarikat tu dah utuh berdiri selama tiga tahun.”
“Jadi kamu banggalah dengan
hasil usaha kamu yang tak seberapa tu? Macam tu?” sinis Dato Hassan.
“Yup! Asyraf bangga.
Sekurang-kurangnya Asyraf tak terus duduk di bawah ketiak papa. Asyraf bebas
dalam menentukan arah tuju hidup Asyraf sendiri.” Kali ini Asyraf membalas
pandangan tajam papanya itu.
“Kamu ni... Haih! Susah
papa nak cakap dengan orang yang keras kepala macam kamu ni! Asyraf, kamu tu
satu-satunya anak lelaki papa... kalau tak kamu, siapa lagi yang akan
bertanggungjawab dalam menguruskan syarikat papa kelak?” soal Dato Hassan di
akhir kemarahannya.
Asyraf mengeluh,
“Papa... memanglah Asyraf ni anak tunggal lelaki papa. Tapi, Asyraf ni bukannya
anak tunggal papa. Akakkan ada. Selama ni memang dia pun yang uruskan syarikat
papa tu.”
Dato Hasaan terdiam.
Dia tidak boleh membantah atau pun menidakkan kata-kata anaknya itu.
Sememangnya, itulah kenyataannya!
“Papa... akak dah bagi
sepenuhnya komitmen dia terhadap syarikat papa tu. Asyraf rasa, papa sepatutnya
menghargai segala usaha dan kerja keras akak tu.” Asyraf cuba berlembut dengan
insan di sisinya itu.
“Tapi, dia bukannya
kamu.” Perlahan Dato Hassan bersuara.
“Apa bezanya Asyraf
dengan akak? Bukankah kami berdua ni anak kandung papa dan mama?” Laju, Asyraf
bertanya.
“Memang. Memang kamu
berdua adalah anak kandung papa dan mama. Tapi...” kata-kata Dato Hassan
tersekat. Rasa bersalah bagaikan memanjat-manjat hatinya.
“Tapi apa pa?” Asyraf
memegang lembut bahu papanya itu.
“Tapi kakak kamu tu
perempuan. Kudrat perempuan tak sama dengan lelaki.” Dato Hassan beralasan.
Asyraf tersenyum. Dia
tahu bukan itu alasan yang sebenarnya, “Tak ada apa yang bezanya pa. Bukannya
akak tu kena angkat batu bata ke apa... Akak cuma perlu duduk di kerusinya dan
uruskan segala perkara yang berkaitan dengan pengurusan. Sekali sekala je akak
kena turun ‘padang’ melihat para pekerja melakukan tugasan mereka.”
Dato Hassan tidak
membalas apa terhadap kata-kata anak bongsunya itu. Dia pantas menundukkan
wajahnya.
“Papa sebenarnya takut,
kan?” soal Asyraf tiba-tiba.
Dato Hassan mengangkat semula
wajahnya, namun masih tiada patah kata yang keluar dari bibir tuanya.
“Papa takut seandainya
akak akan berubah selepas dia berkahwin… Papa takut yang akak akan ketepikan
tanggungjawab dia sebagai ‘kepala’ syarikat setelah dia bergelar isteri dan ibu...
papa juga takut seandainya bakal suami akak tu akan masuk campur dalam hal yang
berkaitan dengan syarikat setelah akak sah menjadi isteri dia. Betulkan?” telah
Asyraf.
Lambat barulah Dato
Hassan menganggukkan kepalanya.
“Pa... adik yakin yang
akak takkan berubah biarpun dia sudah sah menjadi isteri kepada Abang Borhan. Adik
yakin yang Abang Borhan takkan masuk campur dalam hal yang berkaitan dengan
syarikat setelah dia ‘masuk’ ke dalam keluarga kita.” Asyraf pantas
menepuk-nepuk perlahan bahu papanya itu sekali lagi sebelum dia mengangkat
punggungnya.
“Eh... kamu nak ke mana
tu?” soal Dato Hassan.
“Asyraf nak masuk ke
bilik dulu. Nak rehat. Penat sangat dah tubuh ni. Pasal kakak tu... papa
fikir-fikirkanlah ya,” tutur Asyraf.
“Baik. Papa akan
fikirkan pasal kakak kamu tu. Tapi, papa nak kamu duduk balik. Ada hal yang
lebih penting yang papa nak bincangkan dengan kamu,” arah Dato Hassan.
Dahi Asyraf berkerut.
Namun dia menuruti jua kemahuan papanya itu. Tubuh yang sudah terasa lesu
‘disandarkan’ kepada sisa-sisa kekuatan dan matanya yang hendak layu
‘ditongkatkan’ dengan kesabaran. Dia harus menadah telinganya sekali lagi untuk
mendengarkan celotehan papanya itu dan kali ini entah isu apa pula yang hendak
dibangkitkan oleh insan yang sudah berusia itu.
“Tentang apa tu pa?”
soal Asyraf, perlahan.
“Tentang kamu!” Semakin
serius wajah Dato Hassan saat memandang wajah anak tersayang.
“Tentang Asyraf?
Tentang apa lagi ni pa?” Asyraf mengeluh.
“Tentang jodoh kamu.
Kamu dah buat keputusan terhadap cadangan papa tempoh hari?” tanya Dato Hassan.
“Jodoh Asyraf?
Cadangan? Cadangan apa?” Ketiga-tiga soalan dilahirkan serentak tatkala
mindanya gagal untuk menemui jawapan terhadap kenyataan papanya itu. Mungkinkah
kepenatan penyebabnya? Atau mungkin dia benar-benar terlupa tentang cadangan
apa yang dimaksudkan oleh ayah kandungnya itu.
“Takkan kamu dah
lupa?!” Sedikit meninggi suara Dato Hassan. Dia benar-benar tidak percaya yang
anaknya itu boleh terlupakan ‘perkara’ yang begitu penting seperti itu.
Asyraf diam. Haruskah
dia menuturkan kata maaf?
“Maaf pa. Asyraf
betul-betul dah tak ingat. Banyak benda sangat yang harus Asyraf utamakan
sekarang ni.” Asyraf berasalan.
“Habis tu tentang jodoh
kamu, langsung tak pentinglah? Cadangan papa untuk jodohkan kamu dengan anak
kawan papa tu langsung kamu tak utamakanlah? Macam tu?” bengang Dato Hassan
dengan sikap tidak ambil peduli anak bongsunya itu.
‘Cadangan papa untuk
jodohkan aku dengan anak kawan dia??? Ah! Takkan papa serius tentang perkara
tu!’ Hati Asyraf diamuk kerisauan.
“Pa! Kan, Asyraf dah
jelaskan tentang perkara tu. Asyraf takkan setuju dengan cadangan papa tu.”
Asyraf kembali menyatakan pendiriannya.
“Apa? Bukan ke hari tu papa
suruh kamu fikirkan dulu?” Laju, Dato Hassan bersuara.
“Ya. Tapikan lepas tu,
Asyraf dah tegaskan yang Asyraf takkan menerima cadangan papa tu. Tolonglah
pa... papa ingat sekarang ni zaman 80-an ke? Mana ada lagi orang tua yang nak kenen-kenenkan
anak mereka.” Asyraf sudah menarik muka masam.
“Habis tu, apa bezanya
kamu dengan papa? Kamu buka agensi mencari jodoh tu, bukan ke sebab kamu sibuk
nak carikan jodoh untuk orang lain?” Dato Hassan masih membalas kata.
“Lain! Asyraf bukannya
suka-suka hati nak jodohkan client-client
Asyraf tu. Asyraf bagi mereka peluang untuk berkenalan di antara satu sama lain
dulu. Kalau mereka rasa serasi, mereka boleh lanjutkan perhubungan tu. Tiada
paksaan dalam mencari jodoh. Itulah prinsip yang dipegang oleh syarikat
Asyraf.” Asyraf suka bangkit. Dia sudah berura-ura untuk berlalu pergi.
“Ha... Macam tulah juga
prinsip papa. Kamu boleh berkenalan dulu dengan anak kawan papa tu. Kalau kamu
rasa yang kamu serasi dengan budak tu... kamu boleh teruskan hubungan tu. Kalau
tak, papa takkan paksa kamu lagi.” Dato Hassan turut bangkit. Dia mendepani
anak bongsunya itu.
Asyraf mendengus.
Papanya itu memang hebat dalam berdebat. Merasakan yang dirinya sudah kalah,
Asyraf pantas melangkah pergi. Tidak ditangguhkan lagi langkahnya, biarpun
papanya itu melaung-laungkan namanya.
“Ayraf!
Papa takkan berputus asa. Kamu kena setuju juga dengan cadangan papa tu!” Itulah
kata-kata akhir yang dapat ditangkap oleh sepasang telinga milik Asyraf sebelum
dia memboloskan dirinya ke dalam bilik tidurnya. Rasa penat dan lelahnya entah
hilang ke mana. Mungkinkah malam ini dia dapat melenakan dirinya sedangkan
otaknya terus-terusan memikirkan perihal cadangan papanya itu?