Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
229,312
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 23

23

MIRA berjalan berlenggang saat menghampiri idolanya yang sudah pun mengambil tempat di sebuah meja yang agak tersembunyi kedudukannya. Dia tahu yang model terkenal itu sengaja menempah meja tersebut agar tiada sesiapa yang dapat mencuri dengar akan perbualan mereka sebentar nanti.

‘Dahlah lambat, berlenggang bagai pula!’ cemuh hati Melisa saat melihatkan langkah lemah gemalai ‘perisiknya’ itu. Namun senyuman tetap jua diukirkan saat wanita tersebut mengambil tempat di hadapannya.

Sorry. I lambat sikit. Biasalah, hari nikan gaji. Tu yang I pergi cucuk duit kejap.” Tanpa dipinta, Mira mengemukakan alasan akan kelewatannya.

“Tak apa. I faham,” hipokrit Melisa.

Perbualan di antara mereka terhenti seketika saat pelayan restoran mewah itu datang untuk mengambil pesanan.

“Miss... nak membuat pesanan ke?” Lembut pelayan wanita itu bertanya.

“Emm... bagi I jus kiwi dan... chicken chop ya.” Melisa mengemukakan seleranya.

Pelayan yang berdiri di sisi meja tersebut segera mencatit sebelum mengalihkan pandangannya ke arah Mira.

“Samalah. I nak jus kiwi dan chicken chop juga.” Mira mahu mempunyai cita rasa yang sama dengan idolanya itu.

Pelayan tersebut menganggukkan kepala dan mengukirkan senyuman sebelum berlalu.

“Dah lama ke Cik Melisa tunggu I?” Mira memandang tepat ke arah Melisa.

“Bolehlah. Tapi I tak kisah. You sudi jumpa I ni pun... I dah bersyukur sangat.” Lembut gigi dari lidah saat barisan ayat itu dituturkan. Lakonan kemesraan harus ditampilkan dalam pertemuan ini agar apa yang dikehendaki dapat ditunaikan oleh orang suruhan di hadapannya itu.

“Ish... tak payahlah Cik Melisa cakap macam tu. I memang sudi dan tak kisah pun kalau Cik Melisa nak jumpa I bila-bila masa. Tapi mesti ada benda yang Cik Melisa nak daripada I, kan?” telah Mira sambil tersenyum manis sehingga menampakkan barisan gigi tidak ratanya.

‘Pandai juga budak bongok ni!’ penghinaan terus bergema di hati Melisa. Tampak benar yang dia masih tidak tahu hendak menghargai budi yang pernah ditaburi oleh ‘mata-matanya’ itu.

“Pandai pun. Sebab tu I suka bekerja dengan orang yang bijak macam you ni,” senyuman meleret Melisa ukirkan seiring dengan cebikan di hatinya.

Kembang Mira saat mendengar pujian daripada idolanya itu, “Cik Melisa cakap je apa yang perlu I lakukan. I yakin yang I dapat memenuhi kemahuan Cik Melisa tu.”

Baru sahaja Melisa hendak menyampaikan hajat jahatnya, pelayan wanita tadi datang semula membawa hidangan yang dipesan oleh mereka. Selepas hidangan tersebut diletakkan elok di hadapan mereka dan bayangan pelayan tersebut juga sudah menghilang, barulah Melisa melancarkan misi jahatnya.

“I nak... you tolong intipkan Juliana buat I.” Melisa memandang tepat ke sepasang mata milik Mira.

“Bukan ke selama ni I memang intip dia dan segala maklumat yang Cik Melisa mahukan telah I serahkan, bukan?” Laju, Mira menyoal.

“Itu I tahu... tapi...” kata-kata Melisa terhenti. Dia meneguk sedikit jus kiwi di hadapannya.

Mira turut melakukan perkara yang sama sebelum persoalan diutarakan, “Tapi apa?”

“Tapi perempuan tu licik! Susah I nak kenakan dia!” kemarahan Melisa sudah menjelma.

“Maksud Cik Melisa?” Mira mengerutkan dahinya.

‘Susah betul cakap dengan orang bodoh ni!’ maki hati Melisa bersama keluhan berat.

“You tahukan yang betina tak guna tu sentiasa berkepit dengan Asyraf?!” Sedikit meninggi suara Melisa.

Mira menganggukkan kepalanya laju. Mana mungkin dia tidak tahu akan maklumat tersebut sedangkan dialah wartawan bergerak yang menyampaikannya kepada wanita di hadapannya itu.

“Bila dah 24 jam Juliana berkepit dengan Asyraf, susahlah I nak ganyang perempuan tu?!” Kemarahan kian menguasai figura Melisa.

“Tapi bukan ke hari tu I dah berikan alamat Juliana pada you?” Perlahan, Mira bertanya. Rasa takutnya sudah menjelma.

“Itu memang betul. Tapi, Asyraf sempat menghalang I!!!” bentak Melisa.

“Menghalang you? Menghalang you daripada apa?” Kembali berkerut dahi Mira.

“Menghalang I daripada ganyang perempuan tulah. Hari tu I pergi serang Juliana dekat kondominium yang Asyraf berikan pada dia! Dasar perempuan tak guna... I dah agak dah yang dia nakkan Asyraf disebabkan harta! Tapi nasib I malang pada waktu tu...” Melisa mendengus kasar. Sekali lagi jus sejuk di hadapannya itu menjadi mangsanya.

“Apa yang telah berlaku lepas tu?” soal Mira benar-benar tidak sabar hendak mendengar gosip yang dirasakannya begitu ‘mewah’ itu.

“Asyraf! Dia terus menyerbu masuk ke dalam kondominum tu. I pun tak tahu macam mana dia boleh hidu akan kehadiran I pada waktu tu. Tapi apa yang pasti segala rancangan I gagal!” Tanpa sedar Melisa menepuk kuat dada meja di hadapannya itu.

Terkejut Mira dengan reaksi Melisa itu. Tidak disangkanya wanita yang selama ini menjadi idolanya, sebaran itu.

“Habis tu... apa yang you nak buat sekarang?” Perlahan, Mira bersuara.

“Bukan I. Tapi you!” Melisa tersenyum. Senyumannya penuh dengan muslihat.

“I? Apa maksud you?” soal Mira bersama gelisah di hatinya. Dia berharap benar yang model di hadapannya itu tidak akan menyuruhnya melakukan perkara yang boleh menjerumuskannya ke penjara.

Melisa tidak terus menjawab. Dia menyandarkan tubuhnya. Kejahatan terlihat jelas di sepasang mata galak miliknya.

“You nak suruh I buat apa sebenarnya?” Mira kian gerun melihatkan kejahatan yang terukir di sepasang mata milik Melisa itu.

“I nak you ikut perempuan tu. Maksud I, I tahu yang perempuan tu memang akan sentiasa berkepit dengan Asyraf. Tapi I yakin yang ada ketikanya dia mesti hendak bersendirian. So... I nak you maklumkan bila masanya perempuan tak guna tu tidak ditemani oleh Asyraf mahupun sesiapa,” tutur Melisa.

Mira diam. Dia tidak menjawab apa. Melisa geram melihatkan kebisuan orang suruhannya itu, “You dengar tak apa yang I cakapkan ni?!”

“De... dengar. Tapi... boleh I tahu, you nak buat apa dengan Juliana? Takkan you nak bunuh dia?” Sedikit tergagap Mira bertanya. Entah kenapa pada hari ini dia dapat melihat dengan jelas sisi jahat yang ada pada idolanya itu.

“Kalau terpaksa. Apa salahnya... lagipun I takkan biarkan hak I dirampas oleh sesiapa! Termasuklah perempuan tak guna tu!” senyuman yang tergaris di bibir Melisa pada saat ini benar-benar menakutkan. Dendamnya amat dalam.

Mira terkejut dengan kata-kata yang didengarinya. Sejahat-jahatnya, tidak pernah dia terfikir untuk membunuh sesiapa. Tapi... kenapa? Kenapa mudah benar Melisa menggunakan perkataan bunuh sebagai tindakan terakhirnya untuk mendapatkan sesuatu yang jelas bukan miliknya.

“Lagi satu... mana nombor telefon yang I minta daripada you tu?” soal Melisa kemudiannya. Nada suaranya sudah merendah.

“Nombor telefon? Nombor telefon siapa?” soal Mira kebingungan akibat rasa takut yang kian memanjat jiwanya.

“Nombor telefon yang sepatutnya you serahkan bersama dengan alamat perempuan tak guna tu tempoh hari! Mana nombor telefon tu?” Wajah Melisa masih belum mesra.

“Ooo... sekejap ya.” Mira pantas membuka tas tangannya dan sekeping kertas kecil yang tercatit nombor telefon seseorang diserahkan kepada model kejam itu.

Melisa tersenyum puas saat apa yang dihajatinya, sudah dapat dimiliki. Senyumannya kembali bertukar rupa saat mindanya sudah merencanakan sebuah bencana. Bencana yang bakal ditimpakan ke atas seorang wanita yang tidak bersalah apa!

Previous: BAB 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.