Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
229,308
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 25

25

SEWAKTU di dalam perjalanan pulang daripada menikmati makan malam di Restoran Hari-Hari Istimewa, Juliana tidak banyak bercakap. Hanya sepatah dua sahaja bicaranya. Asyraf pula masih berusaha bertanyakan itu dan ini bagi melanjutkan perbualan mereka.

“Boleh saya tahu... kampung Juliana dekat mana ya?” soal Asyraf.

“Sekinchan.” Sepatah jawapan Juliana.

“Ooo... memang itu kampung halaman Juliana ke? Maksud saya, atuk dan nenek Juliana pun tinggal dekat situ ke?” Asyraf kembali bertanya.

“Taklah. Atuk dan nenek masih di luar negara.” Agak lambat, Juliana memberikan jawapan.

“Luar negara? Dekat mana?” Laju, Asyraf hendak tahu.

Juliana diam. Sengaja dia tidak mahu menjawab persoalan itu kerana dia enggan mendedahkan status dirinya.

Memahami yang mungkin persoalannya itu sudah melampaui batas, maka persoalan yang lain pula ditanyai, “Juliana anak tunggal ya?”

“Ha’ah. Saya anak tunggal.” Masih perlahan suara Juliana.

“Ooo... kiranya, papa Juliana tinggal seorang dirilah ya dekat kampung tu?” soal Asyraf lagi.

“Taklah. Mak Esah dengan Pak Sameon ada temankan papa.” Habis memberikan jawapan, Juliana memalingkan wajahnya ke cermin sisinya.

Pandangannya dihalakan ke luar. Gelap malam bersama simbahan cahaya lampu jalan bagaikan menghadirkan suasana yang suram. Sesuram hatinya tika persoalan demi persoalan mengenai papanya ditanyai oleh insan di sisinya itu.

“Asyraf... kenapa malam ni awak asyik bertanyakan soalan mengenai diri saya?” Tiba-tiba, Juliana menyoal.

Terdiam Asyraf saat persoalan itu meluncur keluar dari bibir Juliana. Tidak disangkanya yang wanita itu akan menanyakan soalan itu kepadanya.

“Awak jangan salah faham. Bukannya saya tak suka. Saya cuma pelik je kenapa malam ni awak asyik bertanyakan soalan mengenai diri saya dan ahli keluarga saya je. Kenapa ya?” Saat menanyakan soalan yang terakhir, Juliana sudah mengalihkan semula wajahnya untuk menghadap seraut wajah kacak yang sedang menumpukan perhatian ke atas jalan raya.

“Saya... saya cuma nak mengenali awak secara lebih mendalam.” Sedikit tergagap Asyraf menjawab.

“Ooo... saya ingatkan yang awak dah terjatuh hati dengan saya tadi,” usik Juliana.

Tiada niat apa tika Juliana menghadirkan usikan itu. Sekadar untuk menghalau suasana yang kurang disenanginya. Namun gurauannya itu telah menghadirkan satu rasa indah bersama debaran hebat di dada Asyraf.

“Baiklah. Untuk adil, apa kata kalau saya pula yang tanyakan soalan pada awak. Boleh?” tutur Juliana.

“Boleh. Tanya jelah apa sahaja yang awak nak tahu tentang saya.” Asyraf mengukirkan senyuman untuk menghalau debaran yang kian menyakitkan dadanya itu.

“Emm... first sekali, kenapa awak berminat untuk menubuhkan syarikat yang berkaitan dengan hal jodoh menjodohkan orang ni?” Soalan pertama, Juliana kemukakan.

“Sebab saya berharap sangat yang setiap orang akan bertemu dengan cinta sejati mereka. Saya yakin yang bahagia itu mampu kita kecapi seandainya kita menemui insan yang benar-benar layak untuk mendapat belaian cinta kita.” Terdengar ikhlas dan ‘mendalam’ saat ungkapan cinta dilahirkan oleh Asyraf. Juliana menjadi kagum dengan lelaki yang benar-benar menghargai erti cinta itu.

“Macam mana dengan awak? Awak dah bertemu dengan cinta sejati awak?” Setelah agak lama, barulah Juliana bertanyakan soalan yang dirasakan cukup peribadi itu.

“Dah,” riang Asyraf tika memberikan sepatah jawapan itu.

“Bertuahlah perempuan yang bertakhta di hati awak tu. Tapi kalau awak dah bertemu dengan cinta sejati awak... kenapa pula awak nak suruh saya berlakon menjadi kekasih olok-olok awak? Kenapa awak tak nak tampilkan je cinta sejati awak tu?” Pelik pula Juliana dengan sikap Asyraf. Andai sudah menemui cinta sejati, kenapa tidak ditampilkannya kepada Melisa?

‘Ya ALLAH... benarkah ini aturan MU? Aturan agar aku meluahkan isi hatiku terhadapnya! Inikah saatnya Ya ALLAH?’ soalan demi soalan bergema laju di hati Asyraf.

Juliana masih menantikan jawapan dan entah mengapa penantian itu dirasakannya begitu lama. Cemburukah dirinya?

“Sebab...”

Baru sahaja patah awalan diungkapkan oleh Asyraf, satu deringan merencatkan segalanya.

“Kejap ya. Handphone saya berdering.” Juliana segera mengeluarkan handphonenya dari tas tangannya.

“Nombor siapa pula ni?” soal Juliana pelik saat dia melihat satu nombor yang langsung tidak dikenalinya tertera di skrin handphonenya.

Admire awak kot?” seloroh Asyraf.

“Agak-agaklah awak ni... saya manalah ada admire,” tutur Juliana.

“Jawablah jelah call tu. Manalah tahu kalau ada hal kecemasan ke…” cadang Asyraf.

“Malaslah saya. Mungkin ada orang tersalah dail kot... ha... kan, dah senyap dah tu,” tutur Juliana lagi.

Namun ‘kebisuan’ handphone milik Juliana itu sekejap cuma. Tidak sampai seminit, deringan yang sama bertalu semula.

“Bak sini, biar saya yang jawab.” Asyraf pantas mengambil handphone yang berada di tangan Juliana. Dia terus sahaja menjawab panggilan itu tanpa melihat terlebih dahulu angka-angka yang tertera di skrin lebar itu.

“Woi perempuan tak guna! Aku nak kau jauhkan diri kau daripada Asyraf!!!” Tanpa salam, terus sahaja makian itu disemburkan dan sememangnya Asyraf teramat mengenali milik siapakah suara insan di hujung talian.

“Melisa!!!” jerit Asyraf penuh amarah.

Juliana yang masih utuh memandang ke arah Asyraf turut terkejut besar apabila nama insan yang telah menyerangnya tempoh hari dijerit penuh kebencian oleh kekasih olok-oloknya itu dan cepat sahaja satu persoalan menjelma di hatinya, ‘Macam mana minah tu boleh dapatkan nombor aku?’

Previous: BAB 24
Next: BAB 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.