24
ASYRAF membukakan pintu
kereta buat Juliana. Juliana yang tidak menyangka akan tindakan Asyraf itu
hanya berdiri dan langsung tidak bergerak. Tidak pernah sekalipun Asyraf
bersikap sebegitu terhadap dirinya sebelum ini.
“Kenapa tak masuk?” soal
Asyraf.
“Ha... oh... ya, ya...
saya masuk,” kegagapan Juliana jelas kelihatan.
Asyraf tersenyum
melihatkan sikap polos kekasih olok-oloknya itu. Dia kemudiannya turut
memboloskan dirinya ke dalam kereta Audi R8 berwarna hitam miliknya itu. Cepat
sahaja kereta dua pintu itu meluncur di atas jalan raya.
“Asyraf... hari ni saya
ingat... nak...” kata-kata Juliana terhenti. Entah mengapa rasa segan menjengah
di jiwa.
“Nak apa?” soal Asyraf
namun perhatian tetap jua ditumpukan terhadap pemanduan.
“Saya ingat nak ajak
awak keluar makan.” Perlahan suara Juliana.
“Apa? Awak nak apa?
Maaflah... saya tak berapa dengar tadi,” tutur Asyraf.
“Saya... nak ajak awak
keluar makan dengan saya malam ni. Boleh?” Kali ini nada suara Juliana lebih
tinggi daripada tadi.
Terkejut Asyraf
mendengar kata-kata insan di sisinya itu. Dadanya berdegup laju bersama
persoalan yang terbuku, ‘Betul ke apa yang aku dengar ni? Betul ke Juliana nak
ajak aku keluar makan malam, ni?’
“Kenapa awak diam?
Ke... awak ada temu janji dengan orang lain? Tak apalah... kalau macam tu, saya
faham,” tutur Juliana saat melihatkan kebisuan Asyraf itu.
“Tak! Bukan... bukan
macam tu. Saya cuma tak percaya yang... awak sudi nak ajak saya menikmati makan
malam bersama. Yalah... selalunya saya yang beria-ia ajak awak. Tapi jarang
sangat awak nak terima pelawaan saya.” Laju, Asyraf bersuara.
Suasana sunyi kembali.
Juliana masih menantikan jawapan yang pasti daripada insan di sisi.
“So... awak nak belanja saya makan dekat mana?” riang Asyraf
bertanyakan soalan itu dan entah mengapa rasa yang sama berbunga di hati
Juliana.
“Apa kata awak yang
tentukan,” cadang Juliana.
“Tapikan awak yang nak
belanja. Awaklah yang tentukan lokasinya,” balas Asyraf pula.
“Emm... kalau macam
tu... apa kata kalau kita makan dekat Restoran Hari-Hari Istimewa, nak tak?”
Cadangan, Juliana suarakan.
“As you wish...” romantik Asyraf menuturkan kata-kata itu dan sekali
lagi debaran halus kembali menggetarkan jiwa wanita milik Juliana.
JULIANA dan Asyraf
dibawa ke sebuah meja oleh seorang pelayan wanita. Selepas mengambil pesanan,
pelayan tersebut kembali melakukan tugasnya.
“Nasib baik kita cepat.
Kalau tak... tak merasalah kita nak menikmati makan malam dekat restoran ni.”
Asyraf menebarkan pandangannya ke sekeliling. Begitu ramai pasangan-pasangan
kekasih mahupun mereka yang sudah berkeluarga sedang menikmati makanan enak di
restoran tersebut.
“Ramai juga ya
pelanggan hari ni,” komen Asyraf lagi.
“Biasalah. Sekarang
nikan hujung-hujung bulan. Ramai yang dah dapat gaji,” ulas Juliana kemudiannya.
Asyraf mengalihkan
pandangannya ke arah wanita di hadapannya, “Macam awaklah, kan?”
Juliana mengerutkan
dahinya, tanda tidak mengerti.
“Maksud saya, hari
ni... awak mendapat gaji pertama awak semenjak awak bekerja di syarikat saya.
Sebab tu ke awak nak belanja saya makan malam hari ni?” soal Asyraf di akhir
kata-katanya.
Juliana tersenyum,
‘Pandai juga mamat ni,’ desis hati kecilnya sebelum mulutnya melahirkan patah-patah
kata, “Bukan sebab tu je... saya juga nak ucapkan terima kasih banyak-banyak
pada awak.”
“Untuk apa?” Laju,
Asyraf bertanya.
“Untuk segala-galanya.”
Saat bicara itu dilahirkan sepasang mata milik Juliana memanah seraut wajah
milik Asyraf dan panahan itu terus-terusan menghadirkan debaran di dada kekasih
olok-oloknya itu.
“Saya... betul-betul
terhutang budi dengan awak. Awak terlalu banyak membantu saya. Siap bagi saya
kerja dan tempat tinggal lagi. Terima kasih ya.” Ikhlas Juliana melahirkan tiap
patah kata yang membentuk bicaranya itu.
“Juliana... kan, saya
dah cakap yang saya ikhlas membantu awak. Sebetulnya saya yang terhutang budi dengan
awak sebab awak sudi bersetuju dengan rancangan gila saya tu. Awak sudi untuk
menjadi kekasih olok-olok saya. Tapi... saya tak sangka yang rancangan gila
saya tu telah membawa bahaya pada awak. Maafkan saya ya.” Ikhlas juga, Asyraf
menuturkan kemaafan itu.
“Benda dah berlaku. Tak
perlulah awak nak ungkit-ungkit lagi. Apa kata, kita makan puas-puas malam ni.
Ha... tu, makan pun dah sampai.” Juliana memuncungkan sedikit mulutnya ke arah
pelayan wanita yang tadinya mengambil pesanan mereka.
Elok sahaja makanan
diletakkan, doa pun dibaca dan hidangan yang begitu membuka selera segera
Juliana masukkan ke mulutnya. Tersenyum Asyraf melihat gelagat kekasih
olok-oloknya itu.
“Sedap sangat ke?”
Asyraf menyoal.
Juliana tidak menjawab
secara lisan sementelah mulutnya masih penuh dengan pulunan makanan. Anggukan
perlahan bersama senyuman menawan sudah menggambarkan betapa makanan yang
sedang dirasai tekaknya itu benar-benar menetapi cita rasanya.
“Awak pernah datang ke
sini ke, sebelum ni?” soal Asyraf lagi.
Juliana meneguk sedikit
jus tembikai sebelum melahirkan jawapan, “Pernah.”
“Dengan pakwe ke?”
Entah mengapa saat Asyraf bertanya soalan yang satu itu hatinya dilanda rasa
cemburu.
“Kan, saya dah pernah
beritahu awak yang saya ni tak ada pakwe. Saya masih solo.” Bersahaja, Juliana
menjawab.
“Habis tu... awak
datang dengan siapa?” Asyraf masih mahukan kepastian.
“Saya datang dengan
papa. Itu pun kalau terlanjur kami ada urusan di Petaling Jaya ni.” Perlahan
sahaja suara Juliana saat menyebut insan yang amat dirinduinya itu dan tanpa
sedar dia sudah menundukkan wajahnya. Riak sedih jelas terukir.
Asyraf menyedari akan perubahan emosi Juliana
itu, “Awak rindukan papa awak?”
Diam. Juliana tidak
menjawab apa.
“Juliana... boleh saya
tanya sikit dekat awak tak?” Agak berhati-hati, Asyraf bertanya.
“Apa dia?” Masih
perlahan suara Juliana.
“Kenapa saya perasan yang
awak seolah-olah cuba untuk mengelak dari berbicara mengenai papa awak? Awak...
ada masalah dengan papa awak ke? Maaflah kalau persoalan-persoalan saya ini
melampaui batas.” Kemaafan, Asyraf selitkan di akhir pertanyaan-pertanyaannya.
Sebak menyerbu dan
bertapa di dada Juliana. Ah! Mengapa perlu persoalan mengenai insan yang telah
mengkhianatinya itu yang ditanyai oleh Asyraf?
“Kalau awak tak nak
jawab, saya faham. Dahlah... jom kita sambung makan.” Asyraf bersuara semula.
Dia tidak mahu terus-terusan ‘menekan’ kekasih olok-oloknya itu.
Juliana masih membisu.
Langsung tiada bahasa tubuh yang diberikan oleh wanita itu.
Resah dan rasa bersalah berlumba-lumba
‘menampar’ jiwa Asyraf, “Juliana... please...
jangan terus membisu macam ni. Saya tahu yang saya dah melampaui batasan. Saya
tak patut tanyakan soalan-soalan tu. Maafkan saya ya.”
Juliana mengangkat
wajahnya. Segaris senyuman tempang cuba diukirkan, “Awak tak salah. Saya je
yang terlebih beremosi. Mungkin saya terlalu rindukan papa saya.”
Lega sedikit hati
Asyraf dengan reaksi Juliana itu, “Kalau betul awak terlalu rindukan papa awak,
saya benarkan awak ambil cuti. Awak baliklah ke kampung. Jenguklah papa awak
tu.”
“Tak apalah. Terima
kasih atas niat baik awak tu. Tapi... saya tak rasa yang saya nak balik ke
kampung buat masa sekarang ni. Mungkin lain kali. Asyraf... saya nak pergi ke tandas
sekejap. Awak makanlah dulu ya.” Juliana bangkit dan terus berlalu. Air mata
yang cuba ditahan-tahan juga sudah mengalir lesu.
‘Tabahlah wahai hati.
Andai derita ini mampu memaafi khilaf papaku... aku sanggup! Sanggup untuk
terus berjauhan dengan insan yang teramat aku sayangi!’ rintih jiwa Juliana
bersama tangisan yang kian hiba.