Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kekasih Olok-Olok
Kekasih Olok-Olok
Eija Khadeeja
25/7/2014 15:49:50
229,316
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 15

15

PIL ecstasy ditelan rakus dan air kencing syaitan diminum puas. Melisa tersenyum saat lalok di kepala kian menguasai emosinya. Dia ketawa terbahak-bahak bak orang gila.

“Kau bodoh Asyraf! Kau bodoh! Perempuan tak guna tu yang kau tergila-gilakan! Apa kurangnya aku!!!” jeritan ditindih dengan jeritan yang akhirnya menjerumuskan Melisa kelembah kemarahan.

Melisa bangkit. Tubuh yang terhuyung hayang cuba distabilkan saat langkah demi langkah diatur. Dia kembali ke ruang tari. Tariannya bak perempuan murahan saat seorang demi seorang lelaki di kelab malam itu mengerumuninya.

“Asyraf... akhirnya kau datang...” gedik Melisa bersuara saat seorang lelaki yang entah siapa gerangannya datang memeluk erat pinggangnya.

“Asyraf...” Kian lembut godaan Melisa saat dia membalas pelukan lelaki berhidung belang itu.

“Kenapa you pilih perempuan tu Asyraf... kenapa?” Bayangan Asyraf kian jelas dipenglihatan Melisa. Sedangkan lelaki yang sedang melayan godaannya itu bukanlah lelaki yang digilainya.

“Mana ada I pilih perempuan tu. I sayangkan you. Hanya you sahaja...” Lelaki itu memainkan peranannya. Dia membelai lembut wajah yang sedang tersenyum gatal itu.

“Betul ni you pilih I?” soal Melisa kian mengada-ngada.

“Betul. I akan buktikan pada you, hanya you pilihan I!” balas lelaki miang itu.

“Bila? Bila you akan buktikan?” desak Melisa dalam kegedikan.

Bau arak kian kuat menerpa ke rongga hidung lelaki itu. Namun dia sudah lali dengan bau hancing minuman itu. Sementelah dirinya juga kerap meminum minuman air kencing syaitan itu.

“Sekarang. Sekarang juga I akan buktikan pada you.” Lelaki itu pantas memeluk erat tubuh Melisa dan didukungnya penuh nafsu tubuh ramping itu. Tepukan gemuruh menguasai ruang tari itu. Begitulah kebiasaanya seandainya maksiat demi maksiat menjadi tatapan mata. Pasti keaiban dan dosa itu akan digahkan.

“You nak bawa I pergi mana?” soal Melisa sambil ketawa gatal.

“I nak bawa you ke syurga,” balas lelaki itu saat dia melangkah keluar dari kelab malam eksklusif itu. Dia sudah mengatur sebuah rancangan jahat di mindanya. Aturannya cukup kemas dan licik. Tidak sabar-sabar untuknya ‘menikmati’ tubuh muda di dalam dakapannya itu.

Bro... nak pergi mana tu?” soal seorang lelaki bertubuh tegap yang datang bersama beberapa orang konconya.

Langkah lelaki yang sedang mendukung Melisa itu terhenti. Rasa takut memanjat keberanian lelakinya.

“Aku tanya! Mana kau nak bawa perempuan tu?!” soal Megat lagi selaku ‘along’ kepada ‘adik-adiknya’.

“A... aku... aku nak bawa dia balik,” tergagap-gagap lelaki itu bersuara.

“Balik? Balik mana?” soal Megat saat dia menghampiri ‘mangsa’ di hadapannya.

Gugup lelaki itu. Kelu lidahnya untuk memberikan jawapan.

“Kenapa kau diam? Kau kenal ke siapa perempuan ni?!” Kini hanya sejengkal sahaja jarak mereka.

Melisa yang berada di dalam dakapan lelaki berhidung belang itu pula sudah sunyi mulutnya dan terhenti aksi miangnya. Semuanya akibat mabuk dan lalok yang melampau.

“Dia... dia... adik aku,” tipu lelaki itu.

“Banyaklah adik kau!!!” Sebuah penumbuk melayang mengenai mulut lelaki kurus itu. Tubuhnya terjatuh dan dihimpap oleh tubuh seksi milik Melisa.

“Kalau kau nak tahu perempuan yang kau nak ‘jamah’ ni adalah ‘milik’ bos aku!!! Lagi sekali aku nampak batang hidung kau dekat kelab malam ni, mampus kau aku kerjakan!... Apa lagi yang kau orang tercegat tu! Cepat angkat perempuan ni!” Megat menoleh ke belakang dan arahan diberikan kepada konco-konconya.

Segera orang-orang bawahan itu menuruti arahan ketuanya. Tubuh Melisa diangkat dan dibawa ke kereta. Lelaki yang tadinya gah merangkul dan memeluk erat tubuh Melisa masih rebah. Malang sungguh nasibnya pada malam ini. Malam yang disangkanya penuh dengan kerlipan angan-angan. Angan-angan untuk ‘menjamah’ ‘hidangan mewah’. Kini bukan sahaja tubuh model muda itu tidak dapat ‘dirasainya’, malahan kesakitan akibat tumbukan padu daripada lelaki yang sudah berlalu pergi itu kian terasa di bibirnya bersama aliran darah merah.

DATO EZMAN mengusap penuh kasih sayang wajah yang sedang memejamkan matanya itu. Sungguh! Dia mengakui yang dia sudah mulai mencambahkan rasa cinta di hatinya buat perempuan simpanannya yang satu itu.

Melisa... wanita yang sudah menjadi ‘miliknya’ semenjak tiga tahun yang lepas itu kian ketara perubahannya. Daripada seorang yang tiada apa-apa, kini wanita itu boleh bermegah dengan kemewahan yang dimilikinya. Tetapi nampaknya sebanyak manapun wang yang ditaburi ke atas wanita jelita itu, masih belum mampu untuk meluputkan satu nama dari terus melekap di sekeping hati milik Melisa. Asyraf! Ya... Lelaki itu masih disanjungi oleh perempuan simpanannya itu!

“Asyraf...” Tanpa sedar Dato Ezman menyebut nama ‘musuhnya’.

“Asyraf! You ke tu?” Semerta Melisa terjaga saat terdengar nama lelaki kegilaannya disebut.

“Asyraf? Asyraf mana?” Sengaja Dato Ezman menyoal saat Melisa sedang bangkit dan menyandarkan tubuhnya di kepala katil.

Melisa gugup. Rasa sakit di kepala akibat pengambilan pil ecstasy bersama minuman keras itu masih terasa. Namun rasa sakit itu tidak diendahkan sementelah rasa takut terus-terusan menguasai emosinya tika ini.

“Kita dekat mana ni?” soal Melisa untuk mengalih perhatian Dato Ezman.

“Dekat hotel. Orang-orang I terjumpa you di dalam keadaan yang cukup memalukan. You sendiri tahukan apa yang telah you lakukan semalam?” Masih lembut intonasi suara Dato Ezman. Sepanjang dia menjalinkan hubungan dengan Melisa, tidak pernah sekalipun dia meninggikan suara terhadap perempuan muda itu.

Melisa menundukkan wajahnya, “Dato marahkan I?”

“I tak marahkan you. I cuma tak nak you memalukan diri you sendiri. You sendiri tahukan yang you tu adalah seorang model yang sudah dikenali ramai. Melisa... I tak suka you terkinja-kinja di luar sana.” Dato Ezman masih memandang tepat ke arah Melisa.

“I tak sengaja. I... I cuma betul-betul tertekan semalam. Maafkan I ya...” Melisa pantas mengangkat wajahnya dan segera tubuh tua di hadapannya itu didakapnya.

“Maafkan I...” rengek Melisa sekali lagi saat Dato Ezman enggan menerima kemaafannya itu.

“Baiklah. I maafkan you. Tapi... I harap yang you takkan buat lagi benda-benda yang bodoh tu. Kalau betul pun you tengah tertekan... jangan pergi ke tempat-tempat yang terbuka macam tu. Dahlah sekarang ni ramai yang nak menjaja nama you di luar sana. I tak nak, perempuan yang I ‘jaga’ tercalar lagi maruahnya. You fahamkan apa yang I maksudkan ni?” Dato Ezman menolak perlahan tubuh Melisa dan sepasang mata milik model itu dipandangnya penuh kasih.

“I faham.” Ringkas sahaja jawapan Melisa.

“Baguslah. Tapi... you belum lagi jawab soalan I tadi. Siapa Asyraf tu?” Dato Ezman masih hendak menilai kejujuran perempuan simpanannya itu.

Melisa terdiam. Wajahnya tertunduk sekali lagi dan bibirnya diketip rapat.

“Melisa... you ada mencintai orang lain ke selain I?” Dato Ezman menyentuh perlahan dagu Melisa sebelum wajah yang tertunduk itu diangkatnya.

“Tak. Hanya Dato sahaja yang I cintakan. Percayalah cakap I,” dusta Melisa.

“Kalau macam tu... siapa Asyraf? Tadi I dengar yang you sebut nama Asyraf. Siapa dia?” desak Dato Ezman.

“Sebenarnya... sebenarnya... Asyraf tu...” tergagap-gagap Melisa. Namun kegagapannya terhenti saat Dato Ezman memberikan isyarat tangan supaya dia membisukan mulutnya. Kebiasaan yang akan dilakukan seandainya Datin Azilah menghubungi.

‘Nasib baik isteri dia call.’ Lega hati Melisa.

“Emm... nak apa?” Tanpa salam, Dato Ezman terus menghamburkan pertanyaan.

“You nak buat apa dengan duit sebanyak tu?” soal Dato Ezman kemudiaannya setelah isterinya itu menjawab persoalan pertamanya.

“Betul ke butik you ada masalah? Ke... you nak ‘sedekahkan’ duit I pada pelaburan kawan-kawan you yang langsung tak mendatangkan untung tu?” sinis Dato Ezman setelah isterinya memberikan alasan.

“Yang you nak membebel ni kenapa? I cuma tanya je. Tengoklah nanti... I akan fikirkan dulu. Lagipun bukan ke baru minggu lepas I dah berikan you RM 10 ribu, takkan tak cukup lagi?” soal Dato Ezman kepada insan di hujung talian.

Beberapa saat Dato Ezman mendengar bicara isteri tunggalnya itu dan akhirnya kata putus ditamatkan, “Yalah. Petang nanti I suruh akauntan I sedikan cek untuk you.”

Sekali lagi tanpa ucapan salam Dato Ezman terus mematikan talian. Dia mendengus. Rasa marah menjengah sebentar sebelum tubuhnya itu dipeluk erat oleh Melisa yang berada di belakangnya.

“Dato jangan marah-marah. Nanti kalau Dato kena serangan jantung... I yang susah...” Melisa sengaja melunakkan suaranya setelah Dato Ezman memalingkan tubuhnya. Melisa melirik manja ke segenap tubuh lelaki tua itu.

“Dato nak I ‘hapuskan’ kemarahan Dato tu?” Jari jemari Melisa meliar di segenap dada yang sedang ditutupi dengan kemeja panjang itu. Dia cuba membuka butang teratas pada pakaian itu. Namun kelincahan jari jemarinya dihalang oleh Dato Ezman.

“Kenapa ni? Dato ‘tak nak’ ke?” Masih manja suara Melisa.

“Bukan. Bukan I tak nak. Tapi I ada meeting pagi ni.” Lembut suara Dato Ezman.

“Pagi-pagi sabtu ni?” ragu-ragu Melisa.

Dato Ezman pantas menganggukkan kepalanya dan kucupan diberikan pada pipi gebu di hadapannya itu.

“Takkan Dato tak boleh nak batalkan meeting tu?” soal Melisa.

“Tak boleh. Meeting tu penting. Lagipun kalau I dapat projek besar tu... you juga yang untung. I akan berikan apa sahaja yang you mahukan kalau I dapat tackle pelabur luar tu.” Tanpa sengaja Dato Ezman menuturkan sebuah janji.

Keterujaan terus menguasai wajah milik Melisa. Dia terlompat kecil. Girang benar hatinya dengan taburan janji Dato Ezman itu. Dia yakin yang lelaki tua itu tidak akan membohongi dirinya.

Dato Ezman hanya tersenyum lebar melihatkan sikap ‘kebudak-budakan’ perempuan simpanannya itu. Senang hatinya dengan kelincahan dan kemanjaan Melisa.

“I yakin yang Dato akan berjaya.” Melisa menuturkan lembut kata-kata peransang itu sewaktu Dato Ezman hendak melangkah keluar dari bilik mewah itu.

Dato Ezman hanya menganggukkan kepalanya sebelum mengucup sekali lagi pipi Melisa. Hilang sahaja bayangan Dato Ezman, Melisa kembali mendapatkan katil. Dia merebahkan tubuh ramping miliknya. Senyumannya kian melebar saat angan-angan meninggi menerokai ke segenap ruang mindanya. Angan-angan yang berpusatkan tentang permintaannya terhadap Dato Ezman seandainya lelaki itu berjaya mendapatkan projek mega itu.

Namun senyumannya termati dan angan-angannya terhenti saat episod semalam kembali menjengah memorinya. Episod dilukai oleh lelaki yang teramat dicintainya. Asyraf! Lelaki itu dengan beraninya mengakui sekali lagi bahawa Julianalah teman wanita dan bakal isterinya. Malahan lelaki itu dengan selambanya menggenggam erat jari jemari milik wanita berwajah kacukan itu.

“Juliana! Aku takkan lepaskan kau. Asyraf adalah milik aku!” Seraya menuturkan kata-kata itu, Melisa bangkit dan menuruni katil.

Dia pantas mendapatkan tas tangannya tanpa memperkemaskan dahulu penampilannya. Satu destinasi sudah tersemat kemas di otaknya. Ya! Dia akan ke ‘tempat’ itu untuk memberikan pengajaran kepada wanita yang cuba untuk menghancurkan kebahagiaannya!

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.