8
HAJI KAMARUL masih
mencuba. Nombor yang sama tetap jua didail berulang-ulang kali.
“Sudahlah tu Haji...
marilah kita makan dulu. Dah nak dekat pukul tiga dah ni... Dari pagi lagi Haji
langsung tak sentuh makanan pun. Marilah...” Mak Esah selaku pembantu rumah
menghampiri majikannya di serambi rumah kayu dua tingkat itu.
“Esah... salah aku ke
sebab semua ni terjadi? Salah aku ke sehinggakan Juliana pergi membawa diri?” Terdengar
kesayuan di dalam persoalan itu. Haji Kamarul sudah memasukkan handphonenya di dalam poket baju
melayunya.
Mak Esah terdiam. Dia
sudah maklum konflik apakah yang telah berlaku di dalam keluarga majikannya
itu.
“Esah... ke mana agaknya
Juliana pergi membawa diri? Aku betul-betul risau. Dah berkali-kali aku cuba
menghubungi nombor telefonnya, tapi... hai... entahlah. Mungkin dia dah tukar
nombor kot. Mungkin dia betul-betul dah terasa hati dengan aku. Ni semuanya
salah aku. Aku langsung tak mempertimbangkan perasaan dia sebelum aku
memutuskan ‘perkara’ tu. Ni semuanya salah aku... salah aku, Esah.” Terlihat
genangan air mata di kelopak mata yang sudah berkedut itu.
“Haji... sudahlah tu.
Jangan sesalkan lagi perkara yang dah berlaku. Mungkin Juliana tak ke mana-mana
pun. Mungkin juga dia cuma ke rumah Ucu dia, di Meru.” Mak Esah cuba
menenangkan majikannya itu.
“Tak. Dia tak ada di
sana. Aku dah hubungi adik aku tu... dia kata Juliana langsung tak ke sana.”
Semakin sayu suara Haji Kamarul.
“Haji ada cuba tanya
pada Faridah? Julianakan rapat dengan sepupu dia tu,” soal Mak Esah
kemudiannya.
Haji Kamarul menganggukkan
kepalanya dan linangan air mata yang segar diseka segera.
“Faridah pun tak tahu
ke mana Juliana menghilang?” Masih belum puas Mak Esah meminta pengesahan.
“Tak. Faridah langsung
tak tahu ke mana menghilangnya Juliana. Apa yang perlu aku lakukan ni Esah? Aku
risaukan keadaan dia. Kad ATM, Kad Kredit dan buku cek dia, semuanya dia
tinggalkan. Nampak sangat dia nak buktikan pada aku yang dia boleh hidup
berdikari di luar sana tanpa bantuan aku. Tapi... aku takut! Selama ni, Juliana
langsung tak pernah menjalani kehidupan seorang diri tanpa pantauan aku dan
arwah mamanya.” Kerisauan jelas terukir di atas figura yang sedang dihujani air
mata itu.
Mak Esah mengeluh. Rasa
risau bersatu dengan rasa takut di dalam hatinya. Takut seandainya gadis yang
baru menginjak menjadi wanita muda itu akan diperapa-apakan oleh sesiapa di
luar sana.
“Esah... kalaulah arwah
Saleha masih hidup... mesti dia akan kecewa dengan tindakan aku.” Haji Kamarul
terus-terusan melahirkan sesalannya.
“Sabarlah Haji... kita
pun tak nak semua perkara ni berlaku. Haji... apa kata... kalau kita buat
laporan polis? Mungkin pihak polis dapat membantu kita dalam menyelesaikan
masalah kehilangan Juliana ni,” cadang Mak Esah.
Haji Kamarul mengeluh.
Dia mengalihkan pandangannya ke luar rumah. Sepasang matanya menjamahi
kehijauan dan kedamaian alam semula jadi.
“Bukan aku tak nak buat
laporan polis. Tapi... Unggal tak tahu lagi tentang kehilangan Juliana. Dia
masih belum dapat menghidu tentang kepincangan yang telah berlaku di dalam
‘rancangan’ kami.” Perlahan Haji Kamarul bersuara.
“Apa?! Maksud Haji,
Unggal langsung tak tahu menahu tentang kes kehilangan Juliana? Dia tak tahu
yang Juliana telah melarikan diri daripada rumah ni? Macam tu?” terkejut Mak
Esah dengan pengakuan majikannya itu.
Haji Kamarul
menganggukkan kepalanya lemah.
“Ya ALLAH... Haji...
kenapa Haji langsung tak nak berterus terang dengan Unggal? Kenapa Haji
sembunyikan perkara sebesar ni?” Runsing Mak Esah dengan sikap majikannya itu.
“Aku ada sebab aku
sendiri.” Perlahan sahaja suara Haji Kamarul tika ini.
Mak Esah terus-terusan
memandang wajah majikan di hadapannya. Dia tahu yang dia langsung tiada hak
untuk bersuara sementelah dia hanyalah seorang pembantu rumah sahaja. Tetapi
hatinya tetap jua memberontak, menyuruhnya melahirkan pertanyaan, “Apa
sebabnya? Kenapa Haji diamkan sahaja perkara ni daripada pengetahuan Unggal?”
“Esah... aku... aku harus
menjaga maruah anak aku. Macam mana kalau Unggal sangkakan yang anak aku tu
perempuan liar dan tak terdidik akhlaknya lantaran jalan mudah yang diambilnya?
Kau rasalah, apa reaksi Unggal kalau dia tahu yang anak dara aku tu telah
melarikan diri kerana semata-mata tidak menyetujui rancangan kami?” soal Haji
Kamarul kepada Mak Esah.
Mak Esah terdiam sekali
lagi. Otaknya pantas mencari kebenaran terhadap kata-kata majikannya itu.
“Sekarang kau fahamkan
apa yang aku khuatirkan. Aku tak nak maruah anak aku tercemar.” Haji Kamarul
pantas memusingkan tubuhnya. Namun langkahnya masih belum diatur kerana dia
tahu masih ada bicara yang ingin dilahirkan oleh pembantu rumahnya itu.
“Itu saya faham. Tapi
satu perkara je yang saya tak faham dan masih menganggu fikiran saya. Kenapa
Haji tak batalkan sahaja rancangan Haji dengan Unggal tu?” Soalan terakhir
dilahirkan jua oleh Mak Esah.
Haji Kamarul tertunduk.
Dia mengeluh. Namun tiada patah kata pun yang lahir dari bibir tuanya, hanya
kakinya sahaja yang diarahkan untuk melangkah ke hadapan bagi meninggalkan
pembantu rumahnya itu di serambi rumah. Sekali lagi kamar tidur menjadi
fokusnya. Tangisan pasti rebah sebentar lagi dan perut yang bergendang irama
hanya dibiarkan sahaja. Tiada seleranya untuk menjamah apa pun yang terlihat
enak di ruangan matanya.