Home Novel Komedi/Romantik Komedi Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Eina Afrina
8/10/2013 12:46:36
75,029
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 7

BAB 7

“BILA awak nak balik KL?” soal Qallif sebaik saja mereka sampai di hadapan chalet.

Zaliah cepat-cepat masuk ke dalam kerana bajunya basah lencun akibat mandi di pantai tadi. Atau lebih tepat lagi, sengaja memberi ruang pada Qallif dan Azwa untuk berbual. Pada pengamatan Zaliah, hubungan mereka semakin baik dalam tempoh beberapa hari ini. Azwa tidak lagi menganggap Qallif itu seorang penjahat yang harus ditakuti.

“Lusa. Awak?” Azwa bertanya pula.

“Tak tahu lagi. Awak nak saya stay di sini sampai lusa?” soal Qallif sambil mengangkat keningnya.

Buat pertama kali wajahnya nampak sedikit nakal. Renungannya pula sangat berbeza dari sebelum ini. Yang pasti, Azwa akan mandi dalam keadaan tersenyum sekejap lagi. Tidak tahu bagaimana ingin menjawab soalan itu membuatkan Azwa terus melemparkan pandangan ke arah lain. Rasa berbahang pula wajahnya ketika ini.

“Bila-bila awak nak balik pun boleh,” jawab Azwa buat-buat selamba.

“Betul? Awak tak kisah?”

“Langsung tak kisah.” Azwa menjawab dengan yakin.

Qallif ketawa kecil sambil menggeleng kepala. Matanya masih berada tepat di wajah Azwa.

“Agak-agak bila kita dah tinggalkan tempat ni, kita akan jumpa lagi tak?” soalnya membuatkan Azwa kembali memandang wajah lelaki itu. Entah mengapa soalan itu terasa sayu sekali. Mungkinkah ada pertemuan lagi selepas ini? Atau segalanya akan ternoktah di sini sahaja?

“Susah nak cakap sebab KL dengan Penang tu agak jauh.”

“Tapi saya selalu datang KL kalau ada urusan kerja. Awak tinggal di mana nanti?”

“Tak tahu lagi sebab saya baru plan nak cari kerja. Tak tahu di hotel mana saya akan bekerja dan di mana saya akan tinggal. Mungkin buat sementara saya akan tinggal di rumah abang,” beritahu Azwa.

Memang dia tiada perancangan lagi buat masa ini. Jika mengikut kehendak abah di kampung, abah mahu Azwa tinggal di rumah Abang Hanif. Tak mungkin Azwa akan tinggal di rumah Abang Hanif untuk selama-lamanya. Dia tidak mahu menyusahkan Abang Hanif. Mungkin dia terpaksa tinggal di situ sekurang-kurangnya untuk sementara waktu sebelum dia mendapat rumah sewa. Zaliah pula sudah bersetuju untuk membantu Azwa mencari kerja di Kuala Lumpur nanti. Zaliah lebih arif selok belok Kuala Lumpur berbanding Azwa.

“Okeylah, saya masuk dulu. Hari pun dah nak malam ni.” Azwa meminta diri untuk masuk ke dalam.

Baru saja beberapa tapak melangkah, kedengaran suara Qallif memanggilnya.

“Azwa!”

Azwa menoleh pada Qallif yang masih setia berdiri di hadapan chalet. Hai, mamat ni tak nak balik ke?

“Apa kata kalau awak kerja di Penang. Saya boleh tolong dapatkan kerja untuk awak.” Entah apa anginnya tiba-tiba sahaja Qallif menzahirkan satu cadangan yang tidak pernah terlintas di kepala Azwa.

Azwa ketawa kecil. Hilang akal ke aku nak kerja di Penang?

“Penang tu jauh sangat. Susah nak balik kampung. Lagipun saya tak kenal sesiapa di sana.”

“Saya kan ada,” jawab Qallif pantas.

“Awak?”

Qallif mengangguk. Sekali lagi Azwa ketawa. Mamat ni memang suka buat lawak. Takkanlah aku sanggup tinggal di Penang semata-mata kerana dia? Lainlah kalau dia tu bakal suami aku, mungkin boleh dipertimbangkan lagi. Ini baru kenal empat hari. Memang tak masuk akal, fikir Azwa.

“Itu memang tak mungkin. Saya lebih suka kerja di Kuala Lumpur. Ada kakak dan abang-abang saya. Senang kalau jadi apa-apa.”

Qallif menarik nafas panjang. Agak kecewa kerana Azwa menolak permintaannya yang satu itu.

“Sudahlah, awak baliklah. Dah nak masuk Maghrib ni.” Azwa terus berlalu masuk ke dalam meninggalkan Qallif.

Qallif mula beredar dari situ. Azwa mendengar derap langkah Qallif meninggalkan chalet itu. Lega rasanya. Entah mengapa, ada kalanya berdepan dengan Qallif membuat dia sedikit gementar. Dan apabila Qallif menjadi seorang yang prihatin, dia kelihatan sangat penyayang orangnya. Azwa terlupa terus segala tengkingan yang pernah Qallif hemburkan suatu ketika dahulu.

Mungkin Azwa lembut hati. Mungkin juga hatinya terlalu lembik seperti jeli. Baru beberapa hari saja Qallif melayannya dengan baik, dia sudah lupa diri. Tetapi bukan itu faktor utama Azwa mula menerima Qallif dalam hidupnya. Dia tidak boleh menolak fakta bahawa Qallif telah menjadi penyelamatnya. Tanpa bantuan Qallif tempoh hari pasti dia sudah tiada lagi di dunia ini. Itulah satu fakta yang tak dapat disangkal lagi. Maka dia cuba bersikap seperti manusia yang tahu mengenang budi.

Pintu bilik mandi yang terbuka mematikan lamunan pendek Azwa. Senyuman di bibir mati serta merta. Takut nanti diingatkan dia ada penyakit mental asyik tersenyum seorang diri. Zaliah keluar dari bilik mandi sambil menggosok-gosok kepalanya dengan tuala.

“Dah balik dah?” soal Zaliah.

“Siapa?”

“Qal.”

“Dah. Ada pulak dia suruh aku cari kerja di Penang,” beritahu Azwa.

Zaliah berhenti menggosok rambutnya yang basah. Pandangannya serta merta berlari ke arah Azwa.

“Wow!” kata Zaliah tiba-tiba.

“Apa yang wow?”

“Itu maknanya dia tak nak berpisah dengan kau. Satu usaha yang baik dalam fasa hubungan korang berdua.” Zaliah tersenyum sambil menyelongkar beg pakaiannya mencari baju untuk dipakai malam ini.

“Tak ada maknanya,” jawab Azwa dengan bosan.

“Memang buta bijik mata kau kalau kau masih tak sedar yang Qal tu sukakan kau. Aku yang rock kapak ni pun boleh perasan. Tadi aku nampak dia curi-curi ambil gambar kau tau.”

“Kau biar betul, Za? Aku tak perasan pun bila masa dia ambil gambar aku?” soal Azwa agak terkejut.

“Memanglah kau tak perasan sebab kau sibuk tengok tempat lain. Bila kau pandang dia, dia pura-pura ambil gambar pemandangan. Kelakar betul,” ujar Zaliah sambil ketawa.

Azwa hanya mampu terdiam. Patutlah Qallif sibuk benar dengan kameranya itu. Kulit siput di atas pasir pun dia ambil gambar. Anak ketam tengah korek lubang pun dia tangkap gambar sekali. Kononnya dia pencinta alam semula jadi. Cit, podah! Esok Azwa akan tuntut gambar itu dari Qallif. Mana boleh suka-suka saja ambil gambar orang tanpa keizinan.

Selesai mengenakan pakaian, Zaliah terus meneliti telefon bimbitnya yang diletakkan di atas meja. Ada senyuman terukir di bibir. Pasti ada SMS dari si buah hati.

Satu lagi fakta, orang bercinta memang tidak boleh berpisah dengan telefon bimbit. Kalau boleh masuk bilik mandi pun nak bawa telefon bimbit sekali. Geli kan? Itu kalau cinta sedang berbunga-bunga. Dan bila cinta sedang dilanda ribut taufan, telefon tak berdosa itu juga yang jadi mangsa untuk melepaskan geram. Kesian telefon tu kan?

Azwa bangun dan terus mengambil tuala yang tersidai di dinding. Zaliah pula sedang cuba menghubungi seseorang ketika Azwa masuk ke bilik mandi. Kalau sudah tersengih-sengih begitu sudah tentulah orang di sana adalah Saiful Izzat. Lelaki yang bakal menjadi imam Zaliah tidak lama lagi. Senakal-nakal Zaliah di belakang Saiful Izzat, Zaliah begitu setia pada tunangnya itu. Saiful Izzat adalah cinta hatinya. Cemburunya Azwa bila melihat kebahagiaan yang terpancar di wajah Zaliah.

Tak sangka Zaliah akan menamatkan zaman bujangnya pada hujung bulan ini. Dia baru saja berumur 20 tahun, sebaya dengan Azwa. Rasanya masih belum puas hidup bujang dan bebas. Namun jodoh pertemuan semuanya di tangan ALLAH. Siapalah yang mampu menolak ketentuan yang telah dijanjikan ALLAH sejak di dalam rahim ibu lagi. Mungkin hidup ini akan lebih bererti jika ada insan tersayang yang setia menemani di kala suka dan duka.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.