Home Novel Komedi/Romantik Komedi Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Eina Afrina
8/10/2013 12:46:36
75,014
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 3

BAB 3

ZALIAH dengan senang hati menceritakan apa yang sudah berlaku terhadap Azwa. Seorang pemuda yang tidak dikenali telah menyelamatkan nyawa Azwa bagaikan seorang adiwira. Menurut Zaliah, mereka bernasib baik kerana kebetulan Qallif berada tidak jauh dari mereka. Jika tidak, entah kepada siapa dia harus meminta pertolongan. Kebetulan pula tempat itu agak sunyi dan tersorok sedikit.

Namun penerimaan Azwa jauh berbeza daripada Zaliah. Dia benci bila mengenangkan dirinya sudah dicabul sesuka hati tanpa kerelaan. Semua itu salah Zaliah. Zaliah yang memberi keizinan pada lelaki itu untuk menyentuhnya dalam keadaan dia tidak sedarkan diri.

“CPR?” Azwa terkejut. Luas matanya memandang Zaliah.

“Iyalah, CPR… takkan kau tak tahu apa maksud CPR tu?” soal Zaliah dengan yakin.

Azwa mengetap bibir, geram sudah pasti. Kemudian dia berlari ke bilik air sambil buat gaya hendak termuntah.

“Aku takkan maafkan kau sampai bila-bila sebab biarkan lelaki tu buat CPR pada aku!” marah Azwa sebaik saja dia keluar dari bilik air.

“Rilekslah Az… dia bukan buat apa-apa pun. Dia cuma nak selamatkan nyawa kau. Kau tak tahu betapa paniknya aku masa tu. Takkan aku nak biarkan kau mati macam tu aje?” balas Zaliah sambil bercekak pinggang di hadapan Azwa.

Geram pula dia tiba-tiba dimarahi begitu. Dia sudah berusaha semaksima yang boleh untuk menyelamatkan Azwa ketika insiden itu. Sudahnya dia pula yang disalahkan hanya kerana CPR itu.

“Aku tak kisah lelaki tu selamatkan aku dari lemas di laut tu, tapi kenapa kau biarkan dia buat CPR kat aku? Kenapa tak kau saja yang buat CPR tu?” soal Azwa semula. Suaranya sudah mengendur dan dia kelihatan serba salah.

Zaliah memandang ke tempat lain dan berdehem. “Aku tak tahu nak buat. CPR tu ada teknik dia. Bukan pakai belasah aje. Aku tak berani nak ambil risiko,” jelas Zaliah.

Azwa menghantuk-hantuk kepalanya ke dinding. Jika diikutkan hati, mahu saja dia mencekik leher Zaliah waktu itu. Takkanlah perkara semudah itu pun Zaliah tak tahu nak buat? Selama ini Zaliah tinggal di planet mana?

“Sudahlah tu… tak luak apa-apa pun. Kau takkan mengandung hanya kerana CPR tu. Kau still anak dara lagi kan?” perli Zaliah sambil menahan senyum.

Azwa menjeling Zaliah dengan wajah masam mencuka. Zaliah menggeleng-geleng kepala lalu duduk di hadapan televisyen. Dia menekan alat kawalan jauh televisyen lalu terpaparlah siaran televisyen yang sekejap okey, sekejap berbintik-bintik. Sudahlah televisyen kecil, gambar pula entah apa-apa. Chalet murah katakan. Pasrah sajalah.

“Aku rasa tak sedap hatilah. Entah-entah lelaki tu sengaja nak ambil kesempatan atas kejadian tu. Iyalah, kita bukan kenal dia pun.” Azwa meluahkan rasa tidak senangnya sambil bersandar di kepala katil. Selimut tidak lekang dari tubuhnya sejak tersedar dari pengsan. Tubuhnya bagaikan mahu demam. Sudah beberapa kali dia menelan panadol sejak semalam.

“Itu bukan ambil kesempatan, itu emergency namanya. Dia buat macam tu untuk selamatkan nyawa kau. Kalau akulah, lemas dua tiga kali pun aku sanggup kalau dia yang datang tolong,” balas Zaliah dengan selamba.

Ya ALLAH! Gatal sungguh anak dara seorang ini. Boleh dia terfikir sampai macam tu? Keluh Azwa di dalam hati.

“Kau yakin sangat dia tu baik? Hati orang kita tak boleh nak jangka. Tambah lagi orang yang kita baru saja kenal.”

Zaliah mengeluh panjang. Dia berpaling menghadap sahabat karibnya sejak di sekolah menengah itu.

“Baik atau jahat itu aku tak tahu tapi kebenarannya, dia yang dah selamatkan nyawa kau semalam. Az, cuba kau jangan fikir negatif sangat. Kau fikir semua lelaki tu jahat. Semua lelaki suka ambil kesempatan. Tanggapan kau tu salah. Tak semua lelaki macam tu. Kau sedar tak, kalau bukan kerana mamat tu yang dah selamatkan kau semalam, aku rasa kau dah jadi arwah sekarang ni. Entah apa aku nak jawab pada abah dan mak kau nanti. Silap-silap aku pulak yang kena marah sebab tak jaga kau elok-elok,” omel Zaliah.

Azwa mencebik.

“Memang kau tak jaga aku pun. Bila aku lemas, kau lari. Bukannya kau nak tolong aku.”

“Aku bukan tak nak tolong kau. Masalahnya sekarang aku pun tak pandai berenang sama macam kau. Kalau aku tolong kau, alamatnya dengan aku sekali innalilah. Terpaksa pulak kita kongsi lubang kubur. Itu untung lagi kalau orang jumpa mayat kita. Kalau tak jumpa, reputlah kita di dasar laut tu. Lebih tragis lagi kalau pirana yang makan jasad kita. Kau nak? Aku tak nak. Kau pun satu, gatal-gatal pergi ke tengah laut tu buat apa? Saja nak cari nahas. Sekarang nak bising-bising dengan aku pulak,” bebel Zaliah dalam satu nafas.

“Ada ke pirana kat tengah laut tu? Setahu aku pirana hidup di sungai kan?”

“Kalau pirana tak ada, ikan jerung banyak, ikan almari pun ada.”

“Ikan almari?”

“Tak kisahlah ikan apa-apa pun. Yang penting kita tak jadi makanan ikan-ikan tu.”

Azwa mati kata-kata. Malas berdebat dengan Zaliah. Zaliah pun sudah mula merapu entah apa-apa. Lebih baik Azwa diam saja.

Sejujurnya Azwa juga amat bersyukur kerana masih diizinkan ALLAH untuk terus bernyawa dan menyedut udara segar di bumi ALLAH ini. Siapa sangka perkara buruk sebegitu akan berlaku? Tiba-tiba saja riadah yang pada awalnya cukup menyeronokkan bertukar tragedi. Selepas ini taubat dia takkan mandi di laut lagi. Trauma beb!

“Kau tak nak jumpa mamat tu? Kau patut ucap terima kasih pada dia,” saran Zaliah setelah melihat Azwa mendiamkan diri.

Nampaknya Azwa seakan sudah boleh menerima kenyataan bahawa Zaliah dan Qallif tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini. Azwa patut menyalahkan dirinya sendiri atas kejadian yang menimpa. Hakikatnya Azwa sendiri yang sengaja menempah maut.

“Nak jugak… tapi aku malulah,” ujar Azwa serba salah. Dia tidak tahu bagaimana mahu berdepan dengan lelaki itu setelah lelaki itu mencabuli dirinya. Boleh ke guna perkataan ‘mencabuli’ dalam konteks ini? Apa-apa ajelah!

“Kenapa pulak? Kau takut jatuh cinta pada dia ek?” usik Zaliah.

Azwa memandang Zaliah dengan perasaan geram. Dia tahu, Zaliah faham maksudnya yang sebenarnya tetapi sengaja buat-buat bodoh. Sahabatnya itu tidak pernah serius dalam apa keadaan sekalipun.

“Oh ya, untuk pengetahuan kau, nama dia Qallif. Sedap kan nama tu? Unik. Jarang orang guna nama macam tu,” puji Zaliah, enggan mempedulikan jelingan tajam Azwa.

Azwa menyeringai. Kalau dah suka, letaklah nama apa sekalipun, semuanya sedap dan unik di pendengaran. Tapi kalau dah benci, nama itu automatik menjadi nama paling buruk yang pernah tercatat dalam sejarah. Biasalah kan.

Qallif? Macam pernah dengar saja nama itu, tapi di mana ya? Nak kata nama artis, tak ada pulak artis nama macam tu. Baik artis tempatan atau antarabangsa memang tak ada langsung. Entahlah, Azwa bukan kenal sangat dengan artis di Malaysia yang tumbuh bagaikan cendawan sejak wujudnya program realiti di merata-rata stesen televisyen. Yang dia kenal hanyalah beberapa orang artis yang betul-betul berbakat. Kalau sekadar glamor kerana kontrovesi baik abaikan saja.

“Assalammualaikum!” Kedengaran suara memberi salam di hadapan pintu. Serta-merta khayalan Azwa tentang dunia artis lenyap bersama suara garau itu. Sekali lagi dia bagaikan mengenali suara itu. Di mana ya? Artis ke? Ligat otak Azwa berfikir.

“Waalaikumsalam!” jawab Zaliah. Pantas dia bangun menjengah ke pintu.

“Panjang umurnya… baru sebut dah datang.” Zaliah mengulum senyuman sambil melirik ke arah Azwa.

Azwa jadi tidak keruan. Dia sudah dapat mengagak siapakah gerangannya pemilik suara yang tak berapa nak sedap itu. Pasti pemuda yang dipuji Zaliah setinggi langit itu. Pemuda yang sudah menyelamatkan nyawanya dalam insiden yang tidak disangka-sangka petang semalam.

“Masuklah Qallif, jangan segan-segan. Buatlah macam chalet sendiri,” pelawa Zaliah dengan mesra sekali.

Azwa menanti dengan penuh debar. Akhirnya Qallif muncul di hadapan Azwa diiringi sebuah senyuman. Azwa terping-pinga melihat pemuda itu. Inikah lelaki itu? Lelaki yang sudah menyelamatkan nyawanya? Melakukan CPR dan mendukungnya hingga ke atas katil?

“Az, inilah Qallif. Orang yang selamatkan kau semalam. Qallif, ini Azwa.” Zaliah kelihatan teruja memperkenalkan mereka.

Azwa tidak mengendahkan kata-kata Zaliah. Dia menggosok matanya berkali-kali. Masih tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Bukankah itu lelaki berlagak yang ditemuinya di tepi pantai semalam? Lelaki yang banyak tanya dan suka meminta itu dan ini. Semua insiden perlanggaran semalam berputar semula di kepala Azwa. Ya, dia lelaki yang sama. Ya ALLAH, dunia ni sempit rupanya!

Semalam Azwa berhutang aiskrim. Sekarang dia berhutang nyawa pulak. Lelaki ni bukan boleh percaya sangat. Bagaimana jika Qallif meminta sesuatu sebagai ganjaran? Aduh, dengan apa pula Azwa harus membayarnya? Boleh ke kalau bagi seringgit atau dua ringgit? Dah tentu lelaki yang dah tua bangka ni takkan terliur dengan duit beberapa ringgit tu. Pelbagai kemungkinan bermain di fikiran Azwa. Dia benar-benar tidak menyangka akan bertemu lelaki ini sekali lagi.

“Macam mana keadaan awak, Azwa?” tanya Qallif. Sepasang matanya redup menatap wajah Azwa yang sedang gusar.

“Saya dah okey. Terima kasih sebab tolong saya semalam,” jawab Azwa sedikit gugup.

“Sama-sama.” Qallif duduk di kerusi di tepi pintu yang terbuka.

Zaliah pula mengambil tempat di sebelah Azwa sambil tersengih-sengih bagaikan kerang busuk. Entah apa yang seronok sangat agaknya, pelik betullah perempuan ni! Fikir Azwa.

“Kau yakin lelaki ni yang tolong aku semalam? Kau tak salah orang?” bisik Azwa pada Zaliah.

Zaliah menoleh Azwa dengan gaya bingung.

“Betullah, kau ingat aku ni ada penyakit amnesia ke?” balas Zaliah, juga berbisik.

Azwa terdiam. Dia menelan air liur. Kenapa dalam banyak-banyak manusia di muka bumi ini, harus dia yang selamatkan aku?

“Macam mana boleh lemas semalam?” soal Qallif setelah agak lama suasana sepi dan masing-masing tak tahu nak cakap apa.

Zaliah pantas menyampuk. “Salah Azwa sendiri. Dia gatal sangat nak main air di tengah sedangkan dia tak pandai berenang. Ada pelampung kononnya tapi lemas jugak. Saya dah nasihatkan banyak kali tapi tak nak dengar. Hah, inilah jadinya.”

Qallif tersenyum. Sementara Azwa hanya mampu memaksa senyum walaupun hatinya geram dengan telatah Zaliah. Ingin saja dia mencubit paha Zaliah ketika ini.

“Lain kali kalau nak berenang, jangan cari tempat yang sunyi. Bahaya. Kalau jadi apa-apa macam semalam tak ada sesiapa yang nampak. By the way, kalau awak berdua nak belajar berenang, saya boleh ajarkan,” usul Qallif.

Zaliah mempemarkan senyuman hingga ke telinga. Bukan main teruja dia mendengar pelawaan keemasan itu. Kecil tapak tangan, Laut China Selatan dia tadahkan. Inilah saat yang sesuai untuk mengeratkan silaturrahim. Manalah tahu kalau-kalau Azwa boleh terjatuh cinta pada Qallif. Dan begitu juga sebaliknya.

“Tak apalah, kami tak nak menyusahkan sesiapa. Lagipun saya dah serik nak mandi di laut,” balas Azwa dengan sedikit formal.

Senyuman Zaliah mati serta-merta. Cis, Azwa selalu menolak rezeki!

“Kenapa, fobia?” soal Qallif.

“Sikit,” jawab Azwa pendek.

Qallif ketawa kecil. Entah kenapa ketawa pemuda itu kedengaran tenang. Terasa seperti sudah lama mengenalinya. Jika difikir-fikir, tidaklah teruk sangat mamat ni. Masih boleh lagi dipertimbangkan untuk dijadikan kawan selagi dia tidak melakukan perkara yang melampaui batas.

Namun cepat-cepat dibuang perasaan yang mula menular di hati Azwa itu. Azwa tidak mahu terlalu mudah percaya dengan kebaikan yang ditunjukkan lantaran lelaki itu tidak diketahui asal-usulnya. Orang yang kelihatan baik tak semestinya baik dan orang yang kelihatan jahat tak semestinya jahat. Itu dia harus ingat dan sentiasa berhati-hati.

“Siapa nama awak tadi? Qallif, kan?” soal Azwa ingin kepastian.

“Ya, saya dah beritahu semalam. Mesti awak lupa, kan?” ujar Qallif.

Dia tetap memaniskan muka walaupun hati berasa gelabah. Gerun juga dia melihat jelingan tajam Azwa. Takkan perempuan ni masih marah lagi pasal kejadian semalam kot? Qallif tertanya-tanya sendiri.

“Memanglah Azwa tak ingat sebab masa awak beritahu nama awak semalam, Azwa masih pengsan.” Zaliah yang tidak tahu apa-apa menyampuk dengan yakin.

Qallif dan Azwa hanya berpandangan. Nak ketawa pun ada mengenangkan peristiwa perlanggaran semalam. Bukan main lagi bertekak bagai nak rak. Tiba-tiba hari ini mereka duduk bersama di satu ruang dalam suasana cukup harmoni.

“Qallif, sekali lagi saya nak ucapkan terima kasih sebab dah susah payah selamatkan saya. Saya tak tahu nak balas dengan apa. Tapi saya cukup hargai apa yang dah awak lakukan.” Suara Azwa kembali bergema dengan lembut.

Senyuman Qallif semakin lebar.

“Saya tak harapkan apa-apa dari awak, Azwa. Cukup sekadar sebuah persahabatan yang ikhlas. Itu pun kalau awak sudi terima saya sebagai sahabat,” pintanya.

Zaliah sudah tersengih-sengih memandang keduanya. Nampaknya misi untuk menyatukan Azwa dan Qallif seakan berjaya. Ada tanda-tanda positif.

“Awak buat apa di Cherating ni?” tanya Zaliah pada Qallif setelah Azwa tidak memberikan apa-apa reaksi terhadap kata-kata Qallif sebentar tadi.

“Bercuti. Dah tiga hari saya di sini,” ujar Qallif.

“Oh, iya ke? Kalau macam tu kita ni samalah, tapi kami baru datang semalam. Awak lama lagi di sini?”

“Tengok keadaan. Kalau dah boring nanti saya baliklah.”

“Kalau macam tu bolehlah kita jumpa selalu lepas ni. Awak datang sini dengan siapa? Tinggal di mana? Jauh tak dari chalet kami ni?” Zaliah kelihatan begitu bersemangat. Bertubi-tubi soalan dilontarkan pada Qallif.

Azwa memandang Zaliah dengan perasaan tergamam. Lebih-lebih pulak minah ni! Buat malu betul! Sempat Azwa mencubit paha Zaliah dengan hujung jarinya sebagai isyarat agar Zaliah tidak terlebih over bertanya itu dan ini.

Zaliah menyeringai kesakitan. Dia faham benar dengan isyarat Azwa itu.

“Saya datang sorang aje. Saya menginap di chalet Ranting,” jawab Qallif.

Semakin lebar senyuman Zaliah. Bermakna semakin mudah untuk mereka bertemu. Dan bila terpandang wajah Azwa, cepat-cepat Zaliah mematikan senyumannya.

“Tak apalah, saya minta diri dulu. Kalau ada apa-apa boleh cari saya di chalet nombor 12. Tak jauh pun dari sini,” lanjut Qallif. Dan dia bangkit dari kerusi kayu yang didudukinya. Bersedia untuk pergi.

“Apa kata kalau kami belanja awak makan malam sebagai tanda terima kasih.” Zaliah bersuara lagi. Suaranya diperlahankan sedikit. Sedar dengan jelingan Azwa sebentar tadi.

Azwa hanya mampu tersenyum dalam paksa. Belanja makan? Baiknya hati Zaliah? Sejak bila Zaliah jadi pemurah di saat-saat kegawatan ekonomi ini?

“Banyak duit kau nak belanja dia makan?” bisik Azwa.

“Bukan aku… kaulah yang kena belanja dia. Nyawa kau yang dia selamatkan,” balas Zaliah juga berbisik.

Azwa mengetap bibir. Tak guna punya Zaliah! Dia yang gatal mulut mengajak Qallif, aku pulak yang kena belanja mereka. Sudahlah duit yang ada cukup-cukup makan saja!

Berkerut dahi Qallif. Entah apa yang dibisikkan oleh dua anak gadis di hadapannya itu. Ini kali kedua dia melihat mereka berdua berbisik. Risau juga dibuatnya. Manalah tahu ada konspirasi untuk membunuhnya. Namun bila mengenangkan tentang makan malam itu, Qallif tetap setia menunggu.

“Tak susahkan awak berdua ke?” duga Qallif.

“Tak… apa pulak yang susahnya? Bukan kena masak kat rumah pun. Order aje kat restoran tu.” Pantas Zaliah menjawab.

Geram sungguh Azwa mendengarnya. Ingin saja dilukunya kepala Zaliah.

“Iyalah, Azwa kan masih tak sihat. Takut nanti mengganggu waktu rehat dia pulak. Risau saya kalau jadi apa-apa pada dia,” ujar Qallif pula.

Risau? Dia risaukan aku? Azwa tertanya-tanya. Ada sedikit perasaan senang mendengar pengakuan itu. Tapi untuk apa perasaan senang itu? Entahlah, malas dia ingin memikirkannya. Dalam pada itu, dia berdoa agar Qallif menolak pelawaan Zaliah itu.

“Jangan risau. Cik Azwa kita ni ikhlas nak belanja kita makan malam ni. Bukan saja sebagai tanda terima kasih tapi juga sebagai tanda persahabatan baru,” ujar Zaliah tanpa ada rasa bersalah. Nama Azwa pula yang dijualnya.

Qallif tersengih. Dia pandang wajah Azwa mengharap ada reaksi dari Azwa. Kebisuan Azwa meresahkannya. Dia pasti akan setuju jika Azwa yang mengajaknya. Memang itu yang ditunggu-tunggu. Bukan kemaruk nak mengikis duit anak gadis itu, tapi dia ingin mengenali Azwa dengan lebih dekat lagi.

Zaliah menyenggol lengan Azwa. Mengharap ada sesuatu keluar dari mulut Azwa bagi menyokong kata-katanya itu. Geram sungguh Zaliah melihat Azwa mendiamkan diri sejak dia membuka topik belanja makan itu.

Azwa agak terkejut dengan senggolan Zaliah. Apa hal pulak ni? Dia memandang wajah Zaliah buat seketika. Sahabatnya itu mencegilkan mata.

“Cakaplah apa-apa,” bisik Zaliah.

Azwa menelan air liur. Kemudian pandangan Azwa beralih ke wajah Qallif pula.

“Makan malam tu tak seberapa jika dibandingkan dengan jasa baik awak yang sudah menyelamatkan nyawa saya.” Lembut suara Azwa dalam keterpaksaan.

Qallif tersenyum senang. Hatinya bersorak riang. Gembiranya bagaikan ingin melompat-lompat hingga ke bumbung, namun jatuhlah imejnya jika dia buat begitu. Sebenarnya sejak semalam lagi figura Azwa sering mengganggu khayalannya. Dia sendiri tidak tahu mengapa?

“Okey, kalau macam tu malam ni Qallif datang tepat pukul 8.30.” Zaliah terus mengatur temu janji, tidak sabar-sabar gayanya ingin mengetuk duit Azwa.

“Okey,” jawab Qallif dengan senang hati.

Azwa hanya mampu tersengih membayangkan duitnya yang bakal terbang malam ini. Kurang asam punya Zaliah!

Qallif meminta diri untuk pulang. Matanya tidak boleh lari dari menatap wajah Azwa. Sebelum Azwa perasan lebih baik dia angkat kaki. Sudahlah Azwa itu garang macam serigala. Nasib baik Azwa lemas semalam. Jika tidak, jangan mimpi dia dapat mendekati gadis itu tanpa sebarang alasan yang kukuh. Itu bermakna, TUHAN sudah menunjukkan jalan pada dia. Peluang ini takkan dilepaskan begitu saja.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.