BAB 7
“BILA awak nak balik KL?” soal Qallif
sebaik saja mereka sampai di hadapan chalet.
Zaliah
cepat-cepat masuk ke dalam kerana bajunya basah lencun akibat mandi di pantai
tadi. Atau lebih tepat lagi, sengaja memberi ruang pada Qallif dan Azwa untuk
berbual. Pada pengamatan Zaliah, hubungan mereka semakin baik dalam tempoh
beberapa hari ini. Azwa tidak lagi menganggap Qallif itu seorang penjahat yang
harus ditakuti.
“Lusa. Awak?”
Azwa bertanya pula.
“Tak tahu lagi.
Awak nak saya stay di sini sampai
lusa?” soal Qallif sambil mengangkat keningnya.
Buat pertama
kali wajahnya nampak sedikit nakal. Renungannya pula sangat berbeza dari
sebelum ini. Yang pasti, Azwa akan mandi dalam keadaan tersenyum sekejap lagi.
Tidak tahu bagaimana ingin menjawab soalan itu membuatkan Azwa terus
melemparkan pandangan ke arah lain. Rasa berbahang pula wajahnya ketika ini.
“Bila-bila awak
nak balik pun boleh,” jawab Azwa buat-buat selamba.
“Betul? Awak tak
kisah?”
“Langsung tak
kisah.” Azwa menjawab dengan yakin.
Qallif ketawa
kecil sambil menggeleng kepala. Matanya masih berada tepat di wajah Azwa.
“Agak-agak bila
kita dah tinggalkan tempat ni, kita akan jumpa lagi tak?” soalnya membuatkan Azwa
kembali memandang wajah lelaki itu. Entah mengapa soalan itu terasa sayu
sekali. Mungkinkah ada pertemuan lagi selepas ini? Atau segalanya akan
ternoktah di sini sahaja?
“Susah nak cakap
sebab KL dengan Penang tu agak jauh.”
“Tapi saya
selalu datang KL kalau ada urusan kerja. Awak tinggal di mana nanti?”
“Tak tahu lagi
sebab saya baru plan nak cari kerja.
Tak tahu di hotel mana saya akan bekerja dan di mana saya akan tinggal. Mungkin
buat sementara saya akan tinggal di rumah abang,” beritahu Azwa.
Memang dia tiada
perancangan lagi buat masa ini. Jika mengikut kehendak abah di kampung, abah
mahu Azwa tinggal di rumah Abang Hanif. Tak mungkin Azwa akan tinggal di rumah
Abang Hanif untuk selama-lamanya. Dia tidak mahu menyusahkan Abang Hanif.
Mungkin dia terpaksa tinggal di situ sekurang-kurangnya untuk sementara waktu
sebelum dia mendapat rumah sewa. Zaliah pula sudah bersetuju untuk membantu
Azwa mencari kerja di Kuala Lumpur nanti. Zaliah lebih arif selok belok Kuala
Lumpur berbanding Azwa.
“Okeylah, saya
masuk dulu. Hari pun dah nak malam ni.” Azwa meminta diri untuk masuk ke dalam.
Baru saja
beberapa tapak melangkah, kedengaran suara Qallif memanggilnya.
“Azwa!”
Azwa menoleh
pada Qallif yang masih setia berdiri di hadapan chalet. Hai, mamat ni tak nak
balik ke?
“Apa kata kalau
awak kerja di Penang. Saya boleh tolong dapatkan kerja untuk awak.” Entah apa
anginnya tiba-tiba sahaja Qallif menzahirkan satu cadangan yang tidak pernah
terlintas di kepala Azwa.
Azwa ketawa
kecil. Hilang akal ke aku nak kerja di Penang?
“Penang tu jauh
sangat. Susah nak balik kampung. Lagipun saya tak kenal sesiapa di sana.”
“Saya kan ada,”
jawab Qallif pantas.
“Awak?”
Qallif
mengangguk. Sekali lagi Azwa ketawa. Mamat ni memang suka buat lawak. Takkanlah
aku sanggup tinggal di Penang semata-mata kerana dia? Lainlah kalau dia tu
bakal suami aku, mungkin boleh dipertimbangkan lagi. Ini baru kenal empat hari.
Memang tak masuk akal, fikir Azwa.
“Itu memang tak
mungkin. Saya lebih suka kerja di Kuala Lumpur. Ada kakak dan abang-abang saya.
Senang kalau jadi apa-apa.”
Qallif menarik
nafas panjang. Agak kecewa kerana Azwa menolak permintaannya yang satu itu.
“Sudahlah, awak
baliklah. Dah nak masuk Maghrib ni.” Azwa terus berlalu masuk ke dalam
meninggalkan Qallif.
Qallif mula
beredar dari situ. Azwa mendengar derap langkah Qallif meninggalkan chalet itu.
Lega rasanya. Entah mengapa, ada kalanya berdepan dengan Qallif membuat dia
sedikit gementar. Dan apabila Qallif menjadi seorang yang prihatin, dia
kelihatan sangat penyayang orangnya. Azwa terlupa terus segala tengkingan yang
pernah Qallif hemburkan suatu ketika dahulu.
Mungkin Azwa
lembut hati. Mungkin juga hatinya terlalu lembik seperti jeli. Baru beberapa
hari saja Qallif melayannya dengan baik, dia sudah lupa diri. Tetapi bukan itu
faktor utama Azwa mula menerima Qallif dalam hidupnya. Dia tidak boleh menolak
fakta bahawa Qallif telah menjadi penyelamatnya. Tanpa bantuan Qallif tempoh
hari pasti dia sudah tiada lagi di dunia ini. Itulah satu fakta yang tak dapat
disangkal lagi. Maka dia cuba bersikap seperti manusia yang tahu mengenang
budi.
Pintu bilik
mandi yang terbuka mematikan lamunan pendek Azwa. Senyuman di bibir mati serta
merta. Takut nanti diingatkan dia ada penyakit mental asyik tersenyum seorang diri.
Zaliah keluar dari bilik mandi sambil menggosok-gosok kepalanya dengan tuala.
“Dah balik dah?”
soal Zaliah.
“Siapa?”
“Qal.”
“Dah. Ada pulak
dia suruh aku cari kerja di Penang,” beritahu Azwa.
Zaliah berhenti
menggosok rambutnya yang basah. Pandangannya serta merta berlari ke arah Azwa.
“Wow!” kata Zaliah tiba-tiba.
“Apa yang wow?”
“Itu maknanya
dia tak nak berpisah dengan kau. Satu usaha yang baik dalam fasa hubungan
korang berdua.” Zaliah tersenyum sambil menyelongkar beg pakaiannya mencari
baju untuk dipakai malam ini.
“Tak ada maknanya,”
jawab Azwa dengan bosan.
“Memang buta
bijik mata kau kalau kau masih tak sedar yang Qal tu sukakan kau. Aku yang rock
kapak ni pun boleh perasan. Tadi aku nampak dia curi-curi ambil gambar kau tau.”
“Kau biar betul,
Za? Aku tak perasan pun bila masa dia ambil gambar aku?” soal Azwa agak
terkejut.
“Memanglah kau
tak perasan sebab kau sibuk tengok tempat lain. Bila kau pandang dia, dia
pura-pura ambil gambar pemandangan. Kelakar betul,” ujar Zaliah sambil ketawa.
Azwa hanya mampu
terdiam. Patutlah Qallif sibuk benar dengan kameranya itu. Kulit siput di atas
pasir pun dia ambil gambar. Anak ketam tengah korek lubang pun dia tangkap
gambar sekali. Kononnya dia pencinta alam semula jadi. Cit, podah! Esok Azwa
akan tuntut gambar itu dari Qallif. Mana boleh suka-suka saja ambil gambar
orang tanpa keizinan.
Selesai
mengenakan pakaian, Zaliah terus meneliti telefon bimbitnya yang diletakkan di
atas meja. Ada senyuman terukir di bibir. Pasti ada SMS dari si buah hati.
Satu lagi fakta,
orang bercinta memang tidak boleh berpisah dengan telefon bimbit. Kalau boleh
masuk bilik mandi pun nak bawa telefon bimbit sekali. Geli kan? Itu kalau cinta
sedang berbunga-bunga. Dan bila cinta sedang dilanda ribut taufan, telefon tak
berdosa itu juga yang jadi mangsa untuk melepaskan geram. Kesian telefon tu kan?
Azwa bangun dan
terus mengambil tuala yang tersidai di dinding. Zaliah pula sedang cuba
menghubungi seseorang ketika Azwa masuk ke bilik mandi. Kalau sudah
tersengih-sengih begitu sudah tentulah orang di sana adalah Saiful Izzat. Lelaki
yang bakal menjadi imam Zaliah tidak lama lagi. Senakal-nakal Zaliah di belakang
Saiful Izzat, Zaliah begitu setia pada tunangnya itu. Saiful Izzat adalah cinta
hatinya. Cemburunya Azwa bila melihat kebahagiaan yang terpancar di wajah Zaliah.
Tak sangka Zaliah
akan menamatkan zaman bujangnya pada hujung bulan ini. Dia baru saja berumur 20
tahun, sebaya dengan Azwa. Rasanya masih belum puas hidup bujang dan bebas.
Namun jodoh pertemuan semuanya di tangan ALLAH. Siapalah yang mampu menolak
ketentuan yang telah dijanjikan ALLAH sejak di dalam rahim ibu lagi. Mungkin
hidup ini akan lebih bererti jika ada insan tersayang yang setia menemani di
kala suka dan duka.