BAB 8
“INI Cik Azwa ke?” tanya seorang pekerja
chalet yang datang secara tiba-tiba pada pagi yang hening itu.
“Iya,
saya Azwa. Ada apa ya?” soal Azwa semula.
Ketika
itu Zaliah sedang terjerit-jerit di bilik mandi menyanyikan lagu Gangnam Style.
Pemuda itu hanya tersenyum mendengar suara Zaliah. Zaliah ni buat malu betul!
Kalau ia pun senang hati, tak perlulah mandi sambil terjerit-jerit macam tu
sekali, gerutu hati Azwa.
“Ni,
ada surat untuk Cik Azwa,” kata pemuda itu sambil menghulurkannya pada Azwa.
Azwa menyambut
kertas kecil di tangan pemuda itu dengan wajah terpinga-pinga. Dan sebaik saja Azwa
mengucapkan terima kasih, lelaki itu terus pergi. Nota kecil itu dibuka dan
dibaca dengan teliti. Azwa bukam seketika kerana tidak menyangka nota itu datangnya
dari Qallif.
Maaf, saya terpaksa pergi kerana ada urusan penting.
Call saya nanti… 019- 6134001 - Qallif
Azwa terus
mendapatkan telefon bimbitnya. Baru saja ingin mendail nombor telefon yang
tercatat di dalam nota itu, tiba-tiba dia mematikannya semula. Untuk apa dia
menghubungi Qallif? Untuk apa dia berasa panik setelah mengetahui Qallif telah
pergi meninggalkan bumi Cherating ini? Hatinya mula berbelah bahagi. Dia
menolak hakikat bahawa dia sudah mula menyukai lelaki itu. Dan dia seakan tidak
dapat menerima pemergian Qallif secara tiba-tiba.
“Hoi!! Berangan
ke?!” sergah Zaliah dari belakang.
Dek kerana
sangat terkejut, telefon bimbit di tangan Azwa terus tercampak ke udara. Tindakan
refleks katakan. Mujurlah Zaliah sempat menyambut sebelum telefon bimbit itu
jatuh ke lantai. Jika tidak, Azwa hanya mampu gigit jari melihat telefon bimbit
kesayangannya itu berkecai. Azwa berasa lega kerana telefon bimbit itu kembali
semula ke tangannya dengan selamat.
“Kau berangan
apa sampai terkejut macam tu sekali?”
“Lain kali
buatlah lagi ya?” perli Azwa geram.
Zaliah hanya
mempamerkan wajah selambanya. Sebenarnya dia baru saja keluar dari bilik mandi
sambil berkemban dengan tuala. Tiba-tiba saja niat nakalnya datang bila melihat
Azwa asyik benar berkhayal sambil memegang telefon bimbitnya itu.
“Jom, kita
bersiap pergi breakfast. Agaknya Qal
dah lama tunggu kita di tempat biasa tu,” saran Zaliah.
Memang semenjak
dua menjak ini mereka selalu sarapan bersama Qallif. Tak perlu bertemu janji
lagi. Setiap pagi Qallif akan menunggu mereka di restoran tepi pantai itu. Walaupun
tanpa pilihan dan kelihatan agak mendesak, sejujurnya, Azwa amat suka dengan
sikap Qallif yang satu itu.
“Qal dah pergi.
Aku baru aje dapat nota dari pekerja chalet ni tadi,” kata Azwa sambil
menghulurkan nota kecil yang masih berada di tangannya pada Zaliah.
Zaliah
membeliakkan biji matanya setelah membaca nota ringkas itu. Terkejut beruk.
Segera dia merapati Azwa.
“Balik Penang?”
soalnya.
“Iyalah, balik Penanglah
agaknya. Dia kan orang Penang. Takkan nak balik rumah kau pulak?” Azwa
buat-buat muka selamba. Seolah-olah dia tidak kisah dengan pemergian Qallif itu.
Zaliah sudah
tersengih mendengar kata-kata Azwa.
“Maksud aku,
kenapa tiba-tiba aje dia pergi? Tak cakap awal-awal pulak tu. Alamak, lecehlah
macam ni. Siapa nak belanja kita makan lepas ni?” rungut Zaliah tanpa rasa
bersalah. Dia menggosok rambut yang basah dengan tuala kecil.
“Kau ni risaukan
pasal tu pulak.” Azwa menghempaskan tubuh di atas katil. Matanya merenung
siling yang kosong.
“Melampau betul Qal…
balik Penang tak jumpa dengan kita pun. Tiba-tiba aje dah balik,” rungut Zaliah.
Dia turut sama berbaring di sebelah Azwa dengan perasaan kecewa.
“Mungkin dia ada
perkara penting, sebab tu dia balik tergesa-gesa.”
Zaliah diam.
Agak lama ruangan itu hening tanpa sebarang komen. Azwa tidak tahu apa
perasaannya kini. Kecewakah dia kerana tidak dapat bertemu Qallif lagi?
Kecewakah dia kerana terpaksa meneruskan percutian ini tanpa Qallif seperti
sebelumnya? Arghh!! Perasaan ini benar-benar menyesakkan nafas. Tiba-tiba saja
rasa rindu meruntun jiwa.
Terlalu awal
untuk memperkatakan tentang perasaannya terhadap lelaki itu. Perkenalan mereka
masih terlalu baru. Dia belum mengenali keperibadian Qallif secara mendalam.
Dia juga masih mentah untuk menilai keluhuran hati Qallif. Namun, sesuatu yang
telah berlaku tetap akan berlaku walaupun tanpa kerelaan. Ia datang dengan
sendirinya tanpa sebarang paksaan. Semakin ditolak kehadirannya, semakin dekat
pula ia menghampiri.
Azwa tidak mahu
sesiapapun terhidu tentang perasaan yang mula mekar untuk Qallif ini. Seperti
sekuntum bunga yang mekar bila disapa cahaya mentari pagi setiap kali
bermulanya hari baru. Tetapi jika dia menganggap Qallif sebagai kawan, dia
tidak sepatutnya rasa terbeban dengan masalah kecil seperti ini. Hidupnya akan
terus berjalan lancar tanpa sebarang keresahan.
“Kau suka dia, Az?”
tanya Zaliah tiba-tiba, bunyinya kedengaran nakal.
Azwa mengerut
dahi lalu menoleh Zaliah di sebelahnya.
“Soalan harga
berapa ribu tu?” gurau Azwa pula.
Zaliah ketawa
kecil.
“Aku serius ni.
Kau suka Qal tak?” ulang Zaliah.
Azwa tersenyum
sendiri. Suka ke?
“Suka kot. Tak
ada sebab aku nak benci dia kan?”
Zaliah meleret
senyuman nakal. “Aku tahu, Qal pun sukakan kau. Dia selalu curi-curi pandang
kau. Buktinya, dia dah tinggalkan nombor telefon dia pada kau. Pada aku tak ada
pulak.”
“Kita baru saja
kenal dia, Za. Aku rasa dia rapat dengan kita selama ni pun cuma untuk
hilangkan rasa bosan dia semasa di sini. Tak lebih dari itu.” Azwa meluahkan
rasa hatinya.
Jika difikirkan,
memang tidak logik Qallif jatuh hati padanya hanya dalam jangka masa empat hari.
Itu benar-benar gila dan mengarut. Tetapi perkara yang gila dan mengarut itulah
yang terjadi pada dirinya sekarang ini.
“Tapi aku dapat
rasakan Qal tu baik orangnya. Tak pernah ambil kesempatan. Aku suka kalau kau couple dengan Qal. Nampak sepadan aje.”
Azwa hanya
mengeluh mendengarnya.
“Come onlah Az,
cuba kau bukakan sikit pintu hati kau tu untuk seseorang. Tak salah kalau kau
belajar menerima seseorang dalam hidup kau. Takkan kau masih berharap pada
Tarmizi lagi?” soal Zaliah sambil berpaling menghadap Azwa. Setahunya hubungan
Azwa dan Tarmizi tidaklah terlalu serius. Sekadar cinta monyet sahaja. Dan
mereka sudah pun berpisah semasa di tingkatan lima lagi.
“Kau merepek apa
ni? Bila masa pulak aku berharap pada Tarmizi? Itu semua kisah lamalah. Aku tak
pernah ingat pun,” bantah Azwa.
“Baguslah kalau
macam tu. Tarmizi tu pun bukan handsome
sangat. Harap suara aje sedap nyanyi lagu nasyid.”
Semakin dilayan
semakin menjadi-jadi Zaliah ni. Kenapa nama Tarmizi pulak yang dibangkitkan? Azwa
diam tanpa sebarang komen. Malas dia ingin menghiraukan kata-kata Zaliah yang
jelas-jelas tiada kaitan dengan perkara ini.
“Kadang-kadang
kita tak sedar yang kita dah jatuh cinta, sampailah orang tu pergi dalam hidup
kita, barulah kita rasa kehilangannya,” tambah Zaliah, penuh maksud tersirat.
Azwa terdiam. Benarkah
dia sudah jatuh hati pada Qallif? Tapi takkan semudah itu? Qallif tidak perlu
melakukan apa-apa untuk membuat dia jatuh hati. Perasaan itu datang sendiri
tanpa mampu ditahan. Rasa tidak keruan setiap kali bertemu Qallif biarpun
lelaki itu sekadar tersenyum padanya. Benarkah rasa berdebar-debar itu tandanya
cinta sedang berputik? Itu yang sering Azwa baca di novel-novel.
Hisy! Tak boleh
jadi kalau terus macam ni!
“Eh, pakailah
baju cepat! Yang kau seksi-seksi depan aku ni kenapa? Tadi kata nak pergi breakfast. Takkan nak keluar berkemban
macam tu?” Azwa menepuk paha Zaliah yang terdedah.
Terkulat-kulat Zaliah
bangun mencari pakaian. Baru tersedar dia masih berkemban sejak tadi.