Home Novel Cinta Sempurnakan Aku
Sempurnakan Aku
Eina Afrina
1/9/2017 13:20:34
28,583
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8


PAGI-PAGI lagi Hazreen sudah menghadap wajah bengang Datin Gee. Seram sejuk tubuh Hazreen ketika masuk ke bilik wanita itu. Seperti dijangka Hazreen hanya perlu tulikan telinga apabila majikannya itu membebel hampir satu jam tanpa henti. Biarlah dia telan semuanya dengan reda. Masih untung dia tidak diberhentikan kerja oleh Datin Gee. Masih diberi kesempatan untuk bekerja walaupun ini adalah peluangnya yang terakhir.

Hazreen tahu, Datin Gee baik orangnya walaupun kadangkala mulutnya bagaikan panahan petir.

“Sedap kena marah?” perli Izara sebaik sahaja melihat Hazreen keluar dari bilik Datin Gee dengan muka 25 sen.

Bukan Izara tidak mendengar suara Datin Gee yang nyaring memecah keheningan pagi,memarahi Hazreen yang selalu buat pejabat ini seperti abah dia yang punya. Jika selepas ini Hazreen masih tidak serik-serik, tak tahulah dia nak cakap apa pada sahabat baiknya itu.

“Biasalah…mood tengah tak okey tu. Mungkin malam tadi gaduh dengan dato kot,” jawab Hazreen dengan selamba.

Dia duduk di meja sambil membebek-belek fail yang berlonggok di hadapannya. Kerja yang tertunggak beberapa hari selama ketiadaannya. Hari ini Hazreen terpaksa selesaikan semuanya dalam masa satu hari. Kalau muntah darah sekalipun, kena dihadap juga dengan sabar.

Hazreen mendengus. Jarinya menekan-nekan kekunci komputer. Ini semua gara-gara Azirah.Kerana kakak iparnya itu hidupnya juga turut ribut dan huru-hara.

“Aron ajak aku lunch hari ni,” beritahu Izara tiba-tiba. Gadis bertudung instantshawl rona ungu itu tersenyum meleret pada Hazreen.

Hazreen menjeling jam di tangan. Baru pukul 9.30 pagi. Masih terlalu awal untuk berbicara soal lunch. Dia sibuk meneliti satu persatu fail yang ada di hadapannya. Mana satu nak mulakan dulu,dia pun tak tahu. Dan Izara yang duduk di sebelahnya masih sibuk bercerita tentang lelaki bernama Aron yang Hazreen malas ingin ambil tahu.

Kali terakhir Hazreen mendengar nama Aron disebut-sebut Izara lebih kurang dua bulan lepas. Selepas itu mereka berpisah kerana Aron terlalu sibuk dengan program modeling, kononnyalah. Dan Izara pernah mengatakan lelaki bernama Aron itu benar-benar lelaki tak guna. Apa sudah jadi sekarang ni? Kenapa Izara masih berhubungan dengan lelaki tak guna itu?

“Aron mana ni?” soal Hazreen tanpa memandang Izara. Dia cuma ingin memastikan adakah mereka dua insan berbeza.

“Aron mana lagi? Seorang Aron aje yang aku kenal selain Aaron Aziz,” jawab Izara.

Sebenarnya Hazreen malas hendak bertanya lanjut. Namun demi menjaga perasaan Izara yang begitu teruja, dia buat-buat sibuk juga bertanya.

“Bukan kau dah putus dengan Aron tu?”

Izara tersenyum meleret.

“Kami dah berbaik semula.”

Jawapan Izara itu membuatkan Hazreen terus memandang ke arahnya. Izara hanya tersenyum dan mengangkat sedikit keningnya.

“Mudahnya?”

“Benda akan jadi mudah kalau kita fikir mudah. Susah kalau kita sendiri yang susahkan keadaan.” Mendatar jawapan Izara, tetapi bunyinya kedengaran yakin.

Hazreen terdiam sebentar. Dia kembali fokus pada tugasnya. Tidak mahu memeningkan kepala dengan kehidupan Izara. Kehidupan sendiri pun tunggang terbalik. Lagi mahu tambah permasalahan orang lain. Mungkin di lain masa dia akan bertanya pada Izara prihal hubungan cinta Izara dan Aron dengan lebih lanjut. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk busy body.

Whatever, Zara. Aku sibuk ni. Bukan setakat sibuk tapi sangat-sangat sibuk,” keluh Hazreen.

“Sajaaku beritahu awal-awal supaya kau boleh lunch dengan Kamela dan Fatiah. Jangan terkejut pulak bila tak cukup korum nanti,”ujar Izara.

“Nak lunch macam mana, kerja menimbun macam ni. Aku tak nak balik pukul 10.00 malam gara-gara nak siapkan semua ni.Kau bungkus ajelah untuk aku, boleh?” pinta Hazreen.

Nampaknya dia tiada pilihan lain. Korbankan waktu rehatnya. Itu saja cara untuk dia pulang lebih awal sedikit. Dia tahu Datin Gee takkan bagi muka lagi pada dia.

Izara ketawa kecil.

“Boleh aje.”

Akhirnya hari itu Hazreen berjaya selesaikan tugasnya jam 8.00 malam. Izara sudah pulang awal. Jadi Hazreen terpaksa pulang ke rumah menaiki grabcar. Sampai ke rumah hampir jam 9.00 malam. Mujurlah Izara sudah masak di rumah. Bolehlah Hazreen tumpang makan walaupun lauknya sekadar telur masak sambal dan ikan bilis goreng.

 

 

HAZREEN membawa mug berusi milo panas dari dapur dan meletakkannya di atas meja kopi. Baru saja ingin melabuhkan punggung di atas sofa, telefon bimbitnya yang berada di atas meja kopi pula bernyanyi merdu lagu Faded. Hazreen meneliti nombor si pemanggil. Bukan dari kalangan orang yang dikenalinya. Tiada nama yang tertera di skrin telefonnya itu.

“Hello,” sambut Hazreen sambil tangannya mencapai remote televisyen. Skrin televisyen menyala dan siaran drama terpapar di skrin LED itu.

“Hazreen?” Suara di corong telefon bergema. Suara lelaki.

“Hmm,siapa ni?” sahut Hazreen malas-malas.

Suara itu bagaikan familiar di pendengaran telinga Hazreen. Tapi siapa ya? Hazreen berfikir-fikir sambil menanti jawapan daripada si pemanggil.

“Petang tadi beribu kali aku call kau, kenapa tak angkat?” Terus saja suara itu menerjah gegendang telinga Hazreen membuatkan dia memandang ke arah telefon itu buat seketika.

Mendengar suara garau itu Hazreen sudah dapat mengenal pasti pemilik suara yang tiada adap sopan dan kesedaran sivik itu. Sudahlah tidak memberi salam. Pakai terjah saja nampaknya. Siapa lagi kalau bukan Ashril, lelaki gila kuasa itu.

Mimpi apa agaknya mamat ni call aku? Atau sebenarnya aku yang sedang bermimpi?

“Oh,masa kerja tadi aku silentkan. Ada meeting,” jawab Hazreen acuh tak acuh.

“Habis tu tak reti-reti nak call balik?”

Hazreen kerut dahi. Bunyinya seakan mendesak. Apa faedahnya aku nak call kau balik? Bisik hati Hazreen. Sudahlah dia tidak tahu itu nombor telefon siapa? Dengan kesibukan dia di pejabat siang tadi tidak memungkinkan dia melayan semua panggilan yang masuk.Nak makan tengah hari pun tak sempat tau!

“Apa hal kau cari aku?” soal Hazreen tanpa mengendahkan pertanyaan Ashril itu.

“Keluar jap,” perintah Ashril.

“Keluar ke mana?”

“Aku ada depan rumah kau ni. Keluar jap!” arah Ashril lagi lagak dektator.

Luas biji mata Hazreen mendengarnya. Bingkas dia bangun lalu mengintai di jendela yang ditutupi langsir. Memang Ashril ada di hadapan pintu pagar rumahnya sambil bersandar di kereta dengan telefon bimbit melekap di telinga.

Bibir Hazreen berdecit. Apa masalah dia sampai datang ke rumah aku malam-malam ni?Hazreen semakin pelik.

“Cakap ajelah kat telefon ni.” Hazreen membantah sambil duduk semula di sofa.

Malas dia ingin keluar berjumpa Ashril. Cukuplah semalam dia bertekak dengan Ashril.Dia tiada masa untuk bertegang urat dengan Ashril lagi. Malam ini dia benar-benar penat dan perlu berehat.

“Aku bagi masa lima minit. Kalau kau tak keluar, aku ketuk pintu rumah kau sampai roboh,” kata Ashril, nadanya seperti mengugut.

Dasar lanun! Bentak Hazreen di dalam hati.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.