BAB 4
“NAH, sedap tau rojak buah ni.” Zaliah
menghulurkan rojak buah yang dibungkus dengan plastik pada Azwa. Dia membelinya
di gerai tepi pantai.
“Lama kau pergi?
Kau beli rojak ke, buat rojak? Ke kau tolong mak cik tu jual rojak?” sindir
Azwa sambil menyambut pemberian Zaliah. Rasanya hampir sejam jugak Zaliah
meninggalkannya semata-mata mahu membeli rojak buah yang sekangkang kera sahaja
jaraknya dari chalet mereka.
Zaliah tersenyum
penuh makna. Dia duduk di anak tangga sambil menyuap beberapa potong rojak buah
ke mulutnya.
“Dia datang sini
sendirian,” jawab Zaliah dengan mulut masih penuh berisi makanan.
Azwa menyerling Zaliah
dengan rasa pelik. Lain yang dia tanya, lain pula yang Zaliah jawab. Tapi
rasanya dia tahu siapa yang dimaksudkan Zaliah. Sejak pagi tadi nama lelaki itu
asyik meniti di bibir Zaliah tanpa jemu. Naik bosan pula Azwa mendengarnya.
Buat seketika Zaliah seakan terlupa pada tunangnya Saiful Izzat yang berada
jauh di Kuala Lumpur. Takkanlah mudah benar hati Zaliah berubah hanya kerana
lelaki bernama Qallif itu? Tiada apa yang menarik pun pada lelaki itu jika
ingin dibandingkan dengan Saiful Izzat.
“Siapa?” Azwa
buat-buat bertanya.
“Mak cik jual
rojak tu.”
“Hah?”
Zaliah buat muka
bosan.
“Qalliflah.
Takkan kau tak faham siapa yang aku maksudkan?”
“Oh, manalah aku
tahu kau tengah cakap pasal dia,” balas Azwa juga dengan muka bosan.
“Aku skodeng dia
tadi sebab tu lambat,” tambah Zaliah pula.
Azwa tersedak. Dia
terbatuk-batuk. Cepat-cepat dia meneguk air mineral di dalam botol. Kemudian
dia memandang Zaliah yang sedang menyeringai memandangnya.
“Hai, baru aku
cakap macam tu pun dah terbatuk-batuk?”
“Kau jangan over, boleh tak? Kau dah tak ada kerja
sangat ke?” marah Azwa sambil menunjal bahu Zaliah. Nyaris-nyaris Zaliah
tergolek ke bawah.
“Kebetulan tadi
aku lalu chalet dia. Saja nak tahu dia datang dengan siapa? Manalah tahu dia
datang sini sebab nak honeymoon ke? Tak
ke nanya kita. Tapi kau jangan risau Az, dia memang datang sorang aje. Confirm.” Zaliah bersungguh-sungguh
memberitahu Azwa.
Dan bukankah itu
ertinya lelaki poyo tu belum berkahwin? Hah, perempuan mana yang tahan dengan
mulut laser dia tu? Itu belum campur perangai dia yang berkira dan kedekut tu.
Oh, tolonglah! Apa pulak kena-mengena dengan aku? Azwa bermonolog di dalam
hati.
“Kenapa pulak
aku nak risau?” Azwa bertanya pada Zaliah semula. Ayat Zaliah sebentar tadi
mengelirukannya.
Zaliah
tersengih.
“Kau tak risau
kalau kita berkawan dengan suami orang?”
Azwa mengangguk
faham. Risau, risau sangat-sangat. Pantang baginya berkawan rapat dengan suami
orang. Jangan cari malapetaka. Jatuh cinta dengan suami orang. Itu perkara yang
harus dielakkan seboleh-bolehnya. Dan jangan sesekali menyalahkan takdir jika
ia berlaku kerana semuanya terletak di tangan kita sendiri.
“Dia nampak kau
tak?” soal Azwa pula. Serba sedikit dia juga ingin tahu tentang lelaki itu tapi
tidaklah terlalu over seperti Zaliah
sampai sanggup pergi skodeng orang tu.
“Tak. Dia tengah
solat. Sejuk aje hati aku memandang,” kata Zaliah dengan senyuman meleret.
Solat? Oh, mamat
poyo tu taklah teruk sangat. Pandai solat jugak rupanya!
“Nasib baik dia
tak perasan kau mengintai dia. Kalau tidak buat malu kaum perempuan aje kau ni.
Kalau Izzat tahu kau mengintai lelaki lain, alamat perang besarlah nampaknya.
Silap hari bulan tak jadi kahwin hujung bulan ni.”
“Alah, aku bukan
ada perasaan dengan Qallif. Aku cuma suka pandang dia aje. Hati dan perasaan
aku ni hanya untuk Izzat aje tau.” Zaliah tersenyum lagi.
Azwa
menggaru-garu kepala. Suka hati kaulah Zaliah. Asalkan kau bahagia, bisik hati
Azwa.
“Aku suka gaya
dia. Nampak cool aje. Mesti dia jenis
lelaki yang penyabar kan?” tambah Zaliah dengan wajah berseri-seri.
Azwa
menggeleng-geleng kepala. Penyabar? Mulut macam longkang penyabar sangatlah!
“Za, sebenarnya
sebelum insiden aku lemas semalam, aku dah jumpa Qallif di tepi pantai sana.
Aku tak sengaja terlanggar dia. Kau tau, masa tu dia marah aku kaw-kaw. Macam-macam
dia kutuk aku. Aku dah minta maaf tapi dia masih membebel macam mak nenek. Siap
suruh aku ganti aiskrim dia yang jatuh. Lelaki macam tu yang kau kata cool, penyabar?” cerita Azwa. Sebenarnya
dia tidak berniat ingin menceritakan hal itu pada Zaliah tetapi melihat Zaliah
begitu memuji-muji Qallif, rasanya biarlah Zaliah tahu siapa Qallif sebenarnya.
Bagi Azwa, dia memang tidak sukakan Qallif
sejak kali pertama mereka bertemu. Kenapa lelaki yang tiada kesedaran sivik itu
tiba-tiba berubah menjadi lelaki budiman? Pasti ada udang di sebalik mee. Dan
kenapa lelaki itu berada di tempat kejadian semalam? Adakah itu satu kebetulan
atau sememangnya Qallif sengaja mengekorinya?
“Lah… iya ke?
Maksudnya kau dah kenal dia sebelum dia selamatkan kau lagi?” soal Zaliah penuh
minat.
Azwa mengangguk.
“Baguslah kalau
macam tu.”
“Apa yang
bagusnya?”
Zaliah ketawa.
Dia mengesot sedikit menghampiri Azwa.
“Kau percaya tak
pada takdir?”
Berkerut dahi
Azwa memandang Zaliah. Apa kena mengena hal ini dengan takdir? Ada-ada saja
Zaliah ni.
“Mestilah
percaya. Kalau tak percaya takdir bermakna kita tak beriman,” jawab Azwa.
“Pandai pun.
Maksudnya kau memang dah ditakdirkan bertemu Qallif di sini. Jadi kau jangan
terlalu banyak merungut. Tak baik. Tentu ada hikmah TUHAN temukan kau dengan
Qallif, tak kiralah dengan cara apa sekalipun. Masa aku jumpa Izzat dulu pun
aku gaduh-gaduh jugak dengan dia. Tapi lepas tu elok aje hubungan kami. Dah nak
kahwin pun sekarang,” ujar Zaliah.
Azwa memaksa
bibir untuk tersenyum.
“Kau jangan nak
mengarut, boleh tak? Jangan samakan kisah cinta kau dan Izzat dengan aku.”
Zaliah ketawa
lagi.
“Mengarut apa
pulaknya. Aku tengok sejak kau jumpa dia pagi tadi, kau asyik berangan aje. Kau
jatuh cinta pada Qallif ek?” Zaliah tersenyum nakal.
“Eh, kau ni kan!
Ke situ pulak! Tak ada masanya aku nak berangankan dia. Jatuh cinta jauh
sekali! Pleaselah!” Cepat-cepat Azwa
menyangkal.
Berangan? Ah,
mustahil jika dia berangankan Qallif. Dia hanya berfikir. Dia hanya terkejut
kerana tidak menyangka lelaki yang menyelamatkan nyawanya adalah lelaki yang
sama bikin onar petang semalam. Cuma bezanya, sikap Qallif amat berbeza pada
hari ini. Sikap sopannya seolah-olah mereka dua insan yang berbeza.
Jangan-jangan mereka tu kembar tak? Sorang abang, sorang lagi adik, sebab tu
perangai mereka berbeza.
“Kau pasti Qallif
datang sini sendirian? Mungkin kau terlepas pandang. Mungkin dia datang dengan
adik dia ke, abang ke? Mungkin muka mereka sama?”
“Apa yang kau
merepek ni?” Zaliah mengerutkan muka.
“Kembar, maksud
aku Qallif tu ada kembar yang mukanya seiras.”
Zaliah menggaru-garu
dagu, berfikir.
“Kenapa kau
cakap macam tu? Kau pernah jumpa kembar Qallif ke sebelum ni? Kalau betul
kembar, lagi bagus. Boleh kita ambil sorang satu. Tak payahlah nak berebut.
Betul tak?” Zaliah tersengih.
“Siapa pulak nak
berebut dengan kau? Berebut lelaki tak ada dalam kamus hidup aku tau. Kalau kau
nak, kau ambillah. Aku bagi free.”
“Alah… aku
bergurau aje. Yang kau tak pasal-pasal cakap Qallif tu kembar, kenapa?”
Azwa memandang
ke tempat lain. “Aku rasa aje… sebab semalam sikap dia lain. Hari ni lain
pulak. Entah-entah dia berlakon aje buat-buat baik kot.”
Zaliah mengeluh.
“Semalam dia tak
jatuh cinta dengan kau lagi agaknya.”
“Mulalah tu!
Suka sangat buat cerita merepek.”
“Aku tengok Qallif
asyik pandang kau aje tadi. Kau tahu tak apa maknanya tu? Itu adalah
simptom-simptom yang menunjukkan dia dah jatuh cinta pada kau. Okeylah tu, firasat
aku menyatakan Qallif tu baik orangnya, memang sesuai dengan kau,” usik Zaliah
dan dia ketawa bila melihat wajah Azwa berubah merah.
“Kau jangan over, boleh tak? Cepat sangat percaya
dengan orang kan? Kita bukan kenal siapa dia. Entah-entah perompak ke? Penculik
ke? Tambah lagi sekarang ni tengah banyak kes culik dan bunuh. Mungkin jugak
perogol bersiri. Kita bukannya tahu.” Pantas Azwa membuat andaian.
Zaliah telan air
liur. Terkebil-kebil dia memandang Azwa. Kenapalah Azwa ni paranoid sangat?
“Kau ni
hilangkan selera makan aku betul. Cuba kau fikir ya, takkanlah perogol bersiri
sembahyang? Kau ni hilang akal ke apa? Aku rasa Qallif tu taklah sejahat yang
kau bayangkan. Contoh yang kau bagi tu melampau sangat. Kecil hati Qallif kalau
dengar kau cakap macam tu. Kau ni tak fikir langsung perasaan orang yang dah
selamatkan nyawa kau. Bukan nak ucap terima kasih, tuduh pulak orang tu yang
bukan-bukan,” bebel Zaliah lalu dia berdiri di tepi tangga. Pandangannya
dilemparkan ke tengah laut sebagai tanda protes. Sesekali rambutnya ditiup
angin.
Wah, dah macam
model iklan syampu pulak!
Azwa terdiam.
Mungkin benar kata-kata Zaliah. Tuduhan yang dilemparkan itu terlalu kejam untuk
Qallif. Tambahan pula lelaki itu pernah menyelamatkan nyawanya. Mungkin sudah saatnya
dia perlu bersikap sedikit optimis terhadap lelaki itu. Dia tidak boleh menilai
seseorang hanya dalam waktu yang singkat.
“So, malam ni macam mana?” tanya Azwa
sambil menyuap sepotong lagi buah mangga ke mulutnya. Menghabiskan sisa-sisa
rojak buah yang masih ada di dalam plastik.
Zaliah menoleh
dengan gaya seorang model iklan syampu.
“Macam mana
apa?” soalnya semula.
“Kita nak pakai
apa? Takkan nak pakai baju t-shirt
dengan seluar track aje kot?”
“Habis kau nak
pakai apa? Pakai gaun macam Cinderella? Atau pakai dress labuh ala-ala Miss
Universe? Kau ingat kita nak makan kat hotel lima bintang ke? Nanti pengsan
pulak Qallif tengok kau cantik sangat. Terpaksa kau pulak dukung dia balik ke
chalet,” gurau Zaliah sambil ketawa terkekeh-kekeh.
“Boleh tak kau
serius sikit?” Azwa menjeling wajah Zaliah dengan geram.
“Aku tahu, kau
bukan ada duit sangat nak belanja dia makan tempat mahal. Kita makan kat
restoran depan tu aje. Pakai ajelah apa yang ada. Asalkan kau tak pakai baju
kelawar ataupun berkemban dengan kain batik sudahlah,” sambung Zaliah dengan
ketawa yang masih bersisa. Seronok benar dia dapat mengenakan Azwa.
“Kau ingat aku
gila nak pakai macam tu? Dah tahu tak ada duit yang kau gatal cakap aku nak belanja
dia buat apa? Kau tahu aku tengah pokai sekarang ni kan?” omel Azwa.
“Rilekslah…
bukan selalu pun.” Zaliah tersengih.
“Dahlah, aku nak
lepak tepi pantai sekejap. Nak tenangkan fikiran.”
Azwa bangun dan
melangkah turun dari chalet yang comel itu menuju ke tepi pantai. Malas dia
ingin bertekak dengan Zaliah. Pusing-pusing dia juga yang terkena balik. Melayan
Zaliah hanya akan buat otaknya semakin berserabut. Lebih baik dia menikmati
keindahan pantai sambil menghirup udara segar yang terhidang.