Home Novel Komedi/Romantik Komedi Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Eina Afrina
8/10/2013 12:46:36
75,025
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 6

BAB 6

“KALAU kau nak mandi, kau pergilah. Aku tunggu kat sini aje.” Azwa duduk di atas batu besar. Tiupan angin laut menerpa ke tubuhnya. Terasa nyaman dan dingin.

“Takkan aku nak mandi sorang-sorang aje? Kau mandilah sekali. Bukan jauh pun. Tepi tu aje. Jomlah!” desak Zaliah sambil menarik tangan Azwa membuatkan Azwa tergelunsur ke bawah. Terus terduduk di atas pasir.

“Aku tak nak! Aku takut dengan ombak tu. Aku takut kalau lemas lagi. Siapa pulak yang nak tolong kita nanti? Degil betullah kau ni!” marah Azwa lalu duduk bersila di atas pasir. Alang-alang seluarnya sudah kotor.

Zaliah mendengus.

“Penakut!”

Azwa mencebik bibir pada Zaliah.

“Kau tak lemas jadi kau tak tahu betapa traumanya aku.”

“Okeylah, aku mandi kat tepi tu. Kau duduk sini cari ilham macam mana nak jadi kaya. Jangan gatal nak ke mana-mana pulak,” pesan Zaliah, akhirnya mengalah.

Zaliah sudah bersedia dengan sebuah pelampung yang baru dibelinya. Pelampung yang mempunyai gambar Spongebob Squarepants. Macam budak tak cukup umur saja Zaliah ni!

“Iyalah… elok-elok mandi tu. Biasanya petang-petang macam ni banyak ular laut. Kalau ada benda licin kat kaki kau tu, cepat-cepatlah naik.” Sengaja Azwa menakutkan Zaliah yang kononnya berani sangat.

Zaliah merenung Azwa tidak berkelip. Kemudian dahinya mula berkerut-kerut. Sah, dia sudah termakan dengan kata-kata Azwa. Penakut jugak rupanya! Ular memang binatang yang paling ditakuti Zaliah di dunia ini. Nampak ular lidi pun Zaliah dah lari tak cukup tanah. Geli sangat.

“Kau tunggu apa lagi? Pergilah mandi. Tadi tak sabar-sabar benar gayanya,” tegur Azwa bila melihat Zaliah terkebil-kebil berdiri di hadapannya bagaikan patung cendana.

“Iyalah… aku nak pergilah ni.”

“Hah, pergilah. Yang kau tercegat kat sini lagi buat apa? Kau takut ek?” Azwa tersenyum mengusik.

“Mana ada!” Zaliah berlari-lari anak menuju ke pantai walaupun langkahnya teragak-agak. Malulah dia mahu mengaku takut. Pasti Azwa akan ketawakan dia nanti.

Azwa hanya ketawa melihat gelagat Zaliah dari kejauhan. Bukan Zaliah seorang saja yang mandi di situ, ada beberapa keluarga lain yang turut serta bermandi manda. Kali ini mereka mencari tempat yang terbuka. Semakin lama semakin ramai pula yang turun ke pantai dan suasana menjadi semakin meriah.

“Hai,” sapa satu suara dari belakang.

Pantas Azwa menoleh. Qallif berdiri di belakangnya dengan senyuman terukir di bibir. Azwa sudah tidak tentu arah. Kenapa lelaki ini sentiasa ada di mana saja dia berada? Entah mengapa harus wujud perasaan kalut bila bertemu lelaki ini. Satu perasaan yang tidak pernah Azwa rasa dengan mana-mana lelaki sebelum ini. Apa hebatnya lelaki yang berdiri di belakangnya ini hingga mampu membuat jiwanya huru-hara?

“Boleh saya duduk sebelah?” pinta Qallif.

Belum sempat Azwa memberi keizinan, Qallif sudah pun duduk terlebih dahulu dengan selambanya.

“Mana awak tahu kami di sini?” tanya Azwa.

Instinct,” jawab Qallif sepatah.

Dia memakai topi dan seperti biasa mengenakan kaca mata hitam membuatkan wajahnya sedikit terlindung. Oh, ada kemera Canon EOS 60D tersangkut di lehernya. Nampaknya Qallif meminati bidang fotografi. Hanya juru gambar sahaja yang biasa menggunakan kamera sebegitu. Jangan dia ambil gambar aku yang tengah berserabai ni, sudahlah! Bisik hati Azwa.

Lama mereka mendiamkan diri. Melayani perasaan masing-masing. Mata Azwa tidak lepas dari memerhatikan Zaliah yang sedang terumbang-ambing di pukul ombak. Sesekali Zaliah melambaikan tangan ke arahnya. Jika diikut hati mahu saja Azwa pergi menyertai Zaliah namun bila terkenangkan saat getir bersabung nyawa beberapa hari lalu, perasaan teruja itu terus lenyap begitu saja.

Hairan melihat Qallif yang hanya mendiamkan diri sejak tadi. Dia sibuk mengambil gambar dengan kameranya. Biasanya Qallif yang akan memulakan topik untuk mereka berbual, tapi tidak kali ini. Mungkin kerana ketiadaan Zaliah. Biasanya mulut Zaliah yang becok itu yang memeriahkan suasana. Tanpa Zaliah, mereka berdua masing-masing berasa kaku.

“Biasanya kalau ada waktu terluang, awak buat apa di sini?” tanya Azwa sekadar mahu menghapuskan kesepian yang bertandang.

Qallif tersenyum dan memandang ke arah Azwa.

“Memancing. Kadang-kadang snorkeling ataupun join aktiviti skuba. Baru pagi tadi saya pergi menyelam dengan beberapa orang pelancong lain. Cantik tau dasar laut kita ni. Banyak terumbu karang dan spesies ikan yang cantik-cantik. Kalau awak pandai berenang dah lama saya ajak awak sekali,” jelasnya.

Azwa angkat kening. Panjang pulak jawapannya. Ingatkan nak diam saja sampai bila-bila. Skuba? Macam best aje bunyinya tapi mustahillah dia boleh menyelam ke dasar laut. Berenang pun tenggelam-timbul. Silap hari bulan terus tak timbul-timbul. Buat malu pada ikan-ikan dalam laut tu saja. Silap-silap anak ikan nemo pun ketawa berdekah-dekah melihat dia lemas.

“Kenapa tak datang dengan kawan-kawan atau keluarga? Tentu lebih seronok kan?” soal Azwa lagi, sepasang matanya redup menatap wajah Qallif yang terlindung di sebalik kaca mata hitamnya itu.

Qallif diam seribu bahasa. Wajahnya sedikit berkerut. Dia menguis-nguis pasir pantai dengan ranting kayu hingga membentuk satu lubang kecil. Pertanyaan Azwa dibiarkan pergi bersama angin lalu.

“Awak tentu ramai kawan kan?” tanya Azwa lagi, ingin tahu.

“Tak ada apa yang menarik untuk dikongsi dengan awak. Hidup saya membosankan. Sebab itulah saya bercuti ke sini. Tak sangka pulak boleh jumpa awak. Tak sia-sialah saya tinggalkan rumah dan kerja,” ujar Qallif tersenyum.

“Keluarga awak masih ada?”

Qallif tidak selesa dengan soalan itu. Lama dia mendiamkan diri tanpa ada tanda-tanda ingin menjawab.

“Qal?” Azwa tetap ingin tahu walaupun Qallif enggan menjawab.

Tidak salah rasanya bertanya serba sedikit tentang keluarga. Sudah empat hari mereka mengenali antara satu sama lain, baru kali ini Azwa membuka topik keluarga. Dan ternyata topik itu mengganggu ketenangan Qallif. Kenapa ek? Azwa tertanya-tanya sendiri.

“Ada. Kenapa awak tanya? Awak nak jumpa keluarga saya ek? Dah bersedia nak jadi calon menantu mereka?” usik Qallif.

“Ke situ pulak perginya! Awak ni memang kuat perasan ek?”

Qallif ketawa. Apatah lagi melihat pipi Azwa sudah kemerahan. Tahu pun malu! Buat seketika Azwa tidak bertanya lagi. Pandangannya dihalakan pada Zaliah.

“Kenapa diam pulak ni?”

“Malaslah nak tanya, nanti awak perasan pulak.”

“Okeylah, awak nak tanya apa lagi? Saya akan cuba jawab dengan serius,” ujar Qallif seakan memujuk.

Azwa kembali memandang Qallif. Lelaki itu melebarkan senyuman. Kaca mata hitam di wajahnya sudah ditanggalkan. Renungan sepasang matanya itu buat jantung Azwa dup-dap dup-dap.

“Awak memang orang Penang?”

Qallif menjawab soalan Azwa hanya dengan satu anggukkan.

“Awak tinggal dengan keluarga?”

Sekali lagi Qallif mengangguk. Raut wajahnya sudah berkerut-kerut menerima soalan bertubi-tubi dari Azwa.

“Kalau awak tinggal dengan keluarga, kenapa awak masih rasa bosan?” tanya Azwa lagi.

Qallif pandang wajah Azwa. Macam James Bond pulak dia ni. Habis nak dikoreknya rahsia aku. Berapa banyak bulu kaki aku, dia tak nak tanya ke? Rungut Qallif di dalam hati. Dia rimas dengan soalan-soalan itu. Apatah lagi bila melibatkan soal keluarga. Dia akui, dia tidak punya keluarga yang bahagia seperti orang-orang lain. Dia lari ke Cherating ni pun sebab keluarga. Rimas kerana keluarga sibuk ingin menjodohkannya dengan pilihan mereka. Macamlah dia ni tak laku sangat. Perlukah dia ceritakan semua masalahnya itu pada Azwa? Ah, buat malu saja!

“Kami jarang jumpa sebab masing-masing sibuk dengan urusan kerja. Awak ni ejen perisik dari mana ya?” usik Qallif.

Azwa ketawa kecil. Sedar kelancangan mulutnya bertanya itu dan ini. Rasanya tak salah dia bertanya daripada mereka menjadi tunggul kayu di tepi pantai ini. Dia sekadar mewujudkan suasana harmoni sebagai tanda persengketaan mereka selama ini sudah ditamatkan tanpa sebarang pertumpahan darah. Gencatan senjata sudah bermula dengan rasminya sejak dua hari yang lalu.

“Ejen 004 cawangan KL,” sambung Azwa bersahaja.

Qallif terus ketawa.

“Oh… tapi kan, baru kali ni saya dengar ada ejen perisik sulit yang tak tahu berenang. Siap lemas lagi waktu mandi di pantai,” usik Qallif.

Azwa menarik muka masam. Malunya dia dengan gurauan Qallif itu.

Sorrylah sebab banyak sangat tanya. Sebenarnya saya memang macam ni. Kalau dah kenal dengan seseorang, saya mesti nak tahu latar belakangnya. Barulah rasa selamat. Saya kena tahu dengan siapa saya bergaul. Saya tak suka orang hipokrit. Bagi saya, kejujuran tu penting dalam persahabatan,” ujar Azwa, sekali gus menjelaskan mengapa dia ingin tahu latar belakang Qallif dengan lebih terperinci. Itu pun jika lelaki itu masih mahu meneruskan persahabatan yang baru saja terjalin ini.

Manusia zaman sekarang ni ada pelbagai cara dan taktik untuk menyamar. Zahirnya memang kelihatan baik dan jujur. Padahal, dalam kebaikan itu ada maksud tersembunyi. Jika bukan kerana terhutang budi dengan Qallif, jangan harap lelaki ini berpeluang duduk di sebelahnya seperti sekarang. Muka saja nampak alim, hati belum tentu.

“Saya kerja di sebuah syarikat arkitek di Penang. Umur 28 tahun. Adik beradik ada dua. Saya anak sulung. Untuk pengetahuan awak, saya ni bukan orang berada. Keluarga saya orang biasa-biasa aje,” ujar Qallif.

Azwa tersenyum.

“Berada atau tidak bukan jadi ukuran. Apa yang penting, kita ada kesungguhan untuk merubah nasib kita. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan,” tambah Azwa.

So, saya dah lulus untuk jadi kawan awak? Perempuan zaman sekarang ni biasanya mementingkan kebendaan. Setakat lelaki macam saya ni mereka tak pandang sebelah mata pun.”

“Sebenarnya semua tu bergantung pada penilaian masing-masing. Ada orang pentingkan wang ringgit untuk masa depan yang terjamin. Ada sesetengah orang pula lebih memilih kasih sayang dan keikhlasan hati. Tapi bagi saya, kedua-duanya patut berjalan seiring. Barulah perjalanan hidup kita ni lebih teratur. Wang ringgit bukan segala-galanya tapi ia perlu untuk kehidupan seharian. Kasih sayang pula adalah keperluan rohani manusia. Jadi, biarlah ia seimbang. Kesederhanaan itu pun dituntut dalam agama kita kan,” jelas Azwa panjang lebar.

Qallif tersenyum senang. Azwa memang berbeza dari gadis-gadis lain yang pernah dikenalinya. Kesederhanaannya membuatkan dia kelihatan sempurna.

“Asyik tanya pasal saya aje… awak macam mana pulak?” Qallif pula bertanya.

Matanya tekun merenung wajah Azwa yang begitu manis pada pandangan matanya. Mata orang lain dia tak tahulah. Mata lain-lain, citarasa pun lain-lain. Tapi Qallif tak kisah dengan mata orang lain. Janji matanya sejuk menatap wajah gadis itu, cukuplah.

“Apa yang awak nak tahu?”

“Keluarga awak. Selain Zaliah sebagai kawan awak yang paling rapat.”

“Saya berasal dari Sungai Besar, Selangor. Anak keempat daripada lima orang adik-beradik. Saya ada seorang kakak, dua orang abang dan seorang adik lelaki. Mereka semua tinggal di sekitar Selangor. Saya sendiri pun baru saja habis kursus di UiTM Dungun, Terengganu. Masih menganggur. Rasanya lepas bercuti ni saya nak start cari kerja di KL,” jelas Azwa sejujurnya.

Azwa rasa bangga setiap kali bercerita tentang keluarganya. Tiada kekayaan yang melimpah-ruah dalam hidupnya namun kehidupannya cukup bahagia. Tiada yang lebih bahagia selain dapat berkumpul bersama ahli keluarga di kampung. Menaman sayur di belakang rumah adalah rutin hariannya bersama emak sewaktu di kampung. Entah apa khabarnya terung, kacang panjang, cili besar dan labu yang ditanamnya sebelum berangkat ke Terengganu dulu. Agaknya dah bercucu ke pokok terung tu. Hisy… masak pajeri sedap tu!

“Awak ambil kursus apa?”

Teguran Qallif mengejutkan Azwa daripada kenangan lama. Terkebil-kebil dia memandang Qallif. Azwa tidak dapat mencerna soalan Qallif. Itulah, asyik berangan saja!

“Awak ambil kursus apa, sayang?” ulang Qallif bersahaja.

“Oh, perhotelan.” Azwa tersengih-sengih. Malu bila Qallif dapat membaca kekalutannya.

Qallif mengangguk-angguk kepala.

“Kalau tak silap saya, Sungai Besar tu kawasan padi. Awak ni anak petani ek?”

“Tak juga. Dulu, arwah atuk memang seorang petani. Abah pun biasa buat kerja-kerja di bendang. Tapi itu cuma kerja sampingan saja. Abah sebenarnya dulu kerja di pejabat JKR Sungai Besar. Tapi sekarang dah bersara. Kerja-kerja di bendang semuanya diupahkan pada orang lain. Abah dah tak larat nak buat sendiri,” jelas Azwa.

“Selalu balik kampung?”

“Selalu jugak kalau ada cuti panjang.”

Qallif tersenyum. Teringin benar dia melihat pemandangan sawah padi yang biasa dilihatnya di drama-drama Melayu di kaca televisyen. Melihat secara dekat tidak berpeluang lagi. Bagaimana agaknya kehidupan di kampung?

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.