BAB 5
Tersentak Azwa
sebaik saja melihat Qallif berdiri betul-betul di sebelahnya.Tiba-tiba saja lelaki itu muncul entah dari mana. Hilang sudah ketenangan yang baru saja ingin dinikmati di tepi pantai ini sebaik sahaja terpandang wajah lelaki itu.
“Awak buat apa kat sini?” soal Azwa tanpa memandang Qallif.
“Kena ada sebab
ke saya nak ke sini?” soal Qallif semula. Wajahnya bersahaja memandang Azwa.
Keningnya diangkat-angkat.
“Awak mengintip
saya ya?” Tepat jari telunjuk Azwa menghala ke muka Qallif.
Qallif ketawa
kecil. Dia menggeleng-geleng kepala. Gadis ini tak habis-habis dengan buruk
sangkanya.
“Awak jangan
perasan, boleh tak? Ini kan tempat awam. Sesiapa saja boleh berada di sini kan?”
Sinis Qallif menjawab.
Azwa hanya
memberi jelingan tajam pada Qallif. Pagi tadi ketika di hadapan Zaliah, Qallif
kelihatan bukan main baik dan bersopan santun. Sehingga Zaliah separuh mati
memuji kebaikannya. Sudah Azwa duga, itu hanya lakonan Qallif.
“Ni, awak
berdiri kat sini sorang-sorang, dah sihat sangat ke?” tanya Qallif.
“Awak jangan
risau, saya takkan susahkan awak lagi.” Azwa terus bangun dan ingin berlalu
meninggalkan Qallif. Malas dia ingin terus melayan lelaki itu. Buat serabut
kepalanya sahaja.
Namun Qallif
dengan pantas mengejar langkah kaki Azwa. Azwa mendengus kerana sesi kejar
mengejar berulang lagi. Lelaki ini betul-betul menakutkan.
“Nak balik dah
ke? Jom, kita pergi minum,” ajak Qallif dengan selamba.
Sekali lagi Azwa
memberi jelingan tajam sebelum menjawab. “Saya tak dahaga.”
“Okey, kalau
macam tu, temankan saya pergi bersiar-siar. Kita pusing-pusing sekitar tempat
ni. Lepas tu kita boleh tengok matahari terbenam,” tambah Qallif.
Matahari
terbenam? Bukan ke matahari terbenam sebelah barat? Di Cherating ni hanya boleh
lihat matahari terbit. Sahlah si mamat poyo ni pakai redah saja. Azwa mengutuk
di dalam hati.
“Boleh awak
beritahu saya apa faedahnya kalau saya temankan awak? Ada gaji ke atas perkhidmatan
saya tu?” Azwa memandang Qallif dengan sinis.
“Berapa gaji
awak nak?”
“Awak takkan
mampu bayar.”
Qallif ketawa
lagi. Suka benar dia melihat wajah Azwa yang menginga itu. Biarlah betapa
tajamnya jelingan Azwa untuknya, namun tetap kelihatan menarik di mata Qallif.
“Oh, demand rupanya! Agak-agak kalau ada
orang hantar rombongan masuk meminang, berapa hantarannya ya? Mesti mahal kan?”
Dengan yakin Qallif menanggalkan kaca mata hitam yang berada di wajahnya.
Senyumannya semakin lebar.
Azwa mengetap
bibir. Matanya memerhati sahaja lelaki yang berdiri di hadapannya ini. Tidak
dinafikan ada sedikit perasaan gugup tatkala mereka bertentang mata. Namun Azwa
pandai menyembunyikan rentak hatinya.
“Agak-agak awak
terima tak lamaran tu?” tanya Qallif lagi setelah tidak mendengar sebarang
komen keluar dari bibir nipis Azwa. Hanya jelingan tajam sahaja yang
diterimanya.
“Malam sikit!”
Selepas berkata begitu, Azwa kembali menghayun langkah menuju ke chalet. Qallif
sudah berani merapu entah apa-apa. Jika terus dilayan pasti soalannya akan
bertambah merepek lagi.
Qallif ketawa.
Lebih rancak dari tadi.
“Azwa… Azwa…
saya suka nama tu. Apa maksudnya?” Qallif menceceh lagi.
Azwa sudah
pening kepala. Langkahnya semakin laju menghala ke chalet. Dia ingin cepat
sampai agar Zaliah dapat membantunya jika Qallif berani macam-macam.
Zaliah sudah
menunggu di beranda dengan wajah penuh tanda tanya. Tentu saja Zaliah terkejut
beruk melihat Azwa pulang ke chalet ditemani oleh Qallif. Mereka berdua ni
macam berjanji saja, bisik hati Zaliah.
“Kenapa sejak
kali pertama kita jumpa, awak asyik nak marah-marah saja?”
Pertanyaan
Qallif itu mematikan langkah kaki Azwa. Dia berpaling ke belakang memandang
Qallif yang sedang mengekorinya. Lelaki itu juga berhenti serta merta. Namun
dengan tidak disengajakan berlaku sedikit perlanggaran. Tubuh Azwa yang kecil
itu mudah saja ingin terjatuh. Pantas Qallif menarik lengan Azwa agar gadis itu
tidak jatuh sia-sia di atas pasir. Aduhai, siapa suruh tak bagi signal?
Qallif tersenyum
nakal. Azwa menarik lengannya dari genggaman Qallif. Hati Azwa bergetar
kencang. Sukar dinafikan sentuhan itu agak luar biasa. Dan Qallif kelihatan
kacak jika tersenyum begitu.
“Sebab awak yang
mulakan dulu. Awak yang tengking saya semata-mata kerana saya terlanggar awak
secara tak sengaja. Awak dah lupa?”
“Okey, saya
minta maaf pasal tu. Mood saya tak
berapa baik semalam. Tapi takkan disebabkan tu awak nak benci saya?”
“Saya tak cakap
pun saya bencikan awak.”
“So? Kenapa bila nampak aje muka saya,
awak terus tarik muka masam. Terus aje nak larikan diri macamlah saya ni orang jahat.”
“Saya tak suka
awak mengekori saya. Saya tak kenal awak. Ya, memang awak yang selamatkan saya
semalam tapi itu bukan alasan untuk saya percayakan awak. Awak tetap orang
asing bagi saya.”
“Saya tak minta
awak percayakan saya, cuma saya nak awak buka pintu hati awak untuk kenal siapa
saya. Selepas tu baru awak boleh menilai saya.”
Azwa
menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Buntu dia melihat kerenah Qallif yang
seolah-olah mahu mendesak itu. Nak paksa-paksa pulak suruh kita terima dia! Tak
malu betul!
“Azwa, awak
memang perlukan saya di sini?” Dengan yakin Qallif berkata.
“Sebab?”
“Awak ni selalu
lalai. Berjalan suka langgar orang. Berhenti tak bagi signal. Mandi di pantai pun boleh lemas. Saya rasa awak memang
perlukan seseorang di sisi awak setiap masa. Bahaya kalau keluar sorang-sorang.”
Azwa tersenyum
sinis mendengarnya. Wah, benar-benar kukuh alasan itu! Terasa seolah-olah dia
baru berumur enam tahun. Dan lelaki ini bermurah hati mahu menjadi bodyguard bagi memastikan keselamatannya
terjamin. Bravo!
“Encik Qallif,
saya akan rasa lebih bahaya kalau ada lelaki macam awak yang menemani saya.”
Berkerut dahi Qallif.
Belum sempat dia ingin membidas kata-kata Azwa, Azwa sudah pergi
meninggalkannya. Melihat Zaliah yang masih setia menunggu Azwa di depan chalet
bersama wajah penuh curiga, Qallif terus batalkan niatnya ingin mengejar Azwa.
“Jangan lupa
malam ni. Awak kena stanby duit lebih
sikit. Saya lapar sangat ni!” jerit Qallif dan kemudian dia ketawa kuat.
Semakin membara
hati Azwa mendengarnya.
MALAM itu Qallif datang tepat jam 8.20
malam. Tidak sabar benar gayanya ingin mengetuk duit Azwa. Dia memakai seluar
jeans biru lusuh, t-shirt putih dan
jaket denim. Nampak kasual. Sementara Zaliah dan Azwa hanya mengenakan t-shirt dan seluar jeans. Jika diikutkan
hati, mahu saja Azwa membatalkan makan malam ini memandangkan kepalanya yang
masih pening-pening lalat. Tapi mengenangkan tidak mahu dicop buruk siku, dia
teruskan juga. Mereka berjalan beriringan menuju ke restoran yang terletak
lebih kurang 50 meter dari chalet.
Qallif dan
Zaliah bersemangat memesan hidangan laut. Ketam, udang, kerang bakar dan ikan
siakap. Gaya macam nak makan untuk lima orang. Zaliah menjamah lauk-pauk dengan
berselera sekali. Mungkin tahap kelaparannya agak melampau memandangkan hanya
menjamah rojak buah sejak petang tadi. Sengaja Zaliah mengosongkan perutnya
untuk malam ini.
Sabar ajelah!
Azwa saja yang
tiada selera. Kepalanya sakit berdenyut-denyut apatah lagi setelah melihat
hidangan yang memenuhi ruang meja. Kopak duit dia malam ini. Nampaknya Zaliah
dan Qallif sudah sepakat ingin mengikis duitnya. Selera Azwa sudah lama mati tetapi
dijamah juga nasi itu sedikit, bimbang jika perutnya masuk angin. Tak
pasal-pasal dapat gastrik pulak. Cukuplah sengugut yang dialaminya setiap
bulan, jangan ditambah penyakit lain pula.
Semuanya
berjalan lancar. Mereka bercerita tentang hal masing-masing sambil diiringi
irama angklong yang ditiup angin. Cuba untuk mengenali antara satu sama lain
dengan lebih dekat lagi. Itu pun, Zaliah saja yang banyak berceloteh melayani Qallif.
Azwa hanya menjadi pendengar. Dia tidak berminat ingin beramah mesra dengan
Qallif.
“Azwa, awak okey
ke? Nampak macam tak ada selera aje? Kalau awak tak suka lauk ni kita boleh order yang lain,” ujar Qallif.
Dia rasa
bersalah kerana kebanyakkan lauk-pauk itu adalah pilihannya dengan Zaliah.
Mungkin saja tidak menepati citarasa Azwa.
“Eh, tak apa,
ini pun dah lebih dari cukup. Tekak saya ni memang tak ada selera sejak semalam,”
jawab Azwa sambil membetulkan rambutnya yang ditiup angin.
Sesekali dia
berpeluk tubuh sambil menggosok-gosok lengannya kerana cuaca malam ini agak
sejuk daripada biasa. Dalam hati dia berdoa agar makan malam ini akan cepat
berakhir. Dia sudah tidak sanggup dengan cuaca sejuk ini. Menyesal betul tak
pakai sweater, fikir Azwa.
“Qal, Az ni
kalau dia sihat semua benda dia bedal. Tolak kayu dengan batu aje. Malam ni
memang rezeki kita berdua nampaknya.” Zaliah tersengih memandang Azwa.
“Aduh! Sakitlah!”
jerit Zaliah bila satu cubitan mengena di pahanya.
Azwa buat-buat
bodoh saja dan memandang ke tempat lain.
Qallif tersenyum.
Semakin lama dia memerhati semakin hatinya terpesona. Azwa kelihatan manis
walaupun tidak mengenakan alat solek yang banyak. Wajahnya jernih dan tenang.
Qallif sendiri keliru dengan perasaannya. Adakah dia sudah jatuh cinta? Atau
sekadar mainan perasaan di saat dia kesunyian tanpa teman?
Qallif bangun
dan menanggalkan jaket yang dipakainya. Dia menghampiri Azwa lalu jaket itu
diletakkan ke bahu si gadis.
“Pakailah… saya
tahu awak sejuk,” ujarnya.
Azwa terkesima. Tidak
menduga dengan tindakan Qallif itu. Debaran semakin kencang di dada bila tangan
Qallif tersentuh bahunya tanpa sengaja. Sempat juga dia melirik ke arah Zaliah
di sebelah. Teman baiknya itu tersenyum penuh makna.
“Thanks,” ucap Azwa dengan rasa kekok.
“Sama-sama,”
jawab Qallif bersahaja.
Qallif duduk
semula di kerusi. Sempat dia melemparkan senyuman buat Azwa. Matanya tidak
jemu-jemu memandang wajah si gadis. Rasanya seperti tidak mahu berpaling ke
arah lain lagi.
Azwa terus diam.
Dia sedar Zaliah sedang menahan senyum. Pasti Zaliah juga perasan Qallif suka
memerhatikannya sejak tadi. Azwa cuba menyembunyikan kemelut di hati dengan
meneguk teh o limau yang dipesan Qallif untuknya. Kata Qallif, untuk melegakan
pening kepala. Tapi sekarang kepalanya semakin pening melihat kerenah Qallif
yang merimaskan. Malu, marah, geram, semua ada. Apa kena dengan mamat poyo ni? Getus
hati Azwa.
Malam itu mereka
pulang ke chalet dengan perut kekenyangan. Terutama Zaliah. Awal-awal lagi
Zaliah sudah terbaring di atas katil dengan mulut sedikit ternganga. Azwa pula
duduk di kerusi sambil membuka siaran televisyen. Memang berbaloi mereka makan
malam bersama Qallif malam ini. Bil restoran yang sepatutnya dibayar oleh Azwa
telah dibayar oleh Qallif dengan kerelaan hatinya sendiri. Serba sedikit timbul
juga rasa bersalah di hati Azwa kerana menganggap Qallif sengaja ingin mengikis
duitnya. Jika tidak pasti kopak duit Azwa RM150. Si Zaliah tu kalau makan tak
ingat dunia. Siap minta nasi tambah lagi.
Azwa
menggeleng-geleng kepala memandang Zaliah. Rupa-rupanya Zaliah sudah berlayar
ke alam mimpinya. Tak sampai 10 minit Zaliah sudah terlena begitu saja. Bagus
sangatlah tu, lepas makan terus tidur, fikir Azwa. Mudah sungguh hidup anak
gadis bernama Zaliah ini. Zaliah mudah mesra dengan sesiapa saja termasuklah
dengan Qallif. Tanpa Zaliah, entah bagaimana dia ingin menghadap muka Qallif.
Rasa macam nak bergaduh saja.
Di sebelah Azwa,
tersangkut jaket denim milik Qallif yang dipakainya tadi. Ada sedikit senyuman
terukir di bibir. Siapa lelaki itu sebenarnya? Sukar digambarkan apa perasaan
Azwa di kala ini. Mengapa dia harus memikirkan lelaki itu di malam yang kelam
ini? Kan bagus kalau dia tidur sahaja seperti Zaliah? Azwa cuba fokus pada
rancangan televisyen, namun wajah Qallif juga yang bermain di fikirannya. Ah,
kacau!