MALAM itu Azwa mahu tidur awal. Pukul
9.30 malam dia sudah tarik selimut. Esok pagi dia perlu bangun awal. Jam loceng
sudah dikunci pukul 5.00 pagi. Hari pertama bekerja mestilah excited kan? Sayangnya mata pula tak
mahu terlelap. Bukan kerana bunyi riuh rendah suara anak-anak saudaranya. Suara
riuh rendah anak-anak saudaranya itu sudah lali di cuping telinga Azwa. Tiada
apa yang hendak dihairankan. Kalau mata dah mengantuk, gajah lalu depan muka
pun dia dah tak sedar. Azwa tetap tidur juga dengan lenanya.
Tapi malam ini
amat berbeza sekali. Matanya asyik terkebil-kebil mengenangkan hari pertama bekerja
esok. Hati rasa berdebar-debar sehingga mata pun tak mahu tertutup. Risau
sungguh Azwa jika dia terlewat bangun pagi esok. Sudahlah jarak perjalanan dari
rumah Abang Hanif ke Hotel Green Oriental agak jauh. Tak campur lagi jalan
menuju ke pusat bandar yang sentiasa sesak.
Azwa memaksa
matanya untuk tidur. Sesekali kedengaran suara Kak Wati memarahi anak sulungnya,
Adif. Nakalnya hanya ALLAH yang tahu. Entah perangai siapa yang diikut? Abang Hanif
pendiam orangnya. Rasanya tidaklah senakal Adif semasa Abang Hanif kecil dahulu.
Dah sah-sahlah ikut perangai Kak Wati, kakak ipar Azwa yang tak mesra alam itu.
Azwa memang jarang berbual-bual dengan Kak Wati. Mereka macam tak ada
keserasian. Jika di rumah mereka selalu buat hal masing-masing.
Jika diikutkan
hati, Azwa pun tak ingin tinggal di sini. Kak Wati bagaikan tidak menyenangi
keberadaan Azwa di rumah ini. Tetapi mengenangkan tiada tempat untuk dia
berteduh buat masa ini, terpaksa jugalah buat muka tak malu menumpang di rumah
Abang Hanif. Abang Hanif pula terpaksa bersetuju kerana ini permintaan abah di
kampung. Azwa tahu, Abang Hanif tersepit dengan keadaan.
Jam loceng
berbunyi tepat pukul 5.00 pagi. Entah pukul berapa Azwa terlena malam tadi, dia
sendiri tidak sedar. Tiba-tiba saja jam loceng sudah menjerit-jerit di sisinya
menandakan hari sudah subuh dan dia perlu bangun bersiap-siap untuk ke tempat
kerja. Sebelum bangun, Azwa mengalihkan kaki Adif yang landing cantik di atas kepalanya. Kurang asam betul! Budak ni tidur
sangat ganas. Bukan sekali dua Azwa dapat tendangan penalti.
Hari masih gelap
tapi Azwa sudah tercangak di bus stop
menunggu bas untuk ke Lebuh Ampang. Dia menyerling jam di tangan. Baru pukul
5.30 pagi. Patut pun masih gelap. Dia harus sampai ke hotel sebelum pukul 7.00
pagi. Kuala Lumpur kan selalu jame,
jadi kenalah keluar awal untuk mengelakkan kesesakkan. Timbul pula satu masalah
pada Azwa. Dia tidak tahu nak naik bas apa? Maklumlah, semalam dia pergi ke
hotel itu bersama Saiful Izzat dengan menaiki motor RXZnya. Balik memang naik
bas tapi dia hanya mengikut saja langkah kaki Zaliah. Menyesal betul tak
bertanya pada Zaliah secara terperinci. Sekarang dia juga yang susah.
Akhirnya Azwa
memutuskan untuk menahan teksi. Rasanya naik teksi lebih terjamin
keselamatannya. Pemandu teksi itu akan terus menghantarnya ke destinasi yang
dituju tanpa perlu Azwa memeningkan kepala. Biarlah dia korbankan sedikit
duitnya untuk hari pertama ini. Yang penting, dia selamat sampai ke destinasi
tepat pada masanya.
Ya ALLAH!
Rupa-rupanya memandu teksi yang berbangsa Cina itu gatalnya bukan main.
Tersengih-sengih memandang Azwa seperti tak pernah jumpa perempuan. Azwa pun
satu sengal, yang dia cerdik sangat duduk di depan tu, buat apa? Tangan apek tu
sudah mula nak merayap-rayap ke paha Azwa. Cepat-cepat Azwa menepis tangan apek
itu.
“Uncle, kenapa uncle buat macam ni? Uncle
ingat saya ni perempuan tak baik ke?” tegur Azwa.
“Aiya… jangan
malu-malulah amoi. Saya dah biasa jumpa perempuan macam amoi. Saya tak caj
punya. Saya hantar amoi free saja. Macam
mana, ada suka?” kata apek itu dengan
yakinnya.
Sah-sah apek ni
fikir aku ni perempuan jalang. Apek ni tak nampak ke aku pakai baju kurung ni?
Takkan perempuan jalang nak pakai baju kurung? Patut-patutlah kalau nak
menggatal pun! Maki Azwa di dalam hati. Dia pakai baju kurung pun sebab dah tak
ada baju yang nak dipakai lagi. Kebanyakan koleksi bajunya adalah baju t-shirt bodoh sahaja.
“Saya bukan
perempuan macam tu. Saya boleh report
polis dengan perbuatan uncle ni.
Nanti uncle jugak yang susah. Kalau uncle nak cari duit, carilah duit
betul-betul. Jangan buat ini macam sama customer,
tak baik. Mentang-mentanglah saya ni perempuan, sendiri pulak tu, uncle ingat senang-senang saja uncle boleh ambil kesempatan?” Azwa menambah
dengan lebih tegas lagi. Suaranya kedengaran bersahaja walaupun hati di dalam
sedang menyumpah seranah.
Lelaki tua yang
Azwa gelar apek itu tergamam. Dia sudah tidak menunjukkan wajah miangnya lagi.
Mungkin takut jika Azwa benar-benar melaporkan perbuatannya itu ke balai polis.
Mujurlah pemandu teksi itu berbangsa Cina, jika orang Melayu sudah pasti Azwa
akan buat taskirah subuh. Biar pemandu teksi tu sedar diri sikit dan
cepat-cepat bertaubat.
“Sorry,
sorry la amoi, saya tak buat lagi.
Saya gurau-gurau saja ma,” ucap apek itu.
Maka sampailah
Azwa ke Hotel Green Oriental dengan jayanya. Dia terus naik ke tingkat dua. Ada
seorang kerani dan seorang supervisor di dalam pejabat itu. Setelah melaporkan
diri pada supervisor yang berwajah kerek itu, Azwa diminta pula mengikut kerani
yang bernama Zakiah ke bilik uniform.
Azwa memakai
uniform yang diberi. Seluar panjang warna unggu dan baju seakan cheongsam yang
berlengan pendek. Agak seksi juga pada pandangan mata Azwa, tapi dia diamkan
saja. Dia mengikut saja apa yang diarahkan oleh Zakiah tanpa sebarang komplain.
Pukul 7.45 pagi waktu untuk briefing.
Puan Roy memperkenalkan Azwa kepada semua staf housekeeping.
Di housekeeping ini ada tiga shif tetapi
bagi pekerja baru seperti Azwa, dia hanya perlu menjalani satu shif sahaja iaitu
shif pagi. Mula bekerja pukul 8.00 pagi hingga 4.00 petang. Dalam masa 8 jam
itu dia perlu membersihkan 14 bilik.
“Pagi-pagi naik floor lepas briefing kena check
troli. Periksa barangan dan peralatan cukup atau tidak. Kalau tak cukup kena top up apa yang patut. Setiap room attendant akan bawa report dan floor master key yang boleh buka semua pintu. Kunci ni sangat
penting dan jangan sekali-kali beri pinjam pada orang lain,” beritahu Fauziah,
kakak senior yang akan mengajar Azwa melakukan tugas-tugas sebagai room attendant.
Azwa mengangguk
faham dengan penerangan Fauziah. Semasa training
dahulu dia juga sudah diajar semua itu. Jadi tidak susah untuk Azwa
memahaminya. Di mana-mana hotel pun lebih kurang sama saja peraturannya.
“Sebelum masuk
bilik guest, kena ketuk pintu dulu.
Tunggu 10 saat. Announce housekeeping sebanyak tiga kali.
Kemudian baru boleh masuk. Satu bilik kena kemas dalam masa 20 minit, itu
paling cepat. Kalau lambat siap, lambatlah kamu dapat balik. Tak boleh balik
selagi kerja tak selesai. Satu lagi, rehat tengah hari 45 minit saja. Antara
pukul 12.00 hingga 2.00 petang,” jelas Fauziah lagi.
Macam-macam lagi
penerangan yang Fauziah berikan pada Azwa. Azwa angguk saja kepalanya. Dia
menghabiskan satu hari itu dengan penuh kesabaran.