BAB 2
LAUT biru yang terbentang luas begitu
mendamaikan jiwa. Kombinasi deruan ombak menghempas pantai dan desiran angin
membuatkan Qallif lupa sejenak tentang hiruk-pikuk kota raya. Beberapa orang
pelancong asing kelihatan begitu santai mengenakan pakaian mandi sambil berbaring
di atas pasir kuning keemasan.
Qallif mengenakan
seluar pendek paras lutut dan baju t-shirt
putih tanpa lengan. Tidak lupa kaca mata hitam untuk menangkis cahaya matahari
yang menyilaukan matanya. Dia duduk di kerusi malas di bawah sebuah payung besar
sambil menikmati snek Mister Potato yang ditagihnya dari seorang gadis yang
garang macam serigala. Macam serigala tapi manis beb!
Qallif tersenyum
sendiri bagaikan orang angau. Matanya dipejamkan membayangkan wajah si gadis
yang sudah mencairkan hatinya dalam sekelip mata. Masih terbayang-bayang
jelingan tajam si gadis yang begitu menikam sukmanya. Sah, dia sudah gila
bayang tanpa sebab dan alasan yang logik. Alangkah bagusnya jika dia dapat
bertemu dengan gadis itu lagi. Tapi mungkinkah gadis yang berwajah masam macam
mempelam muda itu sudi menegurnya jika ditakdirkan mereka bertemu lagi? Atau
mereka akan buat tidak kenal saja?
“Tolong! Tolong!
Ada orang lemas! Tolong!”
Jeritan cemas
seseorang mengganggu khayalan Qallif. Cepat-cepat Qallif membuka matanya semula.
Seorang gadis yang tak dikenali tiba-tiba meluru ke arahnya.
Aduh, potong
betul! Baru nak berangan sikit, ada saja yang datang mengganggu! Rungut Qallif
di dalam hati.
“Tolong encik!
Kawan saya lemas. Tolong selamatkan dia!” gesa si gadis pada Qallif.
“Mana?” tanya Qallif.
Dia juga panik melihat gadis itu panik tidak tentu arah.
“Sana! Cepat!
Cepat selamatkan dia!” Tanpa segan silu gadis itu menarik tangan Qallif agar
bangun dari kerusi malasnya.
“Sabar dulu cik,
bawa bertenang. Tarik nafas perlahan-lahan. Benda macam ni tak boleh
kelam-kabut.” Qallif cuba menenangkan gadis yang kelihatan pucat itu.
“Awak suruh saya
bertenang? Kawan saya tengah lemas di tengah laut tu, awak nak suruh saya
bersabar? Awak ni nak tolong atau tidak?!” sergah si gadis buat Qallif
tergamam.
“Okey, okey,
saya tolong. Saya buka kasut ni dulu. Kasut ni tak boleh kena air laut nanti
cepat rosak. Saya baru beli minggu lepas,” ujar Qallif sambil menanggalkan
kasut Nike miliknya.
Anak gadis itu
semakin naik angin. Mukanya sudah merah kehijauan.
“Pergilah tolong
dia cepat! Dia tak pandai berenang. Kalau jadi apa-apa pada dia, awaklah orang
yang patut dipertanggungjawabkan!” jerit gadis itu lagi.
Qallif telan air
liur. Berkerut-kerut dahinya. Kenapa aku pulak? Dia akur juga walaupun agak
terkejut dengan jeritan gadis itu. Badan saja kecil dan kurus kering tapi suara
mengalahkan halilintar. Qallif berlari ke arah laut. Barulah dia terlihat seorang
gadis terkapai-kapai di tengah laut. Qallif berenang sepantas mungkin melawan arus
ombak. Mujurlah bab-bab renang ni memang kepakarannya. Qallif berjaya mencapai
gadis yang sudah tidak berdaya itu. Perlahan-lahan tubuh gadis itu ditarik ke
tepi pantai.
Gadis kurus
kering yang sedang menanti di tepi pantai terus menerpa ke arah Qallif. Dia
turut membantu Qallif menarik temannya ke daratan.
“Az, kau tak
apa-apa ke? Bangun Az!” Zaliah cuba menyedarkan Azwa dengan menampar pipi sahabatnya
itu berulang kali.
Azwa senyap
tanpa sebarang reaksi. Zaliah semakin panik. Qallif pula hanya memandang wajah Azwa
tidak berkelip. Dia bagaikan tergamam melihat wajah pucat Azwa di hadapannya.
“Az, jangan
takutkan aku. Jangan mati dulu. Kalau nak mati pun bukan sekarang masanya. Aku
tak bersedia lagi nak tengok kau mati. Tolonglah bangun, Az. Jangan tinggalkan
aku!” Zaliah sudah meraung-raung sambil memeluk tubuh Azwa yang kaku.
Terhenjut-henjut tubuhnya dalam tangisan.
Qallif memeriksa
nadi Azwa. Masih berdenyut tetapi denyutannya agak lemah. Dia melihat
sekeliling, lengang dan sunyi. Ternyata hanya mereka bertiga sahaja yang berada
di situ ketika ini.
“Dah, dah,
jangan menangis. Dia cuma pengsan aje. Awak kena buat CPR kalau nak dia terus
hidup,” arah Qallif pada Zaliah yang masih teresak-esak dalam tangisan.
Qallif juga
tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku pada gadis itu. CPR satu-satunya cara
untuk menyelamatkan nyawa Azwa ketika ini.
Zaliah terdiam.
Dia terpinga-pinga mendengar arahan Qallif. Dia biasa mendengar tentang CPR tetapi
tidak pernah mempratikkannya, malah dia juga tidak tahu cara untuk
melakukannya.
“Hei, awak
tunggu apa lagi? Buatlah CPR sekarang!” jerkah Qallif. Geram benar dia melihat
reaksi Zaliah yang bagaikan blur itu.
“CPR?” soal Zaliah
dengan gaya bingungnya.
“Satu-satunya
cara nak selamatkan dia, awak kena buat CPR. Jangan beritahu saya yang awak tak
tahu apa itu CPR,” tegas Qallif dengan lebih terperinci lagi.
“Macam mana nak
buat tu? Seumur hidup saya tak pernah buat CPR.” Zaliah terkulat-kulat. Serba-salah
dan berkerut memandang Qallif. Sungguh, dia benar-benar tidak pernah
mempraktikkannya walaupun dia biasa melihatnya di kaca televisyen.
Qallif mengeluh
panjang. Melihat wajah Azwa yang sudah mula kebiruan, dia tahu sudah tiada
pilihan lain lagi. Semakin lama dibiarkan nyawa Azwa semakin di ambang bahaya.
Tanpa berfikir panjang, Qallif terus melakukan CPR. Setelah beberapa kali
mencuba, akhirnya Azwa terbatuk-batuk sambil menyemburkan air dari mulutnya.
Segera Qallif memalingkan kepala Azwa ke tepi agar mudah air itu keluar dari
mulutnya.
“Az, kau okey ke?
Kau dengar tak suara aku, Az? Syukurlah kau tak apa-apa. Kalau tidak apa aku
nak jawab dengan mak abah kau nanti,” kata Zaliah dengan riak cukup lega.
Azwa masih lemah
namun Zaliah sudah cukup bersyukur kerana ada pergerakan pada tangan dan wajah Azwa
walaupun matanya masih tertutup rapat.
“Dia dah okey.
Awak tinggal di mana?” soal Qallif. Jauh di sudut hati, dia juga cukup lega melihat
gadis itu sudah mula sedar. Tidak dapat dia bayangkan jika gadis itu mati di
hadapan matanya.
“Tu, chalet
sebelah sana,” jawab Zaliah sambil menunjuk ke arah deretan chalet yang
berhampiran pantai, tempat mereka menginap sejak tengah hari tadi.
Qallif
mencempung tubuh Azwa yang terkulai tidak bermaya. Zaliah berjalan di hadapan
mendahului Qallif menuju ke chalet mereka. Mujurlah chalet itu tidak begitu
jauh dari pantai. Lebih kurang 20 meter sahaja.
Masuk saja ke
dalam chalet, Qallif terus merebahkan Azwa di atas katil. Lama dia merenung
wajah gadis yang sudah diselamatkannya itu. Simpati melihat wajah yang lemah
tidak berdaya itu. Wajah pucat Azwa kelihatan amat berbeza dengan wajah yang
ditemuinya sebelum ini. Tapi Qallif tahu, dia adalah gadis yang sama.
“Awak yakin dia
dah okey? Tak apa ke kita tak bawa dia ke hospital?” tanya Zaliah.
“Dia tak
apa-apa. Sekejap lagi tentu dia sedar sepenuhnya. Awak tukarkan baju dia,
kemudian selimutkan. Biar dia rasa panas sikit,” arah Qallif sambil menolak
juntaian rambutnya yang basah ke belakang. Pakaiannya sudah basah lencun dan
dipenuhi pasir. Dia perlu menukarnya dengan segera.
“Terima kasih
sebab tolong Azwa. Kalau awak tak ada tadi, tak tahulah saya nak minta tolong
pada siapa? Maaf pasal terkasar bahasa dengan awak tadi,” ujar Zaliah
tersenyum.
“Perkara kecil
saja. Dah kebetulan saya ada di situ,” balas Qallif dan kemudian dia meminta
diri untuk pergi. Rasa tidak manis jika dia berada di situ lebih lama.
Zaliah
menghantar Qallif ke muka pintu yang terbuka. Sebelum keluar Qallif sempat
menjeling ke arah Azwa. Senyuman kian mekar di bibir Qallif. Tak sangka dia
masih ada jodoh dengan gadis garang macam serigala itu. Bukankah itu satu petanda
baik? Sign of love!
“Saya Zaliah.
Awak?” tanya Zaliah dari muka pintu. Ketika itu Qallif sudah melangkah beberapa
tapak meninggalkannya.
“Qallif,” jawab Qallif
tersenyum.
Zaliah mengangguk
dan Qallif meneruskan langkah meninggalkan Zaliah yang masih melangut di hadapan
pintu chalet. Pada pandangan mata Zaliah yang tiada prejudis itu, Qallif boleh
tahan juga orangnya. Tidaklah terlalu kacak seperti Fizo Omar tetapi masih sedap
mata memandang. Tubuhnya tinggi dan sedikit sasa. Memang sesuai jika ingin
dipadankan dengan Azwa. Ada mentol menyala-nyala di kepala Zaliah. Apa kata
kalau dia kenenkan Azwa dengan Qallif? Sekurang-kurangnya tidaklah Azwa
kesepian setelah dia berkahwin dengan Saiful Izzat nanti. Zaliah sudah
tersenyum-senyum sendiri dengan misinya.
Dek sibuk
memerhatikan Qallif, Zaliah terlupa sebentar Azwa yang sedang terlantar di atas
katil.