Home Novel Komedi/Romantik Komedi Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Eina Afrina
8/10/2013 12:46:36
75,016
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 8

BAB 8

“INI Cik Azwa ke?” tanya seorang pekerja chalet yang datang secara tiba-tiba pada pagi yang hening itu.

“Iya, saya Azwa. Ada apa ya?” soal Azwa semula.

Ketika itu Zaliah sedang terjerit-jerit di bilik mandi menyanyikan lagu Gangnam Style. Pemuda itu hanya tersenyum mendengar suara Zaliah. Zaliah ni buat malu betul! Kalau ia pun senang hati, tak perlulah mandi sambil terjerit-jerit macam tu sekali, gerutu hati Azwa.

“Ni, ada surat untuk Cik Azwa,” kata pemuda itu sambil menghulurkannya pada Azwa.

Azwa menyambut kertas kecil di tangan pemuda itu dengan wajah terpinga-pinga. Dan sebaik saja Azwa mengucapkan terima kasih, lelaki itu terus pergi. Nota kecil itu dibuka dan dibaca dengan teliti. Azwa bukam seketika kerana tidak menyangka nota itu datangnya dari Qallif.

Maaf, saya terpaksa pergi kerana ada urusan penting.

Call saya nanti… 019- 6134001 - Qallif

Azwa terus mendapatkan telefon bimbitnya. Baru saja ingin mendail nombor telefon yang tercatat di dalam nota itu, tiba-tiba dia mematikannya semula. Untuk apa dia menghubungi Qallif? Untuk apa dia berasa panik setelah mengetahui Qallif telah pergi meninggalkan bumi Cherating ini? Hatinya mula berbelah bahagi. Dia menolak hakikat bahawa dia sudah mula menyukai lelaki itu. Dan dia seakan tidak dapat menerima pemergian Qallif secara tiba-tiba.

“Hoi!! Berangan ke?!” sergah Zaliah dari belakang.

Dek kerana sangat terkejut, telefon bimbit di tangan Azwa terus tercampak ke udara. Tindakan refleks katakan. Mujurlah Zaliah sempat menyambut sebelum telefon bimbit itu jatuh ke lantai. Jika tidak, Azwa hanya mampu gigit jari melihat telefon bimbit kesayangannya itu berkecai. Azwa berasa lega kerana telefon bimbit itu kembali semula ke tangannya dengan selamat.

“Kau berangan apa sampai terkejut macam tu sekali?”

“Lain kali buatlah lagi ya?” perli Azwa geram.

Zaliah hanya mempamerkan wajah selambanya. Sebenarnya dia baru saja keluar dari bilik mandi sambil berkemban dengan tuala. Tiba-tiba saja niat nakalnya datang bila melihat Azwa asyik benar berkhayal sambil memegang telefon bimbitnya itu.

“Jom, kita bersiap pergi breakfast. Agaknya Qal dah lama tunggu kita di tempat biasa tu,” saran Zaliah.

Memang semenjak dua menjak ini mereka selalu sarapan bersama Qallif. Tak perlu bertemu janji lagi. Setiap pagi Qallif akan menunggu mereka di restoran tepi pantai itu. Walaupun tanpa pilihan dan kelihatan agak mendesak, sejujurnya, Azwa amat suka dengan sikap Qallif yang satu itu.

“Qal dah pergi. Aku baru aje dapat nota dari pekerja chalet ni tadi,” kata Azwa sambil menghulurkan nota kecil yang masih berada di tangannya pada Zaliah.

Zaliah membeliakkan biji matanya setelah membaca nota ringkas itu. Terkejut beruk. Segera dia merapati Azwa.

“Balik Penang?” soalnya.

“Iyalah, balik Penanglah agaknya. Dia kan orang Penang. Takkan nak balik rumah kau pulak?” Azwa buat-buat muka selamba. Seolah-olah dia tidak kisah dengan pemergian Qallif itu.

Zaliah sudah tersengih mendengar kata-kata Azwa.

“Maksud aku, kenapa tiba-tiba aje dia pergi? Tak cakap awal-awal pulak tu. Alamak, lecehlah macam ni. Siapa nak belanja kita makan lepas ni?” rungut Zaliah tanpa rasa bersalah. Dia menggosok rambut yang basah dengan tuala kecil.

“Kau ni risaukan pasal tu pulak.” Azwa menghempaskan tubuh di atas katil. Matanya merenung siling yang kosong.

“Melampau betul Qal… balik Penang tak jumpa dengan kita pun. Tiba-tiba aje dah balik,” rungut Zaliah. Dia turut sama berbaring di sebelah Azwa dengan perasaan kecewa.

“Mungkin dia ada perkara penting, sebab tu dia balik tergesa-gesa.”

Zaliah diam. Agak lama ruangan itu hening tanpa sebarang komen. Azwa tidak tahu apa perasaannya kini. Kecewakah dia kerana tidak dapat bertemu Qallif lagi? Kecewakah dia kerana terpaksa meneruskan percutian ini tanpa Qallif seperti sebelumnya? Arghh!! Perasaan ini benar-benar menyesakkan nafas. Tiba-tiba saja rasa rindu meruntun jiwa.

Terlalu awal untuk memperkatakan tentang perasaannya terhadap lelaki itu. Perkenalan mereka masih terlalu baru. Dia belum mengenali keperibadian Qallif secara mendalam. Dia juga masih mentah untuk menilai keluhuran hati Qallif. Namun, sesuatu yang telah berlaku tetap akan berlaku walaupun tanpa kerelaan. Ia datang dengan sendirinya tanpa sebarang paksaan. Semakin ditolak kehadirannya, semakin dekat pula ia menghampiri.

Azwa tidak mahu sesiapapun terhidu tentang perasaan yang mula mekar untuk Qallif ini. Seperti sekuntum bunga yang mekar bila disapa cahaya mentari pagi setiap kali bermulanya hari baru. Tetapi jika dia menganggap Qallif sebagai kawan, dia tidak sepatutnya rasa terbeban dengan masalah kecil seperti ini. Hidupnya akan terus berjalan lancar tanpa sebarang keresahan.

“Kau suka dia, Az?” tanya Zaliah tiba-tiba, bunyinya kedengaran nakal.

Azwa mengerut dahi lalu menoleh Zaliah di sebelahnya.

“Soalan harga berapa ribu tu?” gurau Azwa pula.

Zaliah ketawa kecil.

“Aku serius ni. Kau suka Qal tak?” ulang Zaliah.

Azwa tersenyum sendiri. Suka ke?

“Suka kot. Tak ada sebab aku nak benci dia kan?”

Zaliah meleret senyuman nakal. “Aku tahu, Qal pun sukakan kau. Dia selalu curi-curi pandang kau. Buktinya, dia dah tinggalkan nombor telefon dia pada kau. Pada aku tak ada pulak.”

“Kita baru saja kenal dia, Za. Aku rasa dia rapat dengan kita selama ni pun cuma untuk hilangkan rasa bosan dia semasa di sini. Tak lebih dari itu.” Azwa meluahkan rasa hatinya.

Jika difikirkan, memang tidak logik Qallif jatuh hati padanya hanya dalam jangka masa empat hari. Itu benar-benar gila dan mengarut. Tetapi perkara yang gila dan mengarut itulah yang terjadi pada dirinya sekarang ini.

“Tapi aku dapat rasakan Qal tu baik orangnya. Tak pernah ambil kesempatan. Aku suka kalau kau couple dengan Qal. Nampak sepadan aje.”

Azwa hanya mengeluh mendengarnya.

“Come onlah Az, cuba kau bukakan sikit pintu hati kau tu untuk seseorang. Tak salah kalau kau belajar menerima seseorang dalam hidup kau. Takkan kau masih berharap pada Tarmizi lagi?” soal Zaliah sambil berpaling menghadap Azwa. Setahunya hubungan Azwa dan Tarmizi tidaklah terlalu serius. Sekadar cinta monyet sahaja. Dan mereka sudah pun berpisah semasa di tingkatan lima lagi.

“Kau merepek apa ni? Bila masa pulak aku berharap pada Tarmizi? Itu semua kisah lamalah. Aku tak pernah ingat pun,” bantah Azwa.

“Baguslah kalau macam tu. Tarmizi tu pun bukan handsome sangat. Harap suara aje sedap nyanyi lagu nasyid.”

Semakin dilayan semakin menjadi-jadi Zaliah ni. Kenapa nama Tarmizi pulak yang dibangkitkan? Azwa diam tanpa sebarang komen. Malas dia ingin menghiraukan kata-kata Zaliah yang jelas-jelas tiada kaitan dengan perkara ini.

“Kadang-kadang kita tak sedar yang kita dah jatuh cinta, sampailah orang tu pergi dalam hidup kita, barulah kita rasa kehilangannya,” tambah Zaliah, penuh maksud tersirat.

Azwa terdiam. Benarkah dia sudah jatuh hati pada Qallif? Tapi takkan semudah itu? Qallif tidak perlu melakukan apa-apa untuk membuat dia jatuh hati. Perasaan itu datang sendiri tanpa mampu ditahan. Rasa tidak keruan setiap kali bertemu Qallif biarpun lelaki itu sekadar tersenyum padanya. Benarkah rasa berdebar-debar itu tandanya cinta sedang berputik? Itu yang sering Azwa baca di novel-novel.

Hisy! Tak boleh jadi kalau terus macam ni!

“Eh, pakailah baju cepat! Yang kau seksi-seksi depan aku ni kenapa? Tadi kata nak pergi breakfast. Takkan nak keluar berkemban macam tu?” Azwa menepuk paha Zaliah yang terdedah.

Terkulat-kulat Zaliah bangun mencari pakaian. Baru tersedar dia masih berkemban sejak tadi.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.