BAB 11
TERKEJUT
monyet tatkala kaki melangkah masuk ke Hotel Green Oriental. Rupanya hotel ini
bukan calang-calang hotel. Bertaraf lima bintang dan antara hotel mewah di
sekitar Kuala Lumpur. Memang sungguh cantik berbanding hotel-hotel lain yang
pernah Azwa jejaki sebelum ini.
Terpegun
Azwa dan Zaliah dibuatnya, namun masih mampu menyembunyikan tahap kejakunannya
itu dari pandangan orang sekeliling. Azwa memandang ke bawah. Lantainya
berkilat dan boleh dibuat cermin. Di bahagian silingnya pula dipenuhi
lampu-lampu mewah warna kuning keemasan. Mempunyai ramai staf dengan pakaian
seragam yang berbeza-beza mengikut tugas masing-masing. Mungkin sekarang waktu
rehat mereka. Ada juga yang kelihatan seperti baru ingin memulakan kerja.
Ketika
sampai tadi Azwa sempat melihat sekumpulan staf sedang duduk berehat di kawasan
merokok di basement berhampiran
parkir kereta. Azwa dan Zaliah terkejut melihat staf perempuan yang lebih
kurang sebaya dengan mereka menghisap rokok dengan selamba bersama dengan staf-staf
lelaki. Mengucap panjang Azwa dan Zaliah melihatnya. Maklumlah, selama ini dia
fikirkan cuma orang lelaki saja yang menghisap rokok. Tak tahulah sama ada dia
yang berfikiran kolot atau sememangnya dia yang tidak mengikuti perkembangan
semasa.
“Kita
nak pergi mana ni?” soal Zaliah bila sejak tadi mereka berdua hanya tercegat di
situ tanpa arah tujuan.
“Manalah
aku tahu. Kau tanyalah dengan budak-budak tu,” jawab Azwa sambil memuncungkan
sedikit mulutnya ke arah anak-anak muda itu.
“Eh,
aku pulak! Kaulah yang tanya, kau yang nak mintak kerja kan?” balas Zaliah pula
sambil menyenggul lengan Azwa sebagai isyarat menyuruh Azwa pergi.
Azwa
menarik nafas panjang. Dia melangkah dengan tenang ke arah anak-anak muda yang
sedang sibuk menghisap rokok itu. Zaliah turut mengekori di belakang.
“Maaf,
boleh saya tumpang tanya?” tegur Azwa pada seorang pemuda. Terpaksalah dia
menebalkan muka bertanya. Berdiri tercegat di situ sampai esok pun bukan boleh
dapat kerja.
“Ya,
ada apa dik?” balas pemuda itu tersenyum.
Hah,
dia panggil aku adik? Rasanya umur mereka lebih kurang sebaya saja.
Bunyi
siul-siulan dari rakan-rakannya sudah kedengaran. Azwa dan Zaliah jadi tumpuan
anak-anak muda itu sekarang ini. Semuanya nampak miang-miang belaka. Ada juga
staf perempuan yang memandang sinis ke arah Azwa dan Zaliah. Cemburulah tu.
Takut tergugat dengan kecantikan aku ke? Fikir Azwa.
“Macam
mana kalau nak minta kerja kat sini?” tanya Azwa, buat-buat ramah.
Dalam
hati bukan main gelabah, ditambah pula dengan renungan mata-mata nakal di
sekelilingnya. Diorang ni macam tak pernah jumpa perempuan saja, bisik hati Azwa.
“Oh,
nak minta kerja? Adik boleh pergi kat security
tu. Nanti security tu beritahu adik
nak buat apa?” beritahu pemuda itu.
“Okey,
terima kasih ya.”
“Sama-sama
kasih,” jawab pemuda itu tersengih-sengih.
Azwa
dan Zaliah pun pergi ke arah pengawal keselamatan yang ditunjukkan pemuda itu.
Tadi Azwa tak perasan pula ada pengawal keselamatan di situ. Jika dia tahu,
awal-awal lagi dia akan bertanya pada pengawal keselamatan itu. Tak perlulah
dia menyusahkan diri bertanya pada pemuda tak cukup umur itu.
Ada
tiga orang pengawal keselamatan di situ. Segak-segak belaka. Memang hotel ini
taraf bintang-bintang. Pengawal keselamatan pun cari yang segak bergaya dan
bertubuh sasa. Azwa disuruh mengisi borang permohonan kerja. Peraturan biasa
bagi sesiapa saja yang ingin memohon pekerjaan.
“Awak
nak minta kerja apa di sini?” tanya salah seorang pengawal keselamatan yang
bernama Razali. Kedengaran teman-temannya memanggilnya chief. Mungkin lelaki
itu ketua pengawal keselamatan di sini.
“Housekeeping,” jawab Azwa ringkas sambil
tangannya ligat mengisi borang yang diberi.
“Kenapa
tak minta front office? Orang muda
macam awak ni memang sesuai kalau kerja front
office,” kata Chief Razali.
“Saya
ni tak biasa pakai skirt pendek. Seganlah,” jawab Azwa sejujurnya.
Azwa
sedia maklum, jika dia bekerja di front
office sudah pasti uniformnya skirt
pendek dan blazer seperti yang biasa dia lihat di hotel-hotel lain. Tak pernah
lagi dia melihat penyambut tetamu di hotel mewah memakai baju kurung. Dia
memang tak sanggup nak menayang betisnya pada umum. Sudahlah banyak duit siling.
Budak kampung katakan, kalau tak ada parut tak sah.
“Baik
budak ni,” bisik Chief Razali pada teman di sebelahnya, namun masih boleh
didengar Azwa. Bunyinya seperti hanya orang yang jahat-jahat sahaja yang layak
bekerja di sini.
Selesai
saja Azwa mengisi borang, Chief Razali terus menekan interkom di hadapannya.
Seketika menunggu talian pun dijawab.
“Roy speaking,” sahut suara di hujung
talian.
“Puan Roy, someone come for the interview.
Can I send her in?” beritahu Chief Razali.
“Yes, I’m free now. Bring her in. To my
office. Wait, it’s a she, yes?”
“Yes.”
“Good, I could use a girl in my office. Thank
you, chief.”
Chief
Razali mematikan interkom. Azwa sudah
terkebil-kebil memandang Zaliah. Cakap orang putih berhabuk. Matilah aku. Mesti
aku tak lulus interview ni. Macam mana
aku nak jawab soalan Puan Roy tu nanti? Azwa sudah tidak keruan. Maklumlah
bahasa Ingerisnya paras-paras hidung saja.
Chief
Razali menyuruh Azwa naik ke tingkat dua
kerana di situlah pejabat housekeeping.
Azwa dan Zaliah pun segera menuju ke lif. Setibanya di tingkat dua, mereka
terjengok-jengok ke dalam bilik Puan Roy. Bukan apa, takut tersalah bilik pula.
“You
yang nak mintak kerja tu ya?” tegur Puan Roy.
Azwa
mengangguk sambil tersenyum. Syukur, pandai rupanya Puan Roy cakap Melayu dan
sememangnya Puan Roy berbangsa Melayu.
“Masuklah,
saya Roy. Awak boleh panggil Puan Roy,” beritahunya sambil mempersilakan Azwa
dan Zaliah duduk di kerusi di hadapannya.
Puan
Roy tinggi lampai orangnya. Cantik dan berkulit cerah. Rambutnya pendek ala-ala
tomboy tapi pergerakannya nampak lembut seperti wanita sejati. Memakai skirt
hitam, kot hitam dan kemeja di dalamnya berwarna krim. Cantik uniform Puan Roy.
Sesuai dengan jawatannya sebagai eksekutif. Umurnya sekitar 30-an mungkin.
“Oh,
you bertudung?” Tiba-tiba Puan Roy bersuara pada Zaliah.
Zaliah
mengangguk. Apa yang peliknya jika dia bertudung?
“Untuk
pengetahuan you all, staf di sini tak
dibenarkan bertudung,” ujar Puan Roy.
Azwa
pandang Zaliah. Terkejut dengan kenyataan Puan Roy itu.
“I
tak paksa you untuk tanggalkan tudung. Terpulang pada you sendiri. Tapi kalau you
betul-betul nak bekerja di sini, you memang kena tanggalkan tudung tu. Kalau
tidak, I terpaksa tolak permohonan you ni,” jelas Puan Roy lagi.
Apa
punya syarat macam tu? Terasa macam duduk di Israel pulak!
“Sebenarnya
cuma saya sorang aje yang nak minta kerja, Puan Roy. Dia ni cuma temankan saya
aje,” beritahu Azwa. Bagi Azwa memang tak ada masalah kerana dia sememangnya
tidak bertudung, walaupun merasakan syarat itu sangat tidak patut bagi sebuah negara
Islam seperti Malaysia.
“Oh,
sorry… I ingatkan dua-dua nak minta
kerja,” kata Puan Roy tersenyum.
Azwa
dan Zaliah juga tersenyum. Lain kali tanya dulu, jangan pakai terjah saja!
Puan
Roy menerangkan serba sedikit syarat-syarat lain yang harus dipatuhi sebagai
staf di hotel ini. Memang agak berat namun mengenangkan payahnya Azwa ingin
mencari kerja di Kuala Lumpur ini, akhirnya dia bersetuju dengan semua syarat-syarat
itu. Sememangnya dia tiada pilihan lain. Sia-sia saja dia mengambil kursus
selama enam bulan jika sijil itu dipersiakan begitu sahaja.
“Baiklah
Puan Roy, saya setuju dengan semua syarat-syarat tu.”
Puan
Roy mengangguk-angguk kepala sambil meneliti resume milik Azwa.
“Oh,
you ada sijil dalam bidang ni?”
“Ya.”
Azwa mengangguk.
“Bermakna
you dah tahulah macam mana nak buat kerja?”
“Insyaallah,
Puan Roy. Tapi saya tetap perlukan tunjuk ajar dari orang lain.”
Puan
Roy mengangguk-angguk kepalanya lagi.
“Did you bring your extra vitae? For our
account’s team record,” tanya Puan Roy lagi.
Ah,
sudah! Apa ke jadahnya perkataan vitae
tu? Azwa sudah telan air liur. Dia pandang Zaliah. Zaliah juga nampaknya
mempamerkan wajah blur. Sama-sama sengal!
Puan
Roy masih tenang menunggu jawapan dari Azwa yang tidak senang duduk.
“Maaf
ya, Puan Roy, vitae tu apa?” tanya
Azwa dengan wajah kemerahan menahan malu.
Nak atau tidak, terpaksa juga dia bertanya. Dah
memang tak tahu, nak buat macam mana kan? Takkan nak tunjuk terror pulak. Kalau dia tersalah jawab
tentu lagi malu nanti.
Puan
Roy tersenyum dan menggeleng-geleng kepala.
“Vitae tu maksudnya butir-butir peribadi
ataupun resume. Itu pun you tak tahu, macam mana I nak bagi jawatan supervisor
macam yang you apply ni?”
Dass!!
Azwa rasa bagaikan ada sebutir peluru menembusi kepalanya. Malu betul dengan
sindiran Puan Roy itu. Rasa macam nak sorokkan muka di bawah meja saja.
“Sebagai
supervisor, you memang kena pandai berbahasa Inggeris, sebab guest kita terdiri daripada seluruh
dunia. Ada pelancong asing, kerabat diraja, VVIP dan macam-macam lagi,” sambung
Puan Roy.
Azwa
hanya mengangguk bagaikan burung belatuk. Tiada kata yang mampu keluar dari
mulutnya buat masa ini. Nampaknya hasratnya mahu menjadi supervisor semakin
tipis dan tak mungkin kesampaian. Dia akui, bahasa Inggerisnya memang
paras-paras hidung saja atau dengan perkataan lain lulus cukup-cukup makan,
tapi ada hati nak jadi supervisor.
“Saya
bawa satu salinan saja, tapi saya boleh copy
livita ni, puan,” jawab Azwa.
“Vitae.” Puan Roy membetulkan sebutan
Azwa.
Aduh!
Malunya aku! Azwa hanya mampu tersengih-sengih menayangkan giginya. Zaliah
sejak tadi hanya tertunduk memandang lantai, menahan ketawa. Padahal, dia dan
Azwa 2 x 5 saja.
“Macam
nilah, apa kata kalau I letak you di bahagian room attendant? You boleh mula dari bawah sebelum naik ke tahap
yang lebih tinggi. Jika prestasi kerja you baik, pihak pengurusan akan naikkan
pangkat you,” kata Puan Roy sambil menutup fail di tangannya menandakan itu
keputusan muktamat darinya.
Azwa
mengangguk saja. Memang dia tiada pilihan lain buat masa ini. Daripada dia ke
hulu ke hilir mencari kerja yang belum tentu dapat, baiklah dia terima saja
jawatan room attendant itu. Lupakan saja hasrat ingin menjadi supervisor.
“Okey,
kalau you setuju, you boleh start
esok? Lagi cepat lagi bagus sebab kami memang tengah kekurangan staf sekarang
ni,” pinta Puan Roy.
Azwa
terus saja mengangguk. Cepat dia bekerja bermakna cepatlah dia dapat gaji. Tak
perlu nak memeningkan kepala lagi. Maka hari ini merupakan hari terakhir Azwa
bergelar penganggur. Esok dia akan memulakan episod baru dalam hidupnya sebagai
room attendant di Hotel Green
Oriental.