BAB 10
MEMANG
malang nasib Azwa sejak akhir-akhir ini. Mungkin inilah hari paling malang
semenjak 20 tahun hidup di muka bumi ALLAH ini. Apa tidaknya, sudah berpuluh
hotel yang dia kunjungi di sekitar Kuala Lumpur tetapi semua permohonan kerja
yang diminta ditolak begitu saja. Nak kata dia meletakkan kadar gaji yang
tinggi, tidak juga. Nak kata dia meminta jawatan yang tidak sesuai dengan
kelulusannya, tidak juga. Dia ada sijil dalam bidang perhotelan dari UiTM
Dungun, Terengganu.
Begini
al kisahnya, selepas STPM semua teman-teman sekolah Azwa dapat tawaran
menyambung pelajaran ke IPTA. Hanya Azwa saja yang tak dapat apa-apa tawaran.
Memang satu pengalaman paling tak best
dalam hidupnya. Malu sudah tentu. Angan-angan tu memang nak masuk universiti
seperti teman-teman yang lain tetapi nampaknya rezeki tak menyebelahi dia.
Sudahnya,
Azwa nekad memohon apa saja bidang yang masih ada kekosongan. Maka dia diterima
menjalani kursus di UiTM dalam bidang Certificate in Hotel Managment selama
enam bulan walaupun selama ini dia tak pernah terfikir untuk ambil kursus itu. Azwa
fikir ambil bidang cikai macam tu boleh dapat kerja dengan mudah memandangkan
di Kuala Lumpur ada berlambak-lambak hotel. Baik hotel yang bertaraf satu
bintang hinggalah yang bertaraf tujuh bintang. Kalau boleh biarlah dia dapat kerja
di hotel yang lima atau enam bintang. Barulah semangat sikit.
Menurut
pensyarahnya dahulu, kadangkala semasa training
di mana-mana hotel, mungkin pihak hotel akan serapkan menjadi staf jika dia
menunjukkan prestasi kerja yang baik. Sampai habis training, tunggu punya tunggu, langsung tak dapat tawaran tu. Sedih
betul. Mungkin dia belum cukup efisen di mata pihak hotel. Sudahnya jadilah dia
manusia buntu sekarang ini. Tercangak-cangak di tengah-tengah Kuala Lumpur
mencari-cari pekerjaan. Terasa nasibnya sama dengan mat-mat indon yang baru
datang dari tanah seberang. Sekali pandang, dia pun sudah macam minah indon.
Berserabut dan berserabai.
Banyak
bangunan yang tinggi-tinggi tapi tak tahu yang mana satu hotel, yang mana satu
pejabat atau pusat membeli belah. Betul-betul memeningkan kepala. Sudahlah duit
yang ada di poket semakin mengering. Itu pun mujur ada Abang Hanif yang sudi
menumpangkan rumah untuknya. Memang rasa tertekan tinggal di rumah Abang Hanif.
Maklumlah rumah flat biasa saja. Sempit tak boleh bergerak. Almari baju pun tak
ada. Semua bajunya simpan dalam beg saja. Tidur pun terpaksa berhimpit-himpit
di ruang tamu. Jangan berangan nak ada bilik sendiri sebab rumah itu cuma ada
satu bilik sahaja. Tak tahulah tahun bila rumah flat itu dibina tapi memang
nampak sudah usang dan hanya layak didiami oleh hantu-hantu.
Duit
belanja yang diberi abah harus digunakan dengan berjimat jermat. Keluarganya di
kampung bukan orang berada. Kalau tiap-tiap hari dia minta duit pada Abang Hanif,
silap hari bulan kakak iparnya pula yang naik hantu. Sudahlah abang dan kakak
iparnya itu ada empat orang anak yang masih kecil dan memerlukan perbelanjaan
yang besar. Takkan dia ingin menambahkan lagi beban Abang Hanif yang sedia ada.
“Hoi, termenung lagi!” sergah Zaliah
tiba-tiba.
Azwa terkejut bukan main. Dia
mengurut dada memandang muka Zaliah yang sedang tersengih itu.
“Kau ni tak reti tegur elok-elok ke?
Kalau aku mati terkejut, siapa nak tanggungjawab?” marah Azwa.
“Aku tahu kau takkan mati
semata-mata kerana terkejut. Lainlah kalau kau ada sakit jantung.” Zaliah duduk
di sebelah Azwa tanpa mempedulikan jelingan tajam Azwa.
Zaliah
membuka bungkusan plastik yang dibawanya. Dua bungkus nasi lemak yang baru dibeli
dikeluarkan dari plastik itu. Jangan tak tahu, di Kuala Lumpur ni orang makan
nasi lemak tak mengira waktu. Tak semestinya pagi sahaja. Tengah hari, petang
dan malam pun masih terdapat gerai-gerai menjual nasi lemak.
“Kau
beli lauk apa?” tanya Azwa.
“Lauk
ikan bilis ajelah. Nak beli lauk lain tu mahal. Kita mana ada duit,” jawab Zaliah.
Azwa
pasrah sahaja. Dia faham, kerja sebagai kerani berapa sangat gajinya. Lagipun
Zaliah harus berjimat kerana akan melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat
ini. Dapat makan nasi lemak kosong ni pun dah kira syukur, alhamdulillah. Kalau
dah tak berduit kenalah buat cara tak berduit. Makan saja apa yang ada.
Azwa
dan Zaliah pun makan bersama. Paling sadis bila mereka makan di tepi longkang
saja. Betul-betul macam pelarian. Orang yang lalu lalang hanya memandang dengan
pandangan pelik. Azwa dan Zaliah buat tidak tahu saja. Bukan mintak duit
diorang pun!
Mujurlah
hari ini Zaliah sudi menemani Azwa. Zaliah tidak menyambung pelajarannya ke
tingkatan enam seperti Azwa. Dia terus bekerja di Kuala Lumpur sebaik saja
tamat SPM. Nasib Zaliah baik kerana dapat bekerja sebagai kerani di sebuah
syarikat guaman. Maka Zaliah lebih tahu selok belok Kuala Lumpur berbanding
Azwa.
“Za,
lepas ni kita nak ke mana pulak?” tanya Azwa selepas selesai makan. Dia sudah
tidak tahu arah mana yang harus dituju.
“Kita
try kat hotel hujung sana tu. Rasanya
itu satu-satunya hotel yang kita tak pergi lagi. Kalau tak dapat jugak, kita
balik ajelah. Aku dah penat sangat ni. Seharian dah kita tawaf KL. Tapi kau
jangan putus asa, mungkin bukan rezeki kau tu. Lain kali aku temankan kau lagi
ek?”
“Okeylah,
itu hotel terakhir kita untuk hari ni. Aku pun dah tak larat nak berjalan ni.
Maaflah sebab susahkan kau hari ni, Za.”
“Tak
apa, aku ikhlas nak tolong kau. Lagipun kan aku dah janji nak tolong kau cari
kerja lepas kita balik dari Cherating.”
Maka
dua anak dara itu pun memulakan langkah menuju ke Hotel Green Oriental. Jika
dia gagal memohon kerja di situ, Azwa dan Zaliah mahu terus pulang ke rumah
saja. Dia akan memikirkan apakah langkah seterusnya yang harus diambil? Ingin
terus bertahan di sini atau pulang saja ke kampung untuk menenangkan fikiran?
“Nanti
kita nak balik macam mana Za? Nak naik komuter ke, bas?” Sambil berjalan Azwa
bertanya.
“Nanti
aku tengok duit aku dulu. Aku ada dua puluh ringgit ni. Kau?” soal Zaliah
semula sambil menunjukkan wang kertas yang baru dikeluarkan dari beg duitnya.
Azwa
memeriksa pula poket seluarnya. Ada satu not RM5.00 yang sudah renyuk dan
bertampal plaster memandakan wang kertas itu sudah terkoyak dan terpaksa
dicantumkan semula dengan plaster itu. Ada juga beberapa keping duit siling.
Memang menyedihkan!
“Kita
naik bas ajelah. Tak payah susah-susah jalan kaki ke stesyen komuter,” putus Zaliah
akhirnya.
Azwa
menarik nafas lega. Mujurlah Zaliah tidak menyuruh Saiful Izzat datang
menjemputnya seperti yang dilakukannya pagi tadi. Rasa malu pada Saiful Izzat masih terasa
hingga sekarang.
Zaliah
memang boleh dikategorikan teman yang sanggup bersama ketika suka dan duka. Apa
tidaknya, nak jimat kos punya pasal, Zaliah sanggup menyuruh Saiful Izzat
menghantar mereka ke pusat bandar dengan menaiki motor RXZ secara
bergilir-gilir. Memang hilang akal Zaliah agaknya. Azwa yang selama ini tidak mengenali
Saiful Izzat, harus naik motor dengan lelaki itu. Rasa malu dan kekok bercampur
aduk.
Sepanjang
perjalanan Azwa memegang erat palang di belakang motor itu. Tak tergamak pula
dia ingin menyentuh tubuh Saiful Izzat. Lainlah kalau Saiful Izzat itu buah
hatinya sendiri. Dan lebih memalukan lagi bila helmet yang dipakainya
tersangkut pula di kepala. Tak mahu keluar walaupun Azwa sudah cuba
menanggalkannya berkali-kali. Nak kata kepalanya besar, tidak logik. Rasanya
kepalanya lebih kurang sama saja dengan kepala Zaliah.
“Bukalah
helmet tu,” pinta Saiful Izzat setelah melihat Azwa masih tercegat di sisinya.
Selepas
ini Saiful Izzat mahu menjemput Zaliah pula. Tak pasal-pasal hari ini dia jadi
pengangkutan awam. Tapi tak kisahlah, sayang tunang katakan. Jika tidak
dituruti nanti Zaliah merajuk pulak. Dia juga yang susah.
“Err…
helmet ni tak nak keluar,” ujar Azwa tergagap-gagap.
Helmet
ni pun satu, masa inilah dia nak buat hal! Gerutu Azwa di dalam hati.
Saiful
Izzat memandang Azwa dengan pelik. Waktu itu Azwa rasa seperti mahu bunuh diri.
Malunya hanya TUHAN yang tahu. Jangan Saiful Izzat fikir dia saja nak
mengada-ngada, sudahlah.
“Biar
saya tolong bukakan,” kata Saiful Izzat yang masih duduk di atas motor RXZnya.
Perlahan-lahan
Azwa mendekatkan dirinya pada Saiful Izzat. Alhamdulillah dengan bantuan Saiful
Izzat, helmet itu berjaya dibuka. Waktu itu muka Azwa sudah merah padam. Entah Saiful
Izzat perasan atau tidak, Azwa redha saja.
“Tunggu
sini sampai saya dengan Za sampai. Jangan pergi ke mana-mana tau,” pesan Saiful
Izzat.
Azwa
hanya mengangguk patuh. Tanpa berlengah Saiful Izzat terus menekan gear dan
memecut laju meninggalkan Azwa di bahu jalan yang entah apa nama tempatnya. Azwa
mula memerhati keadaan sekeliling sebaik saja motor Saiful Izzat hilang dari
pandangan. Oh, memang banyak hotel di sekitarnya. Memang Saiful Izzat sudah menghantarnya ke tempat
yang betul.
Azwa
duduk di kerusi batu di tepi bangunan sementara menunggu Zaliah. Hati semakin
berdebar-debar mengenangkan sesi temuduga yang bakal dihadapi. Sijil dan resume
yang ada di dalam fail dibelek sekali lagi. Semuanya ada. Azwa mengeluarkan
pula cermin kecil dari beg tangannya. Melihat wajahnya. Manalah tahu kalau rambutnya
yang sudah diikat kemas itu sudah berserabai gara-gara helmet yang tidak mahu
tertanggal tadi.