BAB 3
ZALIAH dengan senang hati menceritakan
apa yang sudah berlaku terhadap Azwa. Seorang pemuda yang tidak dikenali telah
menyelamatkan nyawa Azwa bagaikan seorang adiwira. Menurut Zaliah, mereka
bernasib baik kerana kebetulan Qallif berada tidak jauh dari mereka. Jika
tidak, entah kepada siapa dia harus meminta pertolongan. Kebetulan pula tempat
itu agak sunyi dan tersorok sedikit.
Namun penerimaan
Azwa jauh berbeza daripada Zaliah. Dia benci bila mengenangkan dirinya sudah
dicabul sesuka hati tanpa kerelaan. Semua itu salah Zaliah. Zaliah yang memberi
keizinan pada lelaki itu untuk menyentuhnya dalam keadaan dia tidak sedarkan
diri.
“CPR?” Azwa
terkejut. Luas matanya memandang Zaliah.
“Iyalah, CPR…
takkan kau tak tahu apa maksud CPR tu?” soal Zaliah dengan yakin.
Azwa mengetap
bibir, geram sudah pasti. Kemudian dia berlari ke bilik air sambil buat gaya
hendak termuntah.
“Aku takkan
maafkan kau sampai bila-bila sebab biarkan lelaki tu buat CPR pada aku!” marah
Azwa sebaik saja dia keluar dari bilik air.
“Rilekslah Az…
dia bukan buat apa-apa pun. Dia cuma nak selamatkan nyawa kau. Kau tak tahu
betapa paniknya aku masa tu. Takkan aku nak biarkan kau mati macam tu aje?”
balas Zaliah sambil bercekak pinggang di hadapan Azwa.
Geram pula dia
tiba-tiba dimarahi begitu. Dia sudah berusaha semaksima yang boleh untuk
menyelamatkan Azwa ketika insiden itu. Sudahnya dia pula yang disalahkan hanya
kerana CPR itu.
“Aku tak kisah
lelaki tu selamatkan aku dari lemas di laut tu, tapi kenapa kau biarkan dia
buat CPR kat aku? Kenapa tak kau saja yang buat CPR tu?” soal Azwa semula.
Suaranya sudah mengendur dan dia kelihatan serba salah.
Zaliah memandang
ke tempat lain dan berdehem. “Aku tak tahu nak buat. CPR tu ada teknik dia.
Bukan pakai belasah aje. Aku tak berani nak ambil risiko,” jelas Zaliah.
Azwa menghantuk-hantuk
kepalanya ke dinding. Jika diikutkan hati, mahu saja dia mencekik leher Zaliah
waktu itu. Takkanlah perkara semudah itu pun Zaliah tak tahu nak buat? Selama
ini Zaliah tinggal di planet mana?
“Sudahlah tu…
tak luak apa-apa pun. Kau takkan mengandung hanya kerana CPR tu. Kau still anak dara lagi kan?” perli Zaliah
sambil menahan senyum.
Azwa menjeling Zaliah
dengan wajah masam mencuka. Zaliah menggeleng-geleng kepala lalu duduk di
hadapan televisyen. Dia menekan alat kawalan jauh televisyen lalu terpaparlah
siaran televisyen yang sekejap okey, sekejap berbintik-bintik. Sudahlah
televisyen kecil, gambar pula entah apa-apa. Chalet murah katakan. Pasrah sajalah.
“Aku rasa tak sedap
hatilah. Entah-entah lelaki tu sengaja nak ambil kesempatan atas kejadian tu.
Iyalah, kita bukan kenal dia pun.” Azwa meluahkan rasa tidak senangnya sambil
bersandar di kepala katil. Selimut tidak lekang dari tubuhnya sejak tersedar
dari pengsan. Tubuhnya bagaikan mahu demam. Sudah beberapa kali dia menelan
panadol sejak semalam.
“Itu bukan ambil
kesempatan, itu emergency namanya.
Dia buat macam tu untuk selamatkan nyawa kau. Kalau akulah, lemas dua tiga kali
pun aku sanggup kalau dia yang datang tolong,” balas Zaliah dengan selamba.
Ya ALLAH! Gatal
sungguh anak dara seorang ini. Boleh dia terfikir sampai macam tu? Keluh Azwa
di dalam hati.
“Kau yakin
sangat dia tu baik? Hati orang kita tak boleh nak jangka. Tambah lagi orang
yang kita baru saja kenal.”
Zaliah mengeluh
panjang. Dia berpaling menghadap sahabat karibnya sejak di sekolah menengah itu.
“Baik atau jahat
itu aku tak tahu tapi kebenarannya, dia yang dah selamatkan nyawa kau semalam. Az,
cuba kau jangan fikir negatif sangat. Kau fikir semua lelaki tu jahat. Semua
lelaki suka ambil kesempatan. Tanggapan kau tu salah. Tak semua lelaki macam
tu. Kau sedar tak, kalau bukan kerana mamat tu yang dah selamatkan kau semalam,
aku rasa kau dah jadi arwah sekarang ni. Entah apa aku nak jawab pada abah dan
mak kau nanti. Silap-silap aku pulak yang kena marah sebab tak jaga kau
elok-elok,” omel Zaliah.
Azwa mencebik.
“Memang kau tak
jaga aku pun. Bila aku lemas, kau lari. Bukannya kau nak tolong aku.”
“Aku bukan tak
nak tolong kau. Masalahnya sekarang aku pun tak pandai berenang sama macam kau.
Kalau aku tolong kau, alamatnya dengan aku sekali innalilah. Terpaksa pulak
kita kongsi lubang kubur. Itu untung lagi kalau orang jumpa mayat kita. Kalau
tak jumpa, reputlah kita di dasar laut tu. Lebih tragis lagi kalau pirana yang
makan jasad kita. Kau nak? Aku tak nak. Kau pun satu, gatal-gatal pergi ke
tengah laut tu buat apa? Saja nak cari nahas. Sekarang nak bising-bising dengan
aku pulak,” bebel Zaliah dalam satu nafas.
“Ada ke pirana
kat tengah laut tu? Setahu aku pirana hidup di sungai kan?”
“Kalau pirana
tak ada, ikan jerung banyak, ikan almari pun ada.”
“Ikan almari?”
“Tak kisahlah
ikan apa-apa pun. Yang penting kita tak jadi makanan ikan-ikan tu.”
Azwa mati
kata-kata. Malas berdebat dengan Zaliah. Zaliah pun sudah mula merapu entah
apa-apa. Lebih baik Azwa diam saja.
Sejujurnya Azwa
juga amat bersyukur kerana masih diizinkan ALLAH untuk terus bernyawa dan menyedut
udara segar di bumi ALLAH ini. Siapa sangka perkara buruk sebegitu akan
berlaku? Tiba-tiba saja riadah yang pada awalnya cukup menyeronokkan bertukar
tragedi. Selepas ini taubat dia takkan mandi di laut lagi. Trauma beb!
“Kau tak nak
jumpa mamat tu? Kau patut ucap terima kasih pada dia,” saran Zaliah setelah
melihat Azwa mendiamkan diri.
Nampaknya Azwa
seakan sudah boleh menerima kenyataan bahawa Zaliah dan Qallif tidak boleh dipersalahkan
dalam hal ini. Azwa patut menyalahkan dirinya sendiri atas kejadian yang
menimpa. Hakikatnya Azwa sendiri yang sengaja menempah maut.
“Nak jugak… tapi
aku malulah,” ujar Azwa serba salah. Dia tidak tahu bagaimana mahu berdepan
dengan lelaki itu setelah lelaki itu mencabuli dirinya. Boleh ke guna perkataan
‘mencabuli’ dalam konteks ini? Apa-apa ajelah!
“Kenapa pulak?
Kau takut jatuh cinta pada dia ek?” usik Zaliah.
Azwa memandang Zaliah
dengan perasaan geram. Dia tahu, Zaliah faham maksudnya yang sebenarnya tetapi
sengaja buat-buat bodoh. Sahabatnya itu tidak pernah serius dalam apa keadaan
sekalipun.
“Oh ya, untuk
pengetahuan kau, nama dia Qallif. Sedap kan nama tu? Unik. Jarang orang guna
nama macam tu,” puji Zaliah, enggan mempedulikan jelingan tajam Azwa.
Azwa
menyeringai. Kalau dah suka, letaklah nama apa sekalipun, semuanya sedap dan
unik di pendengaran. Tapi kalau dah benci, nama itu automatik menjadi nama
paling buruk yang pernah tercatat dalam sejarah. Biasalah kan.
Qallif? Macam
pernah dengar saja nama itu, tapi di mana ya? Nak kata nama artis, tak ada pulak
artis nama macam tu. Baik artis tempatan atau antarabangsa memang tak ada
langsung. Entahlah, Azwa bukan kenal sangat dengan artis di Malaysia yang
tumbuh bagaikan cendawan sejak wujudnya program realiti di merata-rata stesen
televisyen. Yang dia kenal hanyalah beberapa orang artis yang betul-betul
berbakat. Kalau sekadar glamor kerana kontrovesi baik abaikan saja.
“Assalammualaikum!”
Kedengaran suara memberi salam di hadapan pintu. Serta-merta khayalan Azwa
tentang dunia artis lenyap bersama suara garau itu. Sekali lagi dia bagaikan
mengenali suara itu. Di mana ya? Artis ke? Ligat otak Azwa berfikir.
“Waalaikumsalam!”
jawab Zaliah. Pantas dia bangun menjengah ke pintu.
“Panjang umurnya…
baru sebut dah datang.” Zaliah mengulum senyuman sambil melirik ke arah Azwa.
Azwa jadi tidak
keruan. Dia sudah dapat mengagak siapakah gerangannya pemilik suara yang tak
berapa nak sedap itu. Pasti pemuda yang dipuji Zaliah setinggi langit itu.
Pemuda yang sudah menyelamatkan nyawanya dalam insiden yang tidak
disangka-sangka petang semalam.
“Masuklah
Qallif, jangan segan-segan. Buatlah macam chalet sendiri,” pelawa Zaliah dengan
mesra sekali.
Azwa menanti
dengan penuh debar. Akhirnya Qallif muncul di hadapan Azwa diiringi sebuah
senyuman. Azwa terping-pinga melihat pemuda itu. Inikah lelaki itu? Lelaki yang
sudah menyelamatkan nyawanya? Melakukan CPR dan mendukungnya hingga ke atas
katil?
“Az, inilah
Qallif. Orang yang selamatkan kau semalam. Qallif, ini Azwa.” Zaliah kelihatan
teruja memperkenalkan mereka.
Azwa tidak
mengendahkan kata-kata Zaliah. Dia menggosok matanya berkali-kali. Masih tidak
percaya dengan apa yang dilihatnya. Bukankah itu lelaki berlagak yang
ditemuinya di tepi pantai semalam? Lelaki yang banyak tanya dan suka meminta
itu dan ini. Semua insiden perlanggaran semalam berputar semula di kepala Azwa.
Ya, dia lelaki yang sama. Ya ALLAH, dunia ni sempit rupanya!
Semalam Azwa
berhutang aiskrim. Sekarang dia berhutang nyawa pulak. Lelaki ni bukan boleh
percaya sangat. Bagaimana jika Qallif meminta sesuatu sebagai ganjaran? Aduh,
dengan apa pula Azwa harus membayarnya? Boleh ke kalau bagi seringgit atau dua
ringgit? Dah tentu lelaki yang dah tua bangka ni takkan terliur dengan duit
beberapa ringgit tu. Pelbagai kemungkinan bermain di fikiran Azwa. Dia
benar-benar tidak menyangka akan bertemu lelaki ini sekali lagi.
“Macam mana
keadaan awak, Azwa?” tanya Qallif. Sepasang matanya redup menatap wajah Azwa
yang sedang gusar.
“Saya dah okey.
Terima kasih sebab tolong saya semalam,” jawab Azwa sedikit gugup.
“Sama-sama.” Qallif
duduk di kerusi di tepi pintu yang terbuka.
Zaliah pula mengambil
tempat di sebelah Azwa sambil tersengih-sengih bagaikan kerang busuk. Entah apa
yang seronok sangat agaknya, pelik betullah perempuan ni! Fikir Azwa.
“Kau yakin lelaki
ni yang tolong aku semalam? Kau tak salah orang?” bisik Azwa pada Zaliah.
Zaliah menoleh Azwa
dengan gaya bingung.
“Betullah, kau
ingat aku ni ada penyakit amnesia ke?” balas Zaliah, juga berbisik.
Azwa terdiam.
Dia menelan air liur. Kenapa dalam banyak-banyak manusia di muka bumi ini,
harus dia yang selamatkan aku?
“Macam mana
boleh lemas semalam?” soal Qallif setelah agak lama suasana sepi dan
masing-masing tak tahu nak cakap apa.
Zaliah pantas
menyampuk. “Salah Azwa sendiri. Dia gatal sangat nak main air di tengah
sedangkan dia tak pandai berenang. Ada pelampung kononnya tapi lemas jugak.
Saya dah nasihatkan banyak kali tapi tak nak dengar. Hah, inilah jadinya.”
Qallif
tersenyum. Sementara Azwa hanya mampu memaksa senyum walaupun hatinya geram
dengan telatah Zaliah. Ingin saja dia mencubit paha Zaliah ketika ini.
“Lain kali kalau
nak berenang, jangan cari tempat yang sunyi. Bahaya. Kalau jadi apa-apa macam
semalam tak ada sesiapa yang nampak. By
the way, kalau awak berdua nak belajar berenang, saya boleh ajarkan,” usul
Qallif.
Zaliah
mempemarkan senyuman hingga ke telinga. Bukan main teruja dia mendengar
pelawaan keemasan itu. Kecil tapak tangan, Laut China Selatan dia tadahkan.
Inilah saat yang sesuai untuk mengeratkan silaturrahim. Manalah tahu
kalau-kalau Azwa boleh terjatuh cinta pada Qallif. Dan begitu juga sebaliknya.
“Tak apalah,
kami tak nak menyusahkan sesiapa. Lagipun saya dah serik nak mandi di laut,”
balas Azwa dengan sedikit formal.
Senyuman Zaliah mati
serta-merta. Cis, Azwa selalu menolak rezeki!
“Kenapa, fobia?”
soal Qallif.
“Sikit,” jawab
Azwa pendek.
Qallif ketawa
kecil. Entah kenapa ketawa pemuda itu kedengaran tenang. Terasa seperti sudah
lama mengenalinya. Jika difikir-fikir, tidaklah teruk sangat mamat ni. Masih
boleh lagi dipertimbangkan untuk dijadikan kawan selagi dia tidak melakukan
perkara yang melampaui batas.
Namun
cepat-cepat dibuang perasaan yang mula menular di hati Azwa itu. Azwa tidak
mahu terlalu mudah percaya dengan kebaikan yang ditunjukkan lantaran lelaki itu
tidak diketahui asal-usulnya. Orang yang kelihatan baik tak semestinya baik dan
orang yang kelihatan jahat tak semestinya jahat. Itu dia harus ingat dan
sentiasa berhati-hati.
“Siapa nama awak
tadi? Qallif, kan?” soal Azwa ingin kepastian.
“Ya, saya dah
beritahu semalam. Mesti awak lupa, kan?” ujar Qallif.
Dia tetap
memaniskan muka walaupun hati berasa gelabah. Gerun juga dia melihat jelingan
tajam Azwa. Takkan perempuan ni masih marah lagi pasal kejadian semalam kot?
Qallif tertanya-tanya sendiri.
“Memanglah Azwa
tak ingat sebab masa awak beritahu nama awak semalam, Azwa masih pengsan.” Zaliah
yang tidak tahu apa-apa menyampuk dengan yakin.
Qallif dan Azwa
hanya berpandangan. Nak ketawa pun ada mengenangkan peristiwa perlanggaran
semalam. Bukan main lagi bertekak bagai nak rak. Tiba-tiba hari ini mereka
duduk bersama di satu ruang dalam suasana cukup harmoni.
“Qallif, sekali
lagi saya nak ucapkan terima kasih sebab dah susah payah selamatkan saya. Saya
tak tahu nak balas dengan apa. Tapi saya cukup hargai apa yang dah awak
lakukan.” Suara Azwa kembali bergema dengan lembut.
Senyuman Qallif
semakin lebar.
“Saya tak
harapkan apa-apa dari awak, Azwa. Cukup sekadar sebuah persahabatan yang
ikhlas. Itu pun kalau awak sudi terima saya sebagai sahabat,” pintanya.
Zaliah sudah
tersengih-sengih memandang keduanya. Nampaknya misi untuk menyatukan Azwa dan
Qallif seakan berjaya. Ada tanda-tanda positif.
“Awak buat apa
di Cherating ni?” tanya Zaliah pada Qallif setelah Azwa tidak memberikan
apa-apa reaksi terhadap kata-kata Qallif sebentar tadi.
“Bercuti. Dah
tiga hari saya di sini,” ujar Qallif.
“Oh, iya ke?
Kalau macam tu kita ni samalah, tapi kami baru datang semalam. Awak lama lagi
di sini?”
“Tengok keadaan.
Kalau dah boring nanti saya baliklah.”
“Kalau macam tu
bolehlah kita jumpa selalu lepas ni. Awak datang sini dengan siapa? Tinggal di
mana? Jauh tak dari chalet kami ni?” Zaliah kelihatan begitu bersemangat.
Bertubi-tubi soalan dilontarkan pada Qallif.
Azwa memandang Zaliah
dengan perasaan tergamam. Lebih-lebih pulak minah ni! Buat malu betul! Sempat Azwa
mencubit paha Zaliah dengan hujung jarinya sebagai isyarat agar Zaliah tidak
terlebih over bertanya itu dan ini.
Zaliah
menyeringai kesakitan. Dia faham benar dengan isyarat Azwa itu.
“Saya datang
sorang aje. Saya menginap di chalet Ranting,” jawab Qallif.
Semakin lebar
senyuman Zaliah. Bermakna semakin mudah untuk mereka bertemu. Dan bila terpandang
wajah Azwa, cepat-cepat Zaliah mematikan senyumannya.
“Tak apalah,
saya minta diri dulu. Kalau ada apa-apa boleh cari saya di chalet nombor 12.
Tak jauh pun dari sini,” lanjut Qallif. Dan dia bangkit dari kerusi kayu yang
didudukinya. Bersedia untuk pergi.
“Apa kata kalau
kami belanja awak makan malam sebagai tanda terima kasih.” Zaliah bersuara
lagi. Suaranya diperlahankan sedikit. Sedar dengan jelingan Azwa sebentar tadi.
Azwa hanya mampu
tersenyum dalam paksa. Belanja makan? Baiknya hati Zaliah? Sejak bila Zaliah
jadi pemurah di saat-saat kegawatan ekonomi ini?
“Banyak duit kau
nak belanja dia makan?” bisik Azwa.
“Bukan aku…
kaulah yang kena belanja dia. Nyawa kau yang dia selamatkan,” balas Zaliah juga
berbisik.
Azwa mengetap
bibir. Tak guna punya Zaliah! Dia yang gatal mulut mengajak Qallif, aku pulak
yang kena belanja mereka. Sudahlah duit yang ada cukup-cukup makan saja!
Berkerut dahi Qallif.
Entah apa yang dibisikkan oleh dua anak gadis di hadapannya itu. Ini kali kedua
dia melihat mereka berdua berbisik. Risau juga dibuatnya. Manalah tahu ada
konspirasi untuk membunuhnya. Namun bila mengenangkan tentang makan malam itu,
Qallif tetap setia menunggu.
“Tak susahkan
awak berdua ke?” duga Qallif.
“Tak… apa pulak
yang susahnya? Bukan kena masak kat rumah pun. Order aje kat restoran tu.” Pantas Zaliah menjawab.
Geram sungguh
Azwa mendengarnya. Ingin saja dilukunya kepala Zaliah.
“Iyalah, Azwa
kan masih tak sihat. Takut nanti mengganggu waktu rehat dia pulak. Risau saya
kalau jadi apa-apa pada dia,” ujar Qallif pula.
Risau? Dia
risaukan aku? Azwa tertanya-tanya. Ada sedikit perasaan senang mendengar
pengakuan itu. Tapi untuk apa perasaan senang itu? Entahlah, malas dia ingin
memikirkannya. Dalam pada itu, dia berdoa agar Qallif menolak pelawaan Zaliah
itu.
“Jangan risau. Cik
Azwa kita ni ikhlas nak belanja kita makan malam ni. Bukan saja sebagai tanda
terima kasih tapi juga sebagai tanda persahabatan baru,” ujar Zaliah tanpa ada
rasa bersalah. Nama Azwa pula yang dijualnya.
Qallif
tersengih. Dia pandang wajah Azwa mengharap ada reaksi dari Azwa. Kebisuan Azwa
meresahkannya. Dia pasti akan setuju jika Azwa yang mengajaknya. Memang itu
yang ditunggu-tunggu. Bukan kemaruk nak mengikis duit anak gadis itu, tapi dia
ingin mengenali Azwa dengan lebih dekat lagi.
Zaliah
menyenggol lengan Azwa. Mengharap ada sesuatu keluar dari mulut Azwa bagi
menyokong kata-katanya itu. Geram sungguh Zaliah melihat Azwa mendiamkan diri
sejak dia membuka topik belanja makan itu.
Azwa agak
terkejut dengan senggolan Zaliah. Apa hal pulak ni? Dia memandang wajah Zaliah
buat seketika. Sahabatnya itu mencegilkan mata.
“Cakaplah
apa-apa,” bisik Zaliah.
Azwa menelan air
liur. Kemudian pandangan Azwa beralih ke wajah Qallif pula.
“Makan malam tu
tak seberapa jika dibandingkan dengan jasa baik awak yang sudah menyelamatkan
nyawa saya.” Lembut suara Azwa dalam keterpaksaan.
Qallif tersenyum
senang. Hatinya bersorak riang. Gembiranya bagaikan ingin melompat-lompat
hingga ke bumbung, namun jatuhlah imejnya jika dia buat begitu. Sebenarnya sejak
semalam lagi figura Azwa sering mengganggu khayalannya. Dia sendiri tidak tahu
mengapa?
“Okey, kalau
macam tu malam ni Qallif datang tepat pukul 8.30.” Zaliah terus mengatur temu
janji, tidak sabar-sabar gayanya ingin mengetuk duit Azwa.
“Okey,” jawab Qallif
dengan senang hati.
Azwa hanya mampu
tersengih membayangkan duitnya yang bakal terbang malam ini. Kurang asam punya
Zaliah!
Qallif meminta
diri untuk pulang. Matanya tidak boleh lari dari menatap wajah Azwa. Sebelum
Azwa perasan lebih baik dia angkat kaki. Sudahlah Azwa itu garang macam
serigala. Nasib baik Azwa lemas semalam. Jika tidak, jangan mimpi dia dapat
mendekati gadis itu tanpa sebarang alasan yang kukuh. Itu bermakna, TUHAN sudah
menunjukkan jalan pada dia. Peluang ini takkan dilepaskan begitu saja.